Tuesday, June 23, 2009

Bicara Politik

Tiada Lagi Kerajaan Perpaduan

Semalam, bertempat di pejabat ketua pembangkang, bangunan parlimen,
satu kata sefakat antara parti-parti yang membentuk Pakatan Rakyat
telah dimuktamadkan. Antara lain, mereka telah memutuskan tiada lagi
usaha ke arah membentuk kerajaan perpaduan (unity government) antara
Pakatan Rakyat (PR )dengan UMNO/BN. Dalam pertemuan tersebut,
wakil-wakil PAS telah diketuai oleh Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul
Hadi Awang. Dato' Seri Dr. Wan Azizah pula mengetuai perwakilan
daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Manakala Lim Kit Siang pula
mengetuai wakil-wakil daripada DAP. Kenyataan daripada ketiga-tiga
parti tersebut telah dibacakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim yang juga
merupakan penasihat PKR.

Antara lain kenyataan tersebut mengatakan, Majlis Presiden Pakatan
Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk
kerajaan perpaduan dengan Umno. Bahkan, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang sendiri menyatakan, dalam isu Kerajaan
Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu
pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan
tersebut. Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh
kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata
memecahbelahkan hubungan pakatan. Demikian antara ulasan presiden PAS
berhubung isu kerajaan perpaduan yang sepatutnya sudah berakhir.

Sesungguhnya, apa yang telah diputuskan oleh PR semalam mempunyai
significantnya yang tersendiri. Semenjak idea mengenai kerajaan
perpaduan ini dilontarkan, ia sedikit sebanyak telah mengakibatkan
tergugatnya perpaduan dalam PAS. Kemuncaknya ialah apabila beberapa
hari lalu, Murshidul Amr PAS, Datuk Tuan Guru Haji Nik Aziz yang juga
merupakan menteri besar Kelantan telah mengeluarkan kenyataan yang
agak keras khususnya kepada mereka yang masih berhasrat untuk
mewujudkan apa jua bentuk kerjasama walaupun atas nama kerajaan
perpaduan dengan UMNO/BN. Itu pun, sempat juga seorang dua tokoh UMNO
tertentu mengulas kenyataan Datuk Nik Aziz tersebut, kononnya,
penolakan Tuan Guru Nik Aziz terhadap idea kerajaan perpaduan kerana
beliau (Nik Aziz) takut kehilangan pengaruh dan kuasa. Tokoh seperti
ini bukan sahaja buta sejarah, tetapi juga pekak dengan realiti
semasa.

Apa yang telah disuarakan oleh Datuk Haji Nik Aziz ada asasnya. Pada
tahun 1977, PAS telah ditendang keluar dari BN oleh UMNO. Peristiwa
hitam dan malang itu tidak mungkin akan dilupakan oleh ahli dan
penyokong PAS. Sekitar dekad 80-an iaitu sewaktu UMNO di kemuncak
kekuatannya, UMNO/BN tidak pernah memandang PAS selaku rakan seagama
dan sebangsa yang perlu diajak duduk semeja demi perpaduan. Bahkan
UMNO sering melabel PAS dan para pendokongnya sebagai kumpulan
fundamentalis yang bertopengkan agama. Bagi mereka yang peka dengan
perjalanan denyut nadi sejarah politik negara, sudah tentulah akan
merasa hairan apabila di saat-saat UMNO/BN tidak lagi menjadi pilihan
rakyat, mereka mula bercakap untuk mewujudkan perpaduan dengan PAS.
Usaha seperti ini telah pun dimulakan sejak UMNO/BN menerima kekalahan
teruk dalam pilihanraya umum tahun lalu. Isu kerajaan perpaduan hanya
sekadar kesinambungan usaha UMNO/BN untuk mencari talian hayat demi
survivalnya semata-mata. Justeru, penolakan PR terhadap kerajaan
perpaduan adalah tepat. Adalah sangat tidak bijak bilamana PAS
membiarkan partinya, ahli dan pendokongnya dipatuk dua kali oleh ular
yang sama.

Dengan itu, adalah diharapkan agar kenyataan dan keputusan yang telah
dimuktamadkan siang tadi oleh kepimpinan tertinggi PR akan mengakhiri
ketidakstabilan yang baru hendak berputik dalam PAS dan Pakatan Rakyat
(PR). Buat masa ini, adalah lebih bijak untuk memperkasakan
persefahaman dan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang bergabung
dalam PR daripada mencari perpaduan bersama UMNO/BN.

Saya sekadar memerhati, bukan pendokong tegar mana-mana parti.

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Alhamdulillah! Tepat lagi menasabah! Keputusan Majlis Presiden PR ini mencerminkan kebijaksanaan serta keutuhan perpaduan rakyat yang kini dengan terang dan nyata menentang kezaliman pemerintahan BN lebih setengah abad lalu. Sememangnya, tidak layak sama sekali untuk bergabung dengan puak-puak pemecah amanah lagi menyeleweng. Bukan apa. Lihat sahaja akan bentuk pembangunan yang berat sebelah yang lebih berpaksikan keduniaan dan fizikal hatta mencuaikan sama sekali unsur spiritual. Justeru, tak hairan jika usaha baik PR beberapa bulan lalu boleh dan sengaja disalahtafsir oleh kalangan mereka yang "buta sejarah" sebagaimana yang disebutkan! Sepatutnya mereka mensyukuri lagi berterima kasih terhadap usaha murni sebegitu dengan meluaskan ruang lingkup perbincangan hingga terjalinnya persefahaman, bukan menangguk di air keruh, kan?

Akhirnya, semoga peristiwa bersejarah ini akan membuka pintu perubahan drastik ke arah kesejahteraan dengan terhapusnya penyelewengan. Semoga dengan ini rakyat akan berpeluang sekali lagi mempamerkan kekuasaan mereka sebagai pemilih sebagaimana pada PRU ke-12 lalu, misalnya, pada pilihanraya kecil di Manik Urai terdekat ini.

Terima kasih.