Saturday, August 11, 2012

Majlis Iftar Ramadhan Anjuran JAWI – PERTIS – MAB

Petang tadi, saya berkesempatan menghadiri majlis iftar Ramadhan anjuran bersama antara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Majlis telah berlangsung di sekitar kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Majlis seumpama ini merupakan acara tahunan anjuran ketiga-tiga pihak di atas.





Majlis telah bermula seawal 2.30 petang lagi dengan penganjuran beberapa pertandingan. Antaranya termasuklah membaca dan menulis Jawi Braille serta mewarna dan melukis untuk anak-anak ahli.





Selepas solat asar, diadakan pula ceramah agama. Kali ini penceramah yang telah diundang ialah Dr. Jamnur Azhar Mulkan, seorang penceramah yang sememangnya tidak asing lagi. Dr. Jamnur Azhar merupakan seorang doktor perubatan. Beliau berkemampuan untuk menyampaikan ceramah agama kerana beliau juga mempunyai ijazah dalam bidang Syariah. Kedua-dua ijazah (perubatan dan syariah) beliau perolehi dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Demikianlah.



Saya mula mengenali ketokohan beliau dalam menyampaikan ceramah melalui Radio IKIM FM. Bagi saya, ceramah-ceramah yang beliau sampaikan sentiasa menarik. Maklumlah beliau menguasai dua bidang sekaligus, perubatan dan syariah. Sudah tentulah beliau dapat melihat ilmu perubatan itu dari kacamata syariah. Tentulah ia merupakan suatu kelebihan dan kemampuan yang cukup istimewa.







Antara jemputan lain ang turut sama hadir termasuklah Ustazah Nordalilah, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, JAWI serta Tuan Haji Zainuddin Jasmi yang mewakili MAB. Di samping itu, beberapa pegawai JAWI juga turut hadir bagi sama-sama membantu dan memeriahkan lagi majlis tadi. Antaranya termasuklah Ustazah Mazliza, yang juga merupakan penyelaras program daripada JAWI. Ustazah Mazliza sering hadir dalam kebanyakan program anjuran bersama antara JAWI dan PERTIS.





Di samping jamuan berbuka dan moreh, pengisian lain program kali ini termasuklah solat maghrib, solat isya serta solat sunat tarawih. Selain itu, ceramah daripada wakil Palastin juga turut diadakan iaitu disisipkan di antara solat sunat tarawih.



Di sini, saya suka mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada pihak JAWI yang tidak jemu-jemu untuk menganjurkan majlis seumpama ini bersama-sama PERTIS. Saya juga berharap semoga objektif utama penganjuran majlis seumpama ini juga akan tercapai, insha-Allah.

No comments: