Wednesday, May 2, 2012

Pak Yob Dan Aziz

Pada 1 Mei lalu, iaitu sebaik sahaja selesai mesyuarat agung Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Negeri Sembilan, saya serta beberapa orang rakan yang lain telah menziarahi En.Ayob bin Endot atau lebih mesra dengan panggilan Pak Yob di rumahnya yang terletak tidak begitu jauh dari pejabat PERTIS Negeri Sembilan di Seremban. Antara rakan-rakan lain yang turut serta termasuklah En. Muhammad Nasir (NYDP PERTIS), E. Hairie Aris (Pengerusi PERTIS Negeri Sembilan), En. Khairul Azwan Wahab (Setiausaha PERTIS Negeri Sembilan), En. Abdullah Abu Bakar (Bendahari PERTIS Negeri Sembilan), Cikgu Wan Suhaimi, En. Ali Shafudin dan lainnya. Tujuan kami ialah untuk menziarahi Pak Yob yang kini sedang terlantar di rumahnya. Baru-baru ini, akibat penyakit kencing manis, sebelah kaki Pak Yob terpaksa dipotong hingga atas sedikit daripada lutut.



Kehadiran kami disambut mesra oleh ahli keluarga Pak Yob. Manakala Pak Yob sendiri, daripada getar suaranya memang gembira dengan kehadiran kami. Pada masa ini, Pak Yob dijaga dengan baik oleh isteri serta ahli keluarganya yang lain. Tatkala En. Abdullah bersalaman dengan beliau serta mengusap rambutnya, Pak Yob sebak dan mengalirkan air mata. Maklumlah Pak Yob dan En. Abdullah memang mesra. Kami juga turut diberitahu oleh isterinya, sebelu ini pun ramai juga rakan-rakan Pak Yob yang telah datang menziarahi Pak Yob terutamanya semasa Pak Yob di hospital.



Pak Yob merupakan ahli PERTIS yang aktif dan merupakan orang yang sering menceriakan suasana dalam apa jua aktiviti khususnya anjuran PERTIS. Kali terakhir saya bertemu dengan Pak Yob sebelum ini ialah di Pusat Dakwah, Paroi, iaitu ketika saya menghadiri bengkel Alquran Braille anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan pada awal Jun 2011 yang lalu. Pak Yob juga merupakan pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Negeri Sembilan. Kalau Tuan Haji Nazari ke Seremban, jangan lupa untuk menjengah Pak Yob sekali.



Kini Pak Yob harus menerika hakikat iaitu di samping penglihatannya yang sememangnya sudah hilang, sekarang sebelah kakinya pula telah tiada. Saya sendiri tidak dapat bayangkan betapa sukarnya untuk meneruskan hidup dalam keadaan sedemikian. Namun itulah hakikat dan realiti yang terpaksa ditempuh oleh Pak Yob. Setelah sekitar 10 minit, kami pun meninggalkan rumah Pak Yob untuk kembali ke tempat masing-masing.



Manakala pada 22 April lalu, saya juga telah berkesempatan untuk menziarahi seorang lagi rakan yang juga ahli PERTIS, iaitu Saudara Aziz Syarif di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Beliau juga turut kehilangan sebelah kakinya iaitu di bawah paras lutut juga akibat penyakit kencing manis.



Aziz merupakan seorang yang periang seolah-olah tiada apa yang menimpa dirinya, tetapi dalam hatinya hanya Allah sahaja yang lebih mengetahuinya. Sewaktu saya menziarahi beliau, Aziz sentiasa tertawa dan berjenaka sama seperti beliau masih sihat suatu ketika dahulu. Semasa saya tiba di sisi katilnya,Aziz terus berkata (berseloroh): “Kaki aku dah kena tebaslah!” kemudian dia tertawa.



Saya sempat bertanya kepada Aziz di mana beliau akan tinggal bila keluar hospital nanti. Dengan selamba Aziz menjawab, di rumah lamanya. Terfikir juga dalam minda saya, bagaimanakah dia akan meneruskan hidupnya dalam keadaan tanpa penglihatan dan kini tanpa sebelah kaki pula. Namun begitu, berbekalkan semangat yang masih kental, Aziz yakin beliau masih mampu untuk meneruskan hidupnya dalam keadaannya sekarang.



Kepada rakan-rakan lain, marilah kita menghulurkan apa jua bentuk sokongan dan bantuan kepada kedua-dua rakan kita di atas. Mudah-mudahan dengan sokongan serta bantuan yang kita hulurkan, ia sedikit sebanyak akan dapat meringankan penderitaan yang sedang mereka tanggung. Walaupun mereka masih mampu untuk tersenyum dan tertawa, tetapi penderitaan batin yang mereka sedang tanggung tiada siapa yang dapat merasainya.

Kepada Pak Yob dan Aziz pula, banyak-banyaklah bersabar di atas ujian yang sedang diturunkan ke atas anda berdua. Sesungguhnya sabar itu adalah ubat segala bentuk penderitaan. Insha-Allah saya serta rakan-rakan yang lain sentiasa berdoa semoga anda berdua akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah hendaknya.

Corat-coret Perhimpunan Bersih 3.0





Pada 28 April lalu, sebagaimana yang telah dirancang oleh pihak-pihak tertentu, Perhimpunan Bersih 3.0 telah berlangsung dengan hebatnya. Saya sendiri, sejak perhimpunan bersih 1.0 hinggalah yang terakhir semalam, memang tidak menghadirinya. Kebetulan pula, pada hari berkenaan saya telah menghadiri aktiviti Kembara Bahasa anjuran Panitia Bahasa Melayu sekolah saya. Sementara di sebelah petang pula, saya turut mempunyai satu lagi program lain. Justeru, saya terpaksa meninggalkan aktiviti yang sedang rancak berjalan pada sebelah tengah hari. Terima kasih kepada Cikgu Zinaida yang turut memahami.




Hari ini, sama ada menrusi media prokerajaan mahupun melalui media propakatan pembangkang, kisah mengenai perhimpunan Bersih 3.0 masih hangat diperkatakan. Masing-masing mempunyai agenda dan tujuan tertentu bilamana berita dan cerita mengenai perhimpunan Bersih berkenaan masih disemarakkan dalam media masing-masing. Walaupun tajuk utamanya mengenai perhimpunan Bersih, tetapi kedua-dua belah pihak mempunyai perspektif berbeza dalam melihat, menganilisis serta tujuan berita dan cerita berkaitan perhimpunan berkenaan dipaparkan dalam media masing-masing. Demikianlah hebatnya peranan media dalam dunia hari ini.




Justeru, selaku orang biasa, kita harus berupaya menyaring setiap berita, cerita serta maklumat mengenai perhimpunan berkenaan supaya kita dapat melihat kejadian tersebut dari sudut yang lebih adil dan bersih. Pandangan dan ulasan sebilangan orang-orang politik acap kali tidak boleh dipakai kerana pandangan, ulasan dan pendapat mereka sudah terikat dengan kumpulan siasah dokongan masing-masing dan yang lebih teruk lagi apabila segelintir orang-orang politik tertentu seakan cuba memaksa orang lain supaya menerima pandangan dan ulasan mereka.




Bagi sesetengah orang, mungkin merasa sukar untuk mencari kaedah terbaik bagi menyaring setiap berita, cerita atau maklumat tertentu. Di sini, saya suka untuk berkongsi formula mudah bagaimana untuk menyaring berita agar kita dapat menilainya dengan lebih baik dan adil. Bagi saya, individu atau pihak serta media yang paling banyak berbohong ketika bercakap dan sewaktu menyampaikan info merupakan golongan yang tidak boleh dipercayai akan cakapnya. Sebagai contoh, kalau dalam sesuatu majlis jumlah sebenar yang hadir ialah 100 orang, tetapi ada individu dengan sengaja mengatakan jumlah yang hadir hanyalah 10 orang, maka individu berkenaan telah berbohong. Begitu juga, kalau dalam sesuatu majlis jumlah yang hadir adalah seramai 100 orang, tetapi ada individu dengan sengaja mengatakan jumlahnya ialah 1000 orang, maka individu atau media berkenaan juga telah berbohong. Golongan seumpama ini hanya menonjolkan kebodohan mereka dalam matematik. Sebab itulah juga mereka tidak peka kepada berapa jumlah harta negara yang sudah lesap atau dilesapkan, kerana mereka ini memang tidak pandai membilang dan jahil menghitung.




Selain it itu, orang yang gemar melanggar prinsip dan pendirian peribadinya juga amat terdedah dengan kegemaran berbohong. Sebagai contoh, pada zaman dahulukala ada orang yang telah membakar hangus jambatan di belakangnya. Setelah masa berlalu, dia mula merasai pembakaran jambatan tersebut tidak mendatangkan sebarang keuntungan peribadi, lalu dia telah berpatah balik ke seberang haluan. Hari ini, orang yang sama mahu mengajar kita pula bagaimana untuk menilai antara bersih dan kotor. Orang seperti ini juga tidak boleh dipercayai kerana pendiriannya boleh berubah macam lalang kering ditiup angin. Hanya masa sahaja yang akan menentukan bila lalang keringnya it akan dibakar sebagaimana dia pernah membakar jambatan di belakangnya suatu masa dahulu. Demikianlah secebis formula mudah untuk dikongsikan.




Selain itu, ada orang yang mengkategorikan demonstrasi yang berlaku sebagai demonstrasi jalanan. Kebiasaannya bila orang ramai ingin berdemonstrasi, mereka akan keluar ke jalan-jalan raya untuk menunjukkan apa yang terbuku dalam perasaan masing-masing. Kalau mereka sekadar terperap di rumah sahaja, perasaan yang terbuku tidak dapat diluahkan dengan lancar. Silap hari bulan boleh sakit mental dibuatnya. Namanya pun tunjuk perasaan, maka sudah tentulah apa yang terbuku dalam perasaan masing-masing ketika itu harus ditunjukkan di khalayak ramai, baru orang ramai tahu apa sebenarnya yang terbuku.




Yang pelik bin ajaibnya, kalau puak yang tidak sehaluan dengan mereka berdemonstrasi, maka pelbagai istilah dan terminalogi akan dipalitkan kepada golongan yang berdemonstrasi, seperti demonstrasi haram, demonstrasi jalanan, tidak hormati undang-undang dan macam-macam lagi. Tetapi kalau golongan yang berdemonstrasi itu dalam kalangan puak mereka, maka ia akan dibiarkan berlalu begitu sahaja sebagaimana demonstrasi yang pernah berlaku di Kuala Terengganu dan di sekitar Komtar, Pulau Pinang beberapa tahun lalu.




Dalam sejarah orang Melayu, mereka pernah bersatu untuk menentang Malayan Union pada tahun 1946 dahulu. Pada ketika itu, salah satu cara yang digunakan sebagai bentuk penentangan ialah menerusi demonstrasi. Masa itu tidak ada lagi istilah demonstrasi jalanan. Namun demikian, kesannya ialah British akhirnya terpaksa akur dengan kehendak orang Melayu supaya memansuhkan Malayan Union. Dengan itu, walaupun ia sekadar demonstrasi, tetapi kesannya ia dapat mengubah hala tuju Tanah melayu yang cuba dibentuk oleh Britishkepada cita rasa penduduk Tanah melayu sendiri. Apa yang berlaku ketika itu ialah kerajaan British tidak mempekakkan telinga mereka dengan apa yang menjadi tuntutan orang melayu, Sebaliknya mereka telah mendengarnya dengan teliti dan akhirnya telah memenuhi kehendak orang melayu supaya Malayan Union dimansuhkan. Demikianlah hebatnya pengaruh demonstrasi. Di sini, saya sama sekali tidak bermaksud meminta semua orang berdemonstrasi dalam mencapai hasrat dan cita-cita masing-masing. Tetapi apa yang pernah dilakar dalam sejarah oleh orang Melayu begitulah.




Mengenai pelbagai kerugian pula, ini satu lagi perkara yang masih subjektif. Saya ada membaca maklumat berkenaan semasa Bersih 2.0 tahun lalu. Khabarnya di hari demonstrasi berlangsung, ramai juga peniaga yang kehabisan stok pelbagai barangan, terutamanya air mineral dan juga makanan ringan seperti roti. Konon ceritanya ada juga peniaga yang merasa kesal apabila pihak tertentu mengarahkan supaya jalan-jalan tertentu ditutup. Penutupan sedemikian bukan mencegah demonstrasi, sebaliknya telah menghalang pelanggan tertentu untuk datang ke kedai peniaga berkenaan. Demikian info yang saya perolehi.




Satu lagi yang ingin saya sentuh ialah peranan media tertentu yang sehingga ke hari ini masih memainkan isu Bersih 3.0 siang dan malam. Apakah perang saraf seumpama ini masih berkesan lagi? Setakat yang saya maklum, kalau di bandar-bandar atau di kawasan yang ada liputan jaringan internet, perang saraf seperti ini rasanya tidak lagi mendatangkan kesan apa-apa pun. Orang ramai mempunyai pelbagai pilihan media lain untuk meneliti pelbagai berita, cerita serta maklumat mengenai Perhimpunan Bersih 3.0 dalam pelbagai bentuk pula.






Dalam hal ini, saya masih ingat suatu ketika dahulu di mana media yang hampir sama telah memainkan kalimat “Tok Ime Barua” (tok imam barua) yang pernah diucapkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Aziz. Bahkan kalimat “barua” yang diucapkan Cuma sekali oleh Tuan Guru Nik Aziz tetapi ia diulang sampai tiga kali oleh media berkaitan. Walau bagaimanapun, ia langsung tidak memberi kesan dan bekas kepada sokongan, dokongan serta persepsi orang ramai terhadap Tuan guru Nik Aziz. Beliau tetap dipandang hormat oleh sebahagian besar masyarakat. Ini kerana mereka amat memahami maksud serta konteks ucapan beliau ketika itu.




Jadi, pada pengamatan saya, bila media yang berkaitan cuba memainkan isu perhimpunan Bersih 3.0 dengan pelbagai komentar, ulasan, pandangan dan seumpamanya, ia tidak memberi bekas bahkan ia semakin memualkan bagi sesetengah orang. Perang saraf seperti ini sudah tidak laku lagi. Jadi harapnya dapatlah tukar sedikit kaedah supaya keberkesanannya lebih terjamin.




Sayugia diingat, saya bukanlah menyokong Perhimpunan Bersih. Sebab itulah setelah tiga kali perhimpunan berkenaan dianjurkan, saya tidak pernah menghadirinya walaupun sekali. Bagi saya, pihak kerajaan tidak boleh memandang sepi begitu sahaja terhadap apa yang disuarakan menerusi Perhimpunan Bersih baru-baru ini. Selaku rakyat tanah air tercinta ini, saya juga sama sekali tidak mahu melihat tanah pusaka tinggalan nenek moyang kita tergadai ke tangan orang lain gara-gara ada segelintir dalam kalangan kita yang sekadar ingin mengekalkan kuasa yang ada.







