Tuesday, December 24, 2013

Abdul Wahid Jadi Kembali Ke Rahmatullah




Sekitar jam 3.49 petang tadi, saya menerima panggilan telefon dari En. Fauzi Mansor, Pengerusi PERTIS Terengganu, yang memaklumkan bahawa En. Abdul Wahid Jadi, salah seorang ahli bersekutu Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu baru sahaja menghembuskan nafas terakhirnya. Sayu sekali mendengar berita daripada En. Fauzi.

En. Wahid merupakan seorang ahli bersekutu PERTIS Terengganu yang cukup aktif dalam persatuan. Beliau juga pernah menjadi salah seorang AJK PERTIS Terengganu. Kalau tak silap, Allahyarham pernah menjawat jawatan bendahari PERTIS Terengganu.

Di samping itu, beliau sewaktu sihat merupakan orang yang sentiasa mengiringi En. Fauzi ke mesyuarat peringkat PERTIS Pusat yang diadakan di Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga beberapa kali turut menyertai rombongan ahli PERTIS Terengganu ke mesyuarat agung PERTIS di Kuala Lumpur. Beliau seorang yang ringan tulang dan sentiasa membantu ahli-ahli PERTIS bila diperlukan.

Allahyarham merupakan seorang yang periang, peramah dan mudah bergurau. Sebab itulah juga dalam masa yang singkat saya boleh mesra dengan beliau. Hubungan kami bukan setakat sama-sama ahli dalam sebuah persatuan, tetapi merupakan hubungan antara rakan yang baik. Justeru, bila saya ke Terengganu, saya pasti mencari beliau. Setidak-tidaknya untuk makan bersama.

(Allahyarham pada 25 Mac 2013)


Pada bulan Mac lalu, sewaktu saya ke Kuala Terengganu, saya turut menziarahi beliau di rumahnya. Waktu itu, kesihatannya sudah tidak begitu baik. Namun demikian, layanan mesra beliau kepada saya masih tidak berubah. Tatkala itu beliau bercerita panjang mengenai pelbagai perkara termasuklah penyakit yang sedang dihadapinya. Walaupun sudah berada di kerusi roda, tetapi sifat riang dan cerianya masih tidak berubah. Gelak tawanya masih seperti biasa.

Kali terakhir saya menziarahi Allahyarham ialah pada 18 Disember (Rabu) lalu. Waktu itu saya ke Kuala Terengganu untuk memghadiri dua program atas kapasiti saya selaku YDP PERTIS. Pada waktu yang terluang, saya berkesempatan untuk menziarahi beliau di rumahnya. Selain saya dan isteri, kami turut ditemani En. Fauzi Mansor. Rupa-rupanya itu merupakan pertemuan kami yang terakhir. Kami tidak akan bertemu lagi di gunia ini buat selama-lamanya.

Dalam pertemuan terakhir itu, Allahyarham masih boleh bercakap tetapi suaranya kedengaran sangat lemah. Beliau juga masih mengenali saya dengan baik. Walaupun Allahyarham seakan ingin bercerita panjang, tetapi kemampuannya untuk berbuat demikian ternyata amat terbatas. Bila saya tanyakan adakah beliau akan ke program PERTIS di KL lagi bila sihat nanti, beliau menjawab, tempat jatuh lagi dikenang. Kalimat itulah yang masih terngiang-ngiang di telinga saya hingga kini.

(Allahyarham pada 18 Disember 2013)


Untuk maklumat bersama, Allahyarham sebenarnya berasal dari Melaka. Setelah bersara dari tentera, beliau telah menetap terus di Kuala Terengganu. Oleh kerana telor Terengganunya sudah menebal, sewaktu peringkat awal perkenalan kami, saya langsung tidak menyangka Allahyarham berasal senegeri dengan saya. Walaupun beliau seorang yang berpenglihatan, keakraban beliau dengan PERTIS khasnya dan golongan cacat penglihatan umumnya memang sukar dicari ganti. Sepertimana yang telah saya nyatakan, beliau bukan sekadar tidak kekok untuk bergaul dengan golongan seperti saya, bahkan cukup ringan tulang untuk menghulurkan pertolongan dan bantuan kepada sesiapa sahaja.

Justeru pemergian Allahyarham menghadap Ilahi hari ini merupakan satu kehilangan bukan sahaja kepada PERTIS bahkan saya berkeyakinan ramai golongan cacat penglihatan khasnya di Terengganu turut merasi akan pemergian beliau. Namun demikian, kehendak Ilahi tiada siapa yang dapat menolaknya. Kita harus sama-sama redha di atas pemergian beliau menghadap Pencipta kita.

Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, saya mengucapkan takziah. Bersabarlah menghadapi ujian ini. Bersama-samalah kita merafakkan doa ke hadhrat Allah semoga Allahyarham sentiasa dalam peliharaan-Nya sepanjang masa sehinggalah di hari kebangkitan nanti.

Alfatihah ....


No comments: