Friday, July 31, 2009

Bicara Politik

Takziah Kepada Keluarga Ustaz Hamdan Abdul Rahman

 

            Tengah hari tadi, saya menerima berita bahawa YB Ustaz Hamdan Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 6.30 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN).  Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.  Beliau mula menjadi ADUN Permatang Pasir dalam Pilihanraya Ke-10 atas tiket PAS pada tahun 1999.  Dalam pilihanraya umum ke-12 tahun lalu, beliau telah memenangi DUN Permatang Pasir untuk penggal ketiga berturut-turut.  Untuk mengikuti lebih lanjut mengenai biodata beliau, sila klik di sini.

 

            Saya mula mengenali beliau dari jauh sewaktu mengikuti satu program ceramah politik yang diadakan di bangunan Komtar, Pulau Pinang sekitar 10 tahun lalu.  Tatkala itu, Ustaz Hamdan juga turut menyampaikan ceramahnya.

 

            Dengan kembalinya YB ke rahmatullah hari ini, maka satu pilihanraya kecil tidak dapat dielakkan.  Menurut sumber, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihanraya tersebut (jika ada pertandingan) selewat-lewatnya pada 10 Ogos nanti.  Lagi pun, notis kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir belum diterima lagi daripada Speaker DUN  Pulau Pinang.

 

            Jika berlaku juga pilihanraya kecil, ini bermakna ia merupakan pilihanraya kecil ke-8 yang diadakan selepas pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 lalu.  Untuk rekod, selepas melalui 7 pilihanraya kecil, Pakatan Rakyat telah memenangi 6 kali dan kesemuanya di Semenanjung.  Manakala Barisan Nasional (BN) hanya memenangi sekali sahaja iaitu di DUN Batang-Ai, Sarawak.

 

            Pada perkiraan awal saya, adalah dijangkakan bahawa BN akan turut menyertai pilihanraya kecil ini.  Ini bersandarkan bahawa kekosongan ini berlaku bukan kerana apa yang disebut sebagai "untuk menyelesaikan masalah dalaman" mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.  Lagi pun, kekalahan tipis BN di Manek Urai sudah tentu mengobarkan lagi semangat BN untuk meraih kerusi pertamanya di Semenanjung melalui pilihanraya kecil yang bakal diadakan selepas pilihanraya umum tahun lalu.  Pada perkiraan saya juga, PAS akan sekali lagi diberi tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi bagi DUN Permatang Pasir.

 

            Dengan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Hamdan Abdul Rahman.  Semoga roh beliau akan dihimpunkan bersama-sama dengan golongan yang solihin.  Alfatihah ….

 

 

No comments: