Friday, August 10, 2012

Tahniah Kepada Cikgu Mohd Jais

Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Cikgu Mohd Jais kerana pada awal pagi tadi beliau telah dikurniakan seorang cahaya mata lagi. Anaknya yang keempat ini juga seorang perempuan. Menurut SMS daripada Cikgu Jais kepada saya, anaknya lahir pada jam 1.40 awal pagi tadi. Manakala beratnya pula 3.2 KG.

Nampaknya Cikgu Jais akan bercuti khas selama 7 hari berikutnya.

Thursday, August 9, 2012

Hampir Terkena Lagi

Sejak tengah hari tadi, saya telah menerima panggilan telefon daripada salah seorang pegawai yang bertugas di pejabat orang besar negara di Putrajaya. Pegawai berkenaan memaklumkan bahawa saya selaku Yang Di-Pertua dan beberapa orang ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia dijemput untuk menghadiri majlis khatam Alquran dan berbuka puasa di rumah besar orang besar di Putrajaya. Pada dasarnya saya bersetuju untuk menerima jemputan berkenaan. Maklumlah Walaupun PERTIS hanyalah sebuah organisasi yang masih berstatus ikan bilis, ia sudah mula dikenali oleh orang besar yang bermastautin di Putrajaya. Kalau pun bukan tuan badan orang besar berkenaan yang betul-betul kenal dengan PERTIS, cukuplah setakat ini bila PERTIS sudah mula dikenali oleh para pegawai orang besar berkenaan.

Walau bagaimanapun, kemysykilan di hati saya mula timbul bilamana saya dimaklumkan bahawa antara acara dalam majlis itu nanti ialah penyerahan naskah Alquran Braille kepada PERTIS. Buat apa mereka hendak serahkan Alquran Braille kepada PERTIS, sedangkan PERTIS sendiri adalah pengeluar dan pencetak Alquran Braille? Persoalan yang lebih besar ialah, dari mana pihak-pihak yang berkenaan memperoleh Alquran Braille berkenaan yang seterusnya akan diserahkan kepada ahli-ahli PERTIS? Saya juga turut difahamkan bahawa pihak-pihak yang berkenaan ada lebih kurang 120 naskah Alquran Braille yang akan diserahkan untuk kegunaan ahli-ahliPERTIS. Banyaknya! Dari mana Alquran Braille itu mereka perolehi?

Bertitik tolak daripada pelbagai kemusykilan di atas, maka saya telah menghubungi semula pegawai khas berkenaan. Setelah mendapat penerangan terperinci, barulah saya faham. Rupa-rupanya naskah-naskah Alquran Braille berkenaan telah mereka perolehi daripada ******************** iaitu pihak yang telah mencuri soft copy Alquran Braille daripada simpanan PERTIS suatu ketika dahulu.

Pegawai khas berkenaan memberitahu saya bahawa kesalahan yang terdapat dalam Alquran Braille berkenaan telah pun dibaiki. Betul ke begitu? Pihak yang berkenaan benar-benar pasti ke di mana salahnya, apa kesalahannya dan berapa jumlah keseluruhan kesalahannya? Saya dengan tegas memberitahu kepada pegawai khas berkenaan bahawa PERTIS dan para ahlinya tidak memerlukan jenis Alquran Braille yang sedemikian. Seterusnya saya juga tegaskan, sekiranya jenis Alquran Braille yang berkenaan terlibat, maka saya dan PERTIS sama sekali tidak akan menghadirinya.

Sudah tentulah sikap tegas saya ini menimbulkan peertanyaan dan kemusykilan kepada pegawai khas tadi. Manakan tidak, orang hendak beri bantuan tetapi saya menolaknya. Walau bagaimanapun, bukanlah menjadi tabiat saya untuk “menelanjangkan” mana-mana individu, apatah bersempena dengan bulan Ramadhan ini. Saya sekadar memberitahu pegawai khas berkenaan, jika naskah Alquran Braille berkenaan yang akan disumbangkan, pastilah saya dan PERTIS tidak akan menghadirinya.

Walau bagaimanapun, sehingga jam 6.21petang, pegawai khas berkenaan masih menghubungi saya dan bersungguh-sungguh benar nampaknya dia memujuk saya supaya hadir juga ke majlis berkenaan dan seterusnya terlibat dengan acara penyampaian bantuan naskah Alquran Braille berkenaan. Pada masa yang sama, saya tetap bertegas, selagi naskah Aquran Braille yang itu yang akan disumbangkan, demi Allah saya tidak akan menghadirinya. Sudah tentulah peristiwa yang berlaku pada 14 April 2012 (Sabtu) di Hotel Seri Malaysia, Temerloh, masih segar dalam ingatan dan kenangan pahit saya. Apakah saya ingin pisang berbuah untuk kali keduanya?

Pada masa yang sama juga, saya tidak mahu mengecilkan hati mana-mana pihak yang tidak terlibat dan masih tidak tahu apa-apa lagi mengenai hal ini. Pegawai khas berkenaan berjanji akan mencari formla terbaik supaya saya dan jemputan daripada PERTIS akan dapat hadir juga ke majlis berkenaan yang dijangka akan diadakan pada petang Ahad ini.

Sama-samalah kita tunggu esok.

Wednesday, August 8, 2012

Semangat Patriotik Atau Semangat Politik

Pada hemat saya, kalau hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini (2012) adalah yang paling hambar dan paling tidak bermakna sekali. Manakan tidak, bulan kemerdekaan tahun ini yang sepatutnya diwarnai dengan semangat patriotik yang tinggi oleh semua rakyat tanpa mengira apa dan siapa, sekonyong-konyong ia telah dicemari dengan semangat berpolitik yang keterlaluan dan berlebih-lebihan. Mental, otak dan akal sebahagian orang politik di negara ini nampaknya semakin gawat dan ganyut. Ada juga yang seinci sahaja lagi akan menjadi gila. Mereka berpolitik tanpa mengira masa lagi. Bila tidur mimpi politik. Bila keluar air liur basi pun berbau politik. Bila mengigau merepek fasal politik. Demikianlah.

Seingat saya, semangat patriotik yang tercemar dek politik yang keterlaluan bukanlah satu perkara asing. Ia telah pun bertunas dan bertunjang sejak beberapa tahun yang lalu. Sebagai contoh, pernah berlaku di mana sebuah kerajaan negeri menganjurkan perhimpunan kemerdekaan peringkat negeri, tetapi oleh kerana kerajaan negeri berkenaan diterajui oleh parti siasah yang berbeza, maka parti siasah yang lain telah menganjurkan perhimpunan kemerdekaan yang berasingan. Namun demikian, ia masih kurang mendapat perhatian daripada sebilangan rakyat mungkin kerana ia dianggap perkara kecil. Lagi pun, waktu itu walaupun perhimpunan berasingan dianjurkan, semua pihak masih lagi berpayung di bawah satu tema yang sama.

Apabila situasi di atas tidak dikawal, maka yang sedepa mula jadi sejengkal. Semangat berpuak dan berpolitik mula merentasi semangat patriotisme. Orang politik terutamanya mula kabur antara politik dengan patriotik. Mereka tidak lagi berpegang kepada prinsip “Kesetiaan kepada raja dan negara”. Sebaliknya apa yang mereka pentingkan ialah “Kesetiaan kepada parti dan ideologi”.

Hasilnya, pada tahun ini, kelunturan dan kerapuhan semangat patriotik semakin nyata bilamana rakyat negara ini tidak lagi boleh bersatu di bawah satu tema kemerdekaan yang sama. Kegawatan semangat patriotisme dalam kalangan kita semakin luntur dan tercemar apabila muncul beberapa tema untuk sambutan kemerdekaan tahun ini. Tidakkah situasi sebegini gawat, ganyut dan gila namanya?

Sepatutnya, semasa kita berada di ambang tarikh kemerdekaan, maka semakin kuatlah semangat patriotik sekalian kita. Masa inilah kita tunjukkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan kita tanpa ada apa jua perbezaan. Pada waktu inilah kita harus mengenepikan segala perbezaan politik dan digantikan dengan semangat dan jiwa patriotik yang tulen dan jitu. Pada masa inilah juga kita harus ketepikan sebarang semangat politik kepartian dan digantikan dengan semangat cinta dan setia pada raja dan negara. Adakah situasi yang ada kini menjurus ke arah itu?

Bagi saya, sebahagian orang politik di negara ini bukan sahaja tidak lagi matang, bahkan pada masa yang sama mereka telah menunjukkan taladan yang kurang elok khususnya kepada generasi remaja kita. Sebahagian mereka bukan lagi merupakan pemimpin yang boleh diteladani. Mereka sedang mempamirkan semangat mementingkan siasah kepartian yang berlebih-lebihan yang telah mengatasi semangat patriotisme itu sendiri.

Kalau kita benar-benar mengutamakan negara, apabila kita mengemukakan sesuatu tema, ia sepatutnya hendaklah terhindar daripada berbau politik. Jika berlaku demikian, maka sudah tentulah ia akan menerima respon dan reaksi daripada pihak-pihak yang lain pula. Lihatlah apa yang sedang terjadi kini. Oleh kerana tema yang berbunyi “Janji Ditepati” dikatakan berunsurkan politik, maka sebagai respon daripada itu, parti siasah yang lain telah mengemukakan tema yang lain pula. Tidakkah situasi sebegini telah mencalarkan semangat patriotik dalam kalangan sesama kita?

Gara-gara berpolitik yang keterlaluan dan tanpa mengira masa seperti ini, sebenarnya kita dan tanah air tercinta ini sedang merasai kesan bak sang anai-anai yang sedang meruntuhkan sebuah bangunan. Akhirnya nanti, walaupun bangunan berkenaan nampak utuh dan kukuh, tetapi oleh kerana ia sudah teruk dimamah sang anai-anai tadi, maka dengan sekali jentik sahaja bangunan berkenaan akan berderai menyembah bumi. Sekiranya kita tidak insaf dan sedar, maka hal sedemikianlah yang akan menimpa bangsa dan negara kita suatu hari nanti. Tunggu sahajalah!

Rakyat marhaen macam saya disuruhnya supaya bersatu padu, tetapi puak yang melaungkan suruhan sedemikian pula bercakaran sesama mereka. Ia tak ubah umpama ketam mengajar anaknya supaya berjalan lurus. Tidakkah ini gawat, ganyut dan gila namanya?

Rasanya tidak keterlaluan kalau saya katakan, sebahagian orang politik di negara ini lebih sayangkan parti siasah yang mereka dokongi daripada kesetiaan kepada raja dan negara sendiri. Maka itulah kita sendiri sama-sama dapat saksikan kebanyakan tindak-tanduk orang politik mutakhir ini lebih memberikan keutamaan kepada cita-cita serta kepentingan kumpulan siasah mereka daripada kepentingan agama, bangsa dan negara. Agaknya dalam otak benak mereka tak ada sekelumit pun hasrat dan niat untuk menumpahkan taat dan setia kepada negara tercinta ini. Kalau ada pun ia harus mengikut gaya dan acuan mereka sahaja. Agaknya mereka tidak boleh terima kalau ada cara dan acuan lain kerana ia dianggap boleh menghalang cita-cita politik mereka. Demikianlah haru-birunya sebahagian orang politik kita masa kini. Keadaan kian gawat apabila ada di antara mereka yang langsung tidak boleh menerima pendapat dan pandangan orang lain. Mereka anggap mereka sahaja yang betul. Inilah yang dikatakan orang, cerdik tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar.

Saya ingin mencadangkan agar tema kemerdekaan tahun ini ialah Raja Ditaati, Negara Dilindungi.Ia amat bertepatan dengan prinsip kedua Rukun Negara kita iaitu, Kesetiaan kepada raja dan negara. Kalau orang lain tidak mahu guna, biarlah saya seorang sahaja yang menggunakan tema ini. Saya tidak mahu ikut sama gawat, ganyut dan gila macam mereka itu.

Tuesday, August 7, 2012

Berita Petang

Chan Chen Meninggal Dunia

Sebentar tadi, saya menerima maklumat bahawa salah seorang rakan cacat penglihatan, Saudara Chan Chen telah meninggal dunia. Menurut sumber berita yang saya terima, beliau telah meninggal dunia semalam. Manakala punca kematiannya masih belum diketahui dengan pasti. Sehingga kini, saya sendiri tidak dapat maklumat lanjut mengenai kematian beliau. Kepada keluarga beliau, takziah saya ucapkan.

Sunday, August 5, 2012

Majlis Iftar Ramadhan PERTIS Tajaan BUK MARA

Petang tadi, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah menganjurkan majlis iftar Ramadhan. Sayugia dinyatakan bahawa majlis berkenaan telah ditaja sepenuhnya oleh Badan Ugama Dan Kebajikan (BUK) MARA. Majlis telah berlangsung di Dewan Datuk Dr. Ismail Salleh, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lupur. Sselaku Yang Di-Pertua (YDP) PERTIS, saya turut hadir di majlis berkenaan. Manakala perwakilan daripada Buk MARA diketuai sendiri oleh YDP-nya, Ustaz Abdullah Samsuddin.

Majlis berkenaan telah dimulakan dengan acara ceramah yang telah dilaksanakan sejurus selepas solat asar. Ia diikuti dengan upacara perasmian yang telah berlangsung sejurus tamatnya ceramah.

Upacara perasmian telah diisi dengan ucapan saya selaku YDP PERTIS serta ucapan perasmian oleh Ustaz Abdullah Samsuddin sendiri. Selain itu ia juga turut diisi dengan bacaan ayat-ayat suci Alquran Alkarim oleh Cik Norhidayu Yusuf.









Selain itu, dalam upacara perasmian juga, sumbangan tertentu juga turut disampaikan oleh BUK MARA kepada ahli-ahli PERTIS yang terpilih. Harapnya bagi mereka yang tidak terpilih kali ini, jangan pula berkecil hati.





Untuk pengetahuan bersama, ini merupakan kali pertama BUK MARA menaja majlis berbuka puasa untuk PERTIS. Mudah-mudahan ia akan berterusan untuk tahun-tahun yang akan datang. Selain itu, melalui perbualan saya bersama dengan YDP BUK MARA, kami juga turut bersetuju untuk mengadakan kerjasama antara PERTIS dan BUK MARA dalam bentuk dan kegiatan lain yang difikirkan sesuai.

Antara pengisian lain dalam majlis berbuka puasa kali ini termasuklah jamuan berbuka dan moreh, solat berjemaah maghrib, isya serta solat sunat tarawih dan witir. Manakala penyertaan daripada para ahli PERTIS juga agak baik.





Di sini, saya tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada BUK MARA di atas kesudiannya menaja sepenuhnya majlis berbuka puasa hari ini khusus untuk para ahli PERTIS. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Saudara Ahmad Shamsuri dan juga kepada En. Zamzuri Ghani (Naib Yang Di-Pertua PERTIS) yang telah membuka jalan dan laluan untuk penganjuran serta penajaan majlis iftar petang tadi. Tahniah dan terima kasih juga saya tujukan kepada Biro Tugas-tugas Khas PERTIS yang dipengerusikan oleh En. Abu Hassan Asyari yang telah berjaya menganjurkan majlis dengan baik.



Sebagaimana biasa, besarlah harapan saya semoga hubungan yang sudah mula terjalin akan berterusan sampai bila-bila demi kebaikan dan manfaat kedua-dua belah pihak, insha-allah.

Saturday, August 4, 2012

Majlis Iftar Ramadhan Di SMPK Setapak

Petang tadi, saya sekeluarga berkesempatan untuk menghadiri majlis iftar (beruka puasa) bersempena bulan Ramadhan di SMPK Setapak. Majlis telah diadakan di dalam kawasan sekolah. Apa yang istimewanya, majlis ini telah ditaja oleh Koperasi Celcom Bhd. Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Koperasi Celcom Bhd menaja majlis iftar Ramadhan di SMPK Setapak.



Majlis ini turut melibatkan seluruh murid SMPK Setapak. Selain itu, warga sekolah yang lain seperti para guru serta kakitangan sokongan dan ahli keluarga masing-masing turut sama memeriahkan majlis berkenaan. Tuan Pengetua, En. Jalaluddin Yusof juga tidak ketinggalan hadir sama dalam majlis tersebut.



Sementara itu, En. Mohd Mudasir Abdullah selaku Pengerusi Koperasi Celcom Bhd, ahli lembaga pengarah koperasi serta beberapa orang kakitangan koperasi turut sama hadir bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan.





Antara pengisian majlis termasuklah ceramah bersempena Ramadhan yang berlangsung sebelum waktu berbuka, solat maghrib, solat isya serta solat sunat tarawih secara berjemaah. Jamuan berbuka dan moreh turut disediakan oleh pihak penaja.



Secara keseluruhannya, jumlah kehadiran cukup memberangsangkan. Pada hemat saya, penganjuran majlis berbuka puasa pada tahun ini lebih baik jika dibandingkan pada tahun lepas. Ini diakui sendiri oleh En. Mohd Mudasir, Pengerusi Koperasi Celcom Bhd.



Kepada pihak Koperasi Celcom Bhd, saya secara peribadi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana sudi menaja majlis seumpama ini untuk kali kedua berturut-turut. Menurut En. Mudasir, jika segalanya berjalan baik, insha-Allah pada tahun hadapan aktiviti yang baik sebegini akan diteruskan. Selain itu, saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn Junaida, salah seorang kakitangan Koperasi Celcom Bhd yang berusaha keras bagi memastian majlis iftar hari ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Selain itu, saya juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada En. Kamri Kamaruddin kerana beliau sebenarnya orang yang telah membuka jalan untuk Koperasi Celcom menaja majlis iftar hari ini. Hal yang serupa juga telah beliau lakukan pada tahun lepas. Namun demikian, sepertimana pada tahun lepas, dalam majlis iftar tadi En. Kamri tidak hadir.



Kepada seluruh warga Koperasi Celcom Bhd dan tidak ketinggalan En. Kamri, kami sentiasa berdoa semoga kebaikan yang kalian lakukan akan mendapat balasan yang sebaiknya daripada Allah dunia dan akhirat, aamiin.

Friday, August 3, 2012

Sembang Petang

Dilema Penjaja Tisu Cacat Penglihatan

(Tulisan ini telah dikemas kini pada jam 6 pagi, 4 Ogos).

Sejak sehari dua ini, isu mengenai penjaja tisu cacat penglihatan kena tangkap oleh pihak berkuasa nampaknya sedikit hangat. Di Kota Bharu, sepasang suami isteri cacat penglihatan telah diberkas oleh pihak berkuasa kerana dikatakan terlibat dengan aktiviti menjaja tisu yang turut dikategorikan sebagai kegiatan mengemis. Hal yang serupa juga berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan ia berlaku pada masa yang hampir sama. Agaknya ini yang dikatakan sebagai tindakan bersepadu? Apa yang menariknya, pihak yang berkenaan sempat juga melihat akaun pasangan yang sempat diberkas di Kota Bharu. Sebab itu jumlah simpanan pasangan tersebut tersebar ke seantero alam. Ramai yang tahu berapa simpanan si pengemis buta berkenaan. Walau bagaimanapun, gaji sebulan orang kabinet jauh lebih tinggi daripada jumlah simpanan tersebut?

Dalam isu penjaja tisu buta ini, saya sering tertanya sendirian. Mengapa golongan penjaja tisu buta ini sering dianggap sebagai pengemis? Mengapa penjual CD haram juga tidak dikategorikan sebagai pegemis juga? Adakah kerana CD lebih mahal harganya daripada tisu maka kegiatannya tidak dikategorikan sebagai pengemis? Adakah kerana yang terlibat dengan penjajaan tisu ini buta matanya maka mereka dengan mudah dikategorikan sebagai pengemis? Adakah kerana penjual CD haram ini celik matanya maka mereka tidak boleh dikategorikan sebagai pengemis? Pihak-pihak yang berkenaan tahu ke apa itu CD haram? Antara persamaan penjaja tisu dengan penjual CD haram ini ialah kedua-duanya akan beroperasi di tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, warung atau restoran. Setakat yang saya tahu, tidak ada istilah tisu haram. Maknanya tisu yang dijual itu halal. Jadi, mengapa yang haram itu terlepas tetapi yang halal itu diberkas?

Satu hal lagi, ada rakan-rakan memberitahu saya, adapun penjual tisu halal ini sering kena tangkap kerana mereka tak dapat lari ke mana pun bila diberkas oleh pihak yang berkuasa. Maklumlah buta, mana nak lari, apatah lagi kalau dia berada di persekitaran yang dia kurang biasa. Makin senanglah tugas pihak berkenaan. Manakala golongan penjual CD haram ini pula oleh kerana celik matanya maka mereka dengan mudah boleh lari bila cuba diberkas oleh pihak yang berkuasa. Makanya, hendak senang kerja, tangkap saja yang tak boleh lari, begitu ke? Lepas ni naiklah KPI???

Jadi, kepada para penjual tisu halal, lepas ini jangan jual tisu lagi. Jual pula CD haram??? Sebab penjual CD haram tidak dikategorikan sebagai pengemis. Anda tetap dikategorikan sebagai pengemis walaupun tisu yang anda jaja itu halal.

Kalau ditanya sendiri kepada golongan yang terlibat sebagai penjaja tisu yang cacat penglihatan, rata-rata mereka tidak mahu terlibat sebagai penjaja tisu. Apakan daya, kerana desakan hidup mereka terpaksa melakukannya. Setahu saya, golongan penjaja tisu ini bukannya mencuri tisu daripada mana-mana pasar raya untuk ijaja. Mereka juga tidak pernah memaksa orang lain untuk memberi wang kepada mereka. Semuanya atas sifat suka dan rela semata-mata.

Kalaulah seandainya golongan penjaja tisu ini bersetuju untuk memberhentikan kegiatan menjaja tisu, apakah alternatif dan jaminan untuk mereka hidup yang boleh diketengahkan buat mereka? Cukupkah RM 300.00 untuk mereka terus menyambung hidup selanjutnya? Sedangkan seorang rakan saya yang sudah hampir tertutup mata pencariannya sebagai pembuat bakul pun masih belum ada alternatif lain untukmenyambung hidup setakat ini. Apa akan terjadi jika operasi penjaja tisu ini dibanteras sepenuhnya? Memang benar, tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Pada masa yang sama, ia tidaklah sampai membawa maksud bahawa tangan yang menerima itu jatuh haram hukumnya???

Saya bukanlah bermaksud menggalakkan kegiatan pengemis, apatah lagi dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Namun begitu, dengan menangkap golongan penjaja tisu ini, adakah masalah berkenaan akan selesai?

Kepada rakan-rakan senasib, kita harus faham, memang sudah menjadi tabiat sebahagian orang Malaysia bahawa apa sahaja yang kita buat atau kita dapat, semuanya atas dasar simpati belaka. Semasa saya menuntut dahulu, bila ada penuntut cacat penglihatan dapat markah tinggi, mereka kata itu kerana simpati daripada para pensyarah. Bagaimana pula dengan penuntut cacat penglihatan yang pernah gagal dan ada yang sampai kena keluar dari universiti tanpa sebarang ijazah gara-gara tidak lulus? Mereka tahu ke semua itu? Bahkan saya turut pernah dengar ada orang yang berpenglihatan mengatakan, kalau tidak kerana simpati, orang buta pun tidak boleh jadi guru. Demikianlah sinisnya persepsi mereka terhadap kita.

Oleh itu, seeloknya kita janganlah mudah termakan dengan pelbagai istilah manis yang sering dikaitkan dengan orang seperti kita. Antar istilah manis yang saya maksudkan ialah golongan istimewalah, hati teranglah, .... Pegi dah. Itu semua istilah beracun!!!

Saya bukan emosional, sekadar menyembang sahaja.