Saturday, August 28, 2010

YB Oh YB

Beberapa bulan yang lalu, saya telah dihubungi oleh seorang Ahli Dewan Rakyat. Sehingga kini, sekitar 2 atau 3 kali wakil rakat berkenaan sudah menghubungi saya. Itu tidak dikira komunikasi menerusi SMS. Saya pernah bertemu, berjabat salam, berbicara dan makan semeja dengan wakil rakyat berkenaan dalam satu majlis kira-kira 12 tahun lalu. Pada masa itu, beliau belum lagi jadi wakil rakyat. Kali ini, walaupun beliau ada mempelawa saya untuk ke parlimen bertemu dengannya atas satu urusan, namun saya menolaknya kerana masa yang tidak begitu mengizinkan.


Salah satu perkara yang sempat dibincangkannya ketika berhubung dengan saya melalui telefon ialah mengenai usaha ke arah menyatukan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan. Beliau sempat mengutarakan satu dua hujah mengapa pada pandangan beliau semua NGO yang berkaitan perlu disatukan. Antaranya, kata beliau, bila semuanya disatukan maka mudah bagi pihak-pihak berkenaan terutamanya kerajaan untuk menghulurkan bantuan. Katanya lagi, ia juga lebih memudahkan bagi komuniti cacat penglihatan untuk mengutarakan pelbagai masalah, pandangan atau sebagainya yang berkaitan dengan golongan berkenaan. Selanjutnya, wakil rakyat berkenaan menyatakan, beliau akan cuba menganjurkan mesyuarat dengan semua pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan dalam masa terdekat. Objektif utamanya ialah untuk membincangkan isu penyatuan sebagaimana lontaran buah fikiran beliau kepada saya. Katanya lagi kepada saya, beliau sudah pun mendapat green light daripada seorang menteri untuk menganjurkan mesyuarat sebagaimana yang beliau hasratkan. Secara peribadi saya merasakan bahawa mesyuarat seperti mana yang dikatakan oleh wakil rakyat berkenaan mungkin akan berlaku juga tetapi bukan dalam masa yang terdekat. Maklumlah janji orang politik, bukannya boleh dipegang sangat!

Sekali fikir, memang hujah yang diutarakan oleh wakil rakyat berkenaan ada kebenarannya. Bak kata pepatah Melayu, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Apatah lagi dalam keadaan di mana komuniti cacat penglihatan di negara ini tidaklah sebesar mana. Oleh itu, idea yang telah dilontarkan oleh wakil rakyat berkenaan kepada saya ada kebenaran dan tampak kebaikannya.

Secara sepintas lalu, saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai badan-badan bukan kerajaan dalam komuniti OKU penglihatan di negara ini. Walau bagaimanapun, maklumat yang saya kongsikan ini sangat ringkas dan bersifat umum sahaja.

Untuk pengetahuan bersama, pada masa ini, ada sekurang-kurangnya 10 pertubuhan bukan kerajaan dalam kalangan komuniti cacat penglihatan di negara ini. Bayangkanlah, komunitinya tidaklah sebesar mana, tetapi ada sekitar 10 NGO yang mewakili ahli komuniti yang tidak sebesar mana itu. Sekali imbas, situasi seperti ini kurang menguntungkan golongan cacat penglihatan itu sendiri. Hal yang hampir serupa pernah juga ditimbulkan oleh sebilangan rakan saya yang berpenglihatan. Bahkan, bagi kebanyakan orang yang berpenglihatan, mereka turut tertanya-tanya bagaimana situasi sebegini boleh terjadi dalam kalangan golongan cacat penglihatan.

Antara NGO yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan termasuklah:

1. Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB);
2. Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM);
3. Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS);
4. Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCBM);
5. Sarawak Society For The Blind;
6. Sabah Society For The Blind;
7. Agape Services For The Blind (ASB);
8. Klab Sukan Dan Rekriasi Cacat Penglihatan Kuala Lumpur;
9. St. Nicholas Home.

Setiap NGO ini pula berbeza dari aspek objektif penubuhan masing-masing sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan setiap NGO berkenaan. Selain itu, ada juga NGO yang diasaskan khusus untuk mereka yang seagama seperti Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) atau untuk aktiviti keagamaan seperti Agape Services For The Blind (ASB) yang ditubuhkan khusus untuk menjalankan aktiviti yang berteraskan agama Kristian dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Di samping itu, ada juga NGO yang khusus untuk negeri-negeri tertentu seperti Sabah Society For The Blind dan juga Sarawak Society For The Blind.

Selain itu, ada juga NGO yang mana secara umumnya ditadbir oleh mereka yang berpenglihatan seperti MAB. MAB merupakan NGO tertua di negara kita. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1951 lagi. Manakala Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) pula merupakan sebuah NGO yang ditadbir dan diuruskan sepenuhnya oleh mereka yang tidak berpenglihatan. Pertubuhan ini sudah pun berusia 46 tahun. Keunikan pertubuhan ini ialah ia mempunyai cawangannya di hampir setiap negeri di Malaysia.

Satu lagi NGO yang perlu diberikan perhatian di sini ialah Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCBM). NGO ini sebenarnya bertindak sebagai payung kepada 5 NGO untuk golongan cacat penglihatan yang lain. Kelima-lima NGO yang dimaksudkan ialah MAB, SBM, Sabah Society For The Blind, Sarawak Society For The Blind dan St. Nicholas Home. Pada pandangan saya, kewujudan dan fungsi NCBM yang menaungi kelima-lima NGO di bawahnya lebih bersifat sebagai penyelaras daripada pengurus.

Dari sudut keahlian pula, adalah menjadi perkara biasa jika seseorang cacat penglihatan itu menjadi ahli bagi lebih daripada satu NGO. Setakat yang saya maklum, tiada dalam perlembagaan mana-mana NGO yang berkaitan golongan cacat penglihatan yang menghalang mana-mana ahlinya untuk menjadi ahli kepada NGO yang lain. Bahkan pernah suatu ketika dahulu, presiden SBM dan Yang Dipertua PERTIS merupakan orang yang sama. Hanya sejak akhir-akhir ini sahaja saya mula terdengar saranan daripada segelintir orang cacat penglihatan yang mengesyorkan supaya orang cacat penglihatan dihalang daripada menjadi ahli lebih daripada satu NGO. Saya penuh yakin bahawa cadangan sebegini bukan sahaja tidak popular bahkan ia juga tidak digemari oleh sebahagian besar golongan cacat penglihatan. Demikianlah serba ringkas mengenai NGO dalam kalangan golongan cacat penglihatan di negara kita.

Saya tidak berhasrat untuk membentangkan perkara-perkara yang menjadi sebab kepada wujudnya lebih dari satu NGO untuk golongan cacat penglihatan di negara ini. Ia memerlukan huraian serta kupasan yang panjang lebar. Persoalannya, sekiranya YB berkenaan benar-benar ikhlas dan berminat untuk menganjurkan mesyuarat sepertimana yang beliau hasratkan, maka tiga perkara yang seharusnya beliau ada, iaitu:

Pertama, beliau sepatutnya telah mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai latar belakang setiap NGO cacat penglihatan yang ada di negara ini.

Kedua, beliau juga sewajibnya mempunyai pengetahuan yang mendalam dan mencukupi mengenai sebab-musabab mengapa terdapat lebih dari satu NGO untuk golongan cacat penglihatan di negara ini.

Ketiga, beliau juga mesti sudah ada formula terbaik atau bentuk penyatuan yang boleh diterima oleh semua pihak untuk menyatukan kesemua NGO yang ada agar hasrat yang beliau ingin laksanakan itu benar-benar dapat direalisasikan dan tidak sekadar tinggal teori semata-mata.

Kini, setelah lebih dua bulan berlalu, saya tidak menerima sebarang perkhabaran mengenai usaha susulan yang bakal dilaksanakan oleh YB berkenaan. YB berkenaan bukan sahaja sepi dari menghubungi saya, bahkan ucapan salam Ramadhan saya menerusi SMS kepadanya pun tidak berjawab. Nampaknya yang semakin jelas realitinya ialah sepertimana yang saya nyatakan di atas, iaitu janji orang politik bukan boleh dipegang sangat!

Beberapa minggu yang lalu, seorang rakan yang juga salah seorang peneraju utama di sebuah NGO untuk OKU penglihatan di negara ini turut membincangkan perkara yang sama dengan saya. Namun begitu, beliau tidaklah sampai untuk menyatukan semua NGO cacat penglihatan yang ada di bawah satu badan tunggal. Menurutnya, beliau ingin menganjurkan satu mesyuarat untuk dihadiri oleh wakil semua NGO cacat penglihatan yang ada. Objektif utamanya ialah untuk berbincang supaya setiap NGO yang ada tidak menjalankan aktiviti yang bertindih. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mencari formula agar kesemua NGO yang ada dapat bersatu suara bila membabitkan isu-isu dan kepentingan golongan cacat penglihatan secara umum.

Pada pandangan saya, cadangan beliau ini baik dan realistik. Pandangan saya ini berdasarkan penelitian saya ke atas sebab-sebab wujudnya lebih dari satu NGO untuk golongan cacat penglihatan. Walau bagaimanapun, saya masih tunggu dan lihat perkembangan saranan dan cadangan beliau. Mudah-mudahan rakan saya ini berbeza daripada YB tadi.

Apa sudah jadi YB!!!

Salam dari Kuantan.

Friday, August 27, 2010

Genap Setahun Ismail Salleh Menghadap Ilahi

Pada 27 Ogos 2009, sekitar jam 5 pagi, saya menerima SMS yang memaklumkan bahawa Allahyarham YB Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Md Salleh telah meninggal dunia. Tatkala itu saya sekeluarga bangun untuk bersahur. Setelah mendapat pengesahan lanjut daripada penghantar SMS berkenaan, saya pun segera menyebarkan maklumat berkenaan menerusi SMS kepada beberapa orang lagi. Antaranya termasuklah kepada bekas guru Allahyarham, seorang dua pegawai di Bahagian Pendidikan Khas, beberapa orang AJK Pusat PERTIS serta beberapa orang rakan yang tersempat oleh saya.



Kini, genap setahun Allahyarham pergi menghadap Ilahi. Pergi yang tidak akan kembali. Hanya yang pasti, kita pasti akan menyusuli. Hanya masanya sahaja yang tidak kita ketahui.

Semasa hayatnya, Allahyarham Ismail telah berjaya melakar sejarah kegemilangan tersendiri yang sukar ditandingi. Beliau merupakan antara orang cacat penglihatan terawal yang berjaya memperoleh ijazah doktor falsafah (phD). Beliau juga merupakan antara pakar ekonomi yang disegani dalam dan luar negara. Kemuncak kepada kerjayanya ialah apabila beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (senator) pada 18 Disember 2007. Beliau merupakan orang kelainan upaya (OKU) pertama yang dilantik sebagai senator di negara kita.

