Sekitar jam 9 malam lebih sedikit tadi, pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengumumkan secara rasmi keputusan pilihanraya kecil parlimen P94 Hulu Selangor. Mengikut keputusan rasmi, P. Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN) mendapat 24997 undi. Manakala Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mendapat 23272 undi. Ini bermakna, calon BN, P. Kamalanathan berjaya memenangi kerusi parlimen Hulu Selangor dengan majoriti undi sebanyak 1725.
Bagi BN, kemenangan ini mungkin yang termanis dalam kesemua pilihanraya kecil setakat ini selepas pilihanraya umum tahun 2008 lalu. Ini kerana, calonnya bukan sahaja berjaya meraih jumlah majoriti undi yang lebih besar, kemenangan ini juga merupakan kejayaan pertama BN dalam merampas kembali kerusi daripada parti lawan yang sekaligus telah menambah bilangan kerusi BN di Dewan Rakyat. Bolehlah dikatakan kemenangan ini telah berjaya menebus kekalahan dan kekecewaan BN dalam pilihanraya kecil bagi parlimen Kuala Terengganu pada Januari tahun lalu.
Bagi PKR pula, kekalahan ini menyebabkan jumlah kerusinya di Dewan Rakyat semakin berkurangan. Jika dalam pilihanraya umum 2008 PKR berjaya memperoleh 31 kerusi di Dewan Rakyat, kali ini parti tersebut sudah kehilangan 5 kerusi, iaitu 3 gara-gara keluar parti dan menjadi wakil bebas, seorang wakilnya pula diambil tindakan disiplin dan kali ini satu lagi kerusinya bagi Hulu Selangor hilang apabila dirampas oleh BN.
Dengan pengumuman oleh SPR, maka debaran semua pihak di Hulu Selangor telah berakhir. Ada debaran yang bertukar dengan kegembiraan. Ada pula debaran yang bertukar dengan kekecewaan. Itulah dia asam garam dalam politik. Apa yang pasti, para penyokong Pakatan Rakyat kenalah menahan telinga dan mata daripada asakan media pro-BN menjelang beberapa hari mendatang dalam meraikan kejayaan mereka di Hulu Selangor.
Kepada yang menang, tahniah diucapkan. Kepada yang tidak menang, cuba lagi pada masa-masa yang akan datang selagi ada peluang.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan sekalian.
Sememangnya menang kalah, asam-garam sesuatu perjuangan. Namun begitu, kemenangan sebenar ialah kemenangan yang haq mengatasi yang batil, bukan mestinya menang kerana peroleh sokongan majoriti. Yang lebih menakutkan, jika kemenangan tersebut diperoleh menerusi pelbagai bentuk kemungkaran yang zahirnya kelihatan menang, tetapi hakikatnya, kalah. Sekiranya ini benar, dikhuatiri ia bocor sehingga tak mampu dibaiki lagi, menyebabkan rakyat hilang sabarlalu menjatuhkan kerajaan secara kekerasan. Fakta sejarah serantau sahaja pada penghujung abad ke-20 lalu (1986 dan 1998) jelas membuktikan bagaimana insan-insan seperti Presiden Marcos (Filipina) dan Presiden Suharto (Indonesia) akhirnya tumbang tertiarap bersama segala yang mereka warisi menerusi kemungkaran dan kezaliman.
Justeru, pada hemat saya, kemenangan yang dicapai pada pilihanraya ini bermakna rakyat menaruh harapan tinggi dan ingin sekali melihat komitmen serta iltizam pihak tersebut menunaikan seribu satu macam janji yang ditabur lidah tak bertulang itu sepanjang berkempen. Jika tidak, ia dikhuatiri merupakan suatu bentuk "istidraj" (kurniaan yang memperdayakan) yang boleh menjadi antara faktor kejatuhan mereka kemudian. Kepada yang kalah, takziah saya ucapkan; teruskan perjuangan dan kiranya menang kemudian, tunaikan juga segala janji kalian agar rakyat benar-benar sejahtera di bawah kepimpinan baru kelak.
Begitulah sekilas pandangan saya yang masih cetek ilmu ini. Yang baik, semestinya daripada Allah, dan kiranya kedapatan kesilapan atau kekurangan, saya mohon jutaan ampun dan maaf serta ingin sekali untuk diperbetulkan. Juga, pandangan dan ulasan ini tidaklah bermaksud untuk cenderung kepada mana-mana pihak; sekadar berkongsi idea, kerana kita manusia, pasti ada kelebihan dan kekurangan. Terima kasih.
Post a Comment