Wednesday, June 16, 2010

Ole-ole Dari Kuala Terengganu (Bahagian 1)

Baru-baru ini, saya sekeluarga telah berkunjung ke Kuala Terengganu. Kunjungan kami bermula dari 12 Jun (Sabtu) hinggalah 15 Jun (Selasa) 2010. Selain daripada saya bertiga (isteri dan Luqman), kami juga turut disertai oleh Kak Arah (kakak ipar) dan juga umi (ibu mertua). Kami tiba di rumah anak saudara kami di Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, sekitar jam 2.00 petang. Selain dari bertujuan untuk menghadiri majlis walimatul urus (perkahwinan) Cikgu Anisah, kunjungan kali ini juga bagi memenuhi hasrat peribadi saya sendiri iaitu untuk mengunjungi serta menziarahi tempat-tempat tertentu yang mempunyai nilai sejarah di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu. Sebab itulah juga, jadual lawatan kali ini saya sendiri yang menentukannya yang kemudiannya mendapat persetujuan daripada isteri serta yang lainnya. Seperti biasalah, kalau saya yang membuat jadual lawatan, kegiatan membeli-belah merupakan acara paling akhir.



Sebenarnya ini bukanlah kunjungan pertama saya ke negeri penyu ini. Saya sendiri tidak dapat mengingati entah sudah berapa kali saya ke Terengganu. Kebiasaannya, saya ke Terengganu sebelum ini adalah untuk menghadiri pelbagai seminar atau mesyuarat anjuran pelbagai pihak. Oleh kerana jadual yang kebiasaannya padat dan masa yang amat terhad, jadi dalam kunjungan-kunjungan sebelum ini saya tidak mempunyai ruang waktu yang mencukupi untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah yang sangat saya minati itu. Lagipun, dalam kunjungan santai seperti ini, saya lebih gemar pergi bersama-sama keluarga. Banyak faedah dan manfaatnya!



Seingat saya, kunjungan pertama saya ke Terengganu ialah pada tahun 1992. Tujuan kunjungan saya ketika itu ialah untuk menziarahi beberapa orang rakan yang sedang mengikuti pelajaran tahfiz Quran di Madrasah Kubang Bujuk, Serada. Saya tinggal di sana selama tiga hari. Kunjungan saya ketika itu diteruskan lagi dengan menziarahi rakan baik saya, En. Hadi Taufik (kini beliau merupakan salah seorang penolong pengarah di PPD Sentol) serta keluarganya di Dungun. Ketika itu saya pergi secara bersendirian walaupun ia merupakan untuk kali pertama.



Bagi saya, sebagai seorang yang tidak berpenglihatan, ia bukanlah suatu masalah yang besar untuk kita sampai di satu-satu tempat secara bersendirian walaupun ia merupakan untuk kali pertama. Selain dari Terengganu, saya juga pernah sampai ke Kelantan (1996) dan juga ke Sarawak (1998) untuk kali pertama juga secara bersendirian. Bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa rajin bertanya terutamanya ketika berjalan bersendirian. Sesat-barat, terlanggar dan terjatuh juga merupakan asam garam bagi kita yang tidak berpenglihatan ini. Kalau orang tidak mahu melayan pertanyaan kita, jangan hampa dan jangan kecewa! Lagipun itu perkara biasa. Kita jangan beranggapan, sebagai orang yang tidak berpenglihatan, kita akan sentiasa beroleh layanan mesra daripada masyarakat. Tidak sama sekali! Adakalanya, dalam dunia pendidikan khas sendiri pun masih ada segelintir manusia yang punya pandangan tidak lurus kepada orang seperti kita. Itu perkara biasa. Ia juga merupakan lumrah dan rencah kehidupan yang mahu tidak mahu perlu kita mamah, telan dan harungi. Di sebalik semuanya itu, jika kitta mampu mengharungi semuanya itu dengan jayanya, insha Allah ia merupakan pengalaman yang sangat berharga yang akan menjadikan diri kita lebih kental, lebih tabah dan lebih waja dalam menjalani kehidupan seharian kita sementara belum dipanggil Ilahi.



Pada 13 Jun, iaitu setelah saya menamatkan kunjungan singkat saya ke pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan islam Malaysia (PERTIS) Terengganu, saya sekeluarga pun meneruskan kunjungan kami dengan bersantai dan bersiar-siar sebentar di sekitar pantai Seberang Takir. Kata ahli keluarga saya yang lain, pemandangannya memang indah dan mempesonakan. Saya Cuma dapat menghirup udaranya yang segar. Itu pun sudah memadai bagi saya daripada tak dapat apa-apa langsung. Alhamdulillah!



Daripada kesegaran udara yang terhirup oleh saya, dapat saya merasakan betapa indah dan cantiknya panorama ciptaan Allah Yang Maha Esa. Saya sama sekali tidak menafikan, melalui nikmat penglihatan, kita dapat menikmati sesuatu kecantikan dan keindahan dengan lebih baik dan lebih bermakna, tetapi kita juga jangan lupa, adakalanya jika kita hanya menilai sesuatu keindahan dan kecantikan hanya dengan pandangan mata semata-mata, maka kita akan seringkali terkeliru dan tertipu.







Setelah sekitar setengah jam, kami pun mula bergerak ke Muzium Negeri Terengganu pula. Sebenarnya, saya pernah berkunjung ke sini pada 2 Jun 2008 (Isnin) yang lalu. Ada sedikit kelainan kali ini, iaitu di bahagian luarnya ada perkhidmatan kereta api (sedikit-sedikit macam di Danga Bay, Johor Baru). Tujuan utama perkhidmatan kereta api ini ialah untuk membawa para pelawat mengelilingi persekitaran muzium. Setiap pelawat akan dikenakan sedikit bayaran.



Akhirnya, kereta api tersebut berhenti betul-betul di hadapan tangga pintu utama muzium. Ini pun sudah cukup baik khususnya untuk ibu mertua saya, kerana sebenarnya dari tempat letak kereta, kita terpaksa berjalan dalam jarak yang agak jauh juga untuk tiba di hadapan tangga pintu utama muzium dan ini sudah tentulah akan menyulitkann pergerakan warga berusia seperti beliau. Untuk tiba di pintu utama muzium, kami terpaksa mendaki anak-anak tangga yang agak tinggi, ini mungkin agak menyukarkan terutama bagi warga berusia. Namun begitu, kami sama-sama membantu umi untuk mendaki anak-anak tangga tersebut.



Di muzium ini, setiap pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM 5.00 seorang (kalau tak silap saya), tetapi saya dan Luqman percuma. Saya rasa sesuai juga saya diberi percuma kerana sangat sedikit artifak yang dapat saya sentuh dengan tangan. Kebanyakan artifak dikurung dalam cermin, termasuklah Batu Bersurat Terengganu. Memang teringin benar saya menyentuh batu bersurat Terengganu, namun begitu, setakat ini hasrat tersebut masih belum kesampaian. Muda-mudahan suatu hari yang entah bila, hasrat saya untuk menyentuh batu bersurat tersebut akan termakbul jua, insha Allah.



Umi duduk sahaja kerana tak larat lagi untuk berjalan. Sementara kami yang berempat terus berjalan untuk melihat bahan dan artifak yang dipamerkan di muzium ini. Kami semua tidak dibenarkan membawa masuk kamera di dalam premis muzium. Semua kamera dikehendaki disimpan di tempat khas yang disediakan. Ini peraturan biasa. Sebab itulah dalam posting ini, hanya disisipkan foto di sekitar luar muzium sahaja.

Pada perkiraan saya, ruang-ruang kosong dalam muzium ini masih luas. Ini bermakna, masih banyak lagi bahan dan artifak yang boleh dimuatkan di dalam muzium ini. Saya turut tertarik dengan informasi mengenai kesultanan Terengganu yang terdapat di sini. Ia merangkumi nama sultan, tahun pemerintahan serta di mana jenazah baginda dimakamkan. Barang diingat, makam raja-raja Terengganu tidak berada pada tempat yang sama.

Selain itu, saya juga turut mendapat informasi mengenai senarai para menteri besar Terengganu dari yang pertama (Datuk Seri Amar Diraja Ngah bin Muhammad Yusuf) hinggalah yang terkini (yang ketigabelas), iaitu YAB Datuk Ahmad Said. Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang merupakan menteri besar yang kesebelas. Alhamdulillah kerana dapat berkongsi penglihatan dengan isteri. Maka saya dapatlah juga beroleh sedikit sebanyak informasi yang diperlukan.

Setelah kira-kira dua jam, kami pun mula mengorak langkah untuk meninggalkan bangunan muzium negeri. Mulanya kami hendak mengikut anak-anak tangga sahaja untuk turun ke bawah dan seterusnya kami terpaksa berjalan kaki dalam jarak yang agak jauh untuk ke tempat meletak kereta. Walaupun ia mungkin agak menyulitkan bagi warga berusia seperti umi, kami harus membantunya. Sewaktu saya baru menuruni anak tangga pintu utama muzium semata dua, tiba-tiba kami disapa oleh seorang wanita yang juga merupakan kakitangan muzium dan menawarkan diri untuk membantu kami. Mulanya kami hanya membiarkan kakitangan muzium tersebut membantu umi dan Kak Arah sahaja, tetapi kakitangan berkenaan menyuruh saya, isteri dan Luqman ikut sama. Kami tidak menolaknya. Kakitangan tersebut terus membawa kami ke sebuah lif. Pada lif tersebut terpampang tulisan besar yang memaklumkan bahawa lif berkenaan hanya untuk kegunaan para kakitangan muzium sahaja.

Sewaktu kami masuk ke dalam lif bersama-sama kakitangan berkenaan, tiba-tiba seorang pengunjung awam yang lain terus melulu masuk ke dalam lif. Perbuatannya ditegur oleh kakitangan muzium yang bersama-sama kami. Kakitangan tersebut memberitahu bahawa lif ini hanya untuk kegunaan kakitangan sahaja. Pengunjung tadi agaknya tidak berpuas hati lalu mempersoalkan pula kehadiran kami berlima dalam lif berkenaan. Kakitangan muzium tersebut menjelaskan bahawa beliau Cuma ingin membantu kami yang berlima ini kerana ada seorang cacat penglihatan (saya) dan juga seorang warga tua (umi saya sudah berusia 84 tahun). Kakitangan berkenaan terus mengiringi kami hinggalah ke pintu keluar. Memang jalan yang dipandu oleh kakitangan tersebut lebih dekat dengan tempat meletak kereta.

Peristiwa di atas sedikit sebanyak menjelaskan bahawa masih ada segelintir ahli masyarakat yang ada rasa cemburu dengan sedikit keistimewaan yang diberikan kepada orang seperti saya dan umi. Sebenarnya, sekiranya saya berpenglihatan dan umi saya masih berusia 48 tahun, keistimewaan sedemikian tidak kami perlukan. Lagipun, bagi saya, ia bukanlah satu bentuk keistimewaan, sebaliknya ia lebih kepada sedikit kemudahan sahaja untuk golongan seperti saya dan umi. Kepada kakitangan muzium yang berkenaan, kami ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Semoga keikhlasan anda akan mendapat balasan yang sebaiknya daripada Allah.



Dari Muzium Negeri, kami bergerak pula ke Pulau Wan Man dengan mellalui jalan darat. Sebenarnya saya sekeluarga pernah ke tempat inni semasa ia mula-mula dibuka. Waktu itu, kami ke sini dengan mengikut jalan air. Bagi umi dan Kak Arah pula, ini merupakan kunjungan kali pertama mereka ke sini.



Di sini, destinasi kami ialah di Masjid Kristal. Pada penelitian (pendengaran) saya, bilangan pengunjung agak ramai juga. Saya dan Luqman terus mengambil wudhuk dan mengerjakan solat jamak zohor dan asar di dalam masjid kristal. Sewaktu saya hendak mendirikan solat, seorang pengawal keselamatan terus datang dan menawarkan kepada saya sebuah kerusi. Beriya benar beliau ingin memberikan saya sebuah kerusi. Saya faham, niatnya memang baik, oleh itu saya harus menolaknya dengan baik juga. Saya memberitahu pengawal berkenaan, yang cacat mata saya sahaja, anggota badan saya yang lain termasuk kaki dan lutut masih kuat lagi. Maka itulah saya masih berkeupayaan untuk mengerjakan solat secara berdiri. Pengawal tersebut berpuas hati dengan penerangan saya.



Setelah selesai mengerjakan solat dan sementara menanti isteri, umi serta Kak Arah selesai solat, saya duduk di bahagian luar dewan solat. Pengawal yang tadi juga terus datang semula dan membawa saya dan Luqman duduk hampir dengan tempat beliau berkawal. Diberikannya saya kerusi dan kami pun mula berbual mesra.



Pengawal tersebut memberitahu saya, beliau merupakan seorang pesara tentera. Beliau juga pernah bertugas di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, selama beberapa tahun. Beliau juga biasa dengan Kem Wardieburn. Sekolah di mana saya sedang bertugas sekarang pun beliau tahu.

Pengawal itu juga turut memberitahu saya, di sepannjang setiap cuti sekolah di masjid ini ada program tahfiz untuk kanak-kanak. Setiap peserta hanya dikenakan bayaran sebanyak RM 100.00 seorang sahaja untuk sepanjang kursus. Bayaran tersebut turut merangkumi makan dan minum di sepanjang kursus.



Setelah umi dan Kak Arah selesai solat, kami pun mula meninggalkan perkarangan masjid kristal. Ada lagi tempat yang boleh dikunjungi di sekitar kawasan ini. Umpamanya Taman Mo numen dan sebagainya. Bagi saya, pembinaan masjid seharusnya atas tujuan untuk memperhambakan diri ke hadhrat Allah dan bukan untuk tujuan pelancongan. Oleh itu, saya secara peribadi kurang berminat untuk berkunjung ke tempat-tempat sedemikian. Ini sekadar pandangan saya sahaja. Orang lain sama ada boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan saya. Bagi saya, perselisihan pendapat sebegini tiada salahnya.

Di sekitar kawasan ini juga ada rumah tamu. Kalau tak silap saya, harga untuk semalam ialah sekitar RM 400.00 hingga rM 450.00. Selain itu, dewan konvensyen juga turut disediakan.



Tatkala kami meninggalkan Pulau Wan Man, hari semakin petang. Kami terus ke Restoran Selera Kampung yang terletak tidak jauh dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNIZA). Sebenarnya, saya sekeluarga pernah makan tengah hari di restoran ini pada 6 Jun 2009 (Sabtu) yang lalu. Tatkala itu, kami dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu. Makanannya boleh tahan dari segi keenakannya. Lagipun, makanan yang dijual pula pelbagai jenisnya.

Pada tahun lepas, apa yang menarik perhatian saya di restoran ini ialah papan iklan yang mengiklankan restoran ini kepada para pelanggannya. Saya pernah menulis mengenainya melalui blog ini pada Jun tahun lepas. Bagi sesetengah orang luar yang mungkin kurang faham dialek Terengganu, mungkin ada sedikit unsur kelucahan pada tulisan papan iklan tersebut. Walau bagaimanapun, setelah diteliti kali ini, papan iklan berkenaan sudah tiada lagi. Saya penuh yakin seratus peratus, pemilik restoran berkenaan telah menurunkan papan iklan berkenaan bukan kerana beliau telah membaca tulisan saya di blog ini. Hal ini memang saya yakin sepenuhnya.



Sebelum kami pulang ke rumah, sempat juga kami berlegar-legar di sekitar stadium yang runtuh tahun lalu. Nampaknya ia seakan belum diperbaiki sepenuhnya lagi. Runtuhannya masih ketara.

Di sebelah malamnya pula, kami bertiga sahaja yang keluar semula, iaitu saya, isteri serta Kak Arah. Umi dan Luqman tinggal di rumah sahaja, mungkin kerana keletihan agaknya. Destinasi kami ialah ke rumah Cikgu Mad (saya akann postingkan kisah mengenainya dalam tajuk yang lain). Setelah itu, kami bertiga ke Pantai Batu Buruk pula. Kebiasaannya, kalau saya berkunjung ke Terengganu, saya tidak akan melepaskan peluang ke pantai ini pada sebelah malam. Selain daripada mempunyai panorama yang indah (kata orang lain), persekitaran pantai ini kebiasaannya hidup dengan aneka jenis kedai makan serta gelagat para pengunjung yang datang.



Akhirnya kami masuk ke sebuah restoran. Apa yang menarik perhatian kami ialah tulisan iklannya yang antara lain berbunyi: “Layanan Mesra”. Kami memang benar-benar mengharapkan layanan yang mesra daripada restoran ini. Setelah kami mengambil tempat duduk, kami terpaksa menanti hampir 10 minit barulah seorang pekerjanya datang dan mengambil pesanan. Berdasarkan pendengaran saya, bilangan pelanggan biasa sahaja. Maknanya, sepatutnya tiada masalah untuk mengambil pesanan dengan lebih cepat. Kemudiannya, bila saya tanya, pekerja berkenaan antara menjawab dengan tidak. Kalaulah tidak kerana isteri saya yang menyabarkan saya, restoran berkenaan pasti saya tinggalkan. Setelah makanan tiba dan setelah saya menjamahnya, jauh daripada sedap. Kalaulah markah keseluruhan maksimum 10, paling tinggi pun saya boleh beri 3 sahaja. Rupa-rupanya kami terlah terpedaya oleh iklan!

Akhirnya, hampir jam 12.00 tengah malam, baru kami bertiga semula di rumah. Badan memang letih. Hasrat untuk on laptop saya tangguhkan. Lagipun, esok kami semua akan meneruskan acara kunjungan yang telah saya aturkan.

(Bersambung pada bahagian 2).

Sebenarnya saya berhasrat untuk membuat dua posting pada hari ini. Namun demikian, hasrat tersebut terpaksa saya tangguhkan lantaran keadaan kesihatan saya yang tidak begitu mengizinkan.

Salam dari Kuantan.

Tuesday, June 15, 2010

Ucapan Takziah Kepada Keluarga Almarhum Ustaz Hassan Shukri

Ucapan Takziah Untuk Keluarga Almarhum Ustaz Hassan Shukri

Sekitar jam 4.28 petang pada 14 Jun 2010 (Isnin), saya menerima SMS daripada Cikgu Mohd Jais Ismail (rakan sejawat) yang memaklumkan bahawa Ustaz Hassan Shukri telah kembali ke rahmatullah pada jam 2.00 petang. Waktu itu, saya sekeluarga sedang berada di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu. Cikgu Jais merupakan orang yang mula-mula menghantar berita tersebut menerusi SMS sebelum disusuli dengan maklumat yang sama yang disampaikan kepada saya oleh beberapa rakan lain sama ada menerusi SMS mahupun menerusi panggilan telefon. Kepada Cikgu Jais, terima kasih saya ucapkan. Oleh kerana jadual kunjungan ke Kuala Terengganu yang agak padat, maka saya tidak dapat untuk mengirimkan posting ucapan takziah kepada keluarga almarhum secepat yang boleh. Pun begitu, sehingga ke saat ini pun, saya masih merasai kesedihan dengan pemergian Ustaz Hassan Shukri.

Sebenarnya, saya tidaklah begitu rapat dengan pemimpin veteran PAS ini. Saya lebih banyak mengenali beliau menerusi sejarahnya dan juga melalui media cetak. Walau bagaimanapun, seingat saya, saya pernah bersua muka, berjabat salam dan berbicara dengan almarhum Ustaz Hassan Shukri sekurang-kurangnya tiga kali. Saya juga pernah (mungkin secara kebetulan) mengikuti persidangan di Dewan Negara dan beliau (almarhum) mengambil bahagian aktif dalam persidangan yang saya ikuti itu. Berdasarkan pengalaman saya bersua muka, berjabat salam dan juga berbicara dengan beliau, saya dapati Ustaz Hassan Shukri seorang yang tidak sombong, sangat memuliakan tetamu dan juga pandai melayan tetamunya yang cacat penglihatan.

Saya akui, pemergian Ustaz Hassan Shukri merupakan satu kehilangan yang besar terutamanya kepadaperjuangan PAS. Justeru, tidak menghairankan jika beberapa pemimpin tertinggi PAS seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz tidak dapat menahan sebak di atas kematian Ustaz Hassan. Almarhum Ustaz Hassan sangat istiqamah dalam perjuangannya. Pada suatu ketika, beberapa orang rakan seperjuanganya telah meninggalkan PAS, tetapi tidak bagi Ustaz Hassan Shukri. Pendirian sebeginilah sedikit sebanyak yang telah meninggalkan kesan kepada diri saya sendiri.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepada-Nya juga kita akan kembali. Kepada keluarga almarhum Ustaz Hassan Shukri, takziah saya ucapkan. Saya juga berkongsi rasa dukacita dengan kalian. Alfatihah.

Saya juga turut mendapat maklumat, antara yang turut hadir menziarahi jenazah dan keluarga almarhum Ustaz Hassan Shukri ialah YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Di sini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah serta sekalungan pujian kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharum kerana semangat ukhwah Islamiyah telah mengatasi semangat kepartian. Langkah serta tindakan YB Menteri ini seharusnya menjadi contoh teladan khususnya kepada sebilangan penyokong tegar PAS sendiri. Janganlah semangat kepartian serta perbezaan politik menjadi penghalang kepada pemupukan semangat ukhwah Islamiyah antara sesama kita yang menjadi tuntutan dan sunnah Rasulullah S.A.W. Kalaulah semua ahli politik Islam tanpa mengira parti politik di negara ini mempunyai serta mengamalkan semangat sedemikian, maka banyak masalah yang melanda orang Melayu dan Islam dapat diselesaikan.

Sewaktu saya menulis posting ini, saya sekeluarga baru sahaja tiba kembali di Kuantan sekitar setengah jam lalu. Ada cerita, pengalaman dan peristiwa sewaktu kunjungan saya ke Kuala Terengganu yang saya ingin kongsikan dengan para pengunjung sekalian. Insha Allah, cerita dan peristiwa yang saya maksudkan akan saya postingkan dalam masa yang terdekat. Lagipun waktu ini, bukan sahaja badan terasa begitu letih, bahkan kesihatan saya juga agak terganggu. Ini mungkin kerana saya kurang rehat semasa di Kuala Terengganu.

Salam dari Kuantan.

Monday, June 14, 2010

Kunjungan Ke PERTIS Terengganu

Jadual saya pada 13 Jun (semalam) telah dimulakan dengan berkunjung ke pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu. PERTIS Terengganu merupakan satu daripada cawangan PERTIS di peringkat negeri. Saya sekeluarga tiba di pejabat PERTIS Terengganu sekitar jam 10.00 pagi. Kebetulan pula, pada pagi ini memang ada aktiviti di sini iaitu kelas Alquran Braille. En. Zubir, seorang ahli bersekutu yang aktif di Terengganu adalah orang yang mula-mula menyedari kehadiran saya. Beliau menegur saya dan terus membawa saya masuk ke bangunan PERTIS Terengganu.



Kemudian, saya terus dibawa ke ruang pejabat dan En. Fauzi Mansur yang juga merupakan Pengerusi PERTIS Terengganu memberi penerangan ringkas kepada saya mengenai perkembangan semasa PERTIS Terengganu. Daripada penerangan yang beliau beri, saya dapati memang PERTIS Terengganu sangat aktif. Hidup dan amat memberi manfaat kepada para ahlinya.



Untuk menjamin kesinambungan pelaksanaan aktivitinya, PERTIS Terengganu turut mengadakan kerjasama erat dengan pihak-pihak tertentu. Umpamanya, PERTIS Terengganu telah menjalin hubungan erat dengan Universiti Malaysia Terengganu dan melalui hubungan tersebut, beberapa aktiviti telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ini termasuklah penganjuran kuliah agama, beberapa siri kursus jangka pendek serta aktiviti lawatan. Di samping itu, beberapa aktiviti bersama juga sedang dirancang. Ini termasuklah kursus renang, kursus menternak ikan dalam sangkar dan sebagainya.



Saya juga turut berkesempatan untuk meninjau kelas Alquran Braille secara dekat. Pada masa ini, PERTIS Terengganu menganjurkan kelas Alquran Braille sebanyak 3 kali seminggu. Setiap sesi pula berlangsung selama 2 jam setengah. Pada masa ini terdapat 5 buah kelas berjalan serentak dengan sekitar 40 orang pelajar yang terdiri daripada golongan cacat penglihatan daripada pelbagai peringkat usia. Manakala tenaga pengajarnya pula ialah seramai 5 orang. Para tenaga pengajarnya terdiri daripada En. Samsudin Wahab yang juga merupakan ketua tenaga pengajar dan dibantu oleh En. Ramli Md Som, Pak Soh, En. Hanafi dan Cik Noradila.



Perlu saya jelaskan di sini, aktiviti kelas Alquran ini ditaja sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu. Setiap guru dan pelajar yang menghadiri kelas Alquran Braille ini diberikan elaun dengan jumlah tertentu.



Sebagaimana yang dinyatakan di atas, terdapat 5 buah kelas dan ia mencakupi daripada peringkat paling asas hinggalah ke peringkat pelajaran Tajwid. Saya amat tertarik dengan penyertaan golongan berusia untuk kelas ini. Rata-rata mereka ini tidak pernah mendapat pendedahan mengenai tulisan Braille dan tiada asas mengenai Alquran Braille. Namun demikian, kegigihan, ketabahan serta minat mendalam mereka terhadap pembelajaran Alquran menerusi kaedah Alquran Braille amat mengkagumkan saya.



Saya juga turut tertarik dengan alat yang digunakan untuk mengajar tulisan Braille kepada golongan berusia yang sebelumnya tidak pernah terdedah dengan sistem tulisan Braille. Alat ini diperbuat daripada kayu dan menggunakan paku sebagai titik-titik Braille. Menerusi alat ini, bentuk-bentuk titik Braille dapat dibuat dengan mudah dan selesa. Alat buatan tempatan ini amat menarik dan mungkin juga sesuai digunakan kepada mereka yang buta Braille tegar. Sebelum ini, saya pernah mengenengahkan alat yang hampir serupa yang dikenali Braillett Board dan swing cell. Rupa-rupanya di PERTIS Terengganu ada alat yang hampir serupa dan buatan orang tempatan pula. Agaknya inilah yang dikatakan orang, kalau tidak dipecahkan ruyung, bagaimana kita akan beroleh sagunya.



Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada PERTIS Terengganu, terutamanya kepada pengerusinya, En. Fauzi Mansur yang begitu aktif dan kreatif dalam menggerakkan dan menghidupkan PERTIS Terengganu. Bagi saya, En. Fauzi seorang pemimpin yang penuh iltizam dan berwawasan. Beliau bukan pemimpin yang sekadar hangat-hangat tahi ayam. Beliau juga bukanseorang pemimpin yang separuh masak dalam pertimbangan atau separuh jalan dalam memimpin. Berdasarkan rekod kepimpinannya, En. Fauzi tidak pernah meletakkan jawatanya sebelum sampai tempoh perkhidmatannya tamat. Setakat ini, beliau telah membuktikan bahawa semangatnya tidak mudah luntur walaupun adakalanya beliau juga tidak dapat lari daripada kritikan orang lain. Rekod kepimpinannya amat cemerlang. En. Fauzi bukan sekadar seorang yang hanya pandai mengkritik semata-mata. Beliau telah buktikan bahawa beliau juga seorang yang rajin bekerja dan pandai mengendalikan sebuah organisasi. Justeru, lontaran pandangan dan kritikan daripada orang seperti inilah yang perlu kita pertimbangkan dan harus kita berikan perhatian.



Setelah berada di PERTIS sekitar sejam dan 15 minit, maka saya sekeluarga pun meninggalkan bangunan PERTIS Terengganu. Ada sesuatu yang dapat saya pelajari hasil kunjungan singkat saya di sini.

Salam dari Bandaraya Kuala Terengganu.

Saturday, June 12, 2010

Selamat Pengantin Baru Untuk Cikgu Anisah Hasan



Hari ini, giliran Cikgu Anisah binti Hasan pula menyahut seruan takdir Ilahi iaitu menjadi raja sehari. Cikgu Anisah merupakan rakan sejawat saya yang berpenglihatan dan pada masa ini kami bertugas di sekolah yang sama.



Sejak hari Khamis lepas lagi, saya sudah pun berada di Kuantan. Sebagaimana yang telah dirancang, pada hari ini, saya, isteri, Luqman, Kak Arah (kakak ipar) serta umi (ibu mertua) pun bertolak ke Kuala Terengganu. Selain daripada bertujuan untuk menghadiri majlis walimatul urus Cikgu Anisah, kami juga merancang untuk tinggal di Kuala Terengganu selama beberapa hari. Kebetulan pula, anak saudara kami ada menetap di Bukit Tunggal, jadi tempat penginapan kali ini memang tiada masalah langsung.



Saya sekeluarga tiba di rumah Cikgu Anisah di Cabang Tiga, Kuala Terengganu, agak lewat sedikit. Sekitar jam 3 petang baru kami tiba. Walaupun kami rasa agak lewat, tetapi para tetamu masih ramai lagi. Setibanya kami, saya terus ke meja makan dan menjamu selera terlebih dahulu. Lagipun itu juga yang disuruh oleh seorang lelaki (yang belum saya kenali) ketika kami masuk ke perkarangan rumah Cikgu Anisah. Makanan dan lauk-pauknya memang menyelerakan. Seperkara yang menarik, terutamanya bagi mereka yang tidak berpenglihatan ialah suasana di rumah ini tidaklah terlalu bising dengan lagu-lagu. Ada lagu yang diperdengarkan tetapi ia tidak berterusan dan tidak pula dipasang terlalu kuat. Jadi mudah untuk para tetamu berbual-bual antara sesama mereka.



Setelah menjamu selera, baru kami naik ke atas rumah dan menemui dua mempelai yang baru bergelar suami isteri. Anisah kelihatan (kedengaran) begitu ceria sekali. Belum pun sempat Saya naik ke anak tangga pertama, nama saya sudah dilaungnya dari atas rumah. Cikgu Anisah juga tanpa kekok dan malu terus memperkenalkan saya kepada keluarga dan para tetamu yang hampir dengannya.



Cikgu Anisah juga memberitahu saya beberapa rakan sejawat telah pun tiba lebih awal daripada saya. Antara mereka termasuklah Ustaz Zamani, Cikgu Nasrul, Cikgu Azman serta Cikgu Saiful. Sekitar jam 3.45, saya sekeluarga pun meninggalkan majlis.



Kepada Cikgu Anisah dan suaminya, kami mengucapkan selamat pengantin baru. Doa kami, semoga rumah tangga anda berdua kekal bahagia dan diberkati Allah dunia akhirat. Kalau berkemampuan, lahirkanlah zuriat seramai-ramainya kerana Nabi Muhammad di akhirat nanti akan berbangga dengan bilangan umatnya yang ramai .... Itu kalau berkemampuan.



Sedangkan diterjah lagikan sakit,
Inikan pula kalau dibaji;
Sedangkan lidah lagikan tergigit,
Inikan pula suami isteri.



Hari ini menanam serai,
Esok dan lusa menanam halia;
Hari ini tetamu ramai,
Esok dan lusa anda berdua.



Dari Besut ke Cabang Tiga,
Bawa hantaran sirih dan puan;
Terkabul maksud anda berdua,
Doa keberkatan kami iringkan.

Salam dari Bandaraya Kuala Terengganu.

Friday, June 11, 2010

Bola Sepak Piala Dunia: Sekadar Menyingkap Cerita Lama

Malam ini, bermulalah pusingan akhir bola sepak piala dunia siri 2010. Buat kali pertamanya, pusingan akhir kalii ini diadakan di benua Afrika dan Afrika Selatan telah diberikan penghormatan untuk menjadi tuan rumah pertama dalam kalangan negara-negara Afrika.

Saya sendiri telah mula mengikuti perkembangan setiap siri pusingan akhir bola sepak piala dunia sejak tahun 1978 lagi. Tatkala itu, pusingan akhir telah diadakan di Argintina. Waktu itu saya dan juga rakan-rakan yang lain mengikuti perkembangan pertandingan bola sepak pusingan akhir menerusi siaan radio. Lagipun waktu itu siaran televisyen tidaklah meluas dan masa siarannya pua masih lagi terhad.

Setiap kali datangnya musim bola sepak piala dunia, kotak ingatan saya pasti akan diterjah oleh satu kisah lama yang sukar untuk saya lupakan. Ia berlaku tatkala saya di bangku sekolah menengah. Kebetulan pula, daritingkatan 1 hinggalah ke tingkatan 6 atas, saya bersekolah di sebuah sekolah harian yang agak ternama di Kuala Lumpur. Bilangan muridnya mencecah ribuan orang. Manakala jumlah gurunya pula melebihi seratus orang. Jadi, setiap insan di sekolah berkenaan akan mempamerkan perwatakan masing-masing yang pelbagai dan beraneka pula.

Dalam kalangan guru yang ramai jumlahnya itu, ada seorang guru yang sangat terkenal dengan minatnya dengan bola sepak. Bila mengajar, kadang-kadang guru berkenaan tersasar bercakap fasal perlawanan bola sepak yang ditontonnya semalam. Berdasarkan ulasan-ulasannya, saya merasakan beliau cenderung meminati bola sepak Eropah.

Pada suatu tahun, pusingan akhir bola sepak piala dunia telah berlangsung dan saya masih ingat lagi, pada tahun berkenaan piala dunia telah diadakan di benua Amerika Selatan. Oleh kerana tersangat berminat dengan bola sepak, mungkin guru berkenaan telah menonton perlawanan-perlawanan yang diminatinya hinggakan keesokan harinya beliau tidak hadir ke sekolah. Yang saya ingat, ketika musim bola sepak piala dunia itulah guru berkenaan paling kerap tidak datang ke sekolah. Dalam kalangan murid, kami sering membuat andaian bahawa guru berkenaan tidak hadir kerana malam tadi dia menonton siaran bola sepak piala dunia. Bahkan andaian berkenaan ada kebenarannya bila saya turut pernah terdengar seorang dua guru waktu itu juga bercakap hal yang sama. Bila berakhirnya piala dunia, kehadiran guru berkenaan di sekolah kembali normal.

Hari ini, saya di tempat guru berkenaan selaku pendidik. Setelah memasuki dunia pendidikan, saya telah menempuh beberapa kali musim bola sepak piala dunia. Mungkin kerana saya sekadar minat bola dan bukannya “gila bola”, maka saya belum pernah tidak hadir ke sekolah hanya semata-mata kerana menonton (mendengar) siaran langsung perlawanan bola sepak. Bila usia kian meningkat seperti sekarang, saya lebih cenderung untuk mengetahui keputusannya sahaja daripada menonton (mendengar) siaran langsungnya.

Jangan Bercakap-cakap Ketika Khatib Sedang Menyampaikan Khutbah

Tengah hari tadi, saya telah menunaikan solat Jumaat di salah sebuah masjid di Kuantan. Di sesetengah masjid, sebelum khatib memulakan khutbahnya, iaitu selepas mengerjakan solat sunat qabliah, bilal yang bertugas akan mengingatkan para jemaah agar diam dan jangan berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah. Tak cukup dengan itu, bilal berkenaan akan susuli ingatannya dengan membacakan sepotong hadith yang antara lain mafhumnya: “ Barang siapa yang berkata-kata apabila khatib sedang membaca khutbah walaupun dengan berkata “diam” (melarang orang lain daripada bercakap) sekalipun, maka luputlah pahala Jumaatnya. Dari itu, diamlah dan dengarlah dengan taat, mudah-mudahan kita semua akan beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat”.

Sebilangan masjid memang akan mengingatkan para jemaahnya pada setiap solat jumaat. Saya rasa, ingatan seperti itu memang baik, khususnya untuk para jemaah yang lupa atau kurang pendedahan mengenai adab ketika berada di masjid dan ketika mendengar khutbah. Walau bagaimanapun, tidak semua masjid akan memberikan peringatan sedemikian ketika solat Jumaat. Ini menyebabkan sebilangan jemaah lupa atau buat-buat tak tahu bahawasanya ketika khatib sedang membacakan khutbah, bercakap-cakap dilarang sama sekali, dan jika ia diingkari pahala Jumaatnya akan luput. Maknanya, jika mereka yang berkenaan solat Jumaat tetapi bercakap-cakap ketika khatib sedang membacakan khutbah (kecuali pada perkara kecemasan), maka solat Jumaatnya sia-sia.

Apa yang sedikit mendukacitakan saya ialah, ketika saya solat Jumaat tadi, di sebelah kanan saya, telinga saya dapat menangkap dengan jelas dua tiga orang kanak-kanak bercakap-cakap dan bergurau ringan ketika khatib sedang menyampaikan khutbahnya. Hendak dilarang, nanti solat Jumaat saya pula yang sia-sia. Manakala di sebelah kiri pula, telinga saya juga dapat menangkap dengan jelas seorang dua golongan dewasa juga bercakap-cakap pada masa yang sama. Bapa borek anak rintik rupa-rupanya. Bila golongan kanak-kanak yang melakukannya, saya mungkin boleh terima lagi kerana mereka masih rebung dan perlukan tunjuk ajar daripada kita yang sudah dewasa. Tetapi apabila seorang dua golongan dewasa yang melakukan kesalahan yang sama, sukar juga dibuatnya. Maklumlah, kalau silap tegur, buluh akan pecah dan boleh menghasilkan sembilu yang bisa menyayatkan!

Oleh itu, bagi saya, seeloknya semua masjid memberikan peringatan kepada para jemaah yang hadir mengenai larangan bercakap-cakap ketika khatib sedang membacakan khutbah. Ingatan itu pula biarlah didengar oleh semua jemaah di masjid berkenaan dan bukannya untuk didengar oleh saf-saf depan sahaja. Golongan jemaah dewasa pula hendaklah menunjukkan contoh dan teladan yang baik iaitu diam dan tidak bercakap-cakap ketika khatib sedang berkhutbah. Manakala para ibu bapa atau guru pula hendaklah mengingatkan anak-anak dan murid-murid mereka supaya tidak bercakap-cakap ketika khatib sedang berkhutbah dan kalau boleh pada setiap kali golongan kanak-kanak ini hendak ke masjid untuk solat Jumaat.

Adalah lebih mudah untuk menegur dan menasihati kanak-kanak biasa daripada kanak-kanak dewasa

Salam dari Kuantan..

Bicara Jumaat

Secebis Kisah Seorang Pejuang

Syed Qutb dilahirkan dalam tahun 1906 di sebuah kampugng di dalam wilayah As-Yut, Mesir, daripada satu keluarga yang berada tetapi sangat patuh kepada agama. Sejak di bangku sekolah rendah lagi, beliau telah menunjukkan kepintaran dan bakat yang luar biasa. Belkiau tamat menghafal Alquran ketika berumur 10 tahun. Kemudian, beliau telah meneruskan pelajaran di Qahirah hingga tamat di Universiti Qahirah.

Beliau sangat berminat dalam lapangan penulisan dan sastera sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Buku karangan pertama beliau yang diterbitkan ialah ketika beliau berusia 25 tahun.

Di lapangan saster, Syed Qutb tealah terpengaruh oleh aliran Al-akkad, seorang pujangga Arab yang terkemuka di abad lalu. Setelah itu, Syed AQutb telah memilih alirannya sendiri sebagai seorang sasterawan dan pujangga Islam hingga ke akhir hayatnya.

Beliau mula terlibat dengan pertubuhan Al-Akhwanul Muslimim (Ikhwanul Muslimin) pada akhir dekat 40-an. Beliau sangat terpengaruh dengan keperibadian dan perjalanan pengasas dan pemimpin agung pertubuhan ini iaitu Sheikh Hassan Al-Banna, yang telah ditembak mati oleh kakitangan kerajaan Al-Malik Farouq pada tahun 1948.

Di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin, Syed Qutb pernah diberi kepercayaan memimpin majalah Al-Akhwanul Muslimun, suara rasmi pertubuhan berkenaan hinggalah penerbitannya dilarang oleh pihak berkuasa Mesir.

Beliau juga pernah dilantik mewakili pertubuhannya di dalam badan-badan pemerintah setelah kemenangan Revolusi Mesir pada 23 Julai 1952, hasil kerjasama pertubuhannya dengan para pegawai muda di dalam angkatan bersenjata bersenjata Mesir.

Pada tahun 1954, Syed Qutb telah dihukum penjara selama 15 tahunkerana dituduh berkomplot membunuh presiden Jamal Abdul Nasir, tetapi dengan campur tangan bekas presiden Abdul Salam Arif dari Iraq, beliau telah dibebaskan pada akhir tahun 1964. Selang tak berapa bulan kemudian, beliau telah ditangkap semula dan dibicarakan oleh sebuah mahkamah khas tentera di mana Syed Qutb telah dijatuhkan hukuman mati di tiang gantung bersama dua orang rakan perjuangannya, iaitu Yusuf Hawasi dan Abdul Fattah Ismail. Bila ditanya tentang hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, beliau telah menjawab sambil tersenyum dengan berkata: “Mati syahid”.

Berikut ialah sajak yang telah ditulis oleh Syed Qutb beberapa ketika sebelum beliau syahid di tiang gantung:

Saudaraku!
Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulang-tulangku
Yang handcur luluh,
Nyalakanlah obor buat umat ini
Dan ....
Teruskanlah perjalanan ke gerbang jaya

Saudaraku!
Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan kekasih yang sedang merindu
Taman-taman di syurga Tuhanku bangga menerimaku
Burung-burungnya berkicau riang menyambutku
Bahagialah hidupku di alam abadi.

Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya.

Janganlah gentar berkelana di alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar ....

(Dipetik daripada buku: Petunjuk Sepanjang Jalan (terjemahan) oleh Syed Qutb).

Salam dari Kuantan.

Thursday, June 10, 2010

Bekas Pengetua Sekolah Menengah Teknik Setapak Kembali Ke Rahmatullah

Pagi tadi, sekitar jam 9.20 pagi, kami menerima SMS daripada salah seorang guru SMT Setapak yang memaklumkan bahawa bekas pengetua sekolah tersebut, En. Arshad Muhammad telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.40 pagi tadi.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepada Allah pula kita semua akan kembali. Kami seisi keluarga dengan ini ingin mengucapkan takziah kepada keluarga En. Arshad Muhammad. Bersabarlah menghadapi saat yang amat mendukacitakan ini.

Hari ini kita menyaksikan kematian orang lain, entah esok atau lusa, orang lain yang akan menyaksikan kematian kita pula. Sesungguhnya kematian merupakan suatu peringatan kepada yang masih hidup. Hanya mereka yang bebal, sombong dan terlalu meninggi diri sahaja yang tidak akan terkesan dengan peristiwa kematian orang lain.

Tuesday, June 8, 2010

Panggilan Telefon Daripada Riduan Karim

Sekitar jam 10.15 malam sebentar tadi, saya menerima panggilan telefon. Pemanggilnya ialah Riduan bin Karim bin Ali. Semenjak saya meninggalkan bangku sekolah menengah, saya tidak pernah bertemu beliau. Jadi, saya merasakan panggilan daripada beliau malam ini agak istimewa. Kami berbual hampir setengah jam juga. Macam-macam cerita yang dikhabarkan antara kami berdua.

Saudara Riduan pernah bersekolah menengah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak antara tahun 1985-1989. Beliau berasal dari Sabah. Riduan hilang penglihatannya dalam satu tragedi letupan bom di Kota Kinabalu (kalau tak silap saya).

Menurut cerita yang pernah diceritakan kepada saya oleh Riduan sewaktu kami sama-sama di zaman sekolah menengah dahulu, suatu hari, beliau dan 3 orang rakan lagi yang sebaya dengan beliau telah terjumpa dengan satu objek ketika sedang bermain. Oleh kerana masih kanak-kanak, jadi beliau dan rakan-rakannya langsung tidak mengetahui bahawa objek yang mereka temui itu sebenarnya ialah bom. Sewaktu sedang bermain dengan objek itu, dengan tiba-tiba objek berkenaan telah meletup. Dua daripada rakannya mati serta-merta. Saudara Riduan hidup tetapi penglihatannya hilang. Semasa menceritakan kisah tersebut, Riduan masih sempat menunjukkan kepada saya serpihan bom yang masih tertinggal di bahagian mukanya yang tidak boleh dikeluarkan oleh doktor.

Berpantang mati sebelum ajal. Kini sudah hampir 30 tahun peristiwa yang penuh tragik itu berlaku. Riduan terus tabah menjalani hidupnya. Sejak dari dahulu lagi, beliau tak pernah menyesal dengan takdir yang menimpa dirinya. Dalam diam, saya turut kagum dengan ketabahan Riduan.

Sunday, June 6, 2010

Selamat Pengantin Baru Kepada Saudara Mohd Hairie Aris



Siang tadi, saya sekeluarga berkesempatan menghadiri majlis walimatul urus (majlis perkahwinan) Saudara Mohd Hairie ARis dan isterinya, Pn. Safia Jaini, di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan. Jaraknya dari Kuala Lumpur sekitar 120 kilometer. Kami tiba agak lewat, iaitu sekitar jam 3.00 petang.



Setibanya kami, pandangan persekitaran kampung yang belum begitu disentuh arus pembangunan memukau mata isteri dan Luqman. Walaupun cuaca agak panas, tetapi ia tidaklah mencacatkan pemandangan indah persekitaran kampung.



Saya sendiri dapat merasakan kenyamanan kampung tersebut kerana udara yang saya sedut terasa segarnya. Kebetulan pula, sewaktu saya dan keluarga tiba, rombongan rakan-rakan lain yang telah pun tiba lebih awal, sedang berkumpul di tepi bas untuk pulang. Semasa saya tiba, para tetamu lain juga sudah pun mula beransur pulang. Maklumlah waktu kunjungan pun sudah hampir ke hujungnya.



Namun demikian, kehadiran saya sekeluarga tetap dialu-alukan dengan penuh mesra oleh tuan rumah. Bapa Hairie yang sememangnya peramah orangnya begitu mengalu-alukan kedatangan saya. Manakala lauk-pauknya masih banyak dan menyelerakan pula.



Saudara Hairie yang juga merupakan seorang yang berpenglihatan terhad (rabun) kini sedang bertugas di salah sebuah sekolah agama di Kuala lumpur. Beliau juga merupakan Naib Pengerusi PERTIS Negeri Sembilan. Sekitar jam 3.45 petang, saya sekeluarga pun meninggalkan rumah pengantin.



Kepada Saudara Mohd Hairie Aris dan Pn. Safiah Jaini, saya ucapkan selamat pengantin baru. Doa kami, semoga beroleh keberkatan daripada Allah dunia dan akhirat dan dikurniakan zuriat yang solihin.



Sewaktu dalam perjalanan pulang, kami singgah pula di sebuah gerai tepi jalan yang menjual air tebu iaitu di sebuah kampung bernama Kerangai. Apa yang menariknya ialah air tebu hanya akan diproses bila ada pembeli yang ingin membeli. Jadi, selaku pembeli kenalah sabar sedikit. Setelah dirasa, air tebunya memang amat menyegarkan. Saya minum 2 gelas.



Sebenarnya pada hari ini saya turut mendapat undangan perkahwinan di beberapa tempat. Oleh kerana kekangan masa, maka saya tidak dapat menghadiri di semua tempat tersebut. Jadi, kepada tuan majlis yang mana undangan mereka tidak dapat saya penuhi, saya mohon berbanyak maaf. Lain kali jangan serik untuk mengundang saya lagi.

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Pada pertengahan minggu lepas, saya telah memperkenalkan seorang blogger cacat penglihatan. Kali ini, saya ingin tampilkan seorang lagi blogger cacat penglihatan yang terbaru. Blogger yang dimaksudkan ialah Mohd Fakhrul Azzeri bin Abdul Mujid. Beliau merupakan seorang lagi anak murid saya. Beliau juga sekelas dengan Lok Weng hang dan Ahmad Shahide Ruslan.



Mohd Fakhrul Azzeri merupakan seorang murid yang mempunyai penglihatan terhad (rabun). Beliau juga mempunyai komitmen yang tinggi dalam pelajaran. Murid yang berasal dari Gambang, Kuantan ini juga seorang yang sangat menghormati guru-gurunya.

Bagi saya, pertambahan