Friday, February 20, 2009

Bicara ICT

ICT Dan Pendidikan Khas

 

            Dalam dunia hari ini, pengetahuan dan kemahiran penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) merupakan suatu keperluan yang semakin penting.  Sama seperti mereka yang berpenglihatan, golongan cacat penglihatan juga tidak boleh lari daripada pergantungan kepada pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ICT.  Bahkan kepentingan pengetahuan dan kemahiran golongan berkenaan dalam bidang ICT semakin mendesak bilamana alternatif lain untuk membolehkan golongan tersebut akses kepada dunia maklumat sangat terbatas.  Penguasaan kemahiran ICT juga akan membolehkan golongan tidak berpenglihatan lebih berdikari.

 

            Sewaktu saya masih di bangku sekolah (terutamanya di sekolah rendah), tidak pernah terfikir oleh saya sama sekali bahawa suatu hari nanti golongan cacat penglihatan akan mampu untuk menggunakan komputer, melayari internet dan mengendalikan blog sendiri.  Kini, apa yang tidak pernah termimpi itu benar-benar menjadi realiti.  Jika ditinjau lebih jauh lagi, kemampuan golongan cacat penglihatan dalam bidang ICT adalah sesuatu yang tidak perlu dipersoalkan lagi.

 

            Dari sudut peralatan, secara umumnya golongan cacat penglihatan akan menggunakan peralatan yang sama sebagaimana yang digunakan oleh mereka yang berpenglihatan.  Peralatan yang dimaksudkan termasuklah keyboard, monitor, CPU dan printer (jika perlu).  Walaupun pengguna golongan cacat penglihatan tidak memerlukan monitor, tetapi alat tersebut diperlukan apabila pertolongan dari mereka yang berpenglihatan diperlukan.  Setakat yang saya maklum, satu-satunya alat yang jarang digunakan oleh pengguna cacat penglihatan ialah mouse.  Ini bermakna, pengguna cacat penglihatan akan menggunakan keyboard sepenuhnya ketika mengendalikan semua urusan di komputer.  Hal ini tidak mustahil kerana ia telah dan sedang berlaku bahkan terbukti ia boleh dilakukan dengan baik dan berkesan.

 

            Memang ada peralatan khas yang lebih mesra untuk kekunci Braille.  Peralatan tersebut termasuklah Braille & speak (kini sudah jarang digunakan), Braille-note dan sebagainya.  Namun begitu, peralatan khas seperti ini kebiasaannya akan memakan kos yang jauh lebih tinggi sedangkan pada masa yang sama golongan cacat penglihatan boleh menggunakan komputer dengan peralatan biasa jika perisian yang diperlukan boleh disediakan.  Peralatan khas ini pula dikeluarkan sama ada di Amerika Syarikat, Eropah atau Australia.  Oleh itu, untuk tujuan penyelenggaraan atau baik pulih, ia harus dihantar di negara pengeluar asalnya.  Ini sudah tentu akan melibatkan kos yang jauh lebih tinggi dan akan memakan masa yang lama.

 

            Dari sudut perisian pula, golongan cacat penglihatan juga turut menggunakan perisian seperti microsoft Word dan sebagainya.  Walau bagaimanapun, pengguna cacat penglihatan memerlukan perisian tambahan berbentuk voice synthesizer.  Antara perisian berkenaan yang popular dalam kalangan pengguna cacat penglihatan hari ini ialah JAWS.  Kegunaan utama dan terpenting perisian ini ialah untuk menterjemahkan apa sahaja yang muncul pada skrin komputer dalam bentuk bersuara.  Ia boleh dilakukan dengan beberapa kaedah, seperti huruf demi huruf, perkataan demi perkataan, baris demi baris, perenggan demi perenggan ataupun keseluruhan teks berkenaan.  Setakat yang saya maklum, JAWS merupakan antara perisian bersuara yang sangat baik, berkesan dan amat mesra kepada penggunanya.  Bahkan sudah pun ada versi JAWS yang berkeupayaan tinggi untuk membaca teks Alquran bertulisan biasa dan ia dikenali sebagai Arabic Synthesizer Salmah.  Ini satu perkembangan yang amat baik.

 

            Bagi saya, bila kita bercakap mengenai ICT dan bidang pendidikan khas khususnya cacat penglihatan, satu aspek yang masih tidak diberi perhatian ialah kemahiran mengendalikan komputer dengan hanya menggunakan kekunci (keyboard) tanpa menggunakan tetikus atau mouse.  Kemahiran ini pula harus disertai pula dengan kemahiran pengendalian perisian JAWS menerusi kecekapan mendengar.  Mengendalikan komputer dengan hanya menggunakan kekunci memang berbeza daripada menggunakan mouse.  Namun begitu, setakat ini itulah antara kaedah yang ada untuk membolehkan golongan cacat penglihatan memanfaatkan kemudahan dan teknologi dalam bidang ICT.  Kebolehan dan kemahiran menaip dengan penggunaan jejari yang betul pula amat penting.  Ia akan membolehkan kesalahan yang minimum berlaku ketika menaip.

 

            Dalam perbualan saya dengan salah seorang ahli Jemaah Nazir baru-baru ini, saya ada menerangkan kepada beliau bagaimana golongan cacat penglihatan menggunakan komputer tanpa mouse dan sepenuhnya bergantung kepada kekunci, permasalahan serta saranan saya.  Beliau memberitahu, hal tersebut tidak menghairankannya.  Katanya lagi, sewaktu mengikuti satu kursus di London, salah seorang tenaga pengajarnya ialah seorang yang berpenglihatan tetapi menggunakan komputer tanpa menggunakan mouse langsung.  Saya pula yang hairan kerana setahu saya bagi mereka yang berpenglihatan penggunaan mouse amat memudahkan.  Jadi, mengapa tenaga pengajar berkenaan harus "menyeksa" diri dengan tidak langsung menggunakan mouse?  Menurut ahli Jemaah Nazir berkenaan, tenaga pengajar berkenaan pernah melalui satu pengalaman tatkala belayar di lautan.  Secara tiba-tiba sahaja mouse komputer rosak dan tidak boleh diperbaiki lagi sedangkan tanah daratan pula masih jauh.  Oleh itu, mahu tidak mahu, beliau (tenaga pengajar) berkenaan terpaksa mengendalikan komputer secara manual.  Berdasarkan pengalaman tersebutlah maka tenaga pengajar berkenaan telah "meninggalkan" penggunaan mouse untuk selama-lamanya ketika mengendalikan komputer.

 

            Berdasarkan cerita dan pengalaman ahli jemaah nazir berkenaan, dua perkara dapat saya rumuskan; pertama, jika diberi latihan yang secukupnya, golongan cacat penglihatan berkemampuan secara maksimum untuk mengnedalikan komputer dengan hanya menggunakan papan kekunci.  Kedua, guru-guru pendidikan khas yang mengajar murid-murid cacat penglihatan sepatutnya mempunyai kemahiran menggunakan komputer tanpa melibatkan penggunaan mouse supaya ia dapat dimanfaatkan pula oleh murid-muridnya.  Dalam hal ini, ia sepatutnya melibatkan semua guru dan bukannya terhad kepada guru yang terlibat secara langsung dengan ICT semata-mata.

 

            Setakat yang saya maklum, sehingga kini kursus penggunaan komputer tanpa melibatkan penggunaan mouse hanya dikendalikan oleh NGO tertentu sahaja.  Penganjuran kursus berkenaan pula amat tertakluk kepada permintaan.  Setakat yang saya ketahui juga, kursus sedemikian belum lagi diperkenalkan di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) walaupun di IPT tersebut sudah lama ada kursus yang berkaitan dengan pendidikan khas untuk murid-murid cacat penglihatan.  Sekiranya maklumat ini sahih, maka bagi saya ia sesuatu yang amat mendukacitakan dalam bidang pendidikan khas di negara kita.  Selagi kursus sebegini tidak diambil berat oleh pihak-pihak yang berkaitan, maka pendidikan khas untuk golongan cacat penglihatan selamanya akan ketinggalan.  Sepatutnya dalam era siber hari ini, kepetingan ICT dalam pendidikan khas untuk golongan cacat berpenglihatan tidak seharusnya diketepikan sama sekali.  Sepatutnya sudah lama langkah-langkah proaktif diambil seperti memperkenalkan kursus yang berkaitan ICT untuk kegunaan golongan cacat penglihatan.  Bagi saya, dalam konteks pendidikan khas untuk golongan cacat penglihatan hari ini, kemahiran Braille dan kemahiran dalam ICT seharusnya mempunyai darjah dan tahap kepentingan yang sama dan sepatutnya berjalan seiringan kerana ia saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

 

            Selain dari IPT yang berkaitan, jabatan yang berkenaan dan sekolah yang terlibat juga sepatutnya telah lama mengambil langkah yang sesuai ke arah memartabatkan bidang ICT dalam pendidikan khas.  Pelaksanaan kursus dalaman yang berkaitan yang bersifat sekali-sekala bukan sahaja tidak memadai, bahkan ia tidak lebih sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.  Ada sesetengah institusi pendidikan khas, kemudahan peralatan dan perisian yang diperlukan telah tersedia, tetapi tahap kemahiran dalam kalangan tenaga pengajarnya untuk mengajar bidang ICT kepada mereka yang tidak berpenglihatan masih belum berada pada tahap yang sepatutnya.  Akhirnya, institusi berkenaan hanya boleh berbangga dengan peralatannya sahaja dan bukan kerana kemampuan pelajar butanya mengendalikan komputer dan melayari internet.  Justeru, tidak menghairankan jika di institusi yang berkenaan para pelajarnya khususnya yang buta masih gagal mendapat manfaat daripada peralatan dan perisian ICT yang ada di institusi tersebut.  Hal ini terserlah bila mana tidak ramai yang berkemampuan untuk melayari internet, membaca surat khabar, mencari bahan berkaitan pengajaran dan pembelajaran menerusi internet, bahkan bilangan pelajar yang memiliki thumb drive sendiri juga tidak seramai mana.

 

            Saya tidak menafikan bahawa memang ada kursus mengenai penggunaan dan pengendalian komputer tanpa mouse pernah diadakan.  Kursus tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) dengan kerjasama daripada Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.  Golongan sasar untuk kursus tersebut ialah tenaga pengajar di sekolah-sekolah pendidikan khas cacat penglihatan.  Walau bagaimanapun, kursus sedemikian tidak memberi sebarang makna dan manfaat kepada golongan cacat penglihatan atas beberapa sebab.  Kursus tersebut hanya dianjurkan secara "sekali-sekala".  Oleh kerana kursus berkenaan berteraskan kemahiran dan hanya dianjurkan secara sekali-sekala, maka sudah tentulah ia tidak memberi kesan yang diharapkan kepada golongan cacat penglihatan.  Ia lebih kepada mendapatkan sijil dan untuk rekod semata-mata.

 

            Suatu ketika dahulu, pernah sebuah institusi pendidikan khas untuk golongan cacat penglihatan dibekalkan dengan LCD yang banyak.  Mungkin, bagi mereka yang kurang peka dengan keperluan sebenar bagi institusi pendidikan khas dalam bidang ICT, situasi berkenaan boleh dibanggakan kerana peralatan LCD telah dibekalkan dan dengan jumlah yang agak besar.  Walau bagaimanapun, jika diamati secara rasional, bagi institusi sedemikian, keperluan untuk memiliki dan menggunakan LCD memang ada, tetapi ia tidak memerlukan jumlah yang banyak kerana "murid buta tak perlu kepada LCD semasa belajar".  Hal sebegini boleh terjadi bilamana pihak yang berkaitan tidak mempunyai maklumat yang cukup mengenai apakah keperluan sebenar golongan cacat penglihatan dalam bidang ICT.  Sekali lagi, saya berpendapat tindakan sebegini hanya sekadar untuk memenuhkan rekod semata-mata dan tidak sekali-kali bertujuan untuk mendokong pendidikan khas itu sendiri.

 

            Cabaran semasa yang sedang dihadapi oleh golongan cacat penglihatan dalam bidang ICT semakin kompleks bilamana kita sebenarnya sedang berada dalam masa peralihan di antara Windows dan Vista.  Saya mendapat maklumat bahawa Bahagian ICT di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) sedang merangka rancangan untuk melaksanakan pelan tindakan bagi membolehkan golongan cacat penglihatan didedahkan dengan penggunaan Vista berserta dengan aplikasi JAWS.  Langkah proaktif Bahagian ICT MAB ini patut dipuji.  Setidak-tidaknya golongan cacat penglihatan di negara kita sudah mempunyai tempat dan peluang untuk berjinak-jinak dengan Vista.  Persoalannya, adakah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, khasnya Bahagian Pendidikan Khas mempunyai pelan tindakan sedemikian untuk manfaat murid dan guru di sekolah-sekolah khas cacat penglihatan?

 

            Khabarnya, bermula tahun hadapan, kurikulum berkaitan ICT akan mula diperkenalkan kepada murid-murid tahun 1.  Dalam konteks ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi syabas dan pujian kepada Unit Kurikulum Khas di Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia kerana telah dan sedang melaksana satu tindakan yang saya kira amat proaktif.  Unit berkenaan telah mula membuat pengubahsuaian yang perlu untuk membolehkan kurikulum berkenaan diaplikasikan kepada murid-murid cacat penglihatan tanpa mengabaikan kurikulum ICT arus perdana.  Langkah sebegini tentunya akan membolehkan murid-murid cacat penglihatan khususnya di tahun 1 nanti mampu mengikuti pengajaran dan pembelajaran ICT serentak dengan rakan-rakan mereka yang berpenglihatan.  Seterusnya ia juga akan membolehkan murid-murid cacat penglihatan tidak terpinggir dari kurikulum ICT arus perdana.  Barulah apa yang dikatakan education for all benar-benar dapat direalisasikan.

 

            Mengapa unit berkenaan mampu untuk melaksanakan tindakan yang proaktif sedemikian?  Kerana di sana ada para pegawai yang benar-benar memahami dan menjiwai pendidikan khas, mempunyai persepsi yang betul, berwawasan serta berpandangan jauh terhadap bidang pendidikan khas.  Sekiranya semua pentadbir di semua institusi pendidikan khas turut mempunyai jiwa, persepsi, wawasan serta pandangan yang serupa, maka saya yakin institusi berkenaan akan mencapai tahap kecemerlangan yang sebenar.  Bagi saya, sesebuah institusi pendidikan khas itu masih belum layak dianugerahkan dengan kecemerlangan selagi elemen khasnya masih tidak berada pada tahap kecemerlangan yang sebenar.  Eleman Khas itu pula sepatutnya dijadikan kriteria utama dan penting untuk melayakkannya mendapat anugerah kecemerlangan.  Sebagai contoh, sesebuah sekolah khas cacat penglihatan sepatutnya hanya layak untuk dianugerahkan dengan kecemerlangan sekiranya majoriti tenaga pengajarnya mempunyai kemahiran membaca dan menulis Braille sebagaimana sepatutnya.  Adalah sangat tidak bermakna jika sesebuah institusi pendidikan khas itu dikatakan cemerlang, tetapi elemen khasnya mundur.

 

2 comments:

Tai said...

Tahniah, artikal yang padat dengan informasi.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara dan rakan-rakan sekalian.

Syabas! Memang artikel ini penuh fakta! Nah, sekali lagi, kitalah nampaknya perlu menjadi penggerak ke arah arus perubahan sedemikian walau hanya dimulai tulisan.

Memang jelas, arus pendidikan khas negara jauh ketinggalan, malah semakin jauh dengan kemunculan era ICT global ini. Daripada fakta saudara itu juga, setakat ini, hanya Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran sahaja yang mulai nampak ada kecenderungan ke arah perubahan positif ini. Tahniah juga kepada mereka di atas keberanian langkah ke hadapan sebegitu. Semoga ia akan mampu direalisasikan bila tiba masanya.

Memang kekunci pintas (shortcut keys) telahpun disediakan oleh hampir setiap aplikasi. Cuma, ia tidak begitu dimanfaatkan oleh pengguna visual atas faktor-faktor tersendiri. Begitu juga dengan pemahaman guru-guru yang mengajar di institusi cacat penglihatan; mereka juga sepatutnya boleh memahami keperluan penggunaan kekunci pintas ini dan seterusnya mengajarkannya kepada para pelajar mereka sepanjang mereka berkhidmat. Namun, inilah realiti sebenar yang sedang kita hadapi; pelaksanaan dasar dilakukan hanya atas keterpaksaan. Bayangkan, kefardhuan aplikasi Braille yang wajib itupun boleh dinafikan, apatah lagi, kononnya dengan hanya menghantar dokumen untuk dicetak, semuanya betul dan tidak perlu semakan semula! Fenomena serupa juga berlaku pada majoriti agensi yang terlibat dengan OKU penglihatan di Malaysia sekarang. Oleh itu, bagaimana rasanya para pengamal dasar kuno sedia ada ini mahu berhijrah ke arah perubahan?

Namun begitu, kita tetap mendoakan agar suatu ketika nanti situasi buruk ini mampu diubah, sekaligus mencerahkan harapan OKU penglihatan untuk turut aktif dalam arus pembangunan perdana yang semakin mencabar ini. Semoga institusi perguruan, terutamanya yang berkaitan dengan OKU penglihatan ini mampu menjana ke arah kurikulum pendidikan ICT yang mampu diterapkan kepada bakal guru yang seterusnya boleh diterapkan kepada para pelajar OKU penglihatan seawal Tahun 1 lagi. Dengan itu, barulah kita mampu membangun seiring masyarakat massa lain ke arah Malaysia maju.

Terima kasih.