Pada 30 Julai (Jumaat) lalu, iaitu selepas asar, saya sekeluarga sekali lagi telah ke ladang milik abang ipar saya yang terletak di Kerdau, Temerloh, Pahang. Kami sekeluarga telah menghabiskan masa dengan berhujung minggu di dalam ladang berkenaan. Tujuan utama kami ialah untuk pergi memancing sekali lagi. Maklumlah, aktiviti memancing tempoh hari walaupun menjadi tapi tidak mengena. Jadi rasa geram masih meluap-luap dan tak pernah kunjung padam. Kali ini, selain saya sekeluarga, 4 ipar saya beserta keluarga masing-masing turut serta. Ini telah menambah kemeriahan suasana.
Untuk memudahkan saya memancing, kali ini abang ipar saya telah menyediakan joran khas untuk saya. Hujung joran berkenaan dipasang loceng kecil. Jadi, bila ada ikan yang menarik tali kail maka loceng tersebut akan menghasilkan bunyi.
Di samping itu, untuk memudahkan teknik memancing, maka di gigi air dibuat palang kecil daripada kayu. Tujuannya ialah supaya joran boleh diletakkan pada palang kayu berkenaan agar ia lebih stabil. Kalau saya memegang joran berkenaan sepenuhnya, ia mungkin tidak berapa stabil. Bila tidak stabil, loceng mungkin akan berbunyi juga walaupun belum ada ikan yang menarik tali kail berkenaan. Bila joran berkenaan stabil, loceng yang dipasang hanya akan berbunyi bila tali kail ditarik oleh ikan. Kreatif juga abang ipar saya walaupun tak pernah berkursus dalam pendidikan khas!
Pada pagi Sabtu, dengan semangat yang lebih berkobar-kobar, saya sekeluarga pun turunlah ke kolam ikan untuk memancing. Kali ini, kami turun lebih awal lagi, sekitar jam 9.00 pagi kami sudah mula memancing.
Seperti sebelumnya, Kak Ha (biras saya), tetap setia di sisi saya. Selain untuk memberi semangat, Kak Ha akan membantu saya untuk mengisi umpan baru bila ianya kehabisan.
Luqman pula kali ini lebih berdisiplin bila memancing. Dia tidak banyak cakap seperti sebelumnya. Agaknya mungkin kali ini semuanya lebih menjadi, tidak berapa lama, Luqman menjerit keriangan bila kailnya mengena. Selang tak berapa ketika, Luqman menjerit keriangan lagi. Kailnya mengena lagi.
Manakala loceng pada joran saya sepi tak berbunyi. Sudah beberapa kali saya mengangkat kail saya untuk diisi dengan umpan yang baru. Kak Ha terus meminta saya supaya banyakkan sabar. Katanya, memancing memang begitu.
Akhirnya, setelah agak lama bersabar, saya terdengar bunyi kecil loceng pada kail saya. Rupa-rupanya kail saya mengena juga. Seekor ikan yang sederhana besarnya berjaya ditarik naik ke atas. Saya bersorak kegembiraan. Luqman marah-marah, katanya, kalau bising sangat nanti ikan tak mahu timbul.
Bila kail mula mengena, semangat semakin berkobar-kobar. Saya merasakan masa semakin cepat berlalu. Tak berapa lama, kail saya mengena lagi. Saya bersorak lagi. Luqman marah-marah lagi.
Nasib Luqman lebih baik lagi. Kailnya sering mengena. Luqman riang sekali bila melihat kailnya mengena. Setiap kali kailnya mengena, Luqman juga akan turut bersorak kegembiraan.
Isteri saya juga turut bernasib baik kali ini. Kailnya juga turut mengena. Tapi bila kailnya mengena, dia tidaklah bersorak kuat macam saya dan Luqman.
Sekitar jam 11.30, bila matahari semakin terik barulah kami mula berhenti memancing. Saya dapat ikan antara 5 ke 10 ekor. Luqman pula dapat sekitar 20 ekor. Isteri saya juga turut mendapat tapi entah berapa ekor. Oleh kerana seronoknya memancing kali ini, maka rancangan asal saya untuk membuat lawatan terkejut ke PERTIS Pahang pada pagi Sabtu telah terbatal dengan sendirinya.
Mungkin kerana joran dan teknik memancing untuk saya kali ini lebih sesuai, maka keseronokan yang saya rasakan dalam aktiviti memancing kali ini lebih menyeronokkan. Berbeza dengan pengalaman pertama yang telah saya lalui 4 minggu yang lalu.
Nampaknya saya semakin seronok dengan tempat ini. Suasananya yang aman, nyaman dan jauh dari hiruk-pikuk ibu kota cukup merehatkan minda dan tubuh badan. Rasanya, kalau hendak berhujung minggu, kami sekeluarga tak perlu lagi mencari resort lain. Datang ke sini sudah cukup mendamaikan. Bunyi kicauan pelbagai spesies burung pada waktu siang serta unggas malam tatkala dinihari cukup mententeramkan. Kalaulah saya seorang pujangga, tentulah tempat sebegini merupakan lubuk ilham yang tidak terperikan lagi.
Saya amat bersyukur ke hadhrat Allah Yang Maha Esa kerana keluarga sebelah isteri saya sentiasa meraikan saya tanpa rasa jemu dan bosan. Situasi sebegini telah mulai saya rasai sejak hari pertama saya menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Mudah-mudahan ia akan terus berpanjangan, insha-Allah. Saya sentiasa berdoa semoga Allah akan merahmati mereka semua setiap ketika, dari dunia sampai akhirat.
Hidup ini pasti akan lebih indah jika pengalaman kita lebih pelbagai.
No comments:
Post a Comment