Saya juga ingin menyuarakan apa yang selama ini saya rasa.


Tuesday, April 17, 2012

Terima Kasih Air Asia

Semalam saya telah ke Langkawi untuk menghadiri satu mesyuarat anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Alhamdulillah segalanya telah berjalan dengan baik dan selamat. Sekitar jam 6.30 petang, saya telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Kalau tak silap, ini merupakan kunjungan kali ke-6 saya ke pulau lagenda ini. Kesemuanya atas tugas rasmi.

Untuk ke Langkawi kali ini, saya telah menggunakan perkhidmatan Air Asia. Kebetulan pula, saya berseorangan sahaja tanpa isteri dan Luqman. Maklumlah menghadiri tugas rasmi dan tidak melibatkan mereka berdua pula.

Kali ini, saya dijadualkan menaiki pesawat AK5336 jam 5.25 petang. Sekitar jam 3.45 saya tiba di LCCT. Biasalah kalau seorang, jadi saya harus menggunakan kemahiran OM yang ada agar pergerakan saya tidak terganggu. Bila saya turun sahaja dari bas, seorang lelaki terus menghulurkan bantuan dan membawa saya ke kaunter Air Asia yang tidak jauh dari tempat bas berhenti tadi. Di kaunter saya langsung tidak menghadapi masalah. Kakitangan yang bertugas segera menghulurkan bantuan. Setelah melihat boding pass yang telah sedia saya print out dari rumah lagi, kakitangan berkenaan terus meminta bantuan dari rakan setugasnya untuk membawa saya masuk ke balai berlepas. Semuanya berjalan dengan sungguh lancar.

Setelah duduk sekitar setengah jam, beberapa orang rakan setugas yang akan turut menghadiri mesyuarat yang sama tiba. Sebenarnya kami tidak pun merancang untuk menaiki pesawat yang sama. Ia berlaku secara kebetulan. Antara rakan yang turut sama tiba ialah Cikgu Noorazlan. Kehadiran beliau semakin memudahkan pergerakan saya. Cikgu Noorazlan memang seorang yang ringan tulang dan mudah untuk menolong. Sejak saya kenali beliau beberapa tahun lalu, begitulah sifat beliau.



Walaupun waktu berlepas sedikit lewat, namun ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada saya. Penerbangan juga lancar sahaja.



Kali ini perkhidmatan yang saya terima dari kakitangan Air Asia sangat memuaskan. Ia berbeza dengan apa yang pernah saya lalui pada 10 Mac tahun lalu ketika ingin menaiki pesawat Air Asia di Kota Bharu. Jadi benarlah apa yang pernah saya simpulkan ketika itu, iaitu pengalaman pahit yang saya alami ketika itu bukan kerana polisi Air Asia, sebaliknya ia berpunca daripada sikap diskriminasi dan prejudis segelintir kecil kakitangannya terhadap orang seperti saya. Keadaan lebih buruk bilamana kakitangan yang pendek akal cuba pula melaksanakan sesuatu perkara secara memandai-mandai.

Di ruang ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada En. Syahril dan En. Boney (kakitangan Air Asia di LCCT). Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada Cik Wani, kakitangan kabin Air Asia yang juga telah melayan saya dengan baik ketika dalam penerbangan. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada rakan setugas yang turut sama membantu saya sehingga saya merasa cukup selesa.

Salam dari Pulau Langkawi.

Monday, April 16, 2012

Seminar Dan Bantuan Alquran Braille

Pada 14 April (Sabtu) yang lalu, saya telah dijemput untuk membentangkan satu kertas kerja dalam satu seminar Alquran Braille anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Seminar telah berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Temerloh. Selain saya, terdapat dua orang lagi pembentang, iaitu Ustaz Khairul Nizam Amad Nawawi daripada JAIP dan juga Ustaz Haji Norakyairee Mohd Ras daripada Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, egeri Sembilan.



Tajuk yang telah diamanahkan kepada saya untuk berkongsi dengan para peserta seminar ialah “Alquran Baille Satu Pengenalan”. Ustaz Khairul Nizam pula membentangkn kertas kerja mengenai kelebihan-kelebihan yang ada pada Alquran. Manakala Ustaz Haji Norakyairee pula membentangkan kertas kerja beliau mengenai metodologi pengajaran Alquran Braille.



Para peserta seminar pula terdiri daripada ahli-ahli PERTIS Pahang. Selain itu terdapat juga beberapa orang pegawai daripada Jaip yang turut sama. Sebilangan ahli keluarga peserta seminar yang berpenglihatan juga turut sama menyertai seminar berkenaan. Pada anggaran saksi mata, sekitar 50 peserta telah menyertai seminar berkenaan.

Bagi saya, seminar telah berjalan dengan baik dan lancar. Layanan daripada pihak penganjur pula mesra dan baik juga. Malahan para pembentang kertas kerja telah pun diberikan sebilik seorang di hotel untuk menginap sehari sebelum hari seminar.



Selain itu, ilmu yang dikongsikan dalam seminar tersebut juga menarik. Umpamanya, Ustaz Khairul Nizam telah mengutarakan banyak kelebihan yang terdapat pada Aquran Alkarim. Beliau juga turut menggalakkan kita semua agar sentiasa akrab dengan Alquran.



Selain itu, Ustaz Haji Norakraiyee juga tidak kurang hebat pengetahuan beliau. Beliau telah mengutarakan beberapa perkara mengenai metodologi pengajaran Alquran Braille. Beliau turut menekankan ahawa setiap guru yang telah menceburi pendidikan khas khususnya yang terlibat secara langsung dalam pengajaran Alquran harus mahir dengan tulisan Alquran Braille. Barulah kemahiran tersebut dapat dimanfaatkan pula kepada murid-murid yang diajar. Saya memang bersetuju sangat dengan pandangan beliau.



Sekitar jam 12.15 tengah hari seminar pun berakhir. Setakat yang saya maklum, kehadiran saya serta yang lainnya adalah untuk seminar berkenaan. Itu sahaja. Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya dimaklumkan bahawa ada upacara perasmian penutup seminar. Bagi saya, itu perkara biasa. Bila saya tanya kepada salah seorang pegawai JAIP, beliau memberitahu Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz, Timbalan Pengarah JAIP akan melaksanakan perasmian penutup. Itu pun tidak langsung menjadi masalah kepada saya.

Tatkala para tetamu VIP masuk ke dewan seminar, salah seorang kakitangan JAIP memberitahu saya nama salah seorang daripada para tetamu VIP yang sedang masuk. Katanya lagi, dalam majlisperasmian penutup nanti akan ada slot pemberian bantuan Alquran Braille. Saya sedikit terkejut. Saya sendiri tidak pernah dimaklumkan bahawa akan ada slot pemberian bantuan Alquran Braille dalam majlis berkenaan. Oleh kerana saya memang amat mengenali nama salah seorang VIP yang baru sahaja dimaklumkan kepada saya, maka saya sudah dapat menduga bahawa bantuan Alquran Braille yang dimaksudkan sudah tentulah daripada cetakan soft copy yang telah diambil secara tidak sah daripada PERTIS. Kalau bantuan Alquran berkenaan datangna daripada PERTIS, sudah tentulah saya telah pun maklum dari awal lagi. Lagi pun, dalam masa terdekat masih belum ada majlis bantuan yang dirancang untuk pemberian Alquran Braille PERTIS Pusat kepada ahli-ahli PERTIS Pahang atas sebab-sebab tertentu.



Berdasarkan atur cara yang saya perolehi sebelumnya, ia juga tidak tertera slot untuk penyampaian Alquran Braille percuma dalam seminar berkenaan. Selain itu, saya juga sempat mendapatkan maklumat daripada AJK PERTIS Pahang yang hadir dan saya dimaklumkan mereka juga tidak tahu-menahu mengenai segmen penyampaian bantuan Alquran Braille berkenaan. Saya belek kembali surat jemputan yang saya terima tempoh hari dan ia juga tiada tertera mengenai acara penyampaian bantuan Alquran Braille berkenaan. Tidak cukup dengan itu, saya bertanya pula kepada salah seorang pembentang kertas kerja dan beliau juga memaklumkan kepada saya bahawa beliau juga tidak tahu-menahu mengenai slot berkenaan.

Oleh kerana saya sudah pun berada dalam majlis berkenaan dan sebagai menghormati pihak penganjur majlis, maka saya memutuskan untuk tidak meninggalkan majlis. Walaupun dalam hati saya sangat tidak redha dengan upacara penyampaian Alquran Braille berkenaan.



Dalam majlis berkenaan sebanyak 5 naskah Alquran Braille telahdisampaikan oleh Datuk Amar Segara Abdul Halim Haji Ibrahim. Penyampaian tersebut atas nama penyumbang dan bukan atas nama pencetak atau organisasi tertentu yang dipimpin oleh sang fulan itu.

Beginilah licin dan liciknya sang fulan berkenaan menyusup dan merayap bagi menyebarkan benda yang terdapat banyak kesalahan di dalamnya. Kelicikannya cukup halus serta penuh putar dan penuh belit. Dia tidak akan melakukannya berseorang diri, melainkan akan menumpang kedudukan orang-orang tertentu yang sudah ada nama dan ada jawatan.



Alquran Braille yang dicetak daripada soft copy yang diambil secara tidak sah daripada simpanan PERTIS, kini diedarkan semula kepada ahli-ahli PERTIS atas nama bantuan oleh individu yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Sebelum ini saya Cuma mendengar khabar dari jauh sahaja. Kali ini ia berlaku di hadapan mata saya selaku Yang di-Pertua PERTIS. Ia cukup memeritkan untuk saya telan. Adakah ahli-ahli PERTIS yang lain dapat memahami apa yang saya rasai? Agaknya bilalah balasan Allah akan turun menimpa kepada manusia yang semacam ini???

Untuk maklumat bersama, pada 27 Oktober 2011 yang lalu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan untuk memulangkan semula berpuluh naskah Alquran Braille curian yang cuba diedarkan kepada masyarakat menerusi JAKIM kepada pihak yang telah mencetaknya menerusi soft copy yang telah diambil secara tidak sah daripada PERTIS. JAKIM tentunya mempunyai alasan yang kukuh untuk memulangkan semula naskah Alquran Braille berkenaan. Tetapi hari ini, naskah Alquran Braille curian itu diedarkan pula di majlis seperti ini. Sudah tentulah pihak yang terkena tempias kebusukannya iaah JAIP yang masih belum faham apa-apa.

PERTIS amat terbuka untuk menerima bantuan daripada sesiapa pun dan dalam bentuk apa sekali pun. Walau bagaimanapun, PERTIS dan ahli-ahlinya sama sekali tidak redha untuk menerima bantuan daripada manusia yang tidak tahu membezakan antara halal dan haram. Apatah lagi kalau barang bantuan itu merupakan hasil yang diambil secara tidak sah daripada persatuan ini sendiri.

Memang sudah menjadi kebiasaan di negara kita, bila sahaja mendengar sumbangan untuk Alquran, apatah lagi kalau Alquran Braille, masyarakat akan begitu teruja untuk menyumbang. Pada masa yang sama, ahli masyarakat kita juga sama sekali tidak pernah terfikir bahawa dalam ratusan ribu orang buta di negara ini, ada juga seorang dua yang suka menipu dan mencuri hak orang lain.

Saya sempat mendapatkan maklumat tertentu daripada seorang dua penerima sumbangan Alquran Braille curian berkenaan. Antara maklumat yang mereka sampaikan, mereka tidak tahu-menahu tentang akan menerima Alquran Braille berkenaan; mereka juga masih belum boleh lagi membaca Alquran Braille; Ada juga yang memberitahu saya, kalau mereka tahu Alquran Braille tersebut bukan daripada PERTIS maka mereka tidak mahu menerimanya. Sebab itulah saya katakan tadi, sang fulan berkenaan mat licin dan licik dalam melaksanakan aktiviti susupan dan rayapannya!

Mengapa Alquran Braille curian tidak layak dibaca, apatah lagi untuk diedarkan? Pertamanya ia dicetak daripada soft copy yang telah diambil secara tidak sah daripada simpanan PERTIS. Beginilah kalau sesebuah organisasi itu pernah dipimpin oleh manusia yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Keduanya, terdapat banyak kesalahan pada cetakan Alquran Braille curian tersebut. Sang fulan berkenaan pernah mendakwa dalam Alquran Braille curian tersebut ada satu kesalahan sahaja. Sedangkan saya sendiri telah menyemak Alquran Braille curian berkenaan berdasarkan naskah yang dicetak oleh organisasinya sendiri dan terdapat sekurang-kurangnya 17 kesalahan. Ini menunjukkan bahawa sang fulan berkenaan memang bodoh tentang Alquran Braille. Yang dia tahu mengambilnya secara tidak sah sahaja!

Dalam mesyuarat agung PERTIS Pahang yang berkebetulan berlangsung semalam (Ahad), beberapa orang ahli turut menyatakan kekesalan mereka dengan slot kononnya penyampaian bantuan Alquran Braille berkenaan. Rata-rata mereka memaklumkan bahawa mereka langsung tidak mengetahuihnya. Salah seorang ahli dengan kuat berkata: “Dia curi kita punya (Alquran Braille), kemudian dia bagi balik pada kita atas nama bantuan”. Walaupun ahli berkenaan tidak berpendidikan tinggi, tetapi dia jujur, ikhlas, tidak menipu dan juga tidak mencuri.



Saya sama sekali tidak menyalahkan JAIP atau mana-mana pegawainya atas insiden yang telah berlaku. Saya faham, mereka memang tidak mengetahui langsung. Bahkan saya dapat rasakan betapa ikhlasnya mereka untuk membantu PERTIS. Sayang seribu kali sayang, dalam kebaikan dan keikhlasan mereka rupa-rupanya ada orang tertentu yang dengan licik dan licinnya telah mengambil kesempatan.

Saya amat simpati dan kasihan kepada individu tertentu, golongan berjawatan dan berkedudukan tertentu, agensi dan jabatan kerajaan tertentu, badan korporat tertentu, kerana keikhlasan mereka untuk membantu orang buta telah dimanipulasi dan dieksploitasi orang buta tertentu yang berpendidikan dan bergelaran.

Saya tinggalkan majlis berkenaan dengan seribu satu kepahitan!

Sunday, April 15, 2012

Menghadiri Mesyuarat Agung PERTIS Pahang




Pagi tadi, saya berkesempatan untuk menghadiri mesyuarat agung Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Pahang. Mesyuarat telah berlangsung di pejabat PERTIS Pahang di mentakab. Mesyuarat kali ke-17 PERTIS Pahang kali ini telah dirasmikan oleh Ustaz Mohd Azmi daripada pejabat Majlis Ugama Islam Pahang Cawangan Temerloh bagi mewakili Timbalan Yang Di-Pertua MUIP.

Mesyuarat telah berlangsung dalam keadaan yang sangat baik dan ceria. Terdapat sedikit kelainan dalam mesyuarat kali ini. Kelainan yang saya maksudkan ialah tatkala proses cadangan untuk memilih barisan AJK yang baru, tolak-menolak tidak berlaku dengan begitu hebat sebagaimana dalam mesyuarat agung yang lepas-lepas. Tolak-menolak yang saya maksudkan ialah apabila nama seseorang ahli dicadangkan untuk satu-satu jawatan, mereka akan menolaknya. Berdasarkan pengalaman saya dengan PERTIS Pahang beberapa tahun, situasi tolak-menolak seperti ini memang kerap dan bila ianya berlaku ia akan berpanjangan. Adakalanya untuk satu-satu jawatan ia akan memakan masa yang lama untuk diselesaikan gara-gara para ahli PERTIS Pahang seakan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Alhamdulillah kali ini mesyuarat telah berlangsung sekitar 2 jam setengah sahaja. Masa yang lama diambil hanya untuk membacakan minit dan laporan kepada para ahli. Maklumlah rata-rata mereka masih tidak mahir dengan Braille. Justeru bagi memenuhi keperluan, kaedah membacakan minit dan laporan dalammesyuarat terpaksa digunakan bagi membolehkan para ahli akses kepada minit mesyuarat dan juga laporan aktiviti tahunan serta laporanan kewangan.

Di sini, saya tidak lupa utuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khususnya kepada para sukarelawan yang telah bekerja keras untuk melancarkan perjalanan mesyuarat siang tadi Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada Pn. Siti Fatimah Osman (Kak Jah) yang merupakan petugas di pejabat PERTIS Pahang kerana tidak jemu-jemu membacakan pelbagai dokumen kepada para ahli PERTIS Pahang tatkala mesyuarat berlangsung.

Kepada barisan AJK baru PERTIS Pahang, saya ucapkan tahniah dan selamat bertugas.

Saturday, April 7, 2012

Takziah Kepada Nur Farhana

Tengah hari tadi, sewaktu saya sedang menghadiri satu majlis, saya telah menerima berita bahawa anak yang sedang dikandung oleh Nurfarhana telah meninggal dunia dalam kandungan. Untuk pengetahuan bersama, Nurfarhana Kanagi Abdullah merupakan ahli biasa Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Beliau juga pernah menganggotai Jawatankuasa Pusat PERTIS sehingga tahun 2011.

Berita yang saya terima tengah hari tadi agak mengejutkan kerana saya sendiri tidak tahu bahawa beliau sedang hamil. Untuk maklumat bersama, ini merupakan kali kedua beliau menerima nasib serupa, iaitu anak meninggal dalam kandungan.

Saya sempat menghubungi beliau selepas solat maghrib tadi. Beliau memberitahu saya, anaknya yang telah disahkan meninggal dunia itu akan dikeluarkan esok.



Kepada Nurfarhana dan suami, bersabarlah dan redhalah menerima ketentuan Ilahi.

Kepada semua, janganlah kita memandai-mandai pula membuat jeneralisasi bahawa orang buta tak boleh hamil hanya kerana anak Farhana meninggal dunia dalam kandungan!!! Maklumah sifat prejudis dan prasangka terhadap golongan OKU masih menebal dalam kalangan masyarakat kita???

Inisiatif Yang Mesti Disokong

Baru-baru ini, saya ada menulis menerusi blog ini mengenai pengalaman tawar saya berkenaan kesukaran golongan seperti saya untuk menggunakan kad ATM di sebuah bank. Kad ATM yang saya miliki kini telah dikeluarkan oleh cawangan lain tetapi ia telah cuba dinafikan pula oleh cawangan yang lain dari bank yang sama. Maknanya, tiada keseragaman polisi berhubung perkara ini oleh bank yang sama. Dengan erti kata lain, sama ada boleh atau sebaliknya bagi golongan seperti saya menggunakan kad ATM ditentukan oleh sikap memandai-mandai kakitangan tertentu di bank yang berkaitan.

Semalam, satu email yang ada sedikit sebanyak kaitan dengan pengalaman saya minggu lepas telah masuk ke peti email saya. Email tersebut datangnya daripada sahabat saya juga, iaitu Saudara Loh Kong Ken. Di bawah ini, saya perturunkan semula kandungan email beliau seperti berikut:


Hi all,

SBM is working together with NCBM to collect details from BVIs whose application for ATM card with CIMB was rejected.

Kindly email me your full name, date of application and the branch involve at:
https://mail.google.com/mail/h/lms1sgjzgsar/?&v=b&cs=wh&to=lohkk@help.edu.my

NCBM and SBM will be having a close door meeting with the decision makers of CIMB tentatively on 18/04/12. Hence, I need your cooperation in giving us the required details before the said date.

Yes, the BVIs in Malaysia is not only having problems with CIMB but all the banks in Malaysia. We will tackle 1 bank at a time.

Currently, all the organizations under NCBM has authorized NCBM to meet up with Bank Negara and the Association of Bank Owners to settle these issues.

