Teknologi komunikasi Maklumat (ICT) benar-benar telah mengubah dunia kita. Teknologi ini telah menjadikan dunia ini semakin kecil dan konsep “dunia tanpa sempadan” benar-benar tampak realitinya. ICT juga telah “mencelikkan” dunia golongan cacat penglihatan. Dengan ICT, golongan ini berupaya untuk meneroka alam siber dengan lebih bebas dan terbuka. Walaupun pergantungan kita kepada penglihatan orang lain khususnya untuk meneroka dunia maklumat tidak mungkin berada pada tahap kosong, setidak-tidaknya ia telah dapat diminimumkan. Demikianlah agung dan ajaibnya qudrat Yang Maha Pencipta, tiada pernah terfikir oleh kita sebelum ini.
Perkembangan teknologi ICT dalam kalangan golongan cacat penglihatan mula memasuki fasa yang membanggakan apabila golongan tersebut berjaya melayari alam siber secara solo. Walaupun kemampuan kita masih terbatas kerana masih belum berkeupayaan penuh untuk memanfaatkan unsur-unsur grafik, namun demikian, kemampuan kita untuk menerima dan menghantar email, membaca pelbagai surat khabar sama ada terbitan dalam negeri mahupun terbitan luar negara serta berkemampuan menatap pelbagai laman web telah menjadikan dunia kita lebih bebas, luas, bermaklumat dan terkini. Kita semakin terhidang dengan pelbagai bahan daripada pelbagai sumber yang digarap oleh pelbagai jenis insan. Kemampuan kita untuk menapis, menerima mana-mana yang bermanfaat dan menolak mana-mana yang mudarat kian teruji.
Kemajuan teknologi ICT juga telah membolehkan kita berinteraksi antara satu sama lain secara lebih bebas dan jauh. Ianya tidak lagi terbatas hanya sesama rakan dan kawan yang kita kenali semata-mata. Interaksi yang berlaku kini sudah melangkaui pelbagai sempadan dan sudah berjaya melepasi pelbagai tembok penghalang yang wujud sebelum ini. Acap kali juga berlaku di mana, orang yang berinteraksi dengan kita itu bukan sahaja belum kita kenali, bahkan jika tidak dimaklumkan, mereka juga tidak menyangka bahawa kita adalah insan yang tiada penglihatan. Demikianlah hebat dan takjubnya gara-gara kepesatan kemajuan teknologi ICT masa kini.
Kini, ramai golongan cacat penglihatan sudah mampu mempunyai dan mengendalikan blog sendiri. Oleh kerana pengendali blog itu pula terdiri daripada pelbagai latar belakang dalam pelbagai aspek, maka ia turut menjadikan blog kendalian kita juga bersifat pelbagai dan beraneka. Selain itu, saya berpendapat, bilangan golongan cacat penglihatan yang mempunyai laman facebook lebih ramai. Ini mungkin kerana laman ini lebih menarik, santai dan tidak memerlukan kemahiran bahasa yang tinggi untuk mengendalikannya.
Sebenarnya, senarai blog kendalian golongan cacat penglihatan yang dipautkan menerusi blog ini bukan merupakan bilangan sebenar blog kendalian golongan cacat penglihatan yang ada di negara ini. Jumlahnya mungkin lebih banyak dari itu. Masih ada lagi laman sesawang berkenaan yang belum berkesempatan untuk saya pautkan menerusi blog ini atas beberapa sebab. Namun begitu, Insha-Allah, saya sedaya upaya akan cuba memautkan sebanyak mungkin blog kendalian golongan cacat penglihatan menerusi blog ini untuk manfaat kita bersama.
Bila membaca blog kendalian kawan-kawan senasib, terbukti bahawa hidup kita sebenarnya indah dengan warna-warni pengalaman yang pelbagai. Persepsi sebahagian masyarakat, khususnya orang Melayu yang bertanggapan bahawa dunia orang buta macam “katak di bawah tempurung” ternyata meleset sama sekali. Buktinya, setiap laman blog kendalian rakan-rakan senasib memaparkan kisah, cerita, pengalaman serta punya tahap pengetahuan dan kemahiran yang berbeza-beza. Yang masih tinggal dan terkongkong di bawah tempurung ialah persepsi sesetengah ahli masyarakat kita terhadap golongan yang tidak berpenglihatan.
Bila kita berkunjung ke laman-laman sesawang kendalian golongan cacat penglihatan, macam-macam cerita dan perkara yang dapat kita tatap, baca, kongsi dan perolehi. Ada yang gemar berkongsi pelbagai pengetahuan, dari perkara mengenai lemon, kesihatan, perundangan, motivasi, masakan, keagamaan, hinggalah kepada hal-hal yang berkaitan dengan seksual. Ada pula yang berkongsi pengetahuan mengenai orang terkaya di dunia masa kini. Yang belum kaya ialah blogger yang berkongsikan maklumat berkenaan. Tidak kiralah sama ada maklumat yang dikongsikan itu diperoleh daripada pembacaan, atau dikutip daripada laman sesawang orang lain, selagi ia mempunyai unsur pengetahuan dan bermanfaat kepada orang lain, maka perkongsian sedemikian tiada salahnya. Secara etikanya, jika maklumat itu diambil daripada apa sumber sekalipun, maka jangan lupa untuk menyatakan sumber maklumatnya sekali.
Ada juga yang gemar berkongsi mengenai pengalaman hidup masing-masing. Ini termasuklah pengalaman menjadi pengantin baru, pengalaman sukar untuk mencari kerja hanya semata-mata kerana buta, pengalaman cuba diganggu oleh pemandu teksi, pengalaman sukar mencari jodoh, pengalaman sewaktu di alam persekolahan, pengalaman tatkala di menara gading, pengalaman sewaktu membesarkan anak, pengalaman ketika kena tindakan disiplin di sekolah, pengalaman ketika kehilangan orang yang disayang, pengalaman sewaktu bercinta, dan macam-macam lagi. Kepelbagaian pengalaman ini menunjukkan bahawa hidup insan seperti kita bukannya statik dan tidak pula bersifat steriotype.
Bagi saya, antara yang menarik ialah pengalaman mereka yang hilang penglihatannya setelah dewasa. Mereka yang hilang penglihatannya setelah dewasa sebenarnya mempunyai dua pengalaman yang sangat berbeza, iaitu sewaktu masih berpenglihatan dan setelah hilang penglihatan. Kedua-dua pengalaman berharga dan penuh makna ini diharungi secara sedar dan adakalanya cukup menyedarkan. Hanya golongan seperti ini sahaja yang lebih merasai betapa peritnya bila jadi buta, kerana mereka pernah merasai nikmat penglihatan dan kini mereka juga melalui dunia tanpa penglihatan. Oleh kerana saya sendiri tidak pernah melihat sebelum ini, maka saya tidak mengetahui bagaimana besarnya nikmat penglihatan itu. Hari ini, mereka yang ditakdirkan hilang penglihatannya. Esok lusa, kita tak tahu takdir sedemikian akan menimpa siapa pula.
Ada juga rakan-rakan senasib yang menggunakan laman sesawang masing-masing sebagai medium pengiklanan. Ini juga sesuatu yang menarik dan praktikal. Ada yang mengiklankan biskut untuk hari perayaan. Ada juga yang mempromosikan pusat urut masing-masing. Ada juga yang memaklumkan mengenai pelbagai jenis minyak wangi untuk ditempah. Ada pula yang mengiklankan khidmat pinjaman wang. Iklankanlah apa sahaja sekalipun, asalkan jangan palsu dan jangan menipu sudahlah. Kerana kalau kita membuat iklan palsu dan menipu, bila pecah temelang, kita semua yang malu. Bak kata pepatah orang-orang tua, kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Kalau kepalsuan dan penipuan itu kronik, nanti dikatakan orang pula, sudahlah buta, penipu pula.
Ada juga pengendali laman sesawang cacat penglihatan yang gemar menulis atau menyiarkan tulisan berkenaan politik. Ini pun sesuatu yang bagus. Maknanya golongan cacat penglihatan bukanlah golongan yang buta politik. Bahkan ada juga yang semacam cenderung kepada kumpulan siasah tertentu. Sebagai warganegara, hal seperti itu tidak salah selagi parti siasah yang berkenaan halal di sisi undang-undang negara. Ini membuktikan bahawa golongan kita punyai pelbagai minat, pengetahuan, kemahiran dan pendapat mengenai pelbagai aspek kehidupan. Sama ada orang lain suka atau tidak, itu soal lain. Sama ada tulisannya bernas atau sekadar macam tong kosong sahaja, itu terpulang kepada penilaian masing-masing. Soalnya, sebagai manusia, kita juga berhak untuk mempunyai minat kita sendiri dan mengongsikannya pula dengan mereka yang sudi. Kalau kita punya kemampuan dan keyakinan yang tinggi, esok lusa boleh pula menceburi bidang politik secara aktif dan sepenuh masa. Jadi, segala falsafah politik yang kita pegang selama ini tidaklah tinggal teori semata-mata. Tapi, kalau hendak jadi ahli politik sepenuh masa, kita kena istiqamah, berpedoman dan berpendirian. Kita juga harus berkemampuan untuk menjadi mufakir yang futuristik. Kalau sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja, falsafah dan teori politik yang kita ada itu hanya layak jadi bahan untuk syok sendiri sahaja.
Golongan pelajar sekolah yang cacat penglihatan juga tidak terkecuali daripada mendapat manfaat daripada kemajuan ICT. Bilangan yang mempunyai dan mengendalikan blog sendiri semakin bertambah dari semasa ke semasa. Ramai juga pelajar sekolah yang punyai laman facebook sendiri. Sebagai orang dewasa, kita jangan sekali-kali menghalang mereka untuk terjun ke alam siber. Apa yang harus kita lakukan ialah, mendidik mereka supaya menjadi warga siber yang beretika, mumaiyiz dan berakal. Saya memang gemar mengunjungi laman sesawang anak-anak murid saya. Dengan meneliti hasil tulisan dan juga isi kandungan laman sesawang mereka, saya akan lebih mengenali personaliti mereka dengan lebih telus dan lebih tulus lagi.
Pelajar sekolah yang belum mahir dengan komputer juga tidak mahu ketinggalan dengan dunia siber. Saya turut mendapat maklumat, ada pelajar sekolah yang punya laman facebook sendiri tetapi hakikat sebenarnya menaip pun masih lagi macam ayam patuk beras. Jadi terpaksalah bergantung sepenuhnya dengan kawan-kawan lain untuk mengendalikan laman facebooknya. Apa nak buat, minat punya fasal. Buatlah apa saja, asalkan puas. Di sini, pihak-pihak yang berkenaan harus bertindak secara lebih proaktif supaya golongan pelajar sekolah terutamanya yang totally blind tidak ketinggalan jauh berbanding dengan rakan-rakan sebaya mereka yang berpenglihatan terhad.
Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai golongan cacat penglihatan yang sudah mempunyai radio internet sendiri, sama ada secara individu mahupun dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Boleh dikatakan, kebanyakan radio internet kendalian mereka banyak menyiarkan pelbagai lagu. Ada juga yang menyiarkan ceramah. Bahkan, setakat yang saya maklum, mesyuarat agung tahunan dua badan bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan golongan cacat penglihatan pada tahun ini telah disiarkan secara langsung menerusi radio internet kendalian NGO yang berkenaan. Konsep radio internet ini agak kurang dikenali oleh rakan-rakan saya yang berpenglihatan. Mungkin kerana mendengar tanpa dapat melihat macam TV kurang menarik bagi mereka.
Dunia siber juga turut menyerlahkan pelbagai perwatakan pengendali laman sesawang dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Ada yang gemar mengkritik orang lain. Ada pula yang melenting bila kena kritik dengan orang lain. Ada juga yang perasan kononnya dia sudah popular hanya kerana ada blog sendiri. Ada juga yang terperasan kononnya blognya sudah cukup masyhur hanya semata-mata blogger idolanya seorang yang cukup tersohor. Ada juga yang kadangkala suka menimbulkan gimik dan polimik. Namun begitu, ada juga pengendali laman sesawang cacat penglihatan yang berperwatakan macam resmi padi. Walaupun laman sesawangnya terkenal dan ramai followers, tetapi pemilik laman sesawang berkenaan tetap merendah diri. Dalam diam, saya juga turut mengkagumi mereka.
Sesungguhnya, menerusi kemajuan ICT, golongan cacat penglihatan telah berjaya mengubah minda dan cara berfikir kebanyakan kita. Pengalaman dan pengetahuan yang dipaparkan membuktikan bahawa dunia golongan cacat penglihatan lebih luas daripada apa yang disangkakan, seluas alam siber itu sendiri. Boleh dikatakan, semuanya dilakukan atas daya usaha sendiri. Selama ini pun, kitalah yang harus menimba ilmu mengenai ICT secara bersendirian, terutamanya menerusi kaedah try and error. Setidak-tidaknya kita berubah juga walaupun dalam susah-payah dan perit jerih. Bagi saya, yang sukar untuk diubah ialah persepsi sebahagian besar golongan berpenglihatan terhadap orang seperti kita. Rata-rata mereka tetap berpegang teguh kepada tanggapan “kalau sudah buta tu, butalah juga”. Saya tidak prejudis kepada mana-mana pihak, tetapi pengalaman sendiri dan juga perkongsian pengalaman dengan rakan-rakan senasib yang lain dari semasa ke semasa menjelaskan bahawa persepsi sebegini yang sudah kukuh berakar tunjang dalam masyarakat kita sememangnya sukar untuk diubah.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment