Saturday, July 25, 2009

Menungan Senja

Jangan Sampai Layu Dimamah Masa

Setelah Paduka Raja jadi orang besar, maka segala anak Melayu pun
berbelahlah (berpecah belah), setengah pada Paduka Raja dan setengah
pada Seri Nara Diraja, kerana keduanya sama orang besar berasal. Maka
Seri Nara Diraja tiada muafakat dengan Paduka Raja, sentiasa
bersinggit juga. Berapa kali lelayan Paduka Raja kedapatan dengan
Paduka Raja dalam kampung Seri Nara Diraja.

Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu, maka terlalu
dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja
itu. Maka fikir baginda, "Jikalau demikian binasalah negeri ini,
kerana orang besar tiada muafakat sama orang besar." Maka baginda
berbicara hendak dimuafakatkan antara kedua orang besar itu; maka
Sultan Muzaffar Syah menyuruh memanggil Seri Nara Diraja. Maka Seri
Nara Diraja pun datanglah mengadap. Maka titah Sultan Muzaffar Syah,
"Maukah Seri Nara Diraja beristeri?" Maka sembah Seri Nara Diraja,
"Jikalau dengan nugerahi Duli Yang Dipertuan, baiklah tuanku."

Maka titah baginda, "Maukah Seri Nara Diraja akan Tun Bulan, anak
Orang Kaya Hitam?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Mohon tuanku."
Maka baginda bertitah pula, "Maukah akan Tun Ratna Sandari, saudara
sepupu kepada Paduka Raja?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Mohon
tuanku." Maka titah Sultan Muzaffar Syah, "Maukah akan Tun Gemala,
saudara Bendahara Seri Wak Raja?" Maka sembah Seri Nara Diraja,
"Mohon patik tuanku." Maka berapa orang anak orang besar-besar
ditawarkan oleh Sultan Muzaffar Syah, tiada juga berkenan pada Seri
Nara Diraja. Maka titah baginda, " Maukah Seri Nara Diraja akan Tun
Kudu?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Daulat tuanku."

Bermula akan Tun Kudu itu anak Bendahara Seri Wak Raja, saudara
Paduka Raja, telah diperisteri oleh Sultan Muzaffar Syah, terlalu baik
rupanya; tetapi matanya juling sedikit. Setelah didengar oleh Sultan
Muzaffar Syah Seri Nara Diraja mau akan Tun Kudu itu, sesaat itu juga
ditalak oleh baginda, dihantarkan ke rumah Paduka Raja, diberi
belanja, disuruh berhadir akan dikahwinkan dengan Sseri Nara Diraja.
…. Setelah sudah lepas idah maka Seri Nara Diraja pun duduklah
(dinikahkan) dengan Tun Kudu; maka menjadi fakatlah Seri Nara Diraja
dengan Paduka Raja; jadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi
…."
(Dipetik daripada, Sulalatus Salatin (Abdul Samad Ahmad) halaman 92-93).

Banyak pengajaran yang boleh kita sama-sama teladani daripada secebis
kisah di atas. Walaupun kisah tersebut telah berlaku ratusan tahun
yang lalu, namun ia masih relevan dengan apa yang sedang menimpa dan
dialami oleh bangsa Melayu hari ini. Sultan Muzaffar Syah adalah
seorang raja yang adil, bijaksana dan benar-benar berjiwa rakyat.
Ternyata baginda telah mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri
melebihi daripada kepentingan diri baginda sendiri. Baginda akan
lakukan apa sahaja asalkan negeri aman dan rakyat bersatu padu.

Hari ini, Orang Melayu kembali berpecah semula. Punca utama kepada
perpecahan yang sedang berlaku ialah kerana orang besar-besarnya tidak
mahu bermuafakat antara sesama mereka, sama seperti apa yang pernah
berlaku ratusan tahun lalu. Jikalau hal ini berterusan, maka sudah
pasti bangsa Melayu akan lemah, dan akhirnya untuk ke sekian kalinya
nanti, kita akan menjadi hamba di bumi sendiri. Semua kita amat
memahami akan kesan dan natijahnya, tetapi kita agaknya masih terlalu
ego dan sombong untuk meneladaninya.

Setelah menyaksikan apa yang sedang dialami oleh bangsa Melayu hari
ini dan setelah merenung kembali apa yang pernah berlaku kepada bangsa
yang sama ratusan tahun yang lalu, saya merasakan cebisan kisah di
atas mungkin ada sesuatu yang boleh dipedomankan daripadanya. Saya
tertanya-tanya kepada diri sendiri, siapakah Seri Nara Diraja dan
siapa pula Paduka Raja dalam kalangan orang besar-besar Melayu hari
ini? Raja mana pula yang benar-benar sanggup untuk menganugerahkan,
kalau tidak pun permaisurinya, puteri baginda pun jadilah, kepada sang
Seri Nara Diraja?

Setelah berfikir, saya merasakan hari ini Paduka Raja dan sang Seri
Nara Diraja bukan lagi seorang, mungkin dua orang, atau lebih.
Lagipun, sesetengah sang Seri Nara Diraja hari ini wajahnya sahaja
manusia, tetapi mereka bernafsu buaya. Jika demikian, jangankan
seorang, 10 orang perempuan pun belum pasti akan mencukupi.

Ratusan tahun lalu, orang Melaka bersatu berasaskan pengorbanan.
Orang besar-besarnya sanggup berkorban apa sahaja asalkan negeri kuat
dan selamat. Hari ini, pelbagai konsep, tema dan idea ke arah
perpaduan telah diketengahkan, tetapi ia masih gagal menyatukan bangsa
Melayu.

Bangsa Melayu: Jangan sampai layu dimamah masa.

1 comment:

puterimualim said...

Artikel ini memang sesuai dengan dalam suasana kepimpinan sekarang. Samada pemimpin atau rakyat. Siapapun yang mendakwa menjadi pemimpin yang dikatakan berjiwa rakyat atau yang adil, pastikan mereka pemimpin yang bertanggungjawab dan adil kerana takutkan Allah. Demikian juga rakyat yang taat kepada pemimpin mestilah rakyat yang taat kerana takutkan Allah.