Corat-Corit Di Perjalanan
Hari Ssabtu lalu (6 Jun), saya telah menyertai rombongan keluarga menghantar anak buah ke Kota Bharu, Kelantan untuk majlis menyambut menantu di
Setibanya kami di Bandaraya Kuala Terengganu, jalan teramat sesak. Kesesakan telah mula terasa ketika di Marang lagi. Saya memang berasa hairan kerana seingat saya jarang benar kesesakan sebegini berlaku di Kuala Terengganu. Kebetulan waktu itu waktu tengahari. Jadi ia agak panas dan ini menambah lagi keadaan tidak selesa bagi kami. Namun begitu, perjalanan untuk menyempurnakan "binaan masjid" perlu diteruskan.
Dalam situasi sesak dan panas itu, saya pun menghantar SMS kepada seorang rakan dan bertanyakan mengapa kesesakan yang agak teruk ini berlaku di Bandaraya Kuala Terengganu. Rakan tersebut membalas SMS saya dengan menjawab, kesesakan tersebut disebabkan kewujudan pusat pelancongan baru yang mempunyai daya tarikan yang sangat tinggi pada masa sekarang. Dengan rasa ingin tahu yang agak mendalam, saya SMS lagi rakan saya tersebut dengan bertanyakan nama dan lokasi pusat pelancongan yang beliau maksudkan. Beliau membalas SMS saya dengan menjawab, pusat pelancongan terkini dan punya daya tarikan luar biasa yang beliau maksudkan ialah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah runtuh bumbungnya …. Macam-macam! Setelah saya melewati kesesakan tersebut, saya dan kami masih tidak tahu punca sebenar kesesakan berkenaan.
Setibanya kami di Batu Rakit, kami pun berhenti untuk makan tengah hari. Waktu itu jam menunjukkan 3.30 petang. Perut masing-masing sudah berkeroncong. Kami singgah di sebuah restoran. Kata Dibah, anak buah yang juga pengantin perempuan, restoran tersebut merupakan antara tempat menjamu selera tumpuan ahli akademik Universiti Malaysia Terengganu. Apa yang menjadi tumpuan saya ialah sebaris ayat dalam dialek Terengganu yang bertulis (tiada unsur lucah) "Duk kote rege kapong". Puas juga saya dan isteri memikirkan maksud ayat tersebut. Maklumlah kami bukan orang Terengganu. Akhirnya setelah menelitinya betul-betul barulah kami faham, ayat tersebut mungkin bermaksud, walaupun restoran tersebut terletak di bandaraya Kuala Terengganu (kote) tetapi harganya (rege) adalah seperti harga di kampung. Selaku orang luar, saya rasa lebih molek kalau ayat yang berdialek Terengganu itu disusuli dengan ayat (terjemahan) dalam bahasa Melayu standard. Itu Cuma cadangan dan pandangan saya sahaja.
Kata orang, banyak berjalan, luas pengalaman.
Salam dari Kota Bharu.
1 comment:
Assalamu'alaikum, sahabat dan rakan-rakan sekalian.
Terima kasih dan teruskan! Lucu benar kisah ni. Yang bagus tu, runtuhan stadium tu boleh jadi semacam pusat tarikan pelancongan! Rasanya, memang benar, makhluq manusia ni suka yang pelik-pelik, terutamanya tentang hal-ehwal kelemahan orang, ibarat "kuman di seberang nampak, gajah depan mata tak nampak ..."
Saya juga setuju akan penterjemahan yang saudara maksudkan. Setidak-tidaknya, boleh mengelakkan salah faham. Mungkin, ia kelihatan remeh kerana perbezaan loghat/dialek. Namun, sebagai pusat tumpuan ramai, elok rasanya keadaan kurang enak sebegitu dihindari.
Post a Comment