Monday, September 5, 2016

Mahathir Dan Anwar Bersalaman





Hari ini, media sosial meriah dengan berita Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar bersalaman antara kedua-duanya. Peristiwa berkenaan berlaku di mahkamah tinggi Kuala Lumpur. Untuk menonton peristiwa berkenaan, sila klik
Di sini

Rata-rata penganilisis menganggap ia merupakan peristiwa bersejarah. Setelah bersetru selama lebih kurang 18 tahun, kini mereka boleh berjabat tangan semula. Ia juga merupakan tanda politik tanah air kini sudah memasuki ke fasa seterusnya.

Walaupun kedua-duanya sudah berjabat tangan, namun antara kedua-dua tokoh tersebut masih terpisah oleh tembok utuh dan tirai besi. Namun demikian, peristiwa petang tadi cukup penting dalam konteks kesatuan dan perpaduan dalam kalangan parti-parti pembangkang. Kini mereka nampaknya semakin senada dan sehaluan dalam menghadapi setru politik yang sama.

Peristiwa bersalaman antara dua tokoh yang bersetruan selama 18 tahun sebelum ini petang tadi tetap mempunyai implikasinya yang tersendiri. Tempoh menunggu bagi parti politik baru yang sedang proses pendaftaran mungkin akan berlangsung lebih lama daripada yang dijangkan sebelum ini. Selain itu, adalah dijangkan juga pembebasan Datuk Seri Anwar tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Mungkin bagi pihak yang satu lagi, pembebasan Datuk Seri Anwar hanya akan meletakkan nyawa politik mereka berada dihujung tanduk. Selain itu, serangan politik yang lebih agresif mungkin akan berlaku terutamanya ke atas Tun Dr. Mahathir. Kisah persetruan antara Tun Dr. Mahathir dengan Datuk Seri Anwar mungkin akan diungkit kembali. Tujuannya supaya penyatuan penyokong kedua-dua tokoh berkenaan dapat dihalang.

Dalam senario politik yang ada kini, nampaknya parti siasah yang semakin tersisih ialah PAS. Sttrategi menongkah arus yang dilaksanakan sejak akhir-akhir ini mula memakan diri sendiri. Nampaknya PAS juga harus mencari rakan politik yang lebih berpengaruh dan boleh menjamin masa depan yang gemilang untuk politik PAS itu sendiri. Rakan politik yang ada sekarang nampaknya belum boleh diharap lagi. Blok ketiga yang dicanang sebelum ini seakan tidak menjadi.

Saya sekadar melontarkan pandangan sahaja.


Semua Ketentuan Dari Allah




Sekitar jam 4.00 pagi tadi, saya menerima berita pemergian salah seorang ibu saudara saya, iaitu adik kepada ibu saya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Beliau sudah terlantar di hospital berkenaan sejak 17 Ogos lalu. Petang semalam saya sekeluarga sempat menziarahi beliau di hospital sebelum menghantar Luqman pulang ke asramanya. Alhamdulillah jenazah telah selamat dikebumikan sebelum zohor tadi. Saya sempat menyembahyangkan jenazahnya di Masjid Zubair Awwam, Cheras pada sekitar jam 11.00 pagi tadi.





Ibu saya telah menziarahi ibu saudara saya sekitar dua minggu yang lalu. Pada kali ini, beliau tidak dapat hadir untuk menatap wajah adiknya buat kali terakhir kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Pada 1 Ogos lalu, kami sekeluarga kehilangan salah seorang ibu saudara sebelah isteri saya. Arwah ialah adik kedua kepada ibu mertua saya. Kalau saya tidak silap, usianya hampir mencecah 90 tahun. Jenazah telah selamat dikebumikan di Kampung Tekal, Termerloh, Pahang pada hari yang sama.

Pada 23 Julai lalu, kami sekeluarga kehilangan abang ipar saya, iaitu abang kepada isteri saya. Beliau meninggal dalam usia 51 tahun. Beliau telah menghembuskan nafas akhirnya di Kuantan. Jenazah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi, Kuantan. Kehilangan beliau amat saya rasai kerana keakraban hubungan kami. Setiap kali beliau ke KL, maka rumah saya akan jadi tempat persinggahannya. Kini beliau tidak akan singgah lagi di rumah saya buat selama-lamanya.

Pemergbian ibu saudara sebelah isteri saya dan juga ibang ipar saya amat dirasai terutamanya oleh ibu mertua saya. Maklumlah seorang adik dan seorang anak. Kedua-duanya dijemput Ilahi dalam jarak masa yang sangat dekat.

Pada 24 Mac lalu pula, salah seorang bapa saudara sebelah isteri saya telah kembali ke rahmatullah. Usianya hampir mencecah 80 tahun. Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Kampung Tekal, Temerloh, pahang pada hari yang sama.

Saya amat insaf semua yang telah berlaku adalah ketentuan Allah yang Maha Kuasa. Tiada siapa pun yang mampu menahannya. Daripada Dia kita semua datang dan kepada Dia jugalah kita semua akan kembali. Sebesar mana pun kasih dan sayang kita kepada mana-mana insan, akhirnya kita akan berpisah juga dengan orang yang paling kita kasihi itu.

Kami sekeluarga memang redha dengan ketentuan Ilahi. Saat untuk mereka dijemput oleh Pencipta sudah pun tiba. Saat untuk kita pula untuk mengikuti mereka akan tiba. Hanya waktunya sahaja yang menjadi rahsia. Walau siapa pun kita, setinggi mana pun pangkat, jawatan serta kedudukan kita di dunia ini, akhirnya kepada Dia kita semua akan kembali. Demikianlah.


Saturday, September 3, 2016

“New 5 Dollar Bank Note”





Di negara kita, sebenarnya kita masih tercari-cari kaedah yang paling mesra oku (khususnya yang cacat penglihatan) bagi membolehkan mereka dapat mengenali wang kertas dengan lebih cepat, mudah dan berkesan. Saya tidak menafikan usaha-usaha yang telah dilakukan sebelum ini oleh beberapa pihak bagi membantu golongan berkenaan untuk mengenali wang kertas edengan lebih cepat dan mudah. Namun demikian, sehingga kini, masih belum bertemu dengan kaedah yang paling berkesan ke arah itu.

Sebelum ini, pada wang kertas kita kononnya ada huruf Braille. Malangnya ia bukan untuk golongan cacat penglihatan tetapi sekadar untuk dilihat oleh mereka yang berpenglihatan sahaja. Selepas itu, diperkenalkan pula alat untuk mengukur mata wang. Ia mungkin boleh digunakan tetapi terpaksa mengambil masa untuk melakukannya. Dalam keadaan yang bersegera atau tergesa-gesa, alat itu juga kurang efektif penggunaannya.

Bagi golongan cacat penglihatan pula, mereka terpaksa menggunakan pelbagai kaedah peribadi untuk tujuan di atas. Ada yang akan menyusun dengan meletakkan di ruang yang berasingan bagi setiap nilai not wang kertas dalam dompet masing-masing. Misalnya wang RM1 di letakkan di ruang yang berbeza dengan not wang RM10. Ada juga yang mengenali not wang kertas menerusi saiznya, tetapi ia agak sukar bagi not wang RM10 dengan RM20.

Apa yang dilakukan di Australia mungkin boleh dijadikan panduan. Mereka nampaknya lebih prihatin dan peka dengan permasalahan yang sering dihadapi terutamanya oleh mereka yang cacat penglihatan. Untuk tontonan bersama, sila klik
Di sini

Mudah-mudahan setelah menontonnya, ia dapat menjana idea yang lebih kreatif kepada pihak yang berkenaan.


Makan-makan




Awal malam tadi, saya sekeluarga telah menjamu selera di sebuah restoran Cina Muslim yang terletak di Wangsa Maju. Makan-makan seumpama ini memang menjadi kegemaran saya dan keluarga. Maklumlah kami keluarga kecil. Jadi kalau hendak masak selalu di rumah kurang ekonomikal sedikit. Kebetulan pula, malam ini malam minggu. Jadi ada masa sedikit untuk bersantai.




Kewujudan restoran ini sudah pun saya dengar sebelum ini. Sebelum ini pun, ada rakan-rakan sejawat di sekolah memberitahu tentang keenakan makanan di restoran ini. Baru-baru ini, Cikgu Rizal Tan, salah seorang rakan sejawat di sekolah telah menjamu selera di restoran yang sama. Beliau telah memberitahu saya dengan agak trperinci tentang jenis-jenis makanan yang terdapat di restoran berkenaan. Katanya lagi, walaupun ia merupakan restoran masakan China, tetapi makanannya bukan makanan biasa yang biasa ditemui di restoran Cina sebelum ini. Masakannya lebih kepada makanan orang-orang Islam yang tinggal di sebelah barat China seperti wilayah Sinjiang.




Teruja dengan apa yang disampaikan oleh Cikgu Rizal Tan, maka awal malam tadi saya dan keluarga telah menjamu selera di restoran berkenaan. Ternyata ia tidak menghampakan. Walaupun yang menjamu selera kami berlima (termasuk dua orang rakan sekelas Luqman), tetapi harganya baru RM119.00 sahaja. Banyak juga makanannya yang berasaskan kambing. Makanannya pula beraneka jenis sama ada nasi, mee, pelbagai sup, serta lauk-pauk yang lain. Seperti juga di restoran masakan China di tempat lain, di restoran ini juga ada menyediakan air minuman percuma iaitu chinese tea. Suasananya pula tidak bising dengan muzik kerana memang tiada muzik. Maknanya kita boleh menjamu selera dengan aman di restoran berkenaan.

Luqman pula, dengan nakalnya telah berkongsi juadah yang kami makan dengan ahli keluarga yang lain menerusi whatsapps. Ada juga yang terliur. Apakan daya mereka jauh di Kuantan sana.

Kesimpulannya, memang tanggung puas bila menjamu selera di restoran ini. Lain kali boleh bawa saudara-mara yang lain ke restoran ini untuk menjamu selera pula.


Thursday, September 1, 2016

Sambutan Ambang Malam Merdeka Peringkat SMPK Setapak 2016 (Catatan Lewat)




Pada 30 Ogos lalu, sekolah tempat saya bertugas telah mengadakan sambutan ambang kemerdekaan peringkat sekolah. Secara terperincinya, sambutan ini adalah di bawah anjuran pihak asrama. Namun demikian, pelbagai pihak telahmemberi kerjasama yang baik dalam memastikan agar acara berkenaan berjalan lancar. Sambutan berkenaan turut dihadiri oleh semua murid yang tinggal di asrama. Selain itu, barisan pentadbir serta sebilangan guru juga turut hadir bersama-sama dengan keluarga masing-masing.

Acara sambutan telah bermula pada sekitar jam 9.30 malam. Pelbagai persembahan telah diadakan bagi menanti detik 12 malam 31 Ogos. Antaranya termasuklah nyanyian, lakonan, dan pelbagai persembahan lain. Tema utamanya ialah patriotisme dan 1Malaysia.

Acara sambutan pada malam berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh murid. Daripada pengacara majlis sehinggalah ke persembahan nyanyian, lakonan dan sebagainya, semuanya dikendalikan oleh murid. Manakala para guru pula, mana yang terkena untuk buat persembahan pula, tidak keberatan untuk melakukannya. Spottinglah katakan. Ternyata mereka mempunyai bakat yang cukup besar jika diberi kepercayaan dan latihan untuk mengendalikan majlis rasmi tetapi santai seperti ini.

Selain pelbagai persembahan, malam berkenaan juga turut disertakan dengan jamuan beraneka makanan. Antaranya termasuklah kambing bakar yang cukup menyelerakan, nasi lemak serta pelbagai jenis kuih-muih. Makanan berkenaan adalah sumbangan daripada warga sekolah sendiri.

Akhirnya, setelah sampai masanya, kiraan detik 12 tengah malam pun bermula. Semua yang hadir memang teruja dan penuh debar ketika detik tersebut dikira secara beramai-ramai oleh seluruh hadirin. Bila tiba saatnya, seluruh warga sekolah yang hadir bersorak kegirangan, seolah-olahnya macam baru dapat kemerdekaan lagaknya. Demikianlah.

(Untuk menonton kiraan detik 12 tengah malam, sila klik
di sini).

Sesungguhnya semangat patriotik yang ditunjukkan dan disemarakkan oleh murid-murid sekolah tempat saya bertugas sama taranya dengan sambutan yang sama di tempat lain. Sebab itulah kemeriahan yang terserlah cukup sebanding dengan majlis yang serupa di tempat lain. Pendedahan, latihan serta kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk mengendalikan majlis sambutan seperti ini tidak pernah mereka sia-siakan. Sokongan untuk mereka daripada semua pihak terutama daripada para guru bagi memupuk sikap yakin diri sememangnya penting. Asasnya ialah para guru di sini memang yakin bahawa murid-murid kami memang boleh melakukannya bila kepercayaan diberi.

Sebagai tatapan bersama, di bawah ini saya kongsikan beberapa keping foto berkaitan dengan sambutan malam ambang kemerdekaan di sekolah tempat saya bertugas yang sempat diambil.