Sunday, April 24, 2011

Datuk Wan Muhammad Akan Sentiasa Dikenang

Pada 21 April 2011 (Khamis) yang lalu, satu majlis persaraan untuk bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Muhammad bin Datuk Sheikh Abdul Aziz terlah diadakan. Majlis telah berlangsung di Putrajaya. Dalam majlis tersebut, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah diwakili oleh Setiausaha Agung, En. Abu Hassan Ashari Razak.

Bagi saya dan sebilangan besar ahli PERTIS, khususnya yang tinggal di sekitar Lembah Kelang, sangat maklum bahawa Datuk Wan Muhammad memang akrab dengan persatuan ini dan juga dengan golongan cacat penglihatan secara umumnya. Pada dekad 90-an lalu, ketika sebilangan orang cacat penglihatan diberi peluang menuntut di Darul Quran, JAKIM, Datuk Wan merupakan mudirnya.



Pada 13 Jun 2009 (Sabtu), Datuk Wan telah merasmikan Mesyuarat Agung PERTIS kali ke-14 yang telah berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Saya masih ingat lagi, ketika itu Datuk Wan telah memasuki auditarium ILIM dari pintu belakang dan terus berjalan turun ke bawah. Sambil berjalan, beliau bersalaman dengan para hadirin di kiri kanan beliau.

Pada 25 Jun 2009 (Khamis), sewaktu saya dan isteri menziarahi seorang sepupu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), tiba-tiba Datuk Wan Muhammad menegur saya dengan begitu ramah sekali. Kami saling bertanya tentang kehadiran kami di HUKM. Beliau turut menziarahi jenazah sepupu kami kerana Allahyarham merupakan kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Beliau bukan setakat menegur begitu sahaja, bahkan turut sama membawa saya ke tempat jenazah sedang ditempatkan.

Pada 25 Oktober 2009 (Ahad) pula, Datuk Wan Muhammad telah menghadiri majlis sambutan hari raya aidil fitri anjuran PERTIS. Majlis telah berlangsung di perkarangan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields. Masih segar dalam ingatan saya, ketika kami semua sedang makan, tiba-tiba lalu beberapa orang yang bukan Islam. Beliau dengan serta-merta telah mengarahkan kakitangan JAKIM yang ada supaya menjemput rakan-rakan yang bukan Islam supaya turut makan sekali.



Pada 24 Julai 2010 (Sabtu), sekali lagi Datuk Wan telah hadir dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung PERTIS kali ke-15 yang juga telah berlangsung di ILIM. Maknanya, dua tahun berturut-turut Datuk Wan Muhammad telah hadir dan merasmikan mesyuarat agung tahunan PERTIS.



Di samping itu, Datuk Wan Muhammad juga sentiasa berusaha membantu PERTIS selagi boleh. Menerusi inisiatif beliaulah maka pihak JAKIM telah menaja penerbitan Alquran Braille menerusi PERTIS. Kebetulan pula, sehingga kini, PERTIS merupakan satu-satunya pemilik dan pencetak Alquran Braille yang sah di negara ini. Hal ini saya yakini kerana soft copy Alquran Braille yang ada dalam simpanan PERTIS merupakan usaha dan inisiatif daripada ahlinya dan bukan dicuri daripada orang lain. Sebaliknya, soft copy Alquran Braille PERTIS pula yang pernah dicuri oleh orang lain.



Saya dapat merasakan, jauh di lubuk hati Datuk Wan, beliau sentiasa ingat pada golongan cacat penglihatan dan PERTIS. Pada 14 Julai 2009 (Selasa), saya bersama-sama Tuan Haji Muhammad Lee dan Ustaz Othman Deraman (Al-Hafiz) telah berpeluang untuk mengalunkan bacaan Alquraan pada majlis pembukaan rasmi tilawah Alquran peringkat kebangsaan yang telah berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak. Sebenarnya, peluang yang kami bertiga perolehi adalah atas kehendak daripada Datuk Wan Muhammad sendiri. Demikianlah saya telah dimaklumkan oleh salah seorang urus setia penganjur ketika itu. Masih segar lagi dalam ingatan saya, pada malam itu juga, Datuk Wan sendiri telah menelefon saya dan bertanyakan mengenai tempat tinggal saya serta rakan-rakan sementara berada di UTP. Maknanya, beliau sendiri ingin memastikan agar saya dan rakan-rakan lain sentiasa dalam keadaan yang selesa.

Tentu kita masih ingat, dalam majlis sambutan Maulidul Rasul (1432 Hijrah) peringkat kebangsaan pada 15 Februari 2011 (Selasa) baru-baru ini, qari yang telah mengalunkan bacaan Alquran dalam majlis tersebut ialah Sdr Ahmad Qusairi bin Mad Zizi. Beliau adalah seorang cacat penglihatan. Sekali lagi, peluang yang diperolehi oleh Ahmad Qusairi adalah di atas permintaan daripada Datuk Wan sendiri. Hal ini saya maklum kerana kakitangan JAKIM sendiri yang telah menghubungi saya sebelumnya dan meminta supaya saya mengemukakan nama qari yang boleh membaca Alquran dalam majlis tersebut. Menurut kakitangan berkenaan, Datuk Wan yang meminta supaya bacaan Alquran dalam majlis tersebut dialunkan oleh ahli PERTIS.

Demikianlah tulis dan ingatnya Datuk Wan Muhammad kepada golongan cacat penglihatan dan PERTIS. Justeru, persaraan beliau sudah tentulah merupakan suatu kehilangan terutamanya kepada PERTIS. Walau bagaimanapun, saya penuh yakin, hubungan di antara PERTIS dengan Datuk Wan Muhammad tidak akan terhenti setakat persaraan beliau. Lagi pun, jalinan hubungan yang telah sedia ada dibuat bukan atas dasar Datuk Wan Muhammad adalah Ketua Pengarah JAKIM. Saya penuh yakin, hubungan berkenaan terjalin atas landasan ukhwah Islamiyah serta keikhlasan setiap pihak yang sentiasa ingin mencari redha Allah.

Kepada Datuk Wan Muhammad, saya dan seluruh warga PERTIS ucapkan selamat bersara. Kami sentiasa berdoa semoga Allah sentiasa merahmati, memberkati serta menganugerahkan yang terbaik untuk datuk dunia dan akhirat.

Demikianlah kalau seseorang insan itu sudah sedia dalam kalangan orang yang baik-baik, di mana pun dia berada, sinar kebaikannya akan tetap bersinar gemilang dan bergemerlapan.

No comments: