Monday, September 11, 2017

Alex Lee Guan Hock Meninggal Dunia (Catatan Lewat)




Salah seorang rakan senasib, Saudara Alex Lee Guan Hock telah meninggal dunia malam tadi sekitar jam 8.30 malam. Namun demikian, hanya pagi tadi saya baru mendapat khabar berkenaan melalui Tn. Hj. Muhammad Lee, salah seorang adik mendiang. Seorang lagi adik Alex ialah Saudara Muhammad Adam Lee.

Alex merupakan seorang kawan yang baik. Saya telah mengenali beliau sejak tahun 1982 lagi. Sewaktu beliau bertugas di SBM HQ, saya sering juga minta bantuan beliau terutama yang berkaitan dengan urusan audio. Beliau juga merupakan antara penggerak penting dalam pelaksanaan rakaman dan pengedaran bahan-bahan audio SBM yang telah memberi manfaat kepada ramai ahli. Bermula dari era pita kaset hinggalah ke pengedaran bahan audia berbentuk CD, Alex adalah penggerak utama yang sukar dicari ganti. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan pengedaran pelbagai bahan berita menerusi e-mail hari ini telah bermula dengan program penyediaan bahan audio pita kaset. Penggerak utamanya sudah tentulah Alex dan juga Saudara Azmi Anuar.

Bagi saya, kepakaran pengendalian perkakasan audio yang ada pada beliau sukar untuk ditandingi oleh orang lain. Setakat yang saya tahu, Alex tidak pernah mendapat latihan dalam bidang yang berkaitan di mana-mana institusi. Namun dengan dorongan minat yang mendalam, beliau sentiasa komited dalam melaksanakan tugasnya.

Kepada seluruh ahli keluarga mendiang Alex, saya ucapkan takziahyang sedalam-dalamnya. Hari ini, kita semua kehilangan seorang lagi rakan yang baik hati, ringan tulang dan ikhlas dalam persahabatan.


No comments: