Monday, September 5, 2016

Semua Ketentuan Dari Allah




Sekitar jam 4.00 pagi tadi, saya menerima berita pemergian salah seorang ibu saudara saya, iaitu adik kepada ibu saya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Beliau sudah terlantar di hospital berkenaan sejak 17 Ogos lalu. Petang semalam saya sekeluarga sempat menziarahi beliau di hospital sebelum menghantar Luqman pulang ke asramanya. Alhamdulillah jenazah telah selamat dikebumikan sebelum zohor tadi. Saya sempat menyembahyangkan jenazahnya di Masjid Zubair Awwam, Cheras pada sekitar jam 11.00 pagi tadi.





Ibu saya telah menziarahi ibu saudara saya sekitar dua minggu yang lalu. Pada kali ini, beliau tidak dapat hadir untuk menatap wajah adiknya buat kali terakhir kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Pada 1 Ogos lalu, kami sekeluarga kehilangan salah seorang ibu saudara sebelah isteri saya. Arwah ialah adik kedua kepada ibu mertua saya. Kalau saya tidak silap, usianya hampir mencecah 90 tahun. Jenazah telah selamat dikebumikan di Kampung Tekal, Termerloh, Pahang pada hari yang sama.

Pada 23 Julai lalu, kami sekeluarga kehilangan abang ipar saya, iaitu abang kepada isteri saya. Beliau meninggal dalam usia 51 tahun. Beliau telah menghembuskan nafas akhirnya di Kuantan. Jenazah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi, Kuantan. Kehilangan beliau amat saya rasai kerana keakraban hubungan kami. Setiap kali beliau ke KL, maka rumah saya akan jadi tempat persinggahannya. Kini beliau tidak akan singgah lagi di rumah saya buat selama-lamanya.

Pemergbian ibu saudara sebelah isteri saya dan juga ibang ipar saya amat dirasai terutamanya oleh ibu mertua saya. Maklumlah seorang adik dan seorang anak. Kedua-duanya dijemput Ilahi dalam jarak masa yang sangat dekat.

Pada 24 Mac lalu pula, salah seorang bapa saudara sebelah isteri saya telah kembali ke rahmatullah. Usianya hampir mencecah 80 tahun. Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Kampung Tekal, Temerloh, pahang pada hari yang sama.

Saya amat insaf semua yang telah berlaku adalah ketentuan Allah yang Maha Kuasa. Tiada siapa pun yang mampu menahannya. Daripada Dia kita semua datang dan kepada Dia jugalah kita semua akan kembali. Sebesar mana pun kasih dan sayang kita kepada mana-mana insan, akhirnya kita akan berpisah juga dengan orang yang paling kita kasihi itu.

Kami sekeluarga memang redha dengan ketentuan Ilahi. Saat untuk mereka dijemput oleh Pencipta sudah pun tiba. Saat untuk kita pula untuk mengikuti mereka akan tiba. Hanya waktunya sahaja yang menjadi rahsia. Walau siapa pun kita, setinggi mana pun pangkat, jawatan serta kedudukan kita di dunia ini, akhirnya kepada Dia kita semua akan kembali. Demikianlah.


No comments: