Thursday, July 27, 2017

Bahasa Melayu Ke Arah “Supra-Nasional”



Hasrat pihak yang berkuasa untuk memartabatkan bahasa Melayu hingga ke tahap “supra-nasional” sememangnya di sanjung dan amat disokong. Bahkan kita sudah mendengarnya sejak sekian lama, bertahun dan berdekad. Persoalannya, setakat ini adakah hasrat murni berkenaan semakin tercapai atau kian terkapai?

Baru-baru ini, hasrat berkenaan ditegaskan lagi oleh pemimpin negara. Ketika berucap dalam satu majlis yang berkaitan dengan bahasa Melayu, pihak berkuasa memberi jaminan akan terus berusaha untuk memperkasakan hasrat berkenaan.

(Klik di sini untuk sumber berita)

Realitinya, adakah kita sedang berada pada landasan yang betul bagi mendukung cita-cita untuk mencapai matlamat berkaitan dengan bahasa Melayu?

Dalam usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu, semua pihak termasuk kerajaan harus sama-sama berganding bahu bagi merealisasikan hasrat dan cita-cita murni berkenaan. Namun demikian, bagi saya, terdapat sedikit kelompongan dalam konteks peranan kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan. Kelompongan inilah yang harus dibaiki dan dibetulkan segera supaya kekurangan yang ada dapat diatasi dengan baik. Selanjutnya, sekiranya kekurangan yang ada tidak dibaiki, maka apa yang dihasratkan oleh para pencinta dan pendokong bahasa Melayu hanyalah sekadar angan-angan mat jenin semata-mata.

Di bawah ini saya senaraikan beberapa ungkapan yang bercampur antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris yang mana penggunaannya semakin sebati dalam masyarakat:


Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST)
Indeks Petunjuk Pencapaian (KPI)
Pusat Transformasi Bandar (UTC)
Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC)
Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC)


Mungkin apa yang tersenarai di atas dianggap sedikit dan tidak membimbangkan. Pandangan sedemikian mungkin ada kekhilafannya. Jika hendak disenaraikan kesemuanya, ia jauh lebih banyak daripada itu. Apa yang disenaraikan merupakan sebagai contoh sahaja.

Walaupun ia nampak kecil bak kuman, tetapi jika yang salah ini dibiasakan, lama-kelamaan apa yang biasa itulah akan dianggap betul. Dalam konteks ini, apabila yang biasa itu sudah dianggap betul, maka akan sukarlah kita nanti untuk membetulkan apa yang sudah biasa itu.

Bahkan ada sebuah ibu negeri di mana nama-nama sebilangan tempatnya langsung tidak mencerminkan bahasa dan budaya setempat. Maka di sini, timbul persoalan, adakah pihak-pihak tertentu benar-benar ikhlas dalam menyokong dan mendokong usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu? Jika situasi seperti ini masih menular dan berleluasa, mampukah bahasa Melayu dimartabatkan hingga ke tahap “supra-nasional” dalam tempoh yang telah ditetapkan?

Bahasa Jiwa Bangsa. Jika penggunaan bahasa kebangsaan kita masih di tahap serabut, mungkin tahap itulah juga yang sedang melanda bangsa yang menjadi penutur jatinya.


Wednesday, July 26, 2017

Pemandangan Salah Sebuah Stesen Minyak Di KL





Berdasarkan berita lewat petang tadi, harga minyak petrol untuk esok, 27 Julai hingga 2 Ogos 2017 akan naik. Harga yang sedia ada hamya mampu bertahan sekitar dua minggu sahaja. Memandangkan harganya yang akan naik mulai esok, maka tatkala menjelang waktu maghrib, saya bersama isteri telah bergegas ke salah sebuah stesen minyak yang tidak jauh dari rumah kami. Tujuan kami tentulah untuk mengisi minyak kenderaan sebelum harganya naik mulai tengah malam nanti.


(Pemandangan di stesen minyak sebelum harganya naik tengah malam ini)


Setibanya kami di stesen minyak berkenaan, kenderaan sudah banyak dan mulai beratur panjang. Semuanya dengan satu tujuan iaitu untuk memenuhkan tangki minyak kenderaan masing-masing sebelum tengah malam ini. Fenomena inilah yang sering terjadi jika pengumuman harga minyak memaklumkan kenaikan harga bahan api berkenaan untuk minggu berikutnya.

Walau bagaimanapun, ada kemungkinan juga kenderaan yang banyak dan beratur panjang sebegini boleh diubah tafsir, iaitu orang Malaysia ada banyak wang, sebab itu mereka tetap berpusu-pusu di tempat membeli-belah dan melimpah-ruah hingga di stesen minyak!


Saturday, July 15, 2017

Jangan Jadi Anak Derhaka: Sekadar Renungan




Menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa merupakan antara kesalahan besar di sisi Islam. Islam telah memberi garis panduan yang jelas bagaimana seseorang anak harus menghormati dan seterusnya berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Bahkan ada pendapat yang mengatakan jika kita tidak berdoa untuk kedua-dua ibu bapa kita dalam tempoh tertentu, kita telah membuka jalan untuk menderhakai kedua-duanya. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita semua daripada kesalahan yang besar ini.

(Klik di sini untuk menonton salah satu kisah benar tentang anak derhaka)

Balasan untuk anak yang menderhakai kedua-dua orang tuanya amat dahsyat. Balasannya pula diterima secara tunai di dunia lagi. Janganlah hanya kerana pangkat, jawatan, harta atau kerana isteri dan anak-pinak, kita sanggup membuang kedua-dua orang tua kita sendiri. Memang benarlah kata orang tua-tua dahulu, seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tahu lagi dapat menjaga seorang ibu.

Klik di sini untuk mendengar lagu anak derhaka oleh Datuk M. Daud Kilau).

Maka itulah juga, bila seseorang anak itu sudah kematian kedua-dua orang tuanya, terutama ibunya, sebenarnya dia sudah kehilangan seorang manusia yang amat barakah dan sangat mustajab doanya untuk kita. Oleh yang demikian, setiap kali kita bertemu dengan kedua-dua ibu bapa kita, terutamanya ibu kita, jangan segan silu untuk kita mohon doanya untuk kita.

(Klik di sini untuk mendengar lagu Anak Berbudi daripada El-Suraya).

Kepada sesiapa yang masih mempunyai kedua-dua ibu bapa, marilah sama-sama kita meningkatkan bakti dan hormat kita kepada kedua-duanya. Bagi mereka yang sudah kematian kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka, janganlah sesekali kita berhenti untuk berdoa untuk mereka.

Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara kita daripada menjadi anak yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapa kita.


Sambutan Aidil Fitri Peringkat SMPK Setapak 1438 Hijrah




Pada 14 Julai (Jumaat), sekolah tempat saya bertugas telah mengadakan sambutan aidil fitri peringkat sekolah. Untuk menganjurkan majlis ini, semua pihak telah bergabung tenaga. Inilah yang dikatakan, bulat air kerana pembentungnya.

Untuk penyediaan juadah, setiap panitia mata pelajaran telah bersetuju untuk menyediakan juadah mengikut kemampuan masing-masing. Pihak pengurusan sekolah juga tidak ketinggalan turut serta dalam menyumbangkan juadah untuk majlis ini.

(Klik di sini untuk menonton salah satu persembahan nyanyian daripada murid sekolah)

Selain makan dan minum, acara persembahan juga tidak ketinggalan. Kumpulan pancaragam sekolah yang terdiri daripada murid-murid sekolah sendiri telah membuat persembahan yang mantap untuk menghiburkan sekalian yang hadir.

Bolehlah dikatakan majlis berkenaan telah berjalan dengan meriah, santai dan meringkan.

Di bawah ini dikongsikan foto berkaitan majlis berkenaan.




Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Cikgu Fekkeri dan Cikgu Ros yang sudi membantu saya untuk mengambil foto dan video.

Selamat hari raya Aidil fitri, maaf zahir batin.

Tuesday, May 30, 2017

Makam Tun Teja




Tun Teja merupakan seorang lagi tokoh wanita yang dikatakan pernah wujud di zaman kesultanan Melayu Melaka. Asal beliau dari negeri Pahang. Dibawa ke Melaka bagi dipersembahkan kepada sultan Melaka ketika itu atas sebab tertentu.


(Makam Tun Teja)


Terdapat dua versi yang berbeza tentang siapa yang telah membawa Tun Teja ke Melaka dari Pahang. Satu versi mengatakan Hang Tuah adalah tokoh yang telah membawa Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Sultan Mansur Shah. Manakala satu lagi bersi mengatakan Hang Nadim yang telah membawa Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Shah dengan tujuan agar kesalahannya kepada sultan dapat diampunkan.






Tun Teja dikatakan seorang wanita yang sungguh cantik. Kecantikannya telah menyebabkan sultan Melaka naik berahi dibuatnya. Mana-mana orang yang berjaya mempersembahkan Tun Teja kepada sultan Melaka, beliau telah dianugerahi dengan anugerah yang besar. Sebagai contoh, Hang Nadim telah diampunkan dosanya oleh Sultan Mahmud Shah kerana berjaya membawa Tun Teja ke Melaka.


(Klik di sini untuk mendengar lagu tentang Tun Teja)


Tun Teja dikatakan telah mangkat tatkala Sultan Mahmud Shah dan para pengikutnya sedang berundur setelah tewas di tangan Portugis. Maka di kawasan inilah Tun Teja telah dimakamkan dengan penuh istiadat di raja.

Alfatihah ....

Di bawah ini dikongsikan beberapa foto di makam almarhumah.