Peribahasa Melayu ada mengatakan, yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Walau bagaimanapun, peribahasa tersebut setakat ini tidak berlaku setelah pemergian Allahyarham Ismail Salleh. Pada penelitian saya, setakat ini, belum ada tokoh dalam kalangan OKU yang dapat menandingi lakaran sejarah yang telah dilalui oleh Allahyarham Ismail Sallleh.

Semoga roh Allahyarham sentiasa dalam rahmat Ilahi.

Saturday, August 21, 2010

Selamat Datang Ke Dunia Siber

Dunia siber dalam kalangan golongan cacat penglihatan kian bersemarak. Kali ini, saya ingin memperkenalkan seorang lagi warga baru dunia siber dalam kalangan orang cacat penglihatan. Blogger baru yang saya maksudkan ialah Tan Ee Beng. Beliau merupakan pelajar di tingkatan 4A di sekolah tempat saya bertugas.



Pelajar yang berpenglihatan terhad (rabun) ini merupakan seorang pelajar yang rajin dan tekun dalam pelajaran. Di dalam kelas, adakalanya beliau akan bertanyakan soalan-soalan yang boleh menguji minda. Ini menunjukkan beliau seorang yang berpengetahuan agak baik.

Selain itu, Tan Ee Beng juga sudah mula menggunakan kemajuan ICT untuk manfaat pelajarannya. Sudah beberapa kali beliau menghantar tugasannya kepada saya melalui email. Walau bagaimanapun, kerancakan penggunaan ICT sebagai kaedah untuk menghantar tugasan agak terganggu buat masa ini kerana kemudahan internet sekolah yang tidak begitu memberangsangkan.

Kepada Tan Ee Beng, diucapkan selamat datang ke dunia maya, satu dunia yang tiada sempadan. Sebenarnya sempadan dunia maya diukur menerusi pengetahuan kita sendiri mengenai dunia tersebut. Sebagai golongan yang tidak berpenglihatan, penerokaan dunia siber merupakan kaedah terbaik untuk kita akses dengan pelbagai maklumat. Ia juga merupakan kaedah terbaik untuk kita melontarkan pandangan, pendapat serta buah fikiran kita mengenai apa sahaja topik dan isu. Jadilah warga siber yang berani dan bertanggungjawab. Jangan sekali-kali menjadi warga siber upahan dan murahan.

Kepada sesiapa yang berminat untuk berkunjung ke laman sesawang Tan Ee Beng, sila layari http://www.mejalogam.blogspot.com, atau klik (enter untuk pengguna perisian pembaca skrin) pada Tan Ee Beng yang tersenarai pada Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan di blog ini.

Friday, August 13, 2010

Salam Ramadhan

Hari ini (13 Ogos) merupakan hari ketiga umat Islam di Malaysia mengerjakan ibadah puasa. Walaupun sudah di hari ketiga, rasanya tidak terlewat untuk saya mengucapkan salam Ramadhan serta selamat berpuasa khususnya kepada para pengunjung blog ini dan juga kepada sekalian muslimin. Saya lewat postingkan catatan ini bukan kerana saya tak nampak anak bulan Ramadhan, seperti biasalah, tugasan dan tanggungjawab yang agak banyak serta jadual harian yang agak penuh menyebabkan saya kesuntukan masa untuk menukilkan catatan. Rasanya lebih baik lewat begitu daripada saya Copy And Paste ucapan salam Ramadhan tahun lalu.

Marilah bersama-sama kita rebut kesempatan yang masih diberi Allah untuk bertemu Ramadhan kali ini dengan memeriahkannya dengan apa jua ibadah sunat yang sesuai dan termampu oleh kita. Tidak ada di antara kita yang pasti akan bertemu dengan Ramadhan yang selanjutnya. Kalau kita renungkan, ada dalam kalangan saudara-mara atau rakan taulan kita yang telah bersama-sama kita pada Ramadhan lalu, tetapi tidak lagi menyertai kita pada Ramadhan kali ini lantaran telah dijemput Ilahi. Mungkin itu juga yang akan kita lalui pada Ramadhan yang akan datang .... mungkin!

Pada Ramadhan kali ini, seperti ramadhan yang lepas-lepas juga, saya sekeluarga menyambutnya dengan penuh kesyukuran kerana diberikan peluang untuk ke sekian kalinya oleh Allah untuk bertemu dengan bulan yang paling mulia di sisi-Nya. Luqman pula puasanya sudah stabil. Bangun sahur tiada masalah setakat ini. Doa saya semoga Luqman akan terus istiqamah dan stabil dengan ibadah puasanya.

Kepada yang telah menghantar ucapan selamat menyambut Ramadhan kepada saya khasnya menerusi SMS, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Kepada semua, selamat menyambut Ramadhan 1431 Hijrah.

Friday, August 6, 2010

Bicara Jumaat

Masjid Pulau Tawar




Masjid Pulau Tawar yang merakamkan detik sejarah penuh suka dan duka masih wujud hingga ke hari ini di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Usianya hampir 200 tahun. Dari bandar Jerantut ke Pulau Tawar, kira-kira 30 minit perjalanan, suasana kehidupan tradisional masyarakat Melayu yang bermastautin di pesisiran Sungai Pahang masih tebal. Malah degup sejarah serta nostalgia abad ke-18 dan 19 seolah-olah baru sahaja berlalu.

Masjid lama itu terletak berdekatan tebing Sungai Pahang. Kewujudan masjid lama di situ berkaitan sejarah kepahlawanan Melayu Tok Gajah, Mat Kilau, dan para pengikutnya kerana di situlah tercetusnya kebangkitan semangat nasionalisme menentang penjajah Inggeris di Pahang.

Namun begitu masjid lama itu lebih sinonim berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu serta syiar Islam bermula dari kurun ke-18 hingga awal tahun 1970-an. Perkembangan institusi pengajian pondok di Pulau Tawar berhubung rapat dengan masjid lama itu. Disitulah markas tempat berkumpulnya tokoh ulama terkenal yang berasal dari Sumatera seperti Allahyarham-Allahyarham Imam Malim, Imam Ahmad, Imam Haji Abd Rahim,Imam Daud dan Imam Yahya. Menurut Ismail, masjid lama itu berperanan menyebarkan dakwah Islamiah. Malahan banyak pelajar dari seluruh Jerantut, Kelantan dan Terengganu datang belajar di situ pada kurun ke-18. Menurut keterangan orang-orang tua, tapak asal pembinaan masjid lama itu dilakukan oleh Imam Perang Rasu (Tok Gajah), Mat Kilau serta orang-orang Melayu PulauTawar pada awal tahun 1880-an. Masjid lama itu kemudiannya dibangunkan dengan wajah baru pada tahun 1923 tetapi tetap mengekalkan perspektif seni bina tradisional yang menggunakan kayu dan pelupuh dari hutan tempatan. Dalam buku Sejarah Pahang ada menceritakan pembesar British, HughClifford, pernah mendarat di tebing berdekatan masjid itu untuk mengadakan perundingan dengan Mat Kilau dan Tok Gajah serta penduduk Pulau Tawar.

Di masjid lama Pulau Tawar itulah berlaku sejarah pengistiharan diri Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau, pada 26 Disember 1969 setelah menghilangkan diri buat sekian lama. Ismail berkata, sebelum mengisytiharkan dirinya pada hari Jumaat, Mat Kilau pernah beberapa kali singgah di masjid itu menyamar sebagai peniaga dan orang luar.


(Dipetik dan diolah daripada: http://akuanakpahang.blogspot.com dan www.journeypahang.com/2009)

Thursday, August 5, 2010

Beseri Sudah Keluar Hospital

Sekitar jam 9.30 malam sebentar tadi, saya sempat menghubungi Saudara Beseri. Bukannya apa, sekadar hendak bertanya khabar sahaja. Beliau memberitahu saya, beliau sudah pun keluar hospital pada hari Selasa lalu. Katanya lagi, anak tunggalnya yang menguruskan beliau masuk dan keluar hospital. Beliau menambah, keadaannya buat masa ini agak sihat sedikit. Kata Beseri lagi, menurut doktor, kali ini beliau dimasukkan ke hospital kerana kandungan garam rendah. Saudara Beseri telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Sabtu malam lalu.

Semoga Saudara Beseri akan terus sihat untuk menjalani hidup yang penuh berliku ini. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang selama ini telah menunjukkan sikap prihatin masing-masing kepada rakan kita yang seorang ini.

Tuesday, August 3, 2010

Kami Memancing Lagi



Pada 30 Julai (Jumaat) lalu, iaitu selepas asar, saya sekeluarga sekali lagi telah ke ladang milik abang ipar saya yang terletak di Kerdau, Temerloh, Pahang. Kami sekeluarga telah menghabiskan masa dengan berhujung minggu di dalam ladang berkenaan. Tujuan utama kami ialah untuk pergi memancing sekali lagi. Maklumlah, aktiviti memancing tempoh hari walaupun menjadi tapi tidak mengena. Jadi rasa geram masih meluap-luap dan tak pernah kunjung padam. Kali ini, selain saya sekeluarga, 4 ipar saya beserta keluarga masing-masing turut serta. Ini telah menambah kemeriahan suasana.



Untuk memudahkan saya memancing, kali ini abang ipar saya telah menyediakan joran khas untuk saya. Hujung joran berkenaan dipasang loceng kecil. Jadi, bila ada ikan yang menarik tali kail maka loceng tersebut akan menghasilkan bunyi.



Di samping itu, untuk memudahkan teknik memancing, maka di gigi air dibuat palang kecil daripada kayu. Tujuannya ialah supaya joran boleh diletakkan pada palang kayu berkenaan agar ia lebih stabil. Kalau saya memegang joran berkenaan sepenuhnya, ia mungkin tidak berapa stabil. Bila tidak stabil, loceng mungkin akan berbunyi juga walaupun belum ada ikan yang menarik tali kail berkenaan. Bila joran berkenaan stabil, loceng yang dipasang hanya akan berbunyi bila tali kail ditarik oleh ikan. Kreatif juga abang ipar saya walaupun tak pernah berkursus dalam pendidikan khas!



Pada pagi Sabtu, dengan semangat yang lebih berkobar-kobar, saya sekeluarga pun turunlah ke kolam ikan untuk memancing. Kali ini, kami turun lebih awal lagi, sekitar jam 9.00 pagi kami sudah mula memancing.

Seperti sebelumnya, Kak Ha (biras saya), tetap setia di sisi saya. Selain untuk memberi semangat, Kak Ha akan membantu saya untuk mengisi umpan baru bila ianya kehabisan.



Luqman pula kali ini lebih berdisiplin bila memancing. Dia tidak banyak cakap seperti sebelumnya. Agaknya mungkin kali ini semuanya lebih menjadi, tidak berapa lama, Luqman menjerit keriangan bila kailnya mengena. Selang tak berapa ketika, Luqman menjerit keriangan lagi. Kailnya mengena lagi.



Manakala loceng pada joran saya sepi tak berbunyi. Sudah beberapa kali saya mengangkat kail saya untuk diisi dengan umpan yang baru. Kak Ha terus meminta saya supaya banyakkan sabar. Katanya, memancing memang begitu.



Akhirnya, setelah agak lama bersabar, saya terdengar bunyi kecil loceng pada kail saya. Rupa-rupanya kail saya mengena juga. Seekor ikan yang sederhana besarnya berjaya ditarik naik ke atas. Saya bersorak kegembiraan. Luqman marah-marah, katanya, kalau bising sangat nanti ikan tak mahu timbul.

Bila kail mula mengena, semangat semakin berkobar-kobar. Saya merasakan masa semakin cepat berlalu. Tak berapa lama, kail saya mengena lagi. Saya bersorak lagi. Luqman marah-marah lagi.

Nasib Luqman lebih baik lagi. Kailnya sering mengena. Luqman riang sekali bila melihat kailnya mengena. Setiap kali kailnya mengena, Luqman juga akan turut bersorak kegembiraan.



Isteri saya juga turut bernasib baik kali ini. Kailnya juga turut mengena. Tapi bila kailnya mengena, dia tidaklah bersorak kuat macam saya dan Luqman.



Sekitar jam 11.30, bila matahari semakin terik barulah kami mula berhenti memancing. Saya dapat ikan antara 5 ke 10 ekor. Luqman pula dapat sekitar 20 ekor. Isteri saya juga turut mendapat tapi entah berapa ekor. Oleh kerana seronoknya memancing kali ini, maka rancangan asal saya untuk membuat lawatan terkejut ke PERTIS Pahang pada pagi Sabtu telah terbatal dengan sendirinya.

Mungkin kerana joran dan teknik memancing untuk saya kali ini lebih sesuai, maka keseronokan yang saya rasakan dalam aktiviti memancing kali ini lebih menyeronokkan. Berbeza dengan pengalaman pertama yang telah saya lalui 4 minggu yang lalu.

Nampaknya saya semakin seronok dengan tempat ini. Suasananya yang aman, nyaman dan jauh dari hiruk-pikuk ibu kota cukup merehatkan minda dan tubuh badan. Rasanya, kalau hendak berhujung minggu, kami sekeluarga tak perlu lagi mencari resort lain. Datang ke sini sudah cukup mendamaikan. Bunyi kicauan pelbagai spesies burung pada waktu siang serta unggas malam tatkala dinihari cukup mententeramkan. Kalaulah saya seorang pujangga, tentulah tempat sebegini merupakan lubuk ilham yang tidak terperikan lagi.

Saya amat bersyukur ke hadhrat Allah Yang Maha Esa kerana keluarga sebelah isteri saya sentiasa meraikan saya tanpa rasa jemu dan bosan. Situasi sebegini telah mulai saya rasai sejak hari pertama saya menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Mudah-mudahan ia akan terus berpanjangan, insha-Allah. Saya sentiasa berdoa semoga Allah akan merahmati mereka semua setiap ketika, dari dunia sampai akhirat.

Hidup ini pasti akan lebih indah jika pengalaman kita lebih pelbagai.

Monday, August 2, 2010

Seronoknya Bila Mengunjungi Laman Sesawang Kawan-kawan Yang Senasib

Teknologi komunikasi Maklumat (ICT) benar-benar telah mengubah dunia kita. Teknologi ini telah menjadikan dunia ini semakin kecil dan konsep “dunia tanpa sempadan” benar-benar tampak realitinya. ICT juga telah “mencelikkan” dunia golongan cacat penglihatan. Dengan ICT, golongan ini berupaya untuk meneroka alam siber dengan lebih bebas dan terbuka. Walaupun pergantungan kita kepada penglihatan orang lain khususnya untuk meneroka dunia maklumat tidak mungkin berada pada tahap kosong, setidak-tidaknya ia telah dapat diminimumkan. Demikianlah agung dan ajaibnya qudrat Yang Maha Pencipta, tiada pernah terfikir oleh kita sebelum ini.

Perkembangan teknologi ICT dalam kalangan golongan cacat penglihatan mula memasuki fasa yang membanggakan apabila golongan tersebut berjaya melayari alam siber secara solo. Walaupun kemampuan kita masih terbatas kerana masih belum berkeupayaan penuh untuk memanfaatkan unsur-unsur grafik, namun demikian, kemampuan kita untuk menerima dan menghantar email, membaca pelbagai surat khabar sama ada terbitan dalam negeri mahupun terbitan luar negara serta berkemampuan menatap pelbagai laman web telah menjadikan dunia kita lebih bebas, luas, bermaklumat dan terkini. Kita semakin terhidang dengan pelbagai bahan daripada pelbagai sumber yang digarap oleh pelbagai jenis insan. Kemampuan kita untuk menapis, menerima mana-mana yang bermanfaat dan menolak mana-mana yang mudarat kian teruji.

Kemajuan teknologi ICT juga telah membolehkan kita berinteraksi antara satu sama lain secara lebih bebas dan jauh. Ianya tidak lagi terbatas hanya sesama rakan dan kawan yang kita kenali semata-mata. Interaksi yang berlaku kini sudah melangkaui pelbagai sempadan dan sudah berjaya melepasi pelbagai tembok penghalang yang wujud sebelum ini. Acap kali juga berlaku di mana, orang yang berinteraksi dengan kita itu bukan sahaja belum kita kenali, bahkan jika tidak dimaklumkan, mereka juga tidak menyangka bahawa kita adalah insan yang tiada penglihatan. Demikianlah hebat dan takjubnya gara-gara kepesatan kemajuan teknologi ICT masa kini.

Kini, ramai golongan cacat penglihatan sudah mampu mempunyai dan mengendalikan blog sendiri. Oleh kerana pengendali blog itu pula terdiri daripada pelbagai latar belakang dalam pelbagai aspek, maka ia turut menjadikan blog kendalian kita juga bersifat pelbagai dan beraneka. Selain itu, saya berpendapat, bilangan golongan cacat penglihatan yang mempunyai laman facebook lebih ramai. Ini mungkin kerana laman ini lebih menarik, santai dan tidak memerlukan kemahiran bahasa yang tinggi untuk mengendalikannya.

Sebenarnya, senarai blog kendalian golongan cacat penglihatan yang dipautkan menerusi blog ini bukan merupakan bilangan sebenar blog kendalian golongan cacat penglihatan yang ada di negara ini. Jumlahnya mungkin lebih banyak dari itu. Masih ada lagi laman sesawang berkenaan yang belum berkesempatan untuk saya pautkan menerusi blog ini atas beberapa sebab. Namun begitu, Insha-Allah, saya sedaya upaya akan cuba memautkan sebanyak mungkin blog kendalian golongan cacat penglihatan menerusi blog ini untuk manfaat kita bersama.

Bila membaca blog kendalian kawan-kawan senasib, terbukti bahawa hidup kita sebenarnya indah dengan warna-warni pengalaman yang pelbagai. Persepsi sebahagian masyarakat, khususnya orang Melayu yang bertanggapan bahawa dunia orang buta macam “katak di bawah tempurung” ternyata meleset sama sekali. Buktinya, setiap laman blog kendalian rakan-rakan senasib memaparkan kisah, cerita, pengalaman serta punya tahap pengetahuan dan kemahiran yang berbeza-beza. Yang masih tinggal dan terkongkong di bawah tempurung ialah persepsi sesetengah ahli masyarakat kita terhadap golongan yang tidak berpenglihatan.

Bila kita berkunjung ke laman-laman sesawang kendalian golongan cacat penglihatan, macam-macam cerita dan perkara yang dapat kita tatap, baca, kongsi dan perolehi. Ada yang gemar berkongsi pelbagai pengetahuan, dari perkara mengenai lemon, kesihatan, perundangan, motivasi, masakan, keagamaan, hinggalah kepada hal-hal yang berkaitan dengan seksual. Ada pula yang berkongsi pengetahuan mengenai orang terkaya di dunia masa kini. Yang belum kaya ialah blogger yang berkongsikan maklumat berkenaan. Tidak kiralah sama ada maklumat yang dikongsikan itu diperoleh daripada pembacaan, atau dikutip daripada laman sesawang orang lain, selagi ia mempunyai unsur pengetahuan dan bermanfaat kepada orang lain, maka perkongsian sedemikian tiada salahnya. Secara etikanya, jika maklumat itu diambil daripada apa sumber sekalipun, maka jangan lupa untuk menyatakan sumber maklumatnya sekali.

Ada juga yang gemar berkongsi mengenai pengalaman hidup masing-masing. Ini termasuklah pengalaman menjadi pengantin baru, pengalaman sukar untuk mencari kerja hanya semata-mata kerana buta, pengalaman cuba diganggu oleh pemandu teksi, pengalaman sukar mencari jodoh, pengalaman sewaktu di alam persekolahan, pengalaman tatkala di menara gading, pengalaman sewaktu membesarkan anak, pengalaman ketika kena tindakan disiplin di sekolah, pengalaman ketika kehilangan orang yang disayang, pengalaman sewaktu bercinta, dan macam-macam lagi. Kepelbagaian pengalaman ini menunjukkan bahawa hidup insan seperti kita bukannya statik dan tidak pula bersifat steriotype.

Bagi saya, antara yang menarik ialah pengalaman mereka yang hilang penglihatannya setelah dewasa. Mereka yang hilang penglihatannya setelah dewasa sebenarnya mempunyai dua pengalaman yang sangat berbeza, iaitu sewaktu masih berpenglihatan dan setelah hilang penglihatan. Kedua-dua pengalaman berharga dan penuh makna ini diharungi secara sedar dan adakalanya cukup menyedarkan. Hanya golongan seperti ini sahaja yang lebih merasai betapa peritnya bila jadi buta, kerana mereka pernah merasai nikmat penglihatan dan kini mereka juga melalui dunia tanpa penglihatan. Oleh kerana saya sendiri tidak pernah melihat sebelum ini, maka saya tidak mengetahui bagaimana besarnya nikmat penglihatan itu. Hari ini, mereka yang ditakdirkan hilang penglihatannya. Esok lusa, kita tak tahu takdir sedemikian akan menimpa siapa pula.

Ada juga rakan-rakan senasib yang menggunakan laman sesawang masing-masing sebagai medium pengiklanan. Ini juga sesuatu yang menarik dan praktikal. Ada yang mengiklankan biskut untuk hari perayaan. Ada juga yang mempromosikan pusat urut masing-masing. Ada juga yang memaklumkan mengenai pelbagai jenis minyak wangi untuk ditempah. Ada pula yang mengiklankan khidmat pinjaman wang. Iklankanlah apa sahaja sekalipun, asalkan jangan palsu dan jangan menipu sudahlah. Kerana kalau kita membuat iklan palsu dan menipu, bila pecah temelang, kita semua yang malu. Bak kata pepatah orang-orang tua, kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Kalau kepalsuan dan penipuan itu kronik, nanti dikatakan orang pula, sudahlah buta, penipu pula.

Ada juga pengendali laman sesawang cacat penglihatan yang gemar menulis atau menyiarkan tulisan berkenaan politik. Ini pun sesuatu yang bagus. Maknanya golongan cacat penglihatan bukanlah golongan yang buta politik. Bahkan ada juga yang semacam cenderung kepada kumpulan siasah tertentu. Sebagai warganegara, hal seperti itu tidak salah selagi parti siasah yang berkenaan halal di sisi undang-undang negara. Ini membuktikan bahawa golongan kita punyai pelbagai minat, pengetahuan, kemahiran dan pendapat mengenai pelbagai aspek kehidupan. Sama ada orang lain suka atau tidak, itu soal lain. Sama ada tulisannya bernas atau sekadar macam tong kosong sahaja, itu terpulang kepada penilaian masing-masing. Soalnya, sebagai manusia, kita juga berhak untuk mempunyai minat kita sendiri dan mengongsikannya pula dengan mereka yang sudi. Kalau kita punya kemampuan dan keyakinan yang tinggi, esok lusa boleh pula menceburi bidang politik secara aktif dan sepenuh masa. Jadi, segala falsafah politik yang kita pegang selama ini tidaklah tinggal teori semata-mata. Tapi, kalau hendak jadi ahli politik sepenuh masa, kita kena istiqamah, berpedoman dan berpendirian. Kita juga harus berkemampuan untuk menjadi mufakir yang futuristik. Kalau sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja, falsafah dan teori politik yang kita ada itu hanya layak jadi bahan untuk syok sendiri sahaja.

Golongan pelajar sekolah yang cacat penglihatan juga tidak terkecuali daripada mendapat manfaat daripada kemajuan ICT. Bilangan yang mempunyai dan mengendalikan blog sendiri semakin bertambah dari semasa ke semasa. Ramai juga pelajar sekolah yang punyai laman facebook sendiri. Sebagai orang dewasa, kita jangan sekali-kali menghalang mereka untuk terjun ke alam siber. Apa yang harus kita lakukan ialah, mendidik mereka supaya menjadi warga siber yang beretika, mumaiyiz dan berakal. Saya memang gemar mengunjungi laman sesawang anak-anak murid saya. Dengan meneliti hasil tulisan dan juga isi kandungan laman sesawang mereka, saya akan lebih mengenali personaliti mereka dengan lebih telus dan lebih tulus lagi.

Pelajar sekolah yang belum mahir dengan komputer juga tidak mahu ketinggalan dengan dunia siber. Saya turut mendapat maklumat, ada pelajar sekolah yang punya laman facebook sendiri tetapi hakikat sebenarnya menaip pun masih lagi macam ayam patuk beras. Jadi terpaksalah bergantung sepenuhnya dengan kawan-kawan lain untuk mengendalikan laman facebooknya. Apa nak buat, minat punya fasal. Buatlah apa saja, asalkan puas. Di sini, pihak-pihak yang berkenaan harus bertindak secara lebih proaktif supaya golongan pelajar sekolah terutamanya yang totally blind tidak ketinggalan jauh berbanding dengan rakan-rakan sebaya mereka yang berpenglihatan terhad.

Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai golongan cacat penglihatan yang sudah mempunyai radio internet sendiri, sama ada secara individu mahupun dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Boleh dikatakan, kebanyakan radio internet kendalian mereka banyak menyiarkan pelbagai lagu. Ada juga yang menyiarkan ceramah. Bahkan, setakat yang saya maklum, mesyuarat agung tahunan dua badan bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan golongan cacat penglihatan pada tahun ini telah disiarkan secara langsung menerusi radio internet kendalian NGO yang berkenaan. Konsep radio internet ini agak kurang dikenali oleh rakan-rakan saya yang berpenglihatan. Mungkin kerana mendengar tanpa dapat melihat macam TV kurang menarik bagi mereka.

Dunia siber juga turut menyerlahkan pelbagai perwatakan pengendali laman sesawang dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Ada yang gemar mengkritik orang lain. Ada pula yang melenting bila kena kritik dengan orang lain. Ada juga yang perasan kononnya dia sudah popular hanya kerana ada blog sendiri. Ada juga yang terperasan kononnya blognya sudah cukup masyhur hanya semata-mata blogger idolanya seorang yang cukup tersohor. Ada juga yang kadangkala suka menimbulkan gimik dan polimik. Namun begitu, ada juga pengendali laman sesawang cacat penglihatan yang berperwatakan macam resmi padi. Walaupun laman sesawangnya terkenal dan ramai followers, tetapi pemilik laman sesawang berkenaan tetap merendah diri. Dalam diam, saya juga turut mengkagumi mereka.

Sesungguhnya, menerusi kemajuan ICT, golongan cacat penglihatan telah berjaya mengubah minda dan cara berfikir kebanyakan kita. Pengalaman dan pengetahuan yang dipaparkan membuktikan bahawa dunia golongan cacat penglihatan lebih luas daripada apa yang disangkakan, seluas alam siber itu sendiri. Boleh dikatakan, semuanya dilakukan atas daya usaha sendiri. Selama ini pun, kitalah yang harus menimba ilmu mengenai ICT secara bersendirian, terutamanya menerusi kaedah try and error. Setidak-tidaknya kita berubah juga walaupun dalam susah-payah dan perit jerih. Bagi saya, yang sukar untuk diubah ialah persepsi sebahagian besar golongan berpenglihatan terhadap orang seperti kita. Rata-rata mereka tetap berpegang teguh kepada tanggapan “kalau sudah buta tu, butalah juga”. Saya tidak prejudis kepada mana-mana pihak, tetapi pengalaman sendiri dan juga perkongsian pengalaman dengan rakan-rakan senasib yang lain dari semasa ke semasa menjelaskan bahawa persepsi sebegini yang sudah kukuh berakar tunjang dalam masyarakat kita sememangnya sukar untuk diubah.

Sunday, August 1, 2010

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Sebentar tadi, apabila saya mengunjungi laman sesawang salah seorang anak murid saya, saya mendapat maklumat bahawa ada seorang lagi anak murid saya yang baru sahaja mempunyai blognya sendiri. Anak Murid yang saya maksudkan ialah Low Kian Tat.



Low Kian Tat ialah pelajar tingkatan 5 tahun ini. Dunia pembelajaran yang telah beliau tempuhi semasa di sekolah ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Pembelajarannya di sekolah ini telah bermula apabila beliau ditempatkan di kelas D, iaitu semasa di tingkatan 1. Kini dengan berkat usahanya yang tidak pernah kenal jemu dan bosan, akhirnya beliau telah berjaya menempatkan dirinya di kelas B.

Saya sempat mengunjungi blognya dan telah mengikuti tulisannya. Beliau baru sahaja melalui suatu pengalaman yang cukup bermakna bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk jadi iktibar, panduan dan motivasi buat kita semua.

Kepada Low Kian Tat, diucapkan selamat datang ke dunia maya. Kepada Lok Weng Hang, terima kasih diucapkan kerana berkongsi info ini.

Kepada sesiapa yang berminat untuk berkunjung ke laman sesawang Low Kian Tat, sila layari http://www.nightangel-kian.blogspot.com, atau klik (enter untuk pengguna perisian pembaca skrin) pada low kian tat yang tersenarai pada Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan di blog ini.

Mari sama-sama kita semarakkan dunia siber!

Beseri Masuk Hospital Semula

Pagi tadi, sekitar jam 8.57 pagi, Kak Milah, Isteri kepada Saudara Beseri Ahmad ada menghubungi saya dan memaklumkan bahawa Beseri telah dimasukkan ke Hospital malam tadi. Oleh kerana pada ketika itu saya masih lagi berada di ladang abang ipar saya di Kerdau, Temerloh, maka saya tidak dapat menziarahi Saudara Beseri. Saya juga tidak dapat memasukkan berita ini ke dalam blog ini dengan kadar lebih segera kerana tiadanya internet connection di ladang abang ipar saya. Kata Kak Milah lagi, pada masa ini, tiada sesiapa yang dapat menguruskan Saudara Beseri. Lagipun, anak tunggal mereka harus bekerja pada hari minggu ini.

Kemudiannya, sekitar jam 2.22 petang, sekali lagi Kak Milah menghubungi saya. Katanya, Beseri telah pun dipindahkan ke wad lain. Katanya lagi, pada masa ini Beseri ditempatkan di Wad 2, Tingkat 2, Menara Timur, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kak Milah memohon jasa baik kawan-kawan yang berkelapangan supaya dapat menziarahi Saudara Beseri di hospital. Setidak-tidaknya ia akan dapat memberi semangat kepada Saudara Beseri.

Di sini, saya juga suka mengambil kesempatan untuk menyeru kepada sesiapa sahaja yang mengenali Saudara Beseri, atau sesiapa sahaja yang prihatin dengan musibah yang sedang menimpa sahabat kita ini, untuk menghulurkan apa sahaja bentuk bantuan kepadanya. Kalau mampu sedikit, kita bantulah sedikit, kalau mampu bantu lebih banyak, itulah yang sebaik-baiknya untuk kita dan untuk keluarga Saudara Beseri.

Saya pernah menulis mengenai Saudara Beseri beberapa kali menerusi blog ini. Kalau saya tulis hal yang sama berulang kali walaupun ianya dirasakan patut, tetapi ia mungkin akan menjemukan pihak lain pula. Kalau Saudara Beseri pernah menghiburkan ramai orang suatu masa dahulu, kini mengapa kita harus membiarkan beliau menangis sorang-sorang.

Sekali lagi saya memohon agar marilah kita semua sama-sama membantu Saudara Beseri. Permohonan ini saya tujukan khusus kepada rakan-rakan rapat Beseri yang berkemampuan dan juga kepada institusi yang suatu ketika dahulu pernah harum namanya kerana bakat besar yang ada pada Saudara Beseri.

Inilah nasib yang sering menimpa kepada insan buta yang berbakat besar dalam bidang muzik seperti Saudara Beseri.