Monday, April 5, 2010

Enid Fernandez Dan Sejarah Awal PES

Nama Enid Fernandez adalah satu nama yang amat jarang sekali disebut dalam kalangan generasi hari ini. Sebagai mengenang bakti dan jasanya, khususnya dalam mengasaskan institusi pendidikan khas cacat penglihatan iaitu Sekolah Princess Elizabeth (PES) serta usahanya dalam mengangkat darjat dan martabat golongan berkenaan, di sini saya suka berkongsi sedikit maklumat yang saya ada mengenai beliau untuk tatapan kita bersama.

Selepas perang dunia kedua, dengan arahan daripada Lord Mountbatten, seorang ahli palang merah dari Britain telah dihantar ke Tanah Melayu. Beliau yang dimaksudkan ialah Cik Enid M. L. Fernandez. Beliau telah tiba di Singapura pada bulan September tahun 1945 dengan tugas utamanya untuk menyelia mangsa-mangsa perang dan juga mangsa-mangsa yang dibawa pulang dari projek Landasan Kereta Api Maut. Oleh kerana keadaan selepas perang, tugas beliau telah diperluaskan lagi di mana beliau juga turut ditugaskan untuk membantu golongan melarat, orang-orang tua dan daif. Untuk itu, pada 30 Disember 1946, Enid Fernandez telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan selaku State Rural Walfare Officer. Dalam menjalankan tugasnya, beliau tidak sahaja duduk di pejabat, malahan beliau sering berpergian ke kawasan-kawasan pedalaman bagi mencari dan mengenal pasti golongan yang daif dan melarat untuk diberi bantuan sewajarnya. Mereka yang layak dan harus menerima rawatan atau bantuan lanjut, akan ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat (walfare home) di Batu 3, Jalan Skudai, Johor Bharu.

Sebagai maklumat tambahan, Pada mulanya rumah kebajikan berkenaan merupakan sebuah hospital untuk orang-orang gila yang terletak di bawah seliaan Jabatan Perubatan Negeri Johor. Ia telah dibina sejak awal kurun ke-20 lagi. Kemudian operasinya telah diperluaskan lagi dengan menempatkan mereka yang berpenyakit serius seperti batuk kering. Sewaktu pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, pusat ini telah dijadikan sebagai sebuah kem tentera. Selepas perang dunia kedua, sebahagian daripada bangunan pusat ini telah diambil alih oleh Pentadbiran Tentera British (BMA) dan ia dijadikan sebagai pusat untuk menempatkan mangsa-mangsa perang. Pada bulan Januari 1946, pentadbirannya telah diambil alih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor dan fungsinya telah diperluaskan meliputi golongan yang daif dan melarat.

Seterusnya, di sekitar tahun 1948, sewaktu menjalankan tugasnya di satu kawasan pedalaman dalam daerah Kota Tinggi, Enid Fernandez dengan secara tidak sengaja telah terjumpa seorang budak laki-laki yang cacat penglihatannya. Budak lelaki tersebut ialah Ismail bin Abdullah, yang kemudiannya merupakan murid pertama Sekolah Princess Elizabeth. Setelah Enid Fernandez berbual sebentar dengan Ismail, beliau mendapati budak lelaki tersebut merupakan seorang yang petah dan bijak. Baginya, sesuatu mungkin boleh dilakukan supaya masa hadapan budak lelaki tersebut tidak sia-sia.

Dengan didorong oleh minat yang mendalam serta pandangan jauh beliau, Enid Fernandez terus menemui keluarga Ismail. Dalam pertemuan itu, keluarga Ismail ingin supaya Enid Fernandez melakukan sesuatu agar penglihatan Ismail dapat dipulihkan. Setelah melalui pemeriksaan doktor kemudiannya, ternyata bahawa penglihatan Ismail tidak dapat dipulihkan. Pada masa itu juga, Enid Fernandez sering bekerjasama rapat dengan seorang doktor di jabatan perubatan negeri yang dikenali sebagai Dr. Sharma.

Walaupun usahanya untuk memulihkan penglihatan Ismail gagal, namun ikhtiar Enid Fernandez tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebagai seorang yang berpandangan jauh dan banyak pengalaman dalam kerja-kerja kebajikan, beliau merasakan masa hadapan Ismail serta golongan yang senasibnya akan lebih terjamin jika sesuatu dapat dilakukan. Oleh kerana tiada sebuah pun institusi khas untuk golongan cacat penglihatan di Johor ketika itu, Enid Fernandez merasakan tempat yang paling sesuai untuk menempatkan Ismail ialah rumah kebajikan masyarakat yang terletak di Batu 3, Jalan Skudai. Walaupun St. Nicholas Home telah pun ada di Pulau Pinang ketika itu, tetapi pusat itu hanya menerima golongan cacat penglihatan yang beragama Kristian sahaja (rujuk kenyataan Enid Fernandez dalam Berita Harian pada 5 September 1980).

Mulanya Ismail tidak dibenarkan untuk ditempatkan di rumah kebajikan tersebut oleh keluarganya, tetapi atas inisiatif Enid Fernandez sendiri dengan meyakinkan keluarga Ismail bahawa masa hadapannya akan terjamin, akhirnya keluarganya membenarkan juga Ismail ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat tersebut.

Kanak-kanak cacat penglihatan kedua yang dimasukkan di rumah kebajikan masyarakat tersebut selepas kemasukan Ismail ialah Samani bin Taib. Samani ditemui secara tidak sengaja oleh Cik Fernandez sewaktu beliau datang ke kampungnya di daerah Mersing untuk menyiasat satu tragedi yang menimpa sebuah keluarga di kampung berkenaan. Enid Fernandez dengan dibantu oleh Penghulu Air Merah telah memohon daripada keluarganya untuk menempatkan Samani di rumah kebajikan masyarakat. Tanpa banyak soal, keluarganya terus memberi keizinan. Walau bagaimanapun, atas beberapa sebab, pemergian Samani ke rumah kebajikan masyarakat berkenaan terpaksa ditangguhkan buat sementara. Selang sebulan kemudian, barulah Cik Ann Majeed bersama-sama seorang kerani dari Jabatan Kebajikan Masyarakat datang dan mengambil Samani untuk ditempatkan di rumah kebajikan tersebut. Sewaktu ditempatkan di rumah berkenaan, Samani sendiri tidak berapa pasti usianya ketika itu. Namun begitu, usia beliau ketika itu dianggarkan sekitar 12 tahun.

Kanak-kanak cacat penglihatan ketiga yang ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat tersebut ialah Saodah binti Sharif. Beliau juga merupakan murid perempuan pertama bagi Sekolah Princess Elizabeth. Menurut satu sumber lisan, Saodah dimasukkan ke rumah kebajikan masyarakat apabila keluarganya tidak mengambil beliau di hospital setelah menghantarnya untuk satu rawatan. Orang yang bertanggungjawab menempatkan Saodah di rumah kebajikan masyarakat ialah Enid Fernandez.

Ashari Abdullah adalah kanak-kanak cacat penglihatan keempat yang telah ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat di Batu 3, Jalan Skudai, Johor. Nama asalnya ialah Lim Keong Wah, tetapi dalam kalangan guru dan rakan-rakannya, beliau lebih dikenali dengan nama Islamnya. Beliau telah dimasukkan ke rumah kebajikan masyarakat pada awal Oktober 1948.

Keluarga Ashari juga merupakan mangsa perang dunia kedua. Ibu bapanya mati semasa zaman perang. Adik-beradiknya pula terpisah. Abangnya juga telah mati kerana ditimbus hidup-hidup oleh tentera Jepun. Selepas tamat perang dunia kedua, Ashari telah dijaga oleh kakak iparnya. Oleh kerana kedaifan hidup yang begitu mencengkam ketika itu, kakak iparnya telah menyuruh sebuah teksi menghantar dan meninggalkan Ashari di perkarangan Hospital Besar Johor Baru. Di sini, Ashari telah dijaga oleh sekumpulan kakitangan hospital yang perihatin. Kemudiannya, melalui pemeriksaan seorang doktor, Ashari telah disahkan tidak berpenglihatan. Melalui doktor tersebutlah, Enid Fernandez kemudiannya telah menempatkan Ashari di rumah kebajikan masyarakat. Mereka berempat inilah, Ismail Abdullah, Samani Taib, Saodah Sharif dan Ashari Abdullah merupakan generasi pertama bagi Sekolah Princess Elizabeth (PES).

Dari semenjak Ismail Abdullah ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat lagi, Enid Fernandez merasakan adalah tidak begitu praktikal untuk terus menempatkan kanak-kanak cacat penglihatan berkenaan di rumah kebajikan berkenaan tanpa sesuatu yang lebih bermanfaat untuk masa hadapan mereka. Lagipun fungsi rumah tersebut hanya untuk menempatkan mereka yang tua, melarat atau daif, sedangkan bagi Enid Fernandez, kanak-kanak yang cacat penglihatan ini tidak sepenuhnya menepati kategori tersebut. Oleh kerana tiada pilihan lain dan tidak mahu melihat masa hadapan kanak-kanak ini sia-sia, Enid Fernandez telah mengambil daya usaha yang berani dan tegas iaitu dengan memulakan pendidikan untuk kanak-kanak cacat penglihatan tersebut. Bagi tujuan merealisasikan usahanya, Enid Fernandez dengan bantuan daripada D.R. Bridges telah berjaya mendapatkan khidmat seorang wanita yang kebetulan ketika itu telah pun mempunyai kemahiran asas dalam sistem tulisan Braille selaku guru kepada keempat-empat kanak-kanak tersebut. Wanita yang dimaksudkan ialah Ann Majeed. Maka pada ketika itulah bermulanya pendidikan formal pertama untuk kanak-kanak cacat penglihatan di negara kita. Walaupun keadaan serba daif ketika itu, ia sama sekali tidak menghalang Enid Fernandez untuk memastikan agar guru yang mengajar kanak-kanak cacat penglihatan berpengetahuan dalam sistem tulisan Braille. Jadi, amatlah menghairankan jika ada di antara kita hari ini yang enggan menerima hakikat bahawa kemahiran Braille merupakan sesuatu yang mesti ada kepada tenaga pengajar di institusi-institusi pendidikan khas cacat penglihatan.

Hari ini, pada pemerhatian saya, nama Enid Fernandez hampir pupus dari pengetahuan dan bibir kita, terutamanya warga pendidikan khas cacat penglihatan sendiri. Beliau seakan tidak pernah wujud dalam sejarah pendidikan khas negara kita. Hakikatnya, dengan berbekalkan wawasan yang sukar dijangkau serta KETI iltizam yang sukar dicapai oleh kebanyakan orang, Enid Fernandez bukan sahaja berjaya menukar kehidupaan mereka yang cacat penglihatan daripada golongan melarat kepada insan yang mampu berdikari, bahkan lebih jauh lagi, beliau sebenarnya telah meletakkan asas yang kukuh kepada sistem dan institusi pendidikan khas yang ada hari ini. Kita mungkin boleh melupakan Enid Fernandez, tetapi sejarah tidak sekali-kali akan melupakan beliau.

Masih segar dalam ingatan saya, sekitar tahun 1980, Enid Fernandez telah mengadakan lawatan ke PES untuk kali terakhirnya. Dalam lawatan tersebut, beliau turut menangis kegembiraan kerana salah seorang yang telah beliau tempatkan di rumah kebajikan masyarakat di Batu 3, Jalan Skudai sebelumnya, ketika itu merupakan salah seorang guru di sekolah tersebut. Orang yang dimaksudkan ialah Cikgu Ismail Abdullah.

Kini, dalam kalangan generasi murid-murid pertama PES, hanya Samani Taib sahaja yang masih bersama kita. Cikgu Ismail Abdullah telah menghadap Ilahi pada sekitar tahun 1987. Manakala Ashari Abdullah pula telah pergi untuk selama-lamanya pada tahun lalu. Saodah Sharif pula memang sudah lama tidak dapat dikesan entah di mana.



Akhirnya, sebagai mengenang jasa Enid Fernandez, saya suka mencadangkan agar nama beliau diabadikan di PES sendiri. Mungkin dewan yang ada di sekolah tersebut boleh dinamakan bersempena dengan nama Enid Fernandez. Enid Fernandez tidak pernah memintanya, tetapi kita yang ada hari ini wajar mengenangnya. Itu sekadar cadangan sahaja.

2 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Alhamdulillah! Juga, sekali lagi, tahniah! Sememangnya, hakikat sejarah tak sepatutnya dilupakan. Terima kasih di atas pendedahan fakta yang telah hampir "pupus" ini. Nah, benarlah, hakikat manusia melupakan asal-usulnya kini jelas lagi nyata!

Mr. Enid, pengasas pendidikan rasmi OKU penglihatan sebenar, juga PES, sememangnya menggamit kenangan, terutama bekas pelajar seperti saya. Untuk makluman saudara dan rakan-rakan, Allahyarham Cikgu Ismail Abdullah (juga murid pertama PES) telah meninggal dunia pada 1 April, 1987 (Rabu) akibat penyakit semput. Ketika itu, saya bersama beberapa orang rakan menuntut di Tingkatan 2 di Rancangan Percantuman Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Justeru, setelah pulangnya beliau ke rahmatullah, apa dah jadi dengan kemahiran kraftangan seperti membuat bakul dengan rotan? Justeru, cadangan saya, pendidikan khas cacat penglihatan ini tidaklah hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu menerapkan juga unsur-unsur kerohanian serta pelbagai kemahiran lain agar lepasan pelajar kita nanti mampu berdikari. Memang kesuntukan masa, tetapi, daripada membiarkan hujung minggu para pelajar kita terabai dik unsur-unsur lagha, bukankah baik diaturkan aktiviti luar bilik darjah seperti kemahiran muzik (yang pernah saudara sebutkan), sukan dan permainan serta kemahiran vokasional seperti anyaman, memasak, menjahit dan lain-lain? Kalau tidak, akan terjadilah sepertimana kemahiran anyaman bakul yang boleh saya katakan, pupus bersama ketiadaan pemegang ilmunya. Bahkan, kemahiran Braille sememangnya wajib dikuasai oleh mereka yang ingin melibatkan diri dengan pendidikan khas penglihatan ini, bagaikan kemahiran menaip jika mahu menguasai bidang IT. Akhirnya, teruskan pendedahan sebegini lagi agar kami sekalian maklum serta mengambil iktibarnya. Semoga saudara dan blog ini beroleh berkat dan rahmat-Nya, insha Allah.

Terima kasih.

pen buruk ™ said...

salam cikgu. tahniah dan terharu atas pendedahan fakta sejarah ini. sebagai seorang adult blind, saya tidaklah mengetahui sangat pasal sejarah sebegini. saya sangat-sangat berterima kasih dan rasa sungguh terharu.

mengenai cadangan untuk nama tersebut. saya sangat mengalukan dan menyokong cadangan cikgu

saya juga mengecam golongan yang menggap braile tidak penting di sekolah.

terima kasih