Thursday, November 22, 2012

Si Kitul



Dalam buku Sejarah Melayu, ada dikisahkan tentang peranan seorang watak. Namanya Si Kitol. Konon kisahnya, beliau ini ada berhutang sekati emas dengan seorang kaya di melaka bernama Raja Mendaliar. Kebetulan pula, Si Kitol dan Raja Mendaliar dari spesies yang serupa. Si Kitol ini pula memang sukar untuk membayar hutangnya kepada Raja Mendaliar.




Raja Mendaliar ini pula merupakan seorang yang amat kaya dan sangat terkemuka di Melaka ketika itu. Adalah dikhabarkan bahawa kekayaan Raja Mendeliar hanya kurang sebahara emas daripada kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Untuk maklumat bersama, satu bahara bersamaan dengan 205 kati.




Raja Mendaliar adalah orang yang sangat rapat dengan Laksamana Khoja Hassan. Manakala Laksamana Khoja Hassan pula merupakan antara pembesar negeri yang rapat dengan Sultan Mahmud Syah dan amat dikasihi baginda.




Sultan Mahmud Syah pula merupakan sultan terakhir negeri Melaka sebelum ia jatuh ke tangah Portugis pada tahun 1511. Sultan Mahmud merupakan seorang raja yang suka berfoya-foya, kaki betina dan suka mengganggu isteri orang. Antara isteri orang ternama yang pernah diganggu oleh Sultan Mahmud Syah sehingga membawa kepada penceraian termasuklah isteri kepada Tun Biajid iaitu menantu kepada Orang Kaya Laksamana Hang Tuah. Sultan Mahmud Syah juga merupakan seorang yang kuat berdendam.




Adalah dikhabarkan pada suatu hari, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir mengadakan kenduri perkahwinan anak perempuannya Tun Fatimah. Rupa paras Tun Fatimah memangnya cantik dan mungkin tiada taranya pada zaman itu. Bila Sultan Mahmud Syah terpandang sahaja paras Tun Fatimah, maka timbullah rasa marah dan dendam baginda kepada Tun Mutahir kerana Tun Mutahir tidak menunjukkan anak perempuannya yang cantik itu kepada baginda dahulu. Walhal Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir bukannya orang lain dengan baginda, bapa saudara juga kerana Tun Mutahir dengan bonda Sultan Mahmud Syah adalah adik-beradik.

Suatu hari, berlaku salah faham dan dakwa-dakwi antara Raja Mendeliar dengan seorang lagi saudagar kaya di Melaka ketika itu bernama Nina Sura Dewana. Lalu keduanya pun berjumpalah dengan Bendahara Seri Maharaja untuk menyelesaikan perbalahan antara mereka. Oleh kerana hari sudah petang ketika itu, maka Bendahara Seri Maharaja pun menyuruh kedua-duanya pulang dahulu dan bertemu semula pada keesokan hari.

Pada malam itu, Nina Sura Dewana telah datang semula ke rumah Bendahara dengan membawa sejumlah harta. Kata Nina Sura Dewana, pemberian itu sebagai penghargaan kepada orang yang berurusan perniagaan dengan beliau. Walal tujuan sebenarnya ialah agar keesoan harinya Bendahara Seri Maharaja akan menyebelahinya dalam menyelesaikan perbalahan antara beliau (Nina Sura Dewana) dengan Raja Mendeliar. Tanpa berfikir panjang lagi Bendahara Seri Maharaja pun menerima pemberian daripada Nina Sura Dewana.




Berbalik kepada kisah Si Kitul tadi, setelah beliau mendapat tahu adanya pertemuan antara Bendahara Seri Maharaja dengan Nina Sura Dewana secara sulit, lalu beliau pun terus ke rumah Raja Mendaliar lalu memberitahu bahawa Bendahara Seri Maharaja telah menyebelahi Nina Sura Dewana dalam perbalahannya dengan Raja Mendeliar. Dalam situasi ini, sudah tentulah Raja Mendeliar merasa kedudukannya sedang terancam dan perkhabaran yang dibawa oleh Si Kitul itu amat penting. Lalu Raja Mendeliar pun mengoyak-ngoyak surat hutang Si Kitul dan memberitahu bahawa hutangnya sebanyak sekati emas itu beliau halalkan dunia akhirat.

Dengan segera Raja Mendeliar pula telah membuat tindakan susulan. Beliau telah mengambil sejumlah hartanya lalu pergi pula ke rumah Laksamana Khoja Hassan. Raja Mendeliar memberitahu Laksamana Khoja Hassan bahawa Bendahara Seri Maharaja sedang merancang untuk menjadi raja di Melaka. Katanya lagi,Bendahara Seri Maharaja juga telah pun menempah beberapa alat kebesaran daripada emas. Melihatkan harta yang banyak itu, Laksamana Khoja Hassan tidak dapat berfikir panjang lagi. Pertimbangannya sudah hilang dan kewarasan akalnya sudah lenyap.




Laksamana Khoja Hassan pun segera mengadap Sultan Mahmud lalu menyampaikan berita dan perkhabaran yang beliau terima daripada Raja Mendeliar. Tindakan Laksamana Khoja Hassan sebenarnya tak ubah bagai mencurah minyak ke dalam api. Sultan Mahmud memang sudah sedia berdendam dengan Bendahara Seri Maharaja (bapa saudaranya sendiri) hanya kerana seorang wanita.

Akhirnya berlakulah peristiwa yang paling tragis dalam sejarah Melaka bilamana Bendahara Seri Maharaja, saudara lelakinya Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung (anak Bendahara Seri Maharaja) dan Tun Ali suami kepada Tun Fatimah dihukum bunuh tanpa usul periksa lagi. Peristiwa ini bukan sahaja merupakan sejarah hitam dalam sejarah Melaka, bahkan ia turut memberi kesan kepada survival kesultanan Melaka itu sendiri.




Walaupun Sultan Mahmud kemudiannya telah sedar akan kesalahannya, tetapi ia sudah terlalu lewat. Inilah yang dikatakan oleh orang tua-tua, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada berguna.

Budaya fitnah, amalan rasuah serta gemar berfoya-foya dengan wanita merupakan antara hobi para pembesar Melaka di akhir zaman kesultanannya. Dek kerana melihat harta yang bertimbun dan gharib, kewarasan akal dan pertimbangan terus hilang. Dek kerana kecantikan seorang wanita, rajanya berdendam tanpa mengira siapa lagi. Dek kerana ingin memuaskan nafsu amarah, fitnah-memfitnah sudah menjadi budaya yang dihalalkan.

Demikianlah antara rencah-rencah sejarah yang terpendam dalam tempat-tempat bersejarah yang boleh sama-sama kita semua kunjungi khususnya di Melaka. Negara kita memang kaya dengan tempat-tempat bersejarah, tetapi adakah bangsa kita sudah cukup kaya dengan pengajaran daripada sejarah silam?

Si Kitul memang sudah lama mati. Walau bagaimanapun, tanpa kita seddar, perwatakan Si Kitul seringkali hidup segar khususnya dalam lingkungan masyarakat bangsa kita. Acapkali juga terjadi di mana perwatakan Si Kitul bukannya satu atau dua, tetapi entah berapa. Nina Sura Dewana, Raja Mendeliar serta Laksmana Khoja Hassan juga sudah lama mati, tetapi amalan buruk yang pernah mereka lakukan masih menjadi warisan bangsa kita hingga ke hari ini. Sultan Mahmud Syah juga sudah lama mangkat dan makamnya ada di Kampar (Sumatera), tetapi mengapa ***************???

Hari ini ramai tokoh yang petah bercakap mengenai krisis perpaduan melayu. Hakikatnya, krisis berkenaan timbul kerana kegagalan bangsa Melayu itu dalam mengambil iktibar daripada sejarah nenek moyang mereka sendiri. Kita hanya mampu untuk bernostalgia dengan kegemilangan sejarah silam tetapi rasanya selagi masalah yang ada gagal ditangani dengan bijaksana kita tidak mungkin mampu untuk mencipta sejarah cemerlang untuk masa hadapan.

Berhati-hatilah dengan Si Kitul yang ada di sekeliling kita!!!




3 comments:

Anonymous said...

apa salah kitul?!?!

betul le apa yg disampaikannya.. yg bikin kacau ialah raja mendeliar

Dee said...

Salah sikitul kerana mengadu domba

jas said...

Semua punca kerana khasad dengki dan tamak haloba..penting diri harta kekayaan dan kuasa.. Hawanafsu ini lah yg memudahkan syiton menjadi menghasut dan batu fronsennya yg boleh membawa kehancuran dan kebinasaan.