Sunday, June 14, 2009

Teks Ucapan

Ucapan Naib Yang Di-Pertua

Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)

Dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Ke-14

Bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor

(13 Jun 2009 / 19 Jamadil-Akhir 1430)

 

            Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.  Segala Puji bagi Allah, Tuhan pentadbir dan pemilik sekalian alam.  Selawat dan salam ke atas junjungan sepanjang zaman, rasul pilihan, Nabi Muhammad S.A.W., serta sekalian ahli keluarga baginda dan sekalian para sahabat baginda.

 

            Yang saya muliakan saudari pengacara majlis, Yang Berbahagia Datuk Wan Muhammad bin Datuk Sheikh Abdul Aziz (Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Yang Berbahagia Datuk Zamani bin Sulaiman (Setiausaha Dewan Negara Parlimen Malaysia Merangkap Penasihat PERTIS), Ustaz Omar Said (wakil Pengarah ILIM), barisan kepimpinan PERTIS di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri, para pegawai daripada JAKIM dan ILIM, para wakil daripada agensi kerajaan, wakil-wakil daripada badan-badan bukan kerajaan, wakil-wakil media, para muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

 

            Terlebih dahulu saya ingin merafak kesyukuran yang setinggi-tingginya ke hadhrat Allah s.w.t., kerana dengan limpah kurnia-Nya, serta dengan izin dari-Nya, kita dapat berhimpun di auditorium yang serba indah ini bagi majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) kali ke-14.  Tanpa izin dari-Nya, sudah semestinya majlis ini tidak dapat dilaksanakan.

 

            Saya juga ingin mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang ke majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS kali ke-14 bagi tahun 2009 khususnya kepada Yang Berbahagia Datuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (Datuk Wan Muhammad bin Datuk Sheikh Abdul Aziz), para tetamu jemputan, ahli-ahli PERTIS dari seluruh negara serta sekalian hadirin dan muslimin serta muslimat.  Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan melambangkan sokongan dan dokongan masyarakat tanpa diskriminasi kepada PERTIS dan para ahlinya.

 

            Pada kesempatan ini juga, saya tidak lupa untuk menyampaikan salam daripada yang berusaha Yang Dipertua PERTIS, Cikgu Mohamed bin Ismail, yang tidak dapat hadir di majlis ini lantaran kesihatan yang tidak mengizinkan.  Sama-samalah kita berdoa semoga kesihatan beliau akan bertambah baik hendaknya supaya dapat bersama-sama kita bagi meneruskan perjuangan yang masih belum ada penghujungnya, insha Allah.

 

            Untuk pengetahuan kita bersama, pada hari ini terdapat berbelas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan di negara kita.  Namun begitu, PERTIS merupakan satu-satunya persatuan untuk golongan cacat penglihatan yang berorientasikan Islam.  Setakat hari ini, jumlah keseluruhan keahlian PERTIS di seluruh negara adalah sekitar seribu orang.  Justeru, saya menyeru kepada diri saya dan juga kepada rakan-rakan sekalian, marilah kita bersatu di bawah Islam dan berpadu di bawah payung PERTIS.  Moga-moga dengannya kita akan beroleh kebahagian di dunia dan juga di akhirat, insha Allah.

 

Yang Berbahagia Datuk Ketua Pengarah serta hadirin sekalian,

 

            Semenjak seawal penubuhan PERTIS pada tahun 1996, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan agensi kerajaan yang paling akrab dengan PERTIS.  Walaupun para kakitangannya bersilih ganti, namun keakraban yang sedia terjalin tidak pernah lapuk dek hujan, tak pernah lekang dek panas.  Bantuan serta pertolongan yang telah diterima oleh PERTIS daripada JAKIM bukannya sedikit dan tidak pernah bermusim pula.  Sejak tahun 1996 juga, pihak JAKIM telah bekerjasama dengan PERTIS untuk menyemak dan seterusnya memberi pengesahan kepada teks Alquran Braille yang telah diusahakan sendiri oleh ahli-ahli PERTIS.  Justeru, pada hari ini, PERTIS merupakan satu-satunya badan di negara ini yang memiliki naskah Alquran Braille yang telah disahkan oleh JAKIM sama ada dalam bentuk soft copy mahupun dalam bentuk hard copy.  JAKIM juga telah menaja penerbitan sekurang-kurangnya 300 naskah Alquran Braille untuk diedarkan kepada golongan cacat penglihatan di negara ini.  Selain itu, JAKIM merupakan agensi yang tidak pernah putus-putus memberi bantuan kepada PERTIS dalam melaksanakan pelbagai aktiviti untuk faedah dan manfaat para ahlinya dan golongan cacat penglihatan Islam amnya.  Ia turut merangkumi penganjuran pelbagai seminar, ceramah, berbagai majlis dan sebagainya.  Hanya kepada Allah saya berdoa semoga kerjasama seumpama ini akan berterusan bahkan akan bertambah erat lagi demi meninggikan lagi syiar Islam di muka bumi ini.

 

Yang Berbahagia Datuk Ketua Pengarah dan hadirin sekalian,

 

            Mengenai Alquran Braille, kaedah penulisan Alquran Braille yang digunakan oleh PERTIS merupakan kaedah penulisan Alquran Braille standard yang digunakan secara terselaras di peringkat global.  Ini bermakna, teks Alquran Braille yang dihasilkan oleh PERTIS boleh dibaca oleh sesiapa sahaja walaupun sipembaca itu bukan orang Malaysia, asalkan beliau boleh dan berupaya membaca Alquran Braille.  Untuk pengetahuan kita juga, selain Malaysia (melalui PERTIS), beberapa negara lain juga turut menerbitkan Alquran Braille, terutamanya negara-negara Arab.  Bahkan beberapa naskah Alquran Braille juga sudah ada ditempatkan di Masjidil Haram bagi manfaat golongan cacat penglihatan yang mengunjungi masjid berkenaan.  Oleh kerana kaedah penulisan Braille selaras dan bersifat global, maka kita di Malaysia juga turut berupaya membaca naskah Alquran Braille yang diterbitkan oleh negara-negara berkenaan.  Ini bermakna, pada ketika ini, kaedah penulisan Alquran Braille di peringkat global adalah seragam tanpa mengira siapa dan dimana ia diterbitkan.  Apa yang mendukacitakan kami di PERTIS ialah, ada satu pihak di negara ini yang sedang beriya-iya mengutarakan satu lagi bentuk penulisan Alquran Braille yang mereka panggil sebagai Kod Wasilah Alquran Braille.  Kod Wasilah merupakan satu sistem penulisan di mana kalimah-kalimah Alquran itu ditulis dengan cara meringkaskan.  Mengikut sistem tulisan berkenaan, huruf dan baris tidak lagi ditulis secara berasingan, tetapi disatukan menerusi tanda-tanda khas.  Sistem ini juga dikenali sebagai Alquran Braille grade 2.  Kami di PERTIS sudah lama menolak sistem penulisan Alquran Braille seperti ini atas sebab-sebab tertentu.  Di sini, saya tidak berhasrat untuk menghuraikan secara panjang lebar sebab-musabab kami di PERTIS menolak penggunaan kod wasilah tersebut.  Namun begitu, saya bersedia pada bila-bila masa untuk memberi penerangan yang diperlukan jika ia diminta oleh mana-mana pihak.  Walaupun terdapat beberapa buah negara sama ada negara Arab mahupun bukan Arab yang telah menerbitkan Alquran Braille, tetapi tiada satu pun di antara mereka yang telah menerbitkan Alquran Braille secara apa yang dipanggil sebagai kod wasilah.  Walaupun negara-negara Arab sudah lama mempunyai sistem tulisan Arab Braille grade 2, tetapi mereka tidak pernah menggunakannya untuk tujuan penulisan dan penerbitan Alquran Braille.  Apa yang lebih mendukacitakan kami di PERTIS ialah mereka yang sedang beriya-iya benar mengutarakan Kod Wasilah Alquran Braille di negara ini bukan merupakan pengguna Alquran Braille dan kemahiran serta pengetahuan mereka mengenai kaedah penulisan, maklumat  serta perkembangan mengenai Alquran Braille sama ada peringkat domestik mahupun di peringkat antarabangsa amat diragui.  Sedangkan kami yang merupakan pengguna Alquran Braille jati lagi asli sama sekali menolak sistem tersebut.  Golongan penghafaz dan mahir dengan kaedah penulisan Alquran Braille dalam kalangan cacat penglihatan juga turut menolak sistem Kod Wasilah Alquran Braille berkenaan.  Begitu juga dengan kebanyakan golongan yang berpenglihatan tetapi mahir dengan penulisan Alquran Braille turut tidak bersetuju dengan kaedah Alquran Braille grade 2 berkenaan.  Jika pihak yang berkaitan benar-benar berminat dan ingin menyumbang ke arah pemantapan kaedah penulisan Alquran Braille, maka saya sarankan supaya contohilah apa yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.  Pada pengamatan saya, pihak yang berkaitan di Arab Saudi telah berjaya menghasilkan kaedah penulisan Alquran Braille yang mirip kepada kaedah penulisan Resam Uthmani Alquran cetakan biasa.  Sila lihat dan rujuk naskah Alquran Braille yang telah diterbitkan oleh kerajaan Arab Saudi terbitan tahun 2005.  Kaedah yang digunakan bukan kaedah kod wasilah atau Alquran Braille grade 2.  Justeru, walaupun Alquran Braille tersebut diterbitkan oleh kerajaan Arab Saudi di bumi Arab Saudi, tetapi ia tiada masalah untuk pembaca di Malaysia membacanya.  Bagi PERTIS, biar apa pun halangan yang membujur atau cabaran yang merintang, kami tetap akan melaksanakan misi kami iaitu, seorang cacat penglihatan, senaskah Alquran Braille.

 

            Memandangkan Alquran Braille sudah lama mendapat tempat di peringkat global, maka pihak PERTIS memang sudah lama berhasrat untuk menganjurkan seminar mengenai Alquran Braille di peringkat antarabangsa, tetapi setakat ini, hasrat tersebut terpaksa dipendam dahulu lantaran pelbagai kekurangan yang masih menghimpit persatuan ini.  Walau bagaimanapun, saya penuh yakin hasrat berkenaan akan mampu direalisasikan jika ia bakal mendapat sokongan dan dokongan padu daripada pihak JAKIM.

 

Yang Berbahagia Datuk Ketua Pengarah serta hadirin sekalian,

 

            Salah satu kejayaan yang sedang dikecapi oleh golongan cacat penglihatan daripada hasil usaha PERTIS secara berterusan sejak sekian lama ialah apabila pada awal tahun ini pihak Darul Quran telah menerima kemasukan sekumpulan cacat penglihatan untuk belajar dan mendalami pelbagai disiplin ilmu yang berkaitan dengan Alquran.  Di sini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak JAKIM dan Darul Quran serta kepada Yang Berbahagia Datuk Zamani yang telah merintis jalan serta memberi sumbangan yang bukan sedikit sehingga hasrat dan cita-cita golongan cacat penglihatan untuk mendalami ilmu berkaitan Alquran dan agama secara formal di institusi yang diiktiraf dapat direalisasikan.  Walau apa pun masalah yang mungkin timbul atau cabaran yang merintang, sangat besarlah harapan kami di PERTIS agar pintu yang telah dibuka tidak ditutup kembali.  Pihak PERTIS bersedia pada bila-bila masa untuk berbincang dengan pihak Darul Quran dan JAKIM bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.  Bagi kami, jika perbincangan diadakan dengan pihak yang betul, pastilah masalah yang timbul dapat diselesaikan secara adil dan dengan sempurna.

 

Yang Berbahagia Datuk Ketua Pengarah serta hadirin sekalian,

 

            Sebagaimana yang telah saya jelaskan di awal ucapan saya, PERTIS merupakan satu-satunya persatuan untuk golongan cacat penglihatan yang berteraskan Islam di negara ini.  Justeru, saya suka mengingatkan kepada sekalian ahli, dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti, seharusnya kita berperanan saling lengkap-melengkapi dengan pelbagai persatuan lain yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan.  Elakkan daripada melaksanakan aktiviti yang bertindih dengan organisasi lain kerana jika ia gagal dihindari, akhirnya yang rugi kelak kita dan golongan cacat penglihatan juga.

 

            Akhirnya, saya tidak lupa untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama dalam pelbagai bentuk dalam menjaya dan melancarkan perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS kali ke-14 bagi tahun 2009.  Penghargaan yang tidak terhingga ditujukan khusus kepada Datuk Ketua Pengarah dan seluruh kakitangan JAKIM.  Penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada Pengarah dan seluruh kakitangan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang telah lama menawarkan penggunaan tempatnya bagi tujuan penganjuran mesyuarat agung tahunan PERTIS.  Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang banyak memberi sokongan kepada PERTIS Pusat.  Penghargaan dan terima kasih yang serupa juga saya tujukan kepada setiap pihak berkuasa agama di negeri-negeri yang mana PERTIS mempunyai cawangan di atas bantuan dan kerjasama yang telah dihulurkan kepada PERTIS di peringkat negeri.  Saya juga tidak lupa untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada yang Berbahagia Datuk Zamani bin Sulaiman, Setiausaha Dewan Negara merangkap penasihat PERTIS yang tidak pernah jemu untuk memberi nasihat serta panduan amat berguna kepada PERTIS dalam pelbagai aspek. 

 

Terima kasih daun keladi;

Esok lusa kami minta tolong lagi.

 

Sekian, terima kasih.

 

(Zakaria bin Yahya)

Naib Yang Di-Pertua/Pengerusi Biro Penerbitan

Persatuan Orang Cacat Penglihatan islam Malaysia (PERTIS)

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Syabas! Sesungguhnya saudara serta kepimpinan PERTIS sedang melalui "track" yang benar. Teruskan; kami, para ahli, insha Allah, akan senantiasa menyokong PERTIS demi masa depan bersama.

Mengenai Al-Quran Braille (Wasilah) tu: apa yang sedang terfikir ketika menulis ini ialah, "Inikah ciri Muslimin dan Muslimah yang mendakwa diri mereka menjadi contoh?" Rasanya, tidak keterlaluan jika saya katakan, golongan sebeginilah antara perosak dan penghancur agama. Mana tak? Dah jahil, mengaku pandai, macam Musailamah ... Dahlah memang bukan Nabi, boleh pula mengaku menjadi Nabi? Yang anih lagi pelik bin ajaib: inilah para pegawai yang pernah dan terlibat secara langsung dengan Pendidikan Khas. Kononnya, semua ni nak dicipta atas nama Malaysia untuk diiktiraf sebagai "MALAYSIA BOLEH"! Sedangkan, Islam tak pernah letak bangsa 'Arab atau Yahudi sebagai bangsa termulia di mukabumi ini, kan?

Akhirnya, marilah bersama kita gempur puak-puak ini habis-habisan hingga ke titisan darah, denyutan nadi serta hembusan nafas terakhir!!! Semoga kita akhirnya dianugerahi kemenangan abadi. Jika perlukan sumbangan saya, sila maklumkan menerusi 1001 macam ruang kumunikasi yang kini sudah tiada sempadan.

Terima kasih.