Wednesday, July 31, 2013

Surat Melepaskan Jawatan

Zakaria bin Yahya
Yang Di-Pertua,
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)
32A, Tingkat 1,
Medan Idaman,
Jalan Jernai 6/21D,
Gombak,
53100 Kuala Lumpur. 31 Julai 2013 (22 Ramadhan 1434)


Yang Berusaha,
Naib Yang Di-Pertua,
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)
32A, Tingkat 1,
Medan Idaman,
Jalan Jernai 6/21D,
Gombak,
53100 Kuala Lumpur.


Tuan,


Perletakan Jawatan Selaku YDP PERTIS


Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.


2. Dukacita dimaklumkan, dengan rasa yang amat berat, saya melepaskan semua jawatan saya dalam kepimpinan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) berkuat kuasa pada 1 Ogos 2013, bersamaan 23 Ramadhan 1434.


3. Langkah ini amat berat dan terpaksa saya ambil demi survival dan kepentingan PERTIS. Sesungguhnya jika ada dua nakhoda dalam sebuah kapal, lambat-laun kapal pasti akan karam juga. Justeru, eloklah saya yang berundur agar keharmonian dalam persatuan yang amat kita sama-sama sayangi ini akan terus kekal dan dapat dipelihara.


4. Kepada Setiausaha Agung PERTIS, telanlah kembali semua isi kandungan email yang telah anda hantar kepada saya siang tadi. Saya tidak bercadang untuk memaparkannya di mana-mana, insha-Allah. Demi Allah, Dia yang akan mempertontonkan di khalayak ramai di padang mahsyar kelak isi kandungan email berkenaan dan juga semua SMS liar dan busuk lain yang pernah anda hantar kepada saudara-saudara seagama anda sebelum ini.


5. Kepada ahli-ahli PERTIS yang lain, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan penuh yang telah kalian berikan kepada saya di sepanjang saya mentadbir PERTIS. Sesungguhnya saya hanya insan kerdil yang tidak mampu untuk melawan takdir.


Sekian, terima kasih.


Yang benar



(ZAKARIA BIN YAHYA)

Mantan Yang Di-Pertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)


S.K.: Yang Berbahagia Datuk Zamani bin Sulaiman,
Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia, merangkap Penasihat PERTIS.



Mengukuhkan Organisasi




Salah satu faktor penting kekukuhan sesebuah organisasi ialah wujudnya kestabilan serta keharmonian peringkat dalaman sesebuah organisasi itu sendiri. Sekiranya di peringkat dalamam, sesebuah organisasi itu tidak harmoni, lambat-laun ia akan pecah dan hancur juga. Situasi sebegini tak ubah bagai retak menanti belah. Justeru, semua pentadbir tertinggi dalam sesebuah organisasi harus sama-sama berperanan agar keharmonian berkenaan sentiasa dapat dikekalkan. Ia bukan tanggungjawab seorang dua pimpinan sahaja, sebaliknya semua yang terlibat harus sama-sama berperanan dan bertanggungjawab mengenainya. Bak kata orang tua-tua, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tiada muafakat di antara sama-sama pimpinan, pasti ia tidak sekata. Bila tidak sekata maka akan rapuhlan sesebuah organisasi itu. Demikianlah.


Salah satu perkara penting yang harus difahami oleh setiap pimpinan dalam sesebuah organisasi ialah perlembagaan organisasi itu sendiri. Saya penuh yakin, setiap organisasi yang berdaftar (bukan organisasi haram), mempunyai perlembagaan organisasi masing-masing. Dalam perlembagaan tersebut terkandung tatacara pengurusan organisasi berkenaan, perkara-perkara yang dilarang, kewajipan setiap pengurus organisasi, tanggungjawab setiap ahli kepada organisasi berkenaan dan lain-lain lagi. Tujuan wujudnya perlembagaan sesebuah organisasi adalah untuk menentukan bidang tugas setiap ahli dalam organisasi berkenaan. Ia juga bertujuan supaya setiap ahli kepada organisasi berkenaan tidak menyalahgunakan kedudukan masing-masing untuk kepentingan peribadi, kroni atau nepotisme. Ia juga bertujuan supaya kepentingan majoriti ahli dalam sesebuah organisasi itu sentiasa terjaga dan terpelihara. Jika semua pihak memahami dan seterusnya mematuhi semua perkara yang telah ditetapkan dalam perlembagaan sesebuah organisasi, maka sudah pasti keharmonian dalam organisasi berkenaan akan sentiasa terpelihara.


Keharmonian sesebuah organisasi juga akan tergugat bilamana ada pimpinan yang mengamalkan kronisme atau nepotisme dalam tindak-tanduknya. Unsur kronisme dan nepotisme merupakan antara elemen yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati para ahli yang lain. Ia juga boleh menjerumuskan pimpinan yang terlibat kepada salah guna kuasa, salah guna wang organisasi serta penglibatan kepentingan peribadi yang tidak disedari. Bilamana organisasi berkenaan terlibat untuk mengenengahkan ahlinya yang layak untuk menerima bantuan yang melibatkan jutaan rupiah, maka kroninya yang akan dikehadapankan. Bahkan majlis penerimaan bantuan berkenaan pun disembunyikan daripada pengetahuan dan maklumat barisan pimpinan yang lain. Bilamana situasi sebegini berterusan, maka akan berleluasalah sikap tidak telus dan tidak tulus dalam organisasi berkenaan yang mana ia sepatutnya dibanteras hingga ke tulang sumsum. Ini sekadar contoh sahaja. Jika perkara seumpama ini dibiarkan, maka lambat-laun sesebuah organisasi itu akan terjerumus kepada kancah perpecahan yang bakal menghancurkan organisasi itu sendiri.


Di samping itu, perlakuan membocorkan butiran perbincangan peringkat pengurusan tertinggi organisasi merupakan satu lagi elemen yang boleh menjerumuskan sesebuah organisasi itu kepada situasi tidak harmoni. Ia mengakibatkan timbul rasa saling tidak mempercayai di antara sama-sama pimpinan tertinggi. Ia juga mengakibatkan para pimpinan tertinggi organisasi berkenaan tidak lagi berterus-terang dalam mesyuarat tertinggi kerana jika berterus-terang perkara berkenaan akan bocor juga kepada orang luar. Bilamana situasi ini wujud, maka sesebuah organisasi itu sebenarnya sedang melalui saat getir dalam pengurusannya. Perbincangan dan mesyuarat tidak lagi menjadi telus dan tulus. Bila mesyuarat tidak telus, tidak mungkin keputusan yang betul dan adil dapat dibuat. Bila ini berlaku, tunggulah saat organisasi berkenan untuk hancur dan musnah.


Selain itu, setiap pimpinan juga harus tahu bidang tugas masing-masing. Sesetengah perlembagaan organisasi sudah memperincikan bidang tugas setiap pimpinan mengikut status kedudukan masing-masingn dalam barisan pimpinan. Oleh itu, tidak menjadi kesalahan jika pemimpin paling tinggi ingin mengambil tahu semua hal dalam organisasi yang dipimpinnya. Bahkan menjadi kesalahan pula jika pemimpin paling tinggi mengambil mudah, tidak mengambil tahu dan hanya membiarkan orang lain yang menjalankan tugas dan membuat kerja bagi pihaknya. Pemimpin yang semacam ini patut dicampak dalam sungai Kelang sahaja. Apabila pemimpin paling tinggi ingin mengambil tahu segala hal ehwal dalaman organisasi pimpinannya, ia tidak boleh dikatakan busy body. Bilamana pemimpin nombor wahid dalam sesebuah organisasi menjalankan apa-apa kuasa yang telah diperuntukkan untuknya sebagaimana yang telah termaktub dalam perlembagaan organisasinya, maka pemimpin sedemikian tidak boleh disifatkan sebagai diktator. Apa yang lebih malang ialah bilamana ada pemimpin lain yang cuba menghalang pemimpin paling tinggi untuk menjalankan tugasnya seperti mengambil tahu semua hal dalam organisasi pimpinannya. Apa yang anehnya, bila tiba masa pertandingan jawatan, pemimpin yang sering menghalang pemimpin lain untuk menjalankan tugasnya tidak mahu pula bertanding untuk jawatan tertinggi!


Seperkara lagi, keharmonian sesebuah organisasi itu akan tergugat bilamana ada pemimpin yang suka sangat menjalankan tugas pemimpin lain tanpa diminta dan tanpa disuruh. Perbuatan pemimpin yang semacam ini mungkin ada kaitan dengan sikap kroni atau nepotismenya. Adakalanya bila pemimpin yang semacam ini diminta membantu pemimpin lain yang kurang pengalaman, dia tak mahu membantu pula. Ini mungkin ada kaitan dengan ketiadaan kepentingan kroni. Sebab itulah, bila diminta membantu, sama ada dia enggan membantu langsung atau membantu sekadar untuk melepaskan batuk ditangga semata-mata.


Selain itu, sesebuah organisasi juga akan terjerumus kepada kehancuran bilamana berlaku “organisasi dalam organisasi”. Hal seumpama ini boleh terjadi apabila dalam kalangan pemimpin tertentu ada mengamalkan sifat-sifat seperti ingin mencari nama peribadi, ingin mengutamakan kroni, ingin menaikkan nama sendiri dan sebagainya. Sebagai sebuah organisasi, kita seharusnya bergerak seiring sebagai satu keluarga tanpa sesiapa pun yang tertinggal di belakang. Bak kata nan baru dikarang:


Bila melangkah, biarlah sama derapnya;



Bila bersuara, biarlah sama nadanya;



Bila bercakap, biarlah sama bahasanya;



Bila bertindak, biarlah sama padunya.


Bagi saya, antara dosa dan kesalahan paling besar dalam kalangan barisan pemimpin tertinggi dalam sesebuah organisasi ialah bilamana dia cuba bersubahat untuk membelakangkan pemimpin yang lebih atas daripadanya. Apa yang lebih malang lagi bilamana persubahatan itu dilakukan bersama-sama dengan golongan yang berstatus kakitangan dalam organisasi berkenaan. Sebenarnya kesan daripada persubahatan tersebut lebih buruk lagi. Secara tidak langsung pemimpin berhati busuk seperti itu telah mengajar golongan yang berstatus kakitangan agar tidak lagi menghargai dan menghormati barisan pemimpin lain dalam organisasi yang sama. Persubahatan sedemikian juga akan menjerumuskan pihak-pihak yang terlibat kepada sikap menipu dan berbohong. Bila perkara seumpama ini dibiarkan berlaku, maka akan lingkuplah organisasi berkenaan.


Bukankah dalam Alquran Allah telah berfirman yang antara lain mafhumnya, “.... Dan bantu-membantulah dalam perkara kebaikan dan takwa, dan jangan sekali kamu bantu-membantu kepada perkara-perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan ....” (ayat 2, surah Almaidah (5), juzuk 6).


Khalifah Abu Bakar As-Siddiq ketika mula-mula dilantik selaku khalifah, antara isi pidato awal beliau ialah, “Hai sekalian muslimin, taatlah kepada aku selagi aku taat kepada Allah dan Rasulullah, dan jangan sekalian kamu taat kepada aku bilamana aku tidak lagi taat kepada Allah dan Rasulullah”.


Justeru, selaku insan yang telah dianugerahkan akal fikiran yang sihat dan waras, sepatutnya kita sudah berupaya untuk membezakan antara ajakan kepada perkara yang baik atau sebaliknya. Jika ajakan atau pakatan itu menjurus kepada kejahatan dan dosa, maka tidaklah boleh kita mentaatinya walaupun orang yang mengajak kepada perkara keji itu tokoh paling tinggi dalam sesebuah organisasi. Begitu jugalah sebaliknya.


Ingatlah, bangkai gajah tidak akan boleh ditutup dengan nyiru. Daging yang busuk, semakin lama disimpan semakin busuk baunya. Jangan lupa kepada janji Allah, orang yang berdosa dan tidak bertaubat dengan sebenar-benar taubat, lambat-laun akan terima balasan yang pedih daripada Allah. Janganlah kita menjadi orang yang tidak mengenang budi kawan-kawan lain yang sama-sama dalam satu barisan kepimpinan. Janganlah kita bersikap umpama kera diberi bunga atau bagai menolong anjing yang tersepit.


Jangan sekali-kali kita lupa, bilamana kita diberi kesempatan untuk memimpin sesebuah organisasi, ia sebenarnya merupakan peluang bagi kita untuk mecurahkan bakti kepada agama, kawan-kawan yang senasib, masyarakat dan juga kepada negara. Adalah amat malang sekali bilamana peluang yang ada kita gunakan hanya untuk kepentingan kroni, sanak family atau rakan-rakan rapat semata-mata. Bagi saya juga, adalah tidak sesuai dan tidak kena caranya bilamana kita memperkudakan organisasi yang kita pimpin untuk kepentingan periuk nasi sendiri. Adalah tidak kena caranya juga jika kita korbankan kerjaya utama kita kononnya semata-mata untuk organisasi yang sedang kita pimpin.


Firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya, “Dan ingat-mengingatilah, maka sesungguhnya ingat-mengingati itu amat bermanfaat kepada sekalian orang yang beriman” (ayat 55, surah Az-Zariat (51), juzuk 27).


Kebiasaannya mana-mana organisasi pun, ia bukan milik individu, sebaliknya ia adalah milik ahli-ahlinya. Adalah tidak kena caranya bilamana ada yang cuba menjadikan sesebuah organisasi itu macam milik peribadinya. Adalah tidak kena caranya juga bila kita menjadikan sesebuah organisasi itu sebagai lubuk untuk memenuhkan poket kita, kecuali kakitangan yang ada hak mereka atas nama gaji atau upah. Sesungguhnya organisasi sukarela adalah tempat untuk kita membuat kerja-kerja sukarela dan saluran untuk kita mencurah bakti seikhlasnya kepada masyarakat.


Saturday, July 27, 2013

Samsudin Wahab Di HKL



Untuk maklumat bersama, Samsudin Wahab kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Buat masa ini, doktor masih belum dapat mengesahkan penyakit sebenar yang beliau hadapi.


Pagi tadi, sekitar jam 5.30 pagi, Samsudin bersama-sama salah seorang anaknya telah tiba di Hentian Putra dari Kuala Terengganu. Tujuan utama beliau ke KL ialah untuk menghadiri satu majlis di Damansara atas tiket PERTIS. Maklumat terperinci mengenai majlis tersebut tiada dalam pengetahuan saya. Demikianlah bilamana Yang Di-Pertua PERTIS sudah dibelakangkan oleh orang tertentu.


Ketika di Hentian Putra, beliau hampir pitam (kalau tak silap) tanpa sebab yang diketahui. Nasib baik orang ramai yang ada di sekitar beliau telah menghulurkan bantuan yang perlu. Akhirnya beliau telah dihantar ke HKL untuk rawatan lanjut.


Sewaktu saya menziarahinya tengah hari tadi di HKL, beliau masih kedengaran agak lemah tapi masih boleh bercakap. Beliau tidak lekang-lekang memuji dan berterima kasih kepada orang ramai yang telah menghulurkan bantuan kepadanya di Hentian Putra pagi tadi. Maklumlah tatkala itu Samsudin berdua beranak sahaja dan anaknya pula masih kecil lagi.



(Samsudin merupakan salah seorang tenaga pengajar di kelas Alquran Braille PERTIS Terengganu)

Kepada Samsudin, bersabarlah kerana ia merupakan sebahagian daripada ujian Allah. Kepada yang ingin menziarahi beliau, Samsudin ditempatkan di wad 19, katil 22, HKL. Namun demikian, sebelum ziarahi beliau, harap telefon dahulu, takut-takut beliau sudah dibenarkan keluar. Lagipun, Samsudin memberitahu saya, mungkin beliau dibenarkan keluar esok. Itu jangkaan Samsudin sahaja, bukan keputusan doktor.


Sunday, July 14, 2013

Tahniah Untuk JAKIM



Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengorak langkah dalam usaha untuk menambah bahan-bahan bacaan dalam bentuk tulisan Braille khususnya yang berkaitan dengan agama Islam. Baru-baru ini, bahagian berkenaan telah berjaya menghasilkan bahan sulungnya dalam tulisan Braille yang merangkumi dua topik, iaitu mengenai puasa dan juga Pendidik. Apa yang lebih istimewa lagi, buat masa ini bahan-bahan bacaan berkenaan diedarkan secara percuma kepada pengguna sasar.


Saya berkesempatan membaca beberapa halaman (halaman Braille) bahan keluaran sulung berkenaan. Pada hemat saya, secara umumnya kualiti tulisan dan kod Braille bahasa Melayu yang digunakan menepati standard yang diperlukan. Pada masa sama, saya juga tidak menafikan beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dalam beberapa aspek. Namun demikian, buat masa ini, apa yang lebih penting ialah isi kandungan bahan Braille berkenaan yang sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa pengguna sasarnya.


Untuk menghasilkan bahan-bahan bacaan dalam bentuk tulisan Braille bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan gembelingan kepakaran daripada pelbagai pihak yang berkepentingan. Selain itu, kosnya juga tinggi kerana bahan-bahan asas untuk tujuan tersebut sudah sememangnya memakan perbelanjaan yang tinggi. Justeru tidak hairanlah sehingga kini amat jarang mana-mana badan bukan kerajaan dapat mengedarkan bahan-bahan bacaan Braille secara percuma kepada pengguna sasarnya. Kalau pun ada kebiasaannya penerbitan dan pengedaran bahan-bahan berkenaan ditaja oleh pihak-pihak yang prihatin.


Cadangan supaya JAKIM, khususnya bahagian penerbitannya menghasilkan bahan-bahan keagamaan ke dalam bentuk Braille sudah pun diutarakan agak lama. Mengikut idea yang pernah diutarakan, bahan-bahan bacaan yang akan dihasilkan seeloknya berasaskan kepada buku, majalah dan sebagainya yang dihasilkan oleh JAKIM sendiri. Dengan ini, soal mendapat keizinan daripada penerbit asal yang semestinya dilaksanakan sudah tidak timbul lagi kerana penerbit asal bahan-bahan berkenaan ialah JAKIM sendiri.


Dalam memastikan kejayaan penerbitan bahan bacaan Braille berkenaan, pihak JAKIM telah melaksanakan beberapa langkah proaktif yang saya kira amat berkesan. Antaranya, seorang kakitangan yang juga cacat penglihatan yang sebelum ini bertugas di Bahagian Dakwah JAKIM telah dipindahkan ke Bahagian Penerbitan. Selain itu, pihak JAKIM juga telah berjaya memperolehi 2 unit embosser (mesin pencetak Braille) untuk kegunaan percetakan bahan Braille. Selain itu, seorang pembantu juga turut telah ditempatkan di bahagian berkenaan bagi tujuan melicinkan lagi usaha menerbitkan bahan-bahan bertulisan Braille. Di samping itu, beberapa kakitangan yang berpenglihatan turut terlibat membantu penerbitan bahan-bahan berkenaan.


Bagi memastikan kualiti penerbitan berada di tahap yang sepatutnya, pihak JAKIM juga turut mendapat kerjasama daripada sekurang-kurangnya 2 badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan terutamanya untuk memberi latihan jangka pendek kepada kakitangan JAKIM yang berkenaan dalam aspek yang berkaitan dengan penerbitan bahan-bahan bacaan Braille. Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) telah terlibat secara langsung dalam memastikan supaya mesin pencetak Braille, komputer serta perisian khas yang digunakan untuk menghasilkan bahan-bahan Braille berada dalam keadaan siap-siaga untuk beroperasi dengan lancar. Manakala Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) pula telah melatih kakitangan JAKIM yang berkaitan dalam aspek penggunaan perisian khas yang berkaitan. Inilah yang dikatakan kerjasama pintar antara pelbagai pihak. Bagi saya, kerjasama ini dilaksanakan lebih kepada atas nama kepentingan golongan cacat penglihatan.


Sebagaimana yang saya katakan awal tadi, beberapa penambahbaikan harus dilakukan supaya kualiti penerbitan dapat ditingkatkan. Walaupun bahan-bahan Braille yang dihasilkan oleh bahagian penerbitan JAKIM lebih kepada untuk kegunaan umum, tetapi penerbitannya harus menepati spesifikasi dan standard penerbitan Braille sebagaimana sepatutnya. Apatah lagi bilamana kemungkinan bahan-bahan ini akan turut disebarkan di sekolah-sekolah. Standard kod Braille yang digunakan seharusnya mengikut standard kod Braille terkini. Di samping itu, penerbitan berikutnya disaran supaya tidak lagi meninggalkan bahagian ayat Quran atau hadith. Jika bahagian ayat Quran dan hadith terdapat dalam kandungan buku asal, maka ia seharusnya turut sama ditulis dalam bahan yang dihasilkan dalam bentuk Braille, kerana ia sememangnya boleh dilaksanakan. Kalau hendak diikutkan, banyak lagi penambahbaikan yang boleh dilaksanakan, tetapi untuk kali ini cukuplah sebanyak itu sahaja yang saya kemukakan. Kalau saya utarakan lebih banyak lagi, takut luntur pula semangat pihak yang berkenaan untuk menghasilkan penerbitan berikutnya.


Walau apa pun, kemunculan Bahagian Penerbitan JAKIM sebagai antara penghasil bahan-bahan Braille di negara ini amat dialu-alukan. Ia bakal menyemarakkan lagi penghasilan bahan-bahan bacaan Braille yang sememangnya amat berkurangan. Mudah-mudahan juga, dengan terlaksananya usaha ini, ia bakal menyemarakkan lagi usaha dakwah khususnya dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan dalam dan luar negara, insha-Allah. Segala kelemahan dan kekurangan yang ada akan berupaya untuk dibaiki asalkan pihak yang berkenaan sentiasa bersemangat tinggi dan berlapang dada untuk menerima teguran khasnya daripada mereka yang menjadi pengguna kepada bahan-bahan Braille yang dihasilkan.


Sekali lagi, tahniah kepada bahagian Penerbitan JAKIM yang telah melaksanakan langkah berani. Setinggi-tinggi tahniah juga harus diajukan kepada pihak atasan JAKIM, terutama Yang Berbahagia Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAKIM yang turut sama memberi sokongan padu kepada usaha menerbitkan bahan-bahan Braille ini. Tanpa sokongan daripada kedua-dua orang kuat JAKIM ini, sudah tentulah usaha ini sukar dan buntu untuk direalisasikan. Kepada para bakal pengguna pula, marilah sama-sama kita berdoa semoga usaha murni ini akan sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah. Kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam usaha penerbitan ini pula, saya suka mengingatkan bahawa dugaan dan cabaran pasti ada. Maklumlah, lautan mana yang tidak ditimpa gelombang dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Sentiasa bersabar, jangan putus asa serta jangan lupa untuk memohon kekuatan daripada Allah merupakan resepi penting dalam memastikan agar kalian sentiasa istiqamah dengan usaha yang sedang dilakukan.

Tuesday, July 9, 2013

Salam Ramadhan 1434 Hijri



Setinggi-tinggi syukur ke hadhrat Ilahi kerana masih memberi peluang dan kesempatan kepada kita untuk bertemu lagi dengan Ramadhan kali ini. Bukan semua makhluk beroleh peluang seperti ini. Mereka yang telah pun mendahului kita menyahut ketentuan Ilahi untuk menemui-Nya lebih awal daripada kita sudah tidak lagi berpeluang untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini.


Sesungguhnya kehadiran Ramadhan amat dinantikan oleh ereka yang menyedari dan mengetahui seribu satu kelebihan dan fadilat yang terdapat dalam bulan ini. Sesungguhnya juga akan beruntunglah mereka yang benar-benar berupaya memanfaatkan sepanjang bulan ini dengan apa jua amal dan aktiviti yang diredhai Allah. Amat rugilah pula orang yang membiarkan Ramadhan berlalu tanpa apa jua amal dan aktiviti yang disuruh oleh Allah dan rasul-Nya untuk kita melakukannya.





Justeru, marilah kita sama-sama manfaatkan bulan mulia dan penuh barakah ini dengan memperbanyakkan amal solih semaksimumnya. Jangan lupa bahawa dalam bulan ini juga akan ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan khususnya bagi mereka yang menghidupkan malam berkenaan dengan pelbagai amal solih sperti mana yang dituntut.


Di samping mengekalkan pelaksanaan ibadat wajib, marilah kita sama-sama tingkatkan pelaksanaan ibadah sunat pula. Antara ibadah sunat termasuklah tadarus, solat sunat tarawih, sedekah, memberi makan kepada orang yang berpuasa ketika berbuka atau sahur, menghadiri majlis ilmu dan banyak lagi.



Bersempena dengan kehadiran Ramadhan, saya dan keluarga mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Ramadhan 1434 Hijri kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana jua berada. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini akan lebih baik untuk kita daripada sebelumnya, insha-Allah.




Sunday, July 7, 2013

Norhar Majid Sudah Keluar Hospital



Sebagai maklumat lanjutan, hari ini, Saudara Norhar Majid sudah pun dibenarkan keluar hospital. Walau bagaimanapun, doktor telah pun memberikan cuti rehat kepada beliau selama 6 minggu. Menurut maklumat yang saya perolehi beliau akan tinggal bersama salah seorang rakannya sementara kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.


Mudah-mudahan beliau akan segera sembuh seperti sediakala, insha-Allah.


Thursday, July 4, 2013

Norhar Majid Masih Dirawat di HKL



Norhar Majid merupakan salah seorang sahabat lama saya. Selain itu, beliau juga merupakan antara kakitangan lama yang masih berkhidmat di ibu pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).


(Norhar Majid sewaktu bercerita mengenai pengalamannya jatuh lubang sedalam 10 kaki pada 3 Januari 2012)


Awal petang semalam, Norhar telah dihantar ke HKL apabila kakitangan PERTIS yang lain melihat beliau lesu dan kelihatan seolah sedang menahan sakit. Sebelumnya, pada sebelah pagi beliau bersama seorang lagi rakan telah melaksanakan kerja luar untuk PERTIS. Namun demikian, melihatkan keadaan Norhar yang semakin tidak sihat, rakan berkenaan telah membawa beliau balik semula ke ibu pejabat PERTIS. Pada mulanya rakan berkenaan ingin menghantar beliau ke klinik yang berhampiran tetapi Norhar enggan. Maka itulah rakan berkenaan telah menghantar Norhar ke ibu pejabat PERTIS. Kalau ikutkan Norhar, beliau tidak mahu dihantar ke HKL. Namun demikian, kakitangan PERTIS telah bertindak dengan betul dan bijak apabila tidak menghiraukan permintaan Norhar supaya beliau tidak dihantar ke HKL.


Di HKL, setelah menerima pemeriksaan doktor, beliau terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Doktor memberitahu, Norhar diserang sakit jantung. Setelah dirawat beberapa jam di ICU dan setelah keadaannya mula stabil, Norhar telah dipindahkan ke CCU pula.


Saya berkesempatan menziarahi beliau petang semalam. Sewaktu saya di sisi katilnya, suaranya lemah, tetapi masih boleh bercakap.


(Antara yang menziarahi Norhar petang semalam)



Selain saya, beberapa rakan lain turut menziarahi beliau semalam. Di samping itu, dua orang adiknya yang menetap di Kelang turut berada di hospital.


Hari ini, saya tidak berkesempatan untuk menziarahinya. Namun begitu, maklumat yang saya perolehi daripada mereka yang menziarahinya siang tadi, situasi beliau masih belum begitu stabil. Walau bagaimanapun, beliau boleh bercakap lebih baik daripada semalam. Menurut maklumat yang sampai kepada saya, ramai juga rakan-rakan yang datang menziarahi beliau hari ini. Salah seorang yang menziarahi beliau memberitahu saya, Norhar sudah meminta kepada doktor untuk pulang ke rumah!


Kita semua sentiasa mendoakan semoga Norhar cepat sembuh.


Sebagai maklumat, Norhar ditempatkan di wad CCU, tingkat 4, HKL.