Saturday, February 7, 2009

Bicara Politik

Tumbangnya Kerajaan PR Di Perak: Antara Sisa Dan Harapan

 

            Petang semalam, apabila Datuk Dr. Zamri Abd Kadir mengangkat sumpah sahaja selaku Menteri Besar yang baru, maka berakhirlah usia kerajaan PR di Perak yang tidak pun sempat menyambut ulang tahunnya yang pertama.  Sama ada suka atau tidak, kita harus menerima hakikat bahawa pada ketika ini negeri Perak telah dikuasai semula oleh BN.  Keadaan ini diperkukuhkan lagi apabila situasi ini mendapat sokongan daripada pihak tertentu, terutamanya istana dan pihak keselamatan.  Walaupun PR dan sebilangan rakyat masih mengiktiraf Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar, namun apa yang tersaksi kini ialah keadaan masih berpihak kepada UMNO/BN sebagai peneraju kuasa di negeri Perak.  Bagi saya, adalah sesuatu yang sia-sia dan membuang masa sahaja jika kita hanya mampu menghulurkan pengiktirafan tanpa mampu memperoleh ruang dan peluang yang hakiki.

 

            Ketika ini, para pemimpin BN dan para penyokongnya pasti sedang tersenyum lebar. Sejak tahun 1961, ini merupakan kali ketiga dan Perak pula merupakan negeri ketiga yang berjaya dikembalikan ke pangkuan BN (sebelumnya Perikatan) menerusi golongan pelompat parti.  Seingat saya, setakat ini, parti bukan BN masih belum berjaya lagi untuk memperoleh kuasa pemerintahan di mana-mana negeri, apatah lagi di peringkat Persekutuan menerusi golongan pelompat parti.  Memang ada usaha daripada parti bukan BN untuk memperoleh kuasa pemerintahan menerusi pelompat parti, tetapi setakat ini ia masih gagal dan terbengkalai.  Sebenarnya banyak pengajaran dan iktibar yang boleh diperoleh oleh semua pihak terhadap apa yang berlaku di Perak.

 

            Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) begitu beria-ia untuk menguasai Putrajaya.  Tarikh 16 September merupakan masa yang telah dicanangkan untuk maksud tersebut.  Namun begitu, setelah berbulan-bulan tarikh tersebut berlalu, bukan sahaja Putrajaya yang masih belum ditawan, kini Ipoh pula yang terlepas dari genggaman.  Ini menunjukkan bahawa perancangan PR setakat ini masih boleh dianggap bersifat retorik.  Bahkan perubahan tempoh sasaran dari satu tarikh ke tarikh yang lain untuk menguasai Putrajaya kini sudah jadi bahan mainan dan tawaan pihak tertentu pula.  Agaknya, ini yang dikatakan oleh seorang penulis sejarah silam, berperang di Linggi, tapi Riau yang alah.

 

            Selain itu, PR juga sebelum ini turut mewarwarkan iaitu sebilangan ahli parlimen BN akan melompat ke PR dalam tempoh tertentu.  Dato' Seri Anwar Ibrahim beberapa kali dalam ceramahnya mendakwa bahawa beliau mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada tarikh tertentu.  Sehingga kini, kerajaan yang dimaksudkan masih belum terbentuk lagi.  Adakah kerana kerusinya masih belum cukup, atau tarikhnya yang masih belum tiba?  Dalam keadaan masih tercari-cari tarikh dan masih membilang-bilang jumlah kerusi, secara tak semena-mena, UMNO/BN pula yang membuat kejutan.  Sebilangan ADUN PKR dan DAP pula yang melompat yang akhirnya secara teknikalnya telah menumbangkan kerajaan PR di Perak.

 

            Bila berlaku lompat parti, terutamanya oleh ADUN PR ke UMNO/BN, maka timbul satu persoalan lain, iaitu adakah selama ini PR telah memilih calon yang salah untuk diketengahkan dalam pilihanraya lalu?  PR sepatutnya memilih calon yang benar-benar berprinsip, berkeperibadian mulia, taat kepada pemimpin atasan dan yang paling penting sekali tidak silau dengan wang ringgit.  Hal ini sangat penting kerana wang ringgit merupakan senjata UMNO/BN yang sangat berkesan dan sering melunturkan pendirian pihak pembangkang.

 

            Apa yang pernah berlaku di Kelantan sebelum ini seharusnya dijadikan teladan.  Dari Disember 2005, hinggalah Mac 2008, kerajaan PAS di Kelantan berjaya bertahan walaupun dengan hanya mempunyai kelebihan 1 kerusi.  Keadaan ini disebabkan kesemua ADUN PAS ketika itu terdiri daripada mereka yang berprinsip, tidak silau dengan wang ringgit dan juga terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai masalah moral.  Jika semua ADUN PR mempunyai keperibadian, prinsip dan semangat sedemikian, maka saya yakin peristiwa sebagaimana yang telah pun menimpa kerajaan PR di Perak pasti tidak akan berlaku.

 

            Dalam hal ini, UMNO/BN tidak boleh dipersalahkan seratus peratus.  Memang sudah menjadi lumrah dan cita-cita mereka untuk merampas kembali mana-mana kerusi bukan BN supaya menjadi milik dan kepunyaan BN dengan apa cara sekali pun.  Sebelum ini, UMNO/BN telah mencuba menerusi kerjasama yang cuba diwujudkan dengan PAS.  Namun demikian, usaha ini tidak berjaya bilamana pimpinan tertinggi PAS telah menbuat satu keputusan tegas yang antara lain menegaskan tiada kerjasama untuk membentuk kerajaan bersama antara PAS dan UMNO.

 

            Selain itu, sejarah juga telah menjelaskan bahawa setakat ini yang sering tewas dan kecundang nampaknya adalah mereka dari pihak pembangkang.  Saya yakin, sejak tahun 1961 hinggalah ke awal bulan Februari tahun 2009, jumlah pelompat parti dari pembangkang ke UMNO/BN adalah jauh lebih ramai daripada mereka yang melompat dari UMNO/BN ke mana-mana parti pembangkang.  Sesungguhnya kegagalan hasrat UMNO/BN di Kelantan dan kejayaan cita-cita mereka di Perak adalah dua fenomena yang perlu dimuhasabahkan dengan penuh mendalam dan penuh keinsafan.

 

            Walaupun UMNO/BN telah berjaya merampas Perak daripada PR, namun ia tidak akan terhenti setakat itu sahaja.  Mereka akan sentiasa berusaha mengintai peluang dan mencari ruang untuk merampas kerajaan PR di negeri-negeri lain pula.  Ia dimulakan di Perak kerana dari aspek penguasaan jumlah kerusi yang dikuasai PR di DUN Perak membuatkan pihak UMNO/BN membuat andaian bahawa kedudukan kerajaan PR sebelum ini berada dalam genting dan boleh diporak-porandakan dengan mudah.  Apa yang diandaikan selama ini kini sudah menjadi kenyataan!

 

            Persoalan yang timbul selepas ini ialah, negeri mana pula yang akan menjadi sasaran UMNO/BN untuk melaksanakan Projek Rampasan Kuasa (PRK) seterusnya?  Dengan erti kata lain, PRK 1 telah pun terlaksana dan berjaya di Perak.  Maka bila dan di mana pula PRK 2 dan seterusnya?

 

            Pada ketika ini, apakah perasaan rakyat tidak timbul lagi.  Rakyat hanya membuat keputusan mereka ketika pilihanraya sahaja.  Selepas itu, semua keputusan ditentukan oleh para wakil yang dipilih oleh rakyat pula.  Rakyat hanya perlu mengikut apa-apa sahaja yang diputuskan oleh para wakil mereka.  Semua keputusan dibuat atas nama rakyat, kerana kehendak rakyat dan macam-macam lagi.  Mereka melompat parti pun atas nama dan kehendak rakyat juga!

 

            Justeru, bagi saya, untuk mengatasi permasalahan politik yang berpunca dari lompat parti ini secara jangka panjang, sudah tiba masanya satu penyelesaian secara perundangan perlu dicari.  Sudah tiba masanya, sama ada BN mahupun PR, mengambil satu langkah secara bersama iaitu dengan menggubal dan meluluskan undang-undang antilompat parti.  Setakat ini, lompat paarti nampaknya menyebelahi BN.  Walau bagaimanapun, semua pihak tidak pasti pada masa depan, pihak mana pula yang akan beroleh habuan daripada lompat parti ini.  Yang pasti, lompat parti tidak akan membawa keuntungan jangka panjang kepada rakyat dan negara.

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara dan rakan-rakan yang dikasihi.

Apa nak buat: patutnya kalau dah sakit, makanlah ubat walau pahit. Inilah kesimpulan yang dapat kita simpulkan daripada peristiwa hitam sebegini. Ya, sememangnya dari dahulu lagi, jika kita lihat situasi percaturan gelanggang UMNO, memang inilah kerja mereka. Ini ditambah tiada suatu undang-undang atau apa sahaja yang seumpamanya yang menghalang "perniagaan prinsip/jati diri" ADUN dan wakil rakyat di Parlimen. Begitulah analisa seorang pakar pengamal perundangan ketika saya mendengar wawancara TV BERNAMA semalam. Ia juga diperkukuh dengan istilah "hak mutlak Sultan dalam membuat keputusan" pada perkara-perkara yang mereka rasa boleh guna budi bicara.

Nah, daripada fakta yang saudara bentangkan juga, menunjukkan perwakilan PAS yang setakat ini punya jati diri. Alhamdulillah, inilah yang sepatutnya ahli-ahli Pakatan Rakyat (PR) lain ambil contoh. Memang, Kelantanlah satu-satunya negeri yang kekal di bawah PAS sejak Oktober 1990 hingga sekarang, walau pelbagai percubaan UMNO/BN menguasai, sama ada secara terang mahupun tersembunyi. Justeru, elok sangat jika semua pihak (kerajaan dan pembangkang) mengambil pengajaran daripada prinsip "tak boleh murtad" dalam Islam. Tanpanya, seperti yang saudara katakan, Malaysia suatu hari nanti akan tergadai dik percaturan dalaman disokong kelicikan musuh mengeruh keadaan.

Akhir kata, kepada wakil rakyat, mereka hendaklah memahami bahawa pilihanraya bukan gelanggang "cari kerja" semata-mata. Mereka harus insaf bahawa pilihan massa terhadap mereka adalah amanah, bukan untuk cari dan tambah dinar dirham. Justeru, kepada para pelompat parti, anda sekalian yang bersalah dan boleh dianggap "musuh dalam selimut". Manakala, kepada UMNO&BN, jangan berterusan berlagak macam Fir'aun, Birch dan Zionis. Sesungguhnya, tipu daya yang kalian rancang, walau selicik mana sekalipun, pasti akan dibongkar Allah Yang Lebih Lagi Maha Bijaksana. Juga, kepada pimpinan PR, usah berbangga atas suatu kemenangan tanpa menghitung dan membedah siasat kemungkinan mendatang. Paling penting, hiasilah wakil rakyat kalian dengan semangat perjuangan dan jihad sejati demi faedah agama, negara, bangsa dan diri.

Terima kasih.