Friday, April 15, 2011

Kenangan Bersama Paksu

Semalam (14 April), saya telah menerima SMS daripada Saudara Zahari Hashim yang memaklumkan mengenai kembalinya En. Abu Bakar Sulaiman (lebih mesra dengan panggilan Paksu) ke rahmatullah. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Selain itu, Tuan Haji Yahya Ali turut menghubungi saya beberapa kali untuk memaklumkan kepada saya perkembangan pengurusan jenazah Paksu. Manakala saya sendiri, sedang menghadiri kursus mata pelajaran untuk hari terakhir. Oleh kerana saya tidak dapat meninggalkan kursus, maka segala perkembangan pengurusan jenazah Allahyarham Paksu saya ketahui dari jauh sahaja. Hiba juga kerana tak mampu untuk menziarahi jenazah beliau buat kali terakhir. Terima kasih banyak-banyak saya tujukan kepada Saudara Zahari dan Tuan Haji Yahya.

Paksu telah menghidap sakit buah pinggang sejak beberapa tahun lalu. Kalau tak silap saya, dalam seminggu 3 kali beliau menjalani rawatan buah pinggangnya. Isteri beliau telah pun menghadap Ilahi beberapa tahun lalu. Beliau tinggal bersama-sama anak-anaknya. Beberapa tahun lalu, Paksu telah menghubungi saya dan memohon senaskah Alquran Braille untuknya daripada PERTIS. Kata beliau, dia ada banyak masa lapang. Jadi, beliau teringin sangat membaca Alquran. Alhamdulillah, kami dapat memenuhi permintaan beliau. Saya sendiri yang telah menghantarkan Alquran Berkenaan ke rumahnya semasa menghadiri majlis perkahwinan anak kepada Saudara Muhammad Harun ketika itu.

Setakat yang saya maklum, Paksu berasal dari Kelantan. Beliau telah menerima pendidikan rendahnya di Sekolah Princess Elizabeth (PES) di Johor Baru iaitu pada awal tahun 50-an. Kalau tak silap saya, waktu itu Paksu masih berpenglihatan terhad (rabun). Sebab itulah ketika itu, beliau juga dipanggil “Bakar Celik”. Saya tidak pasti bila Paksu telah benar-benar hilang penglihatannya.

Setelah menamatkan pendidikan rendahnya, Paksu telah menyambung pendidikan menengahnya di Kota Bharu. Paksu juga seangkatan dengan Allahyarham Dato’ Dr. Ismail Salleh. Kata Paksu, Allahyarham Dr. Ismail memang seorang yang pintar sejak kecil lagi. Semasa menuntut di Kota Bharu, Allahyarham Dr. Ismail turut sekelas dengan salah seorang kerabat diraja Kelantan. Kerabat yang dimaksudkan masih hidup lagi hingga hari ini. Oleh kerana Allahyarham Dr. Ismail sering membantu kerabat berkenaan menyiapkan kerja rumahnya, maka Allahyarham sering dapat habuan berbentuk makanan yang dibawa dari istana. Paksu juga turut menyebut beberapa nama yang pernah sekelas dengan beliau atau dengan Allahyarham Dr. Ismail yang mana pada hari ini mereka merupakan antara tokoh akademik, perniagaan dan politik ternama di negara kita. Demikianlah cerita Paksu kepada saya.

Setelah menamatkan persekolahannya, Paksu telah datang ke Kuala Lumpur. Akhirnya beliau telah mendapat kerja di salah sebuah jabatan kerajaan di sini.

Saya mula mengenali Paksu pada akhir dekad 80-an lalu. Waktu itu, saya masih menuntut di Universiti Malaya. Pada hujung minggu dan jika ada masa lapang, saya akan ke Brickfields. Selain bertemu kawan-kawan, saya sering bermain ping-pong di pejabat SBM Cawangan KL/Selangor ataupun di Pusat Latihan Gurney di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Masa itulah saya mula mengenali Paksu.

Jarak usia antara saya dan Paksu agak jauh juga, iaitu sekitar 20 tahun. Namun begitu, ia tidak menjadi halangan persahabatan kami. Yang pentingnya, orang muda kena tahu hormat kepada orang yang lebih berusia.

Adakalanya bila saya kalah bermain ping-pong dengan Paksu, saya akan merungut (sekadar bergurau) dengan berkata: “Saya nak bagi can kat orang tua.” Paksu akan menjawab: “Tu lah, orang tua memang banyak pengalaman.”

Paksu seorang yang lemah-lembut. Boleh dikatakan, saya tidak pernah mendengar Paksu bersuara tinggi. Sebab itulah juga, boleh dikatakan Paksu tak ada musuh. Mungkin rakan-rakan lain bersetuju dengan saya.

Sesungguhnya kenangan bersama-sama Paksu tidak akan terpadam buat selama-lamanya. Walaupun sejak semalam beliau tidak lagi bersama kita, namun kebaikannya akan tetap terpahat kukuh dalam kenangan.

Bersama-samalah kita berdoa semoga roh Paksu akan mendapat keampunan daripada Allah dan sentiasa berada dalam kasihan belas Allah hendaknya sepanjang masa. Kepada keluarga Allahyarham, bersabarlah menghadapi saat yang duka ini. Hari untuk kita akan tiba juga suatu hari nanti.
Alfatihah ....

No comments: