Wednesday, July 8, 2009

Bicara Dari Sahabat

Lontaran Fikiran

Petang semalam, tatkala meneliti email yang saya terima,
sekonyong-konyong saya tertarik dengan satu email yang telah dihantar
oleh seorang sahabat. Ketika ini, beliau bertugas di Majlis
Peperiksaan Malaysia (MPM). Beliau pernah bertugas sebagai guru
pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan beberapa tahun lalu.
Saya memang menghormati beliau. Beliau bukan sahaja seorang pegawai
yang penuh dedikasi, bahkan pengetahuannya yang luas mengenai Braille
memang mengkagumkan saya. Setahu saya, beliau sentiasa mengikuti
perkembangan mengenai pendidikan khas khususnya yang berkaitan dengan
perkembangan tulisan Braille di peringkat antarabangsa. Sesungguhnya,
hari ini sukar untuk kita mencari seorang yang berpenglihatan tetapi
mahir dengan sistem tulisan Braille dan amat memahami keperluan,
permasalahan serta cabaran yang merintangi golongan cacat penglihatan.
Berikut adalah isi email beliau kepada saya:

"…
Assalamualaikum.

Ada beberapa isu sebenarnya untuk saya ketengahkan. Apa pun niat
terbesar saya tidak lebih mengalu-alukan alamat e-mail ini yang
mungkin sangat berguna di antara kita. Selain memenuhi niat itu, saya
ke tengahkan satu isu tentang berapa ramai orang buta yang boleh
dianggap bijak pandai, dihormati pendapat dan pandangannya, sekalipun
tidak standing Prof Ismail Salleh. Saya fikir, jika tiada atau masih
tiada, maknanya pencapaian kita hari ini adalah biasa-biasa sahaja.
Hasilnya, hidup dan kejayaan juga biasa-biasa sahaja. Kenapa kita
perlu lebih dari biasa? Kerana orang buta dan guru-gurunya telah
berusaha lebih dari biasa. Orang buta perlu berusaha dengan segenap
tenaga, malah kadangkala perlu menagih sesuatu untuk mendapatkan ilmu
dan pencapaian tertentu. Jika usaha yang dibuat itu terhenti setakat
pencapaian biasa-biasa sahaja ertinya tiadalah istimewanya usaha yang
luar biasa itu. Tahukah kita kenapa kita perlukan ramai orang buta
yang bijak pandai? Kerana ia adalah ukuran usaha yang betul. Kerana ia
adalah petanda bahawa masa hadapan kita semakin cerah. Ia menjadi
lorong yang terbuka untuk kita ke arah yang betul. Bolehkah tuan
berikan ulasan……
…"

Untuk pengetahuan kita bersama, dari aspek pencapaian akademik,
setakat ini terdapat 8 orang buta yang sudah memiliki ijazah doktor
falsafah (phD) di negara kita. Selain itu, 3 calon lagi sedang
menyiapkan tesis untuk ijazah berkenaan. Jumlah pemegang ijazah
peringkat sarjana dalam kalangan cacat penglihatan pula mungkin
berbelas atau mungkin lebih. Ini bermakna, puluhan orang buta sudah
pun sekurang-kurangnya memiliki ijazah peringkat sarjana muda dalam
pelbagai bidang. Malangnya, setakat ini tiada pihak yang mempunyai
atau menyimpan statistik yang benar-benar sahih mengenai hal ini.

Dari sudut pekerjaan pula, beberapa orang cacat penglihatan sedang
bertugas sebagai pensyarah di beberapa buah institusi pengajian tinggi
awam ataupun swasta. Bilangan orang buta yang sedang bertugas sebagai
guru pula sudah mencecah sekitar seratus orang. Bilangan orang buta
yang sedang bertugas dalam sektor awam yang lain juga ada pertambahan.
Namun begitu, masih banyak lagi peluang dan ruang kosong yang masih
belum diisi jika quota 1% boleh dijadikan ukuran.

Dari sudut ketokohan, saya tidak menafikan setakat ini masih belum
ada lagi mana-mana individu cacat penglihatan yang boleh menyaingi
ketokohan, pencapaian dan populariti YB Senator Prof. Dato' Dr. Ismail
Salleh. Namun begitu, bersandarkan alasan "perjuangan perlu
diteruskan", orang yang boleh menggantikan ketokohan Prof. Ismail
sememangnya perlu dicari dan digilap.

Bagi saya, setiap manusia yang lahir mempunyai bakat yang telah
dianugerahkan. Tidak kira sama ada manusia itu sempurna atau cacat.
Oleh itu, tugas kita selaku golongan yang lebih dewasa ialah kenali
bakat dan potensi setiap manusia itu dan kembangkannya. Dalam konteks
orang buta, mereka juga mempunyai bakat tersendiri yang telah
dianugerahkan. Persoalannya ialah, sudahkah bakat yang mereka miliki
itu digilap dalam erti kata yang sebenar? Sebagai contoh, ramai yang
tahu bahawa orang buta memang berbakat dalam bidang muzik. Ada yang
bersuara merdu bila menyanyi. Ada pula yang berbakat dalam memainkan
alat-alat muzik. Namun begitu, sehingga kini mengapa bilangan orang
buta yang mampu menjadi penyanyi dan pemuzik profesional masih boleh
dibilang dengan jari? Hal ini disebabkan kerana bakat yang mereka
miliki tidak digilap dengan sempurna dan tidak diletakkan di atas
landasan yang betul. Di peringkat sekolah, kurikulum mata pelajaran
muzik untuk murid cacat penglihatan masih belum terlaksana. Kesannya,
peluang untuk golongan buta yang berbakat dalam bidang muzik untuk
terus maju akan sentiasa terbantut.

Selain itu, peluang untuk golongan cacat penglihatan untuk meningkat
maju adakalanya tersekat dek kerana karenah birokrasi. Sejak tahun
1990 lagi, kerajaan telah memperuntukkan quota 1% pekerjaan untuk
golongan cacat yang berkelayakan dalam sektor awam. Malangnya,
sehingga kini pun 10% daripada quota tersebut masih gagal dipenuhi.
Sedangkan di luar sana, masih ada golongan cacat penglihatan yang
mempunyai ijazah tetapi masih gagal memperolehi perkejaan yang setaraf
dengan kelulusan yang mereka miliki. Bagi saya, antara puncanya ialah
para pegawai yang berkaitan sendiri tidak faham bagaimana dan apa
keperluan yang harus dipenuhi jika ingin mengambil golongan cacat
penglihatan sebagai kakitangan. Keadaan semakin kritikal bilamana
golongan pegawai berkenaan tidak bertindak secara proaktif untuk
mengakses kepada segala maklumat yang perlu untuk memperoleh informasi
yang diperlukan bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara di
atas. Bila bercakap mengenai pencapaian orang buta, ramai yang boleh
bercakap mengenainya, tetapi bila diminta supaya diberi peluang, ramai
yang enggan dan tidak bersedia untuk melakukannya atas pelbagai
alasan.

Di peringkat NGO pula, saya rasa mereka sentiasa melakukan yang
terbaik untuk membela nasib golongan cacat penglihatan dengan pelbagai
cara dan di pelbagai forum. Malangnya, seringkali suara NGO ini hanya
untuk didengari sahaja dan bukan untuk dipertimbangkan. Bahkan, bila
individu atau NGO yang berkaitan agak kerap bersuara, mereka dipandang
serong pula dengan persepsi "menagih simpati" dan bukannya "menuntut
hak".

Sebenarnya banyak lagi yang boleh saya perkatakan mengenai hal di
atas. Namun begitu, cukuplah sekadar ini dahulu untuk kali ini. Saya
juga beminat untuk mendengar pandangan orang lain juga mengenai hal
ini.

Kepada rakan-rakan sekalian, anggaplah fenomena di atas sebagai
cabaran dan permasalahan yang perlu kita sama-sama tangani. Ia
mungkin tidak dapat diselesaikan esok atau lusa, tetapi dengan
perjuangan yang berterusan, saya penuh yakin, insha Allah, suatu hari
nanti sinar dari permata asli akan terserlah juga.

Kepada En. Shaari Saad dari MPM, saya ucapkan berbanyak-banyak terima
kasih kerana lontaran fikiran yang bernas lagi bermakna. Tanpa
sokongan dan dokongan daripada orang seperti anda, kami semua tidak
akan ke mana.

Sesungguhnya kami jalani kehidupan ini dengan panduan iman, bukan
semata-mata dengan penglihatan.

4 comments:

puterimualim said...

Tahniah! tepat dan padat. Saya juga bersetuju dan berkongsi pandangan dengan En. Shaari.

TINTA EMAS said...

Sesungguhnya jalan untuk ke puncak amat sukar bagi OKU penglihatan. Malangnya, kesukaran ini bukan disebabkan diri atau akademik OKU itu sendiri. Malah, kesukaran tersebut berpunca dari mereka yang sering memandang rendah, tidak tahu dan tidak cuba untuk mengambil tahu akan kemampuan OKU penglihatan dalam menjawat sesuatu jawatan dan tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa golongan ini adalah golongan penghalang kepada kejayaan OKU khususnya OKU penglihatan.

Kadang-kadang peluang yang diberikan ibarat bermusim. Ianya tak ubah seperti sekali diketuk, sekali pahat berbunyi. Apabila hak dituntut dan menerima "banyak" desakan, sekali OKU diberi peluang untuk memegang jawatan di sektor awam. Kemudian, diam semula. Cuma... Sejak akhir-akhir ini ada beberapa OKU penglihatan diterima masuk ke sektor awam secara berperingkat. Semoga keadaan ini berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Harapan saya kepada OKU yang telah diterima menjawat jawatan di sektor awam, mereka akan tunjukkan prestasi yang baik sebagai pembuka jalan buat yang lain.

Bagi pihak berkenaan pula, cubalah untuk memahami cara kerja OKU penglihatan. Anda tidak perlu mengubahsuai bangunan yang menelan kos tinggi untuk mengambil OKU penglihatan bekerja. Kalau anda merasakan OKU tidak mampu melaksanakan kerja tersebut, jangan terus beranggapan sebaliknya, hubungilah pihak terlibat untuk mendapatkan gambaran serta penjelasan sebenar. Mungkin bagi anda OKU penglihatan tidak boleh melakukan sesuatu tugas, tapi dengan adanya teknologi moden serta adaptasi cara kerja, sebenarnya OKU juga mampu melaksanakan tugas sekaligus menyalahi sangkaan anda.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger, Encik Shaari (penyumbang artikel) dan sahabat pengunjung sekalian.

Terima kasih, Encik Shaari. Keokohan tuan dalam membicarakan hal/topik ini sangat bermakna dik fakta dan hujjah. Saya secara peribadi, begitu teruja lagi terharu dengan lontaran fikiran tuan yang sebegini bernas, yang pada saya, setakat ini pun, belum pun ada di kalangan mereka yang bergelar "politikus" serta lain-lain kenamaan mengambil tahu soal sebegini. Justeru, adalah tidak menghirankan, jika tuan katakan tiada database lengkap mengenai pencapaian OKU, terutamanya cacat penglihatan. Ini kerana setakat ini budaya kita di Malaysia, bila ada orang besar berbunyi, barulah masing-masing sibuk tak tentu hala, kononnya sampai tak cukup masa, demi menyiapkan kerja untuk OB tersebut.

Apa yang benar-benar saya rasakan, sebenarnya bukan kita tiada sumber untuk memajukan OKU penglihatan ini. Namin, faktor terpenting adalah tiada kejujuran/keikhlasan, lebih-lebih lagi usaha sebegini tiada atau kurang dimasyhurkan menggunakan media arus perdana. Maaflah, kalau saya katakan d sini, adalah memalukan benar, kita sebagai sebuah negara yang mengaku "negara Islam", masyhur di peringkat global, tetapi dari segi membela nasib golongan memerlukan seperti OKU, kita jauh benar ketinggalan berbanding negara barat. Lihat sahaja akan produk "accessibility" serta pencetak Braille sebelum kita melangkah jauh; dengan siapa kita mengimport produk sebegitu? Mana perginya status MSC kita, dengan mengusahakan perisian pembaca bahasa Melayu itu sahaja pun, tak pernah termasyhur, berbanding produk bersuara berbahasa Indonesa? Juga, semakin maju kita di bidang IT, semakin kami perlu berusaha sendiri mencari kerja atau terus disuap dengan bentuk pekerjaan yang tidak secucuk?

Justeru, adalah tidak keterlaluan jika saya katakan minda dan persepsi ahli masyarakat daripada setinggi-tinggi pemimpin hingga kepada serendah-rendah pekerja bawahan sendiri yang perlu diperbetulkan. Bagaimana? Setiap kita perlu maklum ciptaan Allah yang pelbagai ini ada hikmah dan rahsia tersendiri. Juga, kita sebagai OKU, perlu juga berusaha dan belajar dengan lebih gigih serta mempamerkan sikap yang memberangsangkan rakan-rakan jika mahu bakat dan kebolehan kita memikat jiwa mereka. Maknanya, kalau ditawarkan jalan untuk peningkatan diri, ambillah ia sebagai peluang dan cabaran, bukan bersikap negatif, kononnya kita dianiaya lagi dipersenda. Semoga dengan melakukan muhasabah bersama, Malaysia akan benar-benar maju dalam keadaan keseimbangan lagi keadilan, diliputi ketaqwaan tinggi terhadap-Nya.

Terima kasih.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger, Encik Shaari dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Sememangnya, OKU penglihatan ini sentiasa dicabar lagi dihalang daripada berfungsi sewajarnya. Namun begitu, terdapat juga sebilangan OKU penglihatan yang telah berjawatan, menyalahgunakan jawatan mereka untuk kepentingan peribadi. Juga, terdapat mereka yang gagal menunjukkan prestasi, lantas mempengaruhi tanggapan majikan dan masyarakat.

Persoalannya, mengapa masyarakat kita sering mengamalkan prinsip "Kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar"? Sedangkan hakikatnya, sebagaimana yang disebutkan oleh sahabat kita ini, bakat dan kebolehan masih banyak berlambak. Begitu juga, penggunaan teknologi maklumat, walaupun kita antara negara Asia yang agak ke hadapan, namun masih belum menyeluruh lantaran kerenah "accessibility" dan kos akibat pengimportan. Adakah kita ingin membiarkan keadaan serupa ini berterusan? Begitu juga dengan masalah penggunaan bahasa; setakat ini, penggunaan bahasa Melayu pada era IT masih jauh kekurangan. Inikah yang patut kita banggakan?

Namun begitu, setidak-tidaknya kita sedang melangkah ke hadapan, walaupun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Justeru, adalah wajar bakat dan minat OKU penglihatan yang masih berlambak ini disalurkan ke arah yang bersesuaian selari dengan kemajuan pesat penyaluran maklumat di peringkat global. Langkah pengimplimentasian kuota 1% untuk pekerja OKU umpamanya tidaklah patut menjadi langkah bermusim. Kalau negara-negara barat, terkenal sebagai negara provokasi, namun hakikatnya, kita harus mengakui kelemahan kita terhadap isu kemanusiaan sebegini. Yang baik itu daripada Allah, manakala yang buruk adalah daripada perlakuan manusia sendiri.