Baru-baru ini, kita lalui lagi tarikh 16 September. Bagi sesetengah orang, tarikh berkenaan tiada bezanya dengan tarikh-tarikh lain yang dilalui. Bezanya tarikh 16 September merupakan cuti umum bersempena dengan Hari Malaysia. Bahkan ada juga yang kurang faham perbezaan antara tarikh 31 Ogos dengan 16 September.
Klik di sini untuk menonton perisytiharan pembentukan Persekutuan Malaysia
Saya pernah menulis catatan yang tajuknya hampir serupa (16 September) beberapa kali sebelum ini. Namun demikian, isi dan perkara yang telah saya ketengahkan dalam tajuk berkenaan ada perbezaannya. Begitulah juga kali ini, walaupun tajuk tulisan ini sama sahaja sepertimana sebelumnya, tetapi apa yang akan saya ketengahkan kali ini mungkin berbeza daripada yang telah sudah.
Setiap tahun kita seluruh rakyat Malaysia akan mengenang tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia. Pada tarikh inilah terbentuknya Persekutuan Malaysia yang mana pada asalnya persekutuan berkenaan merupakan gabungan antara Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Namun demikian, pada 9 Ogos 1965, Singapura telah keluar daripada Persekutuan Malaysia dan menjadi sebuah republik yang berdaulat. Dengan keluarnya Singapura, maka saiz Malaysia telah pun mula mengecil.
Bagi sesetengah sejarawan Malaysia, peristiwa keluarnya Singapura daripada Persekutuan Malaysia disifatkan sebagai pemecatan Singapura daripada Persekutuan tersebut. Manakala bagi keseluruhan rakyat Singapura pula, peristiwa pada 9 Ogos 1965 merupakan tarikh kemerdekaan pulau berkenaan dan kemunculannya sebagai sebuah republik yang berdaulat. Biar apa pun tafsirannya, faktanya ialah saiz Persekutuan Malaysia sudah mengecil.
Pada 23 Mei 2008 pula, hasil keputusan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Pulau Batu Puteh pula telah terlepas daripada kedaulatan Persekutuan Malaysia. Peristiwa malang ini telah mengecilkan lagi saiz Persekutuan Malaysia daripada saiz asal ketika penubuhannya pada tahun 1963. Dalam kedua-dua peristiwa pengecilan saiz Persekutuan Malaysia berkenaa, kita sebenarnya telah berputih mata daripada berputih tulang. Ia sama sekali bertentangan daripada lirik dalam salah satu lagu patriotik yang sering kita nyanyikan, “Biar putih tulang, jangan putih mata”.
Saya tidak nafikan iaitu sejak akhir-akhir ini usaha untuk menuntut kembali kedaulatan negara kita ke atas Pulau Batu Puteh mula kedengaran. Sebagai salah seorang rakyat negara tercinta ini, saya sememangnya menyokong penuh usaha untuk menuntut kembali apa yang sebelum ini merupakan hak negara dan bangsa kita. Namun demikian, seperkara yang harus jangan kita lupakan ialah jika kita ada strategi, orang lain pun ada strategi mereka juga. Demikianlah adanya.
Justeru, berdasarkan kedua-dua peristiwa pahit di atas, antara cabaran utama kita selaku generasi selepas penubuhan Persekutuan Malaysia ialah bagaimana untuk terus mengekalkan kepunyaan dan pemilikan yang kita masih ada supaya ia terus kekal berada dalam genggaman kita buat selama-lamanya selagi belum bertiup sangka kala. Seboleh-bolehnya kita tidak mahu berlaku lagi peristiwa yang boleh mengecilkan lagi saiz tanah air kita dengan apa cara sekali pun. Cukuplah sekurang-kurangnya sudah dua kali kita berputih mata melihat seinci demi seinci tanah pusaka kita terlepas ke tangan orang lain. Kita sekali-kali jangan lupa, jika kita gagal belajar dari sejarah, kita akan dihukum dengan mengalaminya untuk beberapa kali lagi.
Perkara paling asas yang harus ada kepada kita ialah perpaduan yang jitu. Tanpa perpaduan, bangsa dan tanah air kita akan mudah dirobek dan dicarik. Kejatuhan kesultanan Melayu Melaka adalah disebabkan tiadanya perpaduan dalam kalangan rakyatnya. Kuasa British dapat menjajah Tanah Melayu suatu ketika dahulu adalah kerana perpaduan yang rapuh. Sebab itulah penjajahan British berlaku lebih banyak menerusi perjanjian dan bukannya menerusi peperangan. Maknanya kuasa British tidak perlu mengangkat senjata untuk menguasai Tanah Melayu. Kuasa British pula cukup licik mengambil kesempatan yang ada iaitu ketika para pembesar Melayu sedang bermusuhan untuk memetrai perjanjian yang mana matlamat akhirnya ialah untuk menguasai ekonomi dan politik Tanah Melayu. Ingatlah pesan orang tua-tua, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tiada muafakat antara kita, maka tunggulah saat dan ketikanya di mana kedaulatan bangsa kita akan terlepas semula dari genggaman. Jangan lupa pesan orang tua-tua kita, bersatu teguh, bercerai roboh.
Perkara seterusnya yang mesti diberikan perhatian ialah sektor pendidikan. Bidang ini amat penting dalam menentukan generasi selanjutnya merupakan generasi yang bijak, berpandangan jauh, berwawasan, di samping berilmu dan beriman. Imam Ghazali pernah menulis yang antara lain berbunyi, jika kita ingin lihat apa yang akan terjadi pada tanah air kita pada masa depan, maka lihatlah pada generasi mudanya hari ini. Maknanya, jika generasi muda kita hari ini bijak, berilmu, beriman, baik akhlak dan adabnya, insha-Allah akan sejahtera dan selamatlah tanah air kita pada masa hadapan. Sebaliknya jika generasi rebun kita hari ini sudah bersembilu, nantilah saat dan waktunya di mana kita akan mereka pasak setelah mereka menjadi buluh nanti.
Dalam soal yang sama juga, saya masih teringat kata-kata yang pernah dilafazkan oleh (almarhum) Sultan Iskandar (Johor), antara lain baginda pernah berpesan dalam soal mendidik anak, biar mereka (anak-anak) menangis sewaktu mereka kecil, jangan kita yang menangis setelah mereka besar kelak. Dalam beberapa insiden yang berlaku sejak mutakhir ini, nampaknya kita sudah mula menangis setelah generasi muda ini mula meniti usia dewasa. Agaknya adakah air mata bangsa kita akan semakin lebat bercucuran sedikit masa lagi gara-gara kita yang tersalah asuh?
Adalah amat malang sekali jika kita hanya berjaya melahirkan generasi yang bijak pandai atas kertas sahaja. Bila sesuatu keputusan peperiksaan awam diumumkan, kita bertepuk tangan kononnya telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang akademiknya. Namun demikian, bila diukur dengan kayu ukur peringkat antarabangsa, kita yang terkulat-kulat tercengang sendiri hairan bagaimana kita masih terkebelakang. Generasi yang tidak cerdik tidak mungkin akan dapat menjaga tanah air ini dengan baik.
Selanjutnya, kita sama-sama harus berusaha untuk mengukuhkan ekonomi negara. Ekonomi kita, maka kitalah yang harus menjaga, memelihara dan menguruskannya. Adalah kurang wajar jika kita membiarkan orang lain yang menguruskan ekonomi kita. Hal sebegini tidak sepatutnya berlaku setelah kita menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka selama 60 tahun. Pakatan strategik bukan bermakna orang lain yang menjadi tuan sedangkan bangsa kita terus menjadi kuli. Orang tua-tua pernah berpesan, kalau marahkan nyamuk jangan kelambu dibakar. Kalau tidak setuju dengan seorang dua bekas pemimpin, legasinya yang bermanfaat untuk bangsa dan negara kita jangan dimusnahkan. Kita harus sama-sama beringat, untuk membina ekonomi yang kukuh, ia bukan mengambil masa sehari dua, tetapi bertahun lamanya. Sedangan untuk memusnahkan satu-satu ekonomi, ia boleh berlaku dengan sekelip mata sahaja. Jika ekonomi negara dan bangsa kita musnah, maka akan mengemislah bangsa kita di tanah airnya sendiri. Apa yang pernah dialami oleh nenek moyang kita sewaktu zaman penjajah dahulu akan menimpa semula kepada cicit dan piut mereka pada masa hadapan. Adakah ini yang kita mahukan?
Ancaman rasuah merupakan ancaman sejagat yang cukup bahaya kepada mana-mana tamadun. Sejarah telah melakarkan bahawa rasuah merupakan antara punca utama keruntuhan tamadun dan kerajaan yang besar lagi ternama. Negara akan berada dalam keadaan yang cukup berbahaya bilamana amalan rasuah tidak lagi dianggap satu kesalahan, sebaliknya dianggap perkara biasa yang kian sebati dengan budaya masyarakatnya. Pemberian hadiah dan amalan rasuah merupakan dua perkara yang sangat berbeza. Oleh itu, masyarakat hendaklah dididik memusuhi amalan rasuah dengan apa bentuk sekali pun. Justeru perang terhadap gejala rasuah hendaklah terus dilaksanakan pada setiap masa dan ketika dan tidak mengenal siapa. Adalah amat malang jika perang ke atas rasuah hanya dilakukan terhadap gerombolan ikan bilis semata-mata. Semua pihak harus menyokong apa-apa langkah dan tindakan yang diambil oleh pihak yang berauthoriti untuk membendung gejala rasuah tanpa mengira siapa. Pihak yang berauthoriti pula mesti berani memerangi gejala rasuah tenpa mengira siapa. Sejarah telah membuktikan amalan rasuah yang berleluasa yang berlaku dalam kesultanan Melayu Melaka merupakan antara faktor utama kejatuhan kerajaan berkenaan. Jika kita masih tidak mengambil iktibar daripada peristiwa yang telah berlaku, negara kita juga akan menerima nasib yang serupa kelak.
Seterusnya, kita harus memastikan mereka yang memimpin negara kita terdiri daripada orang yang bijak pandai yang berpandangan jauh. Kegemilangan yang pernah dicapai oleh kesultanan Melayu Melaka dahulu kerana adanya tokoh pemimpin yang amat bijak seperti Tun Perak. Serangan Portugis kali pertama ke atas Melaka gagal kerana adanya tokoh pemimpin yang berani seperti Tun Hassan Temenggung. Walaupun bukan semua tun itu bijak dan cerdik seperti kedua-dua Tun tadi, sebagai penghuni tanah air ini kita berkewajipan untuk memastikan agar para pemimpin kita bijak, panjang akal, berani serta berwawasan. Tun Perak merupakan seorang pemimpin yang sangat taat kepada rajanya. Namun demikian, ketaatan Tun Perak bukanlah secara membabi-buta, sebaliknya ketaatan yang dicurahkan adalah dengan penuh berhemah dan cukup berpandangan jauh. Apabila sultan Melaka memerintahkan Tun Perak supaya membunuh Hang Tuah, Tun Perak bukan sahaja tidak membunuhnya bahkan telah menyembunyikan pahlawan tersebut di satu tempat. Apabila raja yang berkenaan mula merasai kesan buruk gara-gara ketiadaan Hang Tuah, barulah Tun Perak mengeluarkan Hang Tuah daripada persembunyiannya. Tindakan Tun Perak yang tidak menurut titah raja sebelumnya bukan sahaja dianggap tidak bersifat derhaka bahkan mendapat pujian pula daripada raja. Kecerdikan seperti inilah yang sepatutnya harus ada kepada para pemimpin negara kita masa kini.
Kita harus ingat, kekuatan tentera bukan satu-satunya faktor yang boleh mempertahankan tanah air kita. Pada masa yang sama saya tidak sekali-kali menafikan kepentingan kekuatan dalam bidang berkenaan harus ditingkatkan agar seiiring dengan keperluan semasa. Penjajah British dahulu berjaya menjajah tanah air kita bukan dengan kekuatan ketenteraan semata-mata. Orang Siam pula berjaya mempertahankan kemerdekaan negara mereka bukan kerana mereka mempunyai tentera yang kuat semata-mata.
Mudah-mudahan tanah air tercinta ini akan dapat kita pertahankan sampai bila-bila. Cukuplah dengan kehilangan yang telah kita alami sebelum ini. Selepas ini, kita akan benar-benar bangun untuk mempertahankan setiap inci bumi bertuah ini dengan darah dan nyawa hingga ke titisan darah terakhir dan bukan dengan hanya dendangan dan seni kata lagu semata-mata.