Below is the appeal from the Head of CARE (Centre for Advocacy, Research and Empowerment) unit of NCBM:

Dear all,

Let's us focus in resolving the basic ATM card issues first. All the other credit cards(pls note credit cards have different application T & C, eligibility criteria) and debit cards, I believe, will be resolved accordingly once the basic essential ATM cards, a long outstanding issue, is resolved. for any individual with a bank savings account, he or she has every right and is entitled to apply for and be given the ATM card for the right and convenience to access one's own money via any of the bank ATM kiosks.


There will be, soon, an important meeting/dialogue with senior CIMB bank HQ officials about VBIs banking issues and challenges. Please do let me have your personal `bad' experiences, for example, ATM card rejections, branch name and dates, etc. Email me offline if you prefer privacy.
Rgds/Yam TW

With warmest regards

Loh (K.K.)



Sayugia saya jelaskan di sini, saya sama sekali tidak pernah mendakwa bahawa email atau kandungannya seperti di atas dihantar hanya kerana semata-mata tulisan pengalaman saya menerusi blog ini baru-baru ini. Ia mungkin timbul daripada pengalaman yang sama yang turut pernah dilalui oleh rakan-rakan senasib yang lain. Saya harus tegaskan hal ini supaya jangan dikatakan orang di kemudian hari kononnya saya hendak menjadi jauara pula!

Berbalik kepada topik tulisan ini, berdasarkan kepada kandungan email seperti di atas, maka tindakan yang akan dilaksanakan oleh SBM dan NCBM amat tepat dan amat wajar. Saya juga bersetuju bahawa isu pokok iaitu yang berkaitan dengan kad ATM harus diberikan keutamaan. Ini adalah kemampuan golongan yang cacat penglihatan untuk mengguna dan menguruskan kad ATM masing-masing sepatutnya tidak harus dipertikaikan lagi. Rekod menunjukkan bahawa tahap penjagaan dan pengurusan kad ATM oleh pengguna yang cacat penglihatan tiada cacat celanya. Saya sendiri sudah lebih daripada 21 tahun menggunakan kad ATM Bank Simpanan Nasional (BSN) dan setakat ini alhamdulillah tiada sebarang masalah langsung. Saya sebutkan nama BSN di sini kerana ia merupakan institusi kewangan yang tiada masalah untuk membenarkan golongan yang cacat penglihatan untuk menggunakan kad ATM.

Di sini, suka saya tegaskan bahawa sikap diskriminasi serta prejudis seperti di atas berlaku di hampir kesemua bank di negara kita. Jadi, sudah tiba masanya Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan garis panduan yang jelas, tanpa diskriminasi dan tanpa prejudis bagi membolehkan golongan cacat penglihatan menikmati kemajuan teknologi hari ini.

Bagi saya, masalah penggunaan kad ATM dalam kalangan golongan cacat penglihatan berbangkit bukan kerana kecacatan penglihatan golongan berkenaan. Sebaliknya masalah tersebut ditimbulkan oleh sikap diskriminasi dan prejudis yang sangat tebal yang menyelaputi hati sanubari sebilangan ahli masyarakat kita yang berpenglihatan terhadap golongan yang tidak berpenglihatan. Jika trek rekod membuktikan penggunaan kad ATM dalam kalangan mereka yang tidak berpenglihatan tidak ada masalah, mengapa sesetengah kakitangan bank tertentu yang memandai-mandai mendakwa penggunaan kad tersebut bermasalah kepada golongan yang tidak berpenglihatan?

Di sini, pujian harus diberikan kepada SBM dan NCBM kerana tindakan proaktif kedua-dua NGO berkenaan bagi merongkai permasalahan yang menyelubungi golongan cacat penglihatan. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Saudara Loh Kong Ken kerana beliau juga turut aktif dalam usaha untuk menyelesaikan isu ini. Pada pemerhatian saya, Saudara Loh Kong Ken merupakan seorang yang low profile tetapi rajin bekerja untuk manfaat golongan yang cacat penglihatan.

Saya berharap semoga golongan cacat penglihatan yang lain juga seharusnya memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada usaha di atas. Bagi saya, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama kongsikan Pengalaman pahit dan tawar yang pernah kita lalui sebagai penjelasan betapa tebalnya sikap prejudis dan diskriminasi sesetengah ahli masyarakat kita yang berpenglihatan terhadap golongan seperti kita. Ingat pepatah orang tua-tua, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Dalam menangani isu yang sama, saya juga berharap semoga mana-mana golongan cacat penglihatan yang berhasrat untuk bertanding di mana-mana kerusi dalam PRU yang akan datang, atau mana-mana golongan cacat penglihatan yang sudah lama menyimpan niat untuk menjadi ahli salah satu dewan dalam parlimen tanpa melalui pilihanraya, agar turut sama ke hadapan demi membuktikan bahawa anda benar-benar boleh dipercayai untuk mewakili suara golongan yang cacat penglihatan. Bukankah ini merupakan isu bersama? Inilah masa dan ruangnya untuk anda menunjukkan juara anda!

Kepada SBM, NCBM dan Saudara Loh Kong Ken, saya ucapkan selamat berjaya dalam usaha anda. Marilah kita bersama-sama menghapuskan sikap prejudis dan diskriminasi terhadap golongan seperti kita!