Friday, July 28, 2017

Masjid Tengkera Dan Makam Sultan Hussein






Masjid Tengkera merupakan salah sebuah masjid lama yang terletak di kawasan strategik di Bandaraya Melaka. Berdasarkan catatan yang ada, masjid ini telah dibina pada sekitar tahun 1728 lagi. Sehingga ke hari ini, fungsi masjid ini sebagai tempat ibadat bagi umat Islam masih berjalan dengan baik.


(Masjid Tengkera)


Selain berfungsi sebagai tempat ibadat, masjid ini juga turut mempunyai pelbagai keunikan yang tersendiri. Bahan binaan, bentuk ukiran serta reka bentuk masjid merupakan antara keunikan yang cukup menyerlah. Biar pun tanpa penglihatan, saya sendiri dapat merasai keunikan berkenaan.


Di bawah ini saya kongsikan sebilangan foto mengenai Masjid Tengkera untuk tatapan bersama.




Setelah puas meneliti bahagian dalam masjid berkenaan, saya pun bertanya kepada salah seorang pentadbir masjid di mana lokasi makam Sultan Husein, beliau secara spontan menjawab, “Oh sultan yang telah menjual Singapura kepada orang putih tu ke?” sambil menunjukkan lokasi makam kepada isteri dan anak saya.

Makam Sultan Husein terletak di salah satu sudut di perkarangan Masjid Tengkera. Berdasarkan catatan yang ada, baginda telah mangkat pada bulan Disember tahun 1835. Sebelumnya baginda telah bersemayam di Singapura iaitu di Istana Kampung Gelam. Hari ini, bekas istana berkenaan masih ada lagi di Singapura dan ia dikenali sebagai Malay Heritage Centre.

Pada tahun 1834, Sultan Hussein telah berpindah ke Melaka. Menurut catatan yang ada, baginda telah menetap di Jalan Hiran (kini Jalan Tun Tan Cheng Lock) dengan menyewa sebuah rumah.

Setelah meneliti catatan yang ada, maka pelbagai persoalan terlintas di benak saya. Mengapa baginda Sultan Hussein berpindah dari Singapura ke Melaka? Mengapa baginda hanya mampu menyewa sebuah rumah untuk kediaman baginda di Melaka? Ke mana wang saraan hidup yang telah diberikan oleh British kepada baginda selama ini? Mungkin catatan oleh Mushi Abdullah mengenai Sultan Hussein boleh merungkai kepada persoalan-persoalan ini.

Kemangkatan Sultan Hussein telah digantikan oleh puteranya Sultan Ali. Namun demikian, kekuasaan baginda hanyalah di sekitar kawasan Kesang sahaja. Pemakaian gelaran “sultan” oleh Sultan Ali lebih kepada untuk gelaran daripada kekuasaan. Makam Sultan Ali terletak di Masjid Umbai dan pernah saya catatkan menerusi blog ini.




Apa yang pernah berlaku kepada keluarga Sultan Hussein bolehlah dirumuskan sebagai berikut, Sultan Mahmud III (1760-1812) pernah memerintah sebuah kerajaan yang besar yang meliputi Riau, Lingga, Johor, Pahang serta kawasan sekitarnya. Manakala anakanda baginda, Sultan Hussein pula pernah menjadi sultan dan bersemayam di Singapura. Anakanda Sultan Hussein, Sultan Ali, pernah berkuasa di sekitar kawasan Kesang sahaja. Setelah kemangkatan Sultan Ali (1877), anakanda baginda, Tengku Alam, telah hilang segala-galanya. Baginda tidak lagi boleh memakai gelaran sultan dan baginda juga tidak ada negeri lagi untuk diperintah.

Sesungguhnya rentetan sejarah di atas merupakan teladan, sempadan dan iktibar yang cukup berguna kepada orang Melayu hari ini. Ia boleh berlaku semula dan boleh menimpa sesiapa sahaja dalam kalangan bangsa Melayu jika kesalahan yang serupa diulangi.

Jika raja-raja Melayu dahulu kala pernah kehilangan gelaran dan kekuasaan, hari ini, jika bangsa Melayu leka, lalai dan asyk berkelahi, kita akan kehilangan pula tanah yang sedang dipijak dan langit yang sedang dijunjung. Sedangkan tanah sekangkang kera yang masih kita ada kian mengecil gara-gara ketidak cerdikan kita menjaganya.


No comments: