Wednesday, August 8, 2012

Semangat Patriotik Atau Semangat Politik

Pada hemat saya, kalau hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini (2012) adalah yang paling hambar dan paling tidak bermakna sekali. Manakan tidak, bulan kemerdekaan tahun ini yang sepatutnya diwarnai dengan semangat patriotik yang tinggi oleh semua rakyat tanpa mengira apa dan siapa, sekonyong-konyong ia telah dicemari dengan semangat berpolitik yang keterlaluan dan berlebih-lebihan. Mental, otak dan akal sebahagian orang politik di negara ini nampaknya semakin gawat dan ganyut. Ada juga yang seinci sahaja lagi akan menjadi gila. Mereka berpolitik tanpa mengira masa lagi. Bila tidur mimpi politik. Bila keluar air liur basi pun berbau politik. Bila mengigau merepek fasal politik. Demikianlah.

Seingat saya, semangat patriotik yang tercemar dek politik yang keterlaluan bukanlah satu perkara asing. Ia telah pun bertunas dan bertunjang sejak beberapa tahun yang lalu. Sebagai contoh, pernah berlaku di mana sebuah kerajaan negeri menganjurkan perhimpunan kemerdekaan peringkat negeri, tetapi oleh kerana kerajaan negeri berkenaan diterajui oleh parti siasah yang berbeza, maka parti siasah yang lain telah menganjurkan perhimpunan kemerdekaan yang berasingan. Namun demikian, ia masih kurang mendapat perhatian daripada sebilangan rakyat mungkin kerana ia dianggap perkara kecil. Lagi pun, waktu itu walaupun perhimpunan berasingan dianjurkan, semua pihak masih lagi berpayung di bawah satu tema yang sama.

Apabila situasi di atas tidak dikawal, maka yang sedepa mula jadi sejengkal. Semangat berpuak dan berpolitik mula merentasi semangat patriotisme. Orang politik terutamanya mula kabur antara politik dengan patriotik. Mereka tidak lagi berpegang kepada prinsip “Kesetiaan kepada raja dan negara”. Sebaliknya apa yang mereka pentingkan ialah “Kesetiaan kepada parti dan ideologi”.

Hasilnya, pada tahun ini, kelunturan dan kerapuhan semangat patriotik semakin nyata bilamana rakyat negara ini tidak lagi boleh bersatu di bawah satu tema kemerdekaan yang sama. Kegawatan semangat patriotisme dalam kalangan kita semakin luntur dan tercemar apabila muncul beberapa tema untuk sambutan kemerdekaan tahun ini. Tidakkah situasi sebegini gawat, ganyut dan gila namanya?

Sepatutnya, semasa kita berada di ambang tarikh kemerdekaan, maka semakin kuatlah semangat patriotik sekalian kita. Masa inilah kita tunjukkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan kita tanpa ada apa jua perbezaan. Pada waktu inilah kita harus mengenepikan segala perbezaan politik dan digantikan dengan semangat dan jiwa patriotik yang tulen dan jitu. Pada masa inilah juga kita harus ketepikan sebarang semangat politik kepartian dan digantikan dengan semangat cinta dan setia pada raja dan negara. Adakah situasi yang ada kini menjurus ke arah itu?

Bagi saya, sebahagian orang politik di negara ini bukan sahaja tidak lagi matang, bahkan pada masa yang sama mereka telah menunjukkan taladan yang kurang elok khususnya kepada generasi remaja kita. Sebahagian mereka bukan lagi merupakan pemimpin yang boleh diteladani. Mereka sedang mempamirkan semangat mementingkan siasah kepartian yang berlebih-lebihan yang telah mengatasi semangat patriotisme itu sendiri.

Kalau kita benar-benar mengutamakan negara, apabila kita mengemukakan sesuatu tema, ia sepatutnya hendaklah terhindar daripada berbau politik. Jika berlaku demikian, maka sudah tentulah ia akan menerima respon dan reaksi daripada pihak-pihak yang lain pula. Lihatlah apa yang sedang terjadi kini. Oleh kerana tema yang berbunyi “Janji Ditepati” dikatakan berunsurkan politik, maka sebagai respon daripada itu, parti siasah yang lain telah mengemukakan tema yang lain pula. Tidakkah situasi sebegini telah mencalarkan semangat patriotik dalam kalangan sesama kita?

Gara-gara berpolitik yang keterlaluan dan tanpa mengira masa seperti ini, sebenarnya kita dan tanah air tercinta ini sedang merasai kesan bak sang anai-anai yang sedang meruntuhkan sebuah bangunan. Akhirnya nanti, walaupun bangunan berkenaan nampak utuh dan kukuh, tetapi oleh kerana ia sudah teruk dimamah sang anai-anai tadi, maka dengan sekali jentik sahaja bangunan berkenaan akan berderai menyembah bumi. Sekiranya kita tidak insaf dan sedar, maka hal sedemikianlah yang akan menimpa bangsa dan negara kita suatu hari nanti. Tunggu sahajalah!

Rakyat marhaen macam saya disuruhnya supaya bersatu padu, tetapi puak yang melaungkan suruhan sedemikian pula bercakaran sesama mereka. Ia tak ubah umpama ketam mengajar anaknya supaya berjalan lurus. Tidakkah ini gawat, ganyut dan gila namanya?

Rasanya tidak keterlaluan kalau saya katakan, sebahagian orang politik di negara ini lebih sayangkan parti siasah yang mereka dokongi daripada kesetiaan kepada raja dan negara sendiri. Maka itulah kita sendiri sama-sama dapat saksikan kebanyakan tindak-tanduk orang politik mutakhir ini lebih memberikan keutamaan kepada cita-cita serta kepentingan kumpulan siasah mereka daripada kepentingan agama, bangsa dan negara. Agaknya dalam otak benak mereka tak ada sekelumit pun hasrat dan niat untuk menumpahkan taat dan setia kepada negara tercinta ini. Kalau ada pun ia harus mengikut gaya dan acuan mereka sahaja. Agaknya mereka tidak boleh terima kalau ada cara dan acuan lain kerana ia dianggap boleh menghalang cita-cita politik mereka. Demikianlah haru-birunya sebahagian orang politik kita masa kini. Keadaan kian gawat apabila ada di antara mereka yang langsung tidak boleh menerima pendapat dan pandangan orang lain. Mereka anggap mereka sahaja yang betul. Inilah yang dikatakan orang, cerdik tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar.

Saya ingin mencadangkan agar tema kemerdekaan tahun ini ialah Raja Ditaati, Negara Dilindungi.Ia amat bertepatan dengan prinsip kedua Rukun Negara kita iaitu, Kesetiaan kepada raja dan negara. Kalau orang lain tidak mahu guna, biarlah saya seorang sahaja yang menggunakan tema ini. Saya tidak mahu ikut sama gawat, ganyut dan gila macam mereka itu.

1 comment:

E Beng said...

Selamat sejahtera cikgu. Terima kasih kerana mengonsikan pendapat yang saya rasa cukup bernas untuk tatapan bersama. Berkaitan dengan tema itu, saya bersetuju untuk diaplikasikan memandangkan ianya bersifat lebih petriotik (waras) dan bebas daripada unsur-unsur kepentingan politik (keadaan mabuk) Hahahahaha.