Thursday, June 10, 2010

Bekas Pengetua Sekolah Menengah Teknik Setapak Kembali Ke Rahmatullah

Pagi tadi, sekitar jam 9.20 pagi, kami menerima SMS daripada salah seorang guru SMT Setapak yang memaklumkan bahawa bekas pengetua sekolah tersebut, En. Arshad Muhammad telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.40 pagi tadi.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepada Allah pula kita semua akan kembali. Kami seisi keluarga dengan ini ingin mengucapkan takziah kepada keluarga En. Arshad Muhammad. Bersabarlah menghadapi saat yang amat mendukacitakan ini.

Hari ini kita menyaksikan kematian orang lain, entah esok atau lusa, orang lain yang akan menyaksikan kematian kita pula. Sesungguhnya kematian merupakan suatu peringatan kepada yang masih hidup. Hanya mereka yang bebal, sombong dan terlalu meninggi diri sahaja yang tidak akan terkesan dengan peristiwa kematian orang lain.

Tuesday, June 8, 2010

Panggilan Telefon Daripada Riduan Karim

Sekitar jam 10.15 malam sebentar tadi, saya menerima panggilan telefon. Pemanggilnya ialah Riduan bin Karim bin Ali. Semenjak saya meninggalkan bangku sekolah menengah, saya tidak pernah bertemu beliau. Jadi, saya merasakan panggilan daripada beliau malam ini agak istimewa. Kami berbual hampir setengah jam juga. Macam-macam cerita yang dikhabarkan antara kami berdua.

Saudara Riduan pernah bersekolah menengah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak antara tahun 1985-1989. Beliau berasal dari Sabah. Riduan hilang penglihatannya dalam satu tragedi letupan bom di Kota Kinabalu (kalau tak silap saya).

Menurut cerita yang pernah diceritakan kepada saya oleh Riduan sewaktu kami sama-sama di zaman sekolah menengah dahulu, suatu hari, beliau dan 3 orang rakan lagi yang sebaya dengan beliau telah terjumpa dengan satu objek ketika sedang bermain. Oleh kerana masih kanak-kanak, jadi beliau dan rakan-rakannya langsung tidak mengetahui bahawa objek yang mereka temui itu sebenarnya ialah bom. Sewaktu sedang bermain dengan objek itu, dengan tiba-tiba objek berkenaan telah meletup. Dua daripada rakannya mati serta-merta. Saudara Riduan hidup tetapi penglihatannya hilang. Semasa menceritakan kisah tersebut, Riduan masih sempat menunjukkan kepada saya serpihan bom yang masih tertinggal di bahagian mukanya yang tidak boleh dikeluarkan oleh doktor.

Berpantang mati sebelum ajal. Kini sudah hampir 30 tahun peristiwa yang penuh tragik itu berlaku. Riduan terus tabah menjalani hidupnya. Sejak dari dahulu lagi, beliau tak pernah menyesal dengan takdir yang menimpa dirinya. Dalam diam, saya turut kagum dengan ketabahan Riduan.

Sunday, June 6, 2010

Selamat Pengantin Baru Kepada Saudara Mohd Hairie Aris



Siang tadi, saya sekeluarga berkesempatan menghadiri majlis walimatul urus (majlis perkahwinan) Saudara Mohd Hairie ARis dan isterinya, Pn. Safia Jaini, di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan. Jaraknya dari Kuala Lumpur sekitar 120 kilometer. Kami tiba agak lewat, iaitu sekitar jam 3.00 petang.



Setibanya kami, pandangan persekitaran kampung yang belum begitu disentuh arus pembangunan memukau mata isteri dan Luqman. Walaupun cuaca agak panas, tetapi ia tidaklah mencacatkan pemandangan indah persekitaran kampung.



Saya sendiri dapat merasakan kenyamanan kampung tersebut kerana udara yang saya sedut terasa segarnya. Kebetulan pula, sewaktu saya dan keluarga tiba, rombongan rakan-rakan lain yang telah pun tiba lebih awal, sedang berkumpul di tepi bas untuk pulang. Semasa saya tiba, para tetamu lain juga sudah pun mula beransur pulang. Maklumlah waktu kunjungan pun sudah hampir ke hujungnya.



Namun demikian, kehadiran saya sekeluarga tetap dialu-alukan dengan penuh mesra oleh tuan rumah. Bapa Hairie yang sememangnya peramah orangnya begitu mengalu-alukan kedatangan saya. Manakala lauk-pauknya masih banyak dan menyelerakan pula.



Saudara Hairie yang juga merupakan seorang yang berpenglihatan terhad (rabun) kini sedang bertugas di salah sebuah sekolah agama di Kuala lumpur. Beliau juga merupakan Naib Pengerusi PERTIS Negeri Sembilan. Sekitar jam 3.45 petang, saya sekeluarga pun meninggalkan rumah pengantin.



Kepada Saudara Mohd Hairie Aris dan Pn. Safiah Jaini, saya ucapkan selamat pengantin baru. Doa kami, semoga beroleh keberkatan daripada Allah dunia dan akhirat dan dikurniakan zuriat yang solihin.



Sewaktu dalam perjalanan pulang, kami singgah pula di sebuah gerai tepi jalan yang menjual air tebu iaitu di sebuah kampung bernama Kerangai. Apa yang menariknya ialah air tebu hanya akan diproses bila ada pembeli yang ingin membeli. Jadi, selaku pembeli kenalah sabar sedikit. Setelah dirasa, air tebunya memang amat menyegarkan. Saya minum 2 gelas.



Sebenarnya pada hari ini saya turut mendapat undangan perkahwinan di beberapa tempat. Oleh kerana kekangan masa, maka saya tidak dapat menghadiri di semua tempat tersebut. Jadi, kepada tuan majlis yang mana undangan mereka tidak dapat saya penuhi, saya mohon berbanyak maaf. Lain kali jangan serik untuk mengundang saya lagi.

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Pada pertengahan minggu lepas, saya telah memperkenalkan seorang blogger cacat penglihatan. Kali ini, saya ingin tampilkan seorang lagi blogger cacat penglihatan yang terbaru. Blogger yang dimaksudkan ialah Mohd Fakhrul Azzeri bin Abdul Mujid. Beliau merupakan seorang lagi anak murid saya. Beliau juga sekelas dengan Lok Weng hang dan Ahmad Shahide Ruslan.



Mohd Fakhrul Azzeri merupakan seorang murid yang mempunyai penglihatan terhad (rabun). Beliau juga mempunyai komitmen yang tinggi dalam pelajaran. Murid yang berasal dari Gambang, Kuantan ini juga seorang yang sangat menghormati guru-gurunya.

Bagi saya, pertambahan bilangan blogger cacat penglihatan terutamanya dalam kalangan pelajar merupakan suatu perkembangan yang baik dan sihat. Ini menunjukkan bahawa golongan pelajar juga telah beroleh manfaat daripada perkembangan teknologi maklumat masa kini. Bagi saya juga, sekiranya semua murid pendidikan khas cacat penglihatan punya kemahiran yang baik dalam bidang teknologi maklumat, maka sudah tentulah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi. Tugas kita di sini ialah untuk mendidik para pelajar berkenaan supaya dapat menggunakan kemudahan dan kemahiran teknologi maklumat dengan cara yang bermanfaat. Untuk itu, saya juga tidak menafikan bahawa pengawasan yang sesuai juga perlu dilaksanakan supaya para pelajar yang berkenaan tidak menyalahgunakan kemahiran dan kemudahan yang mereka ada.

Kepada Mohd Fakhrul Azzeri, diucapkan selamat datang ke dunia maya. Penuhilah laman sesawang anda dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Kalau games sahaja yang menghiasi laman sesawang anda, rasanya ia tidak bermanfaat sangat terutamanya kepada rakan-rakan seusia dan yang seperjuangan dengan anda. Dunia memang ingin tahu apa yang sedang bergelora dalam hati anda. Jadi, beritahulah kepada dunia semuanya itu dengan cara yang berhemah. Mungkin pemberitahuan semacam itu ada gunanya terutamanya kepada golongan yang baru sehari dua menyertai dunia pendidikan khas.

Kepada mereka yang berminat, sila kunjungi ke http://yakuzagame.blogspot.com. Laman sesawang beliau juga ada saya pautkan pada Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan dalam blog ini dan sila klik (enter untuk pengguna cacat penglihatan yang menggunakan perisian pembaca skrin) pada mohd Fakrul Azzeri.

Menziarahi Mereka Yang Ditimpa Musibah

Semalam (5 Jun) merupakan hari yang agak padat untuk saya. Sebelah paginya, saya telah ke ibu pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk mempengerusikan mesyuarat di sana. Mesyuarat kali ini ialah mengenai penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS kali ke-15.

Sebelah tengah harinya pula, saya bersama-sama isteri dan Luqman telah ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Tujuan kami ialah untuk menziarahi En. Arshad Muhammad, bekas pengetua Sekolah Menengah Teknik Setapak. Beliau menghidap penyakit kanser. Beliau telah dimasukkan ke HKL sejak Ahad lepas. Sejak dimasukkan, beliau memang sudah tak dapat bercakap lagi. Pada perkiraan saya, keadaannya memang tenat. En. Arshad telah bersara selaku pengetua pada tahun 2006. Kata isteri beliau, sejak bersara, En. Arshad sekadar berkebun bila ada kelapangan. Menurut isterinya lagi, kesihatannya mula terganggu sejak Februari lalu. Hanya doa yang dapat kami panjatkan ke hadhrat Allah semoga En. Arshad akan dikurniakan yang terbaik untuknya.

Sekitar jam 2.30 pula, kami telah ke Seremban pula. Destinasi kami ialah di Hospital Besar Seremban. Kali ini Saya sekeluarga menziarahi Kak Ija (Cikgu Rosniza) pula. Kisah mengenai Kak Ija pernah saya paparkan menerusi blog ini pada awal tahun lalu.

Saya mengenali Kak Ija setelah saya berkahwin. Beliau merupakan rakan sekerja isteri saya semasa mereka sama-sama mengajar di SMT Kuala Kelawang. Hubungan saya sekeluarga dengan Kak Ija dan keluarganya sememangnya akrab. Bahkan kedua-dua ibu bapa Kak Ija telah menganggap dan sentiasa melayan Luqman macam cucu mereka. Jadi, kalau tak menziarah, rasanya memang tak kena. Kak Ija kini bertugas di Institut Aminuddin Baki (IAB).

Setakat yang saya maklum, kedua-dua buah pinggang Kak Ija tidak berfungsi lagi. Ini ditambah pula dengan penyakit lain pula. Sewaktu kami tiba, ramai bekas anak murid Kak Ija berada di sisi katilnya. Kak Ija pula kelihatan ceria. Beliau boleh bercakap, bergurau dan adakalanya menyingkap memori silam.

Kata ibu Kak Ija kepada saya yang turut berada di hospital, Kak Ija memang kelihatan ceria, tapi setelah semua yang menziarah pulang, Kak Ija mula sakit kembali. Walau apa pun, kami tetap mendoakan semoga Kak Ija cepat sembuh dan akan dapat menjalani hidup seperti sediakala.

Jika ada kelapangan, memang saya sekeluarga akan menziarahi rakan, kenalan atau saudara-mara yang ditimpa musibah. Setidak-tidaknya ia dapat mengikis sifat sombong yang sering bertunas dalam hati sanubari kita sebagai insan. Justeru, kepada mereka yang masih sihat dan belum merasai sakit, anda harus bersyukur sebanyak-banyaknya. Janganlah setelah ditimpa sakit baru hendak memahami kondisi sebenar orang yang selama ini ditimpa musibah sedemikian.

Sekitar jam 8.45 malam, kami tiba semula di KL tetapi tidak terus pulang. Kami ke Brickfields pula untuk membuat penyelenggaraan kecil ke atas kereta usang kami. Maklumlah, esok akan berjalan jauh lagi untuk menghadiri beberapa jemputan perkahwinan pula.

Sekitar jam 11.15 malam, baru kami tiba semula di rumah dalam keletihan.

Friday, June 4, 2010

Bicara Jumaat

Rasanya sudah agak lama saya tidak menulis untuk memenuhi ruangan Bicara Jumaat. Semalam tatkala menyemak email yang saya terima, saya bertemu dengan satu kiriman email yang saya kira bahan yang dimuatkan dalam kirimannya agak menarik. Di sini, saya ingin berkongsi dengan para pengunjung blog ini kisah yang termuat dalam email beliau. Terima kasih daun keladi saya ucapkan kepada Ustazah Hajarulbahti di atas kiriman email beliau kepada saya.



Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Wednesday, June 2, 2010

Menghadiri Sidang Media di Pusat Konvensyen Sime Darby



Petang tadi, sekitar jam 4.00 petang, saya telah menghadiri satu sidang media di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Sidang media ini adalah untuk mempromosikan Majlis Makan Malam Amal Berkat Bersama PERTIS – Karyawan Malaysia. Tiga pihak yang telah menghadiri sidang media ini ialah Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Persatuan Karyawan Malaysia dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).





Kehadiran saya yang turut ditemani isteri dalam sidang media ini adalah selaku Naib Yang Dipertua PERTIS. Lain-lain wakil PERTIS dalam sidang media ini termasuklah En. Zamzuri Ghani selaku Bendahari Kehormat, En. Mohd Hafiz Halim selaku Pengerusi Biro Ekonomi dan juga penyelaras program, En. Ahmad Samsuri selaku AJK Kecil Biro Ekonomi serta Pn. Shahrul Bariah selaku kakitangan sambilan di PERTIS.



Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat pula diwakili oleh Pn. Halijah Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tn. Sheikh Abu Bakar Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti, Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta beberapa orang pegawai lain.







Para wakil Karyawan Malaysia pula diketuai oleh Dato’ Freddie Fernandez. Beliau turut disertai oleh beberapa orang artis ternama. Antara mereka termasuklah Radhi OAG, Datin Paduka Juli Sudero, Bianda serta beberapa orang yang lain.



Selain itu, para wartawan daripada beberapa akhbar utama juga turut hadir dalam sidang media ini. Kumpulan ini diketuai oleh Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Sepertimana yang dinyatakan di atas, sidang media ini bertujuan untuk mewar-warkan Majlis Makan Malam Amal Berkat Bersama PERTIS – Karyawan. Majlis tersebut akan diadakan pada 18 Julai 2010 (Ahad) di Pusat Konvensyen Sime Darby ini. Tujuan utama majlis ini ialah untuk mengutip dana untuk PERTIS bagi membolehkan PERTIS melaksanakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang. Ia juga selaras dengan usaha PERTIS untuk mengurangkan pergantungannya kepada kerajaan semata-mata sebagai sumber dananya. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memasyarakatkan PERTIS,agar kewujudan PERTIS sebagai entiti badan bukan kerajaan (NGO) disedari oleh masyarakat.



Selain daripada jamuan makan malam, majlis itu nanti juga akan diserikan dengan persembahan para artis terkenal. Antara yang telah mengesahkan penyertaan mereka termasuklah M. Nasir, Ramli Syarif, Mawi, Radhi OAG, Datin Paduka Juli Sudero, Bianda dan lain-lain lagi.

Mengikut rancangan, majlis makan malam tersebut akan dirasmikan oleh YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat. Kerana itulah juga dalam sidang media ini, wakil KPWKM turut hadir dan akan memberikan kerjasama padu untuk menjayakan majlis itu nanti.



Menurut Dato’ Freddie Fernandez, sebanyak 80 meja telah diperuntukkan untuk dijual bagi menjayakan majlis makan malam itu nanti. Di sini, saya ingin mengambil kesempatan menyeru terutamanya kepada sektor korporat serta para individu yang berkemampuan untuk membeli meja atau meja-meja berkenaan sambil menyumbang kepada tabung PERTIS.

Akhir sekali, saya mewakili PERTIS, ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih khususnya kepada Persatuan Karyawan Malaysia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat kerana sudi bekerjasama dengan PERTIS untuk menjayakan majlis makan malam seperti di atas. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga ditujukan kepada pihak media yang telah hadir dalam sidang media kali ini. Kepada semua pihak yang akan memberikan sumbangan, saya dahului dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga dengan adanya sumbangan ikhlas daripada anda semua, PERTIS akan mampu untuk lebih berdikari untuk kepentingan para ahlinya dan juga untuk kepentingan golongan cacat penglihatan umumnya.