Wednesday, May 2, 2012

Pak Yob Dan Aziz

Pada 1 Mei lalu, iaitu sebaik sahaja selesai mesyuarat agung Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Negeri Sembilan, saya serta beberapa orang rakan yang lain telah menziarahi En.Ayob bin Endot atau lebih mesra dengan panggilan Pak Yob di rumahnya yang terletak tidak begitu jauh dari pejabat PERTIS Negeri Sembilan di Seremban. Antara rakan-rakan lain yang turut serta termasuklah En. Muhammad Nasir (NYDP PERTIS), E. Hairie Aris (Pengerusi PERTIS Negeri Sembilan), En. Khairul Azwan Wahab (Setiausaha PERTIS Negeri Sembilan), En. Abdullah Abu Bakar (Bendahari PERTIS Negeri Sembilan), Cikgu Wan Suhaimi, En. Ali Shafudin dan lainnya. Tujuan kami ialah untuk menziarahi Pak Yob yang kini sedang terlantar di rumahnya. Baru-baru ini, akibat penyakit kencing manis, sebelah kaki Pak Yob terpaksa dipotong hingga atas sedikit daripada lutut.



Kehadiran kami disambut mesra oleh ahli keluarga Pak Yob. Manakala Pak Yob sendiri, daripada getar suaranya memang gembira dengan kehadiran kami. Pada masa ini, Pak Yob dijaga dengan baik oleh isteri serta ahli keluarganya yang lain. Tatkala En. Abdullah bersalaman dengan beliau serta mengusap rambutnya, Pak Yob sebak dan mengalirkan air mata. Maklumlah Pak Yob dan En. Abdullah memang mesra. Kami juga turut diberitahu oleh isterinya, sebelu ini pun ramai juga rakan-rakan Pak Yob yang telah datang menziarahi Pak Yob terutamanya semasa Pak Yob di hospital.



Pak Yob merupakan ahli PERTIS yang aktif dan merupakan orang yang sering menceriakan suasana dalam apa jua aktiviti khususnya anjuran PERTIS. Kali terakhir saya bertemu dengan Pak Yob sebelum ini ialah di Pusat Dakwah, Paroi, iaitu ketika saya menghadiri bengkel Alquran Braille anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan pada awal Jun 2011 yang lalu. Pak Yob juga merupakan pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Negeri Sembilan. Kalau Tuan Haji Nazari ke Seremban, jangan lupa untuk menjengah Pak Yob sekali.



Kini Pak Yob harus menerika hakikat iaitu di samping penglihatannya yang sememangnya sudah hilang, sekarang sebelah kakinya pula telah tiada. Saya sendiri tidak dapat bayangkan betapa sukarnya untuk meneruskan hidup dalam keadaan sedemikian. Namun itulah hakikat dan realiti yang terpaksa ditempuh oleh Pak Yob. Setelah sekitar 10 minit, kami pun meninggalkan rumah Pak Yob untuk kembali ke tempat masing-masing.



Manakala pada 22 April lalu, saya juga telah berkesempatan untuk menziarahi seorang lagi rakan yang juga ahli PERTIS, iaitu Saudara Aziz Syarif di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Beliau juga turut kehilangan sebelah kakinya iaitu di bawah paras lutut juga akibat penyakit kencing manis.



Aziz merupakan seorang yang periang seolah-olah tiada apa yang menimpa dirinya, tetapi dalam hatinya hanya Allah sahaja yang lebih mengetahuinya. Sewaktu saya menziarahi beliau, Aziz sentiasa tertawa dan berjenaka sama seperti beliau masih sihat suatu ketika dahulu. Semasa saya tiba di sisi katilnya,Aziz terus berkata (berseloroh): “Kaki aku dah kena tebaslah!” kemudian dia tertawa.



Saya sempat bertanya kepada Aziz di mana beliau akan tinggal bila keluar hospital nanti. Dengan selamba Aziz menjawab, di rumah lamanya. Terfikir juga dalam minda saya, bagaimanakah dia akan meneruskan hidupnya dalam keadaan tanpa penglihatan dan kini tanpa sebelah kaki pula. Namun begitu, berbekalkan semangat yang masih kental, Aziz yakin beliau masih mampu untuk meneruskan hidupnya dalam keadaannya sekarang.



Kepada rakan-rakan lain, marilah kita menghulurkan apa jua bentuk sokongan dan bantuan kepada kedua-dua rakan kita di atas. Mudah-mudahan dengan sokongan serta bantuan yang kita hulurkan, ia sedikit sebanyak akan dapat meringankan penderitaan yang sedang mereka tanggung. Walaupun mereka masih mampu untuk tersenyum dan tertawa, tetapi penderitaan batin yang mereka sedang tanggung tiada siapa yang dapat merasainya.

Kepada Pak Yob dan Aziz pula, banyak-banyaklah bersabar di atas ujian yang sedang diturunkan ke atas anda berdua. Sesungguhnya sabar itu adalah ubat segala bentuk penderitaan. Insha-Allah saya serta rakan-rakan yang lain sentiasa berdoa semoga anda berdua akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah hendaknya.

No comments: