Sunday, July 14, 2013

Tahniah Untuk JAKIM



Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengorak langkah dalam usaha untuk menambah bahan-bahan bacaan dalam bentuk tulisan Braille khususnya yang berkaitan dengan agama Islam. Baru-baru ini, bahagian berkenaan telah berjaya menghasilkan bahan sulungnya dalam tulisan Braille yang merangkumi dua topik, iaitu mengenai puasa dan juga Pendidik. Apa yang lebih istimewa lagi, buat masa ini bahan-bahan bacaan berkenaan diedarkan secara percuma kepada pengguna sasar.


Saya berkesempatan membaca beberapa halaman (halaman Braille) bahan keluaran sulung berkenaan. Pada hemat saya, secara umumnya kualiti tulisan dan kod Braille bahasa Melayu yang digunakan menepati standard yang diperlukan. Pada masa sama, saya juga tidak menafikan beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dalam beberapa aspek. Namun demikian, buat masa ini, apa yang lebih penting ialah isi kandungan bahan Braille berkenaan yang sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa pengguna sasarnya.


Untuk menghasilkan bahan-bahan bacaan dalam bentuk tulisan Braille bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan gembelingan kepakaran daripada pelbagai pihak yang berkepentingan. Selain itu, kosnya juga tinggi kerana bahan-bahan asas untuk tujuan tersebut sudah sememangnya memakan perbelanjaan yang tinggi. Justeru tidak hairanlah sehingga kini amat jarang mana-mana badan bukan kerajaan dapat mengedarkan bahan-bahan bacaan Braille secara percuma kepada pengguna sasarnya. Kalau pun ada kebiasaannya penerbitan dan pengedaran bahan-bahan berkenaan ditaja oleh pihak-pihak yang prihatin.


Cadangan supaya JAKIM, khususnya bahagian penerbitannya menghasilkan bahan-bahan keagamaan ke dalam bentuk Braille sudah pun diutarakan agak lama. Mengikut idea yang pernah diutarakan, bahan-bahan bacaan yang akan dihasilkan seeloknya berasaskan kepada buku, majalah dan sebagainya yang dihasilkan oleh JAKIM sendiri. Dengan ini, soal mendapat keizinan daripada penerbit asal yang semestinya dilaksanakan sudah tidak timbul lagi kerana penerbit asal bahan-bahan berkenaan ialah JAKIM sendiri.


Dalam memastikan kejayaan penerbitan bahan bacaan Braille berkenaan, pihak JAKIM telah melaksanakan beberapa langkah proaktif yang saya kira amat berkesan. Antaranya, seorang kakitangan yang juga cacat penglihatan yang sebelum ini bertugas di Bahagian Dakwah JAKIM telah dipindahkan ke Bahagian Penerbitan. Selain itu, pihak JAKIM juga telah berjaya memperolehi 2 unit embosser (mesin pencetak Braille) untuk kegunaan percetakan bahan Braille. Selain itu, seorang pembantu juga turut telah ditempatkan di bahagian berkenaan bagi tujuan melicinkan lagi usaha menerbitkan bahan-bahan bertulisan Braille. Di samping itu, beberapa kakitangan yang berpenglihatan turut terlibat membantu penerbitan bahan-bahan berkenaan.


Bagi memastikan kualiti penerbitan berada di tahap yang sepatutnya, pihak JAKIM juga turut mendapat kerjasama daripada sekurang-kurangnya 2 badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan terutamanya untuk memberi latihan jangka pendek kepada kakitangan JAKIM yang berkenaan dalam aspek yang berkaitan dengan penerbitan bahan-bahan bacaan Braille. Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) telah terlibat secara langsung dalam memastikan supaya mesin pencetak Braille, komputer serta perisian khas yang digunakan untuk menghasilkan bahan-bahan Braille berada dalam keadaan siap-siaga untuk beroperasi dengan lancar. Manakala Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) pula telah melatih kakitangan JAKIM yang berkaitan dalam aspek penggunaan perisian khas yang berkaitan. Inilah yang dikatakan kerjasama pintar antara pelbagai pihak. Bagi saya, kerjasama ini dilaksanakan lebih kepada atas nama kepentingan golongan cacat penglihatan.


Sebagaimana yang saya katakan awal tadi, beberapa penambahbaikan harus dilakukan supaya kualiti penerbitan dapat ditingkatkan. Walaupun bahan-bahan Braille yang dihasilkan oleh bahagian penerbitan JAKIM lebih kepada untuk kegunaan umum, tetapi penerbitannya harus menepati spesifikasi dan standard penerbitan Braille sebagaimana sepatutnya. Apatah lagi bilamana kemungkinan bahan-bahan ini akan turut disebarkan di sekolah-sekolah. Standard kod Braille yang digunakan seharusnya mengikut standard kod Braille terkini. Di samping itu, penerbitan berikutnya disaran supaya tidak lagi meninggalkan bahagian ayat Quran atau hadith. Jika bahagian ayat Quran dan hadith terdapat dalam kandungan buku asal, maka ia seharusnya turut sama ditulis dalam bahan yang dihasilkan dalam bentuk Braille, kerana ia sememangnya boleh dilaksanakan. Kalau hendak diikutkan, banyak lagi penambahbaikan yang boleh dilaksanakan, tetapi untuk kali ini cukuplah sebanyak itu sahaja yang saya kemukakan. Kalau saya utarakan lebih banyak lagi, takut luntur pula semangat pihak yang berkenaan untuk menghasilkan penerbitan berikutnya.


Walau apa pun, kemunculan Bahagian Penerbitan JAKIM sebagai antara penghasil bahan-bahan Braille di negara ini amat dialu-alukan. Ia bakal menyemarakkan lagi penghasilan bahan-bahan bacaan Braille yang sememangnya amat berkurangan. Mudah-mudahan juga, dengan terlaksananya usaha ini, ia bakal menyemarakkan lagi usaha dakwah khususnya dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan dalam dan luar negara, insha-Allah. Segala kelemahan dan kekurangan yang ada akan berupaya untuk dibaiki asalkan pihak yang berkenaan sentiasa bersemangat tinggi dan berlapang dada untuk menerima teguran khasnya daripada mereka yang menjadi pengguna kepada bahan-bahan Braille yang dihasilkan.


Sekali lagi, tahniah kepada bahagian Penerbitan JAKIM yang telah melaksanakan langkah berani. Setinggi-tinggi tahniah juga harus diajukan kepada pihak atasan JAKIM, terutama Yang Berbahagia Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAKIM yang turut sama memberi sokongan padu kepada usaha menerbitkan bahan-bahan Braille ini. Tanpa sokongan daripada kedua-dua orang kuat JAKIM ini, sudah tentulah usaha ini sukar dan buntu untuk direalisasikan. Kepada para bakal pengguna pula, marilah sama-sama kita berdoa semoga usaha murni ini akan sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah. Kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam usaha penerbitan ini pula, saya suka mengingatkan bahawa dugaan dan cabaran pasti ada. Maklumlah, lautan mana yang tidak ditimpa gelombang dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Sentiasa bersabar, jangan putus asa serta jangan lupa untuk memohon kekuatan daripada Allah merupakan resepi penting dalam memastikan agar kalian sentiasa istiqamah dengan usaha yang sedang dilakukan.

No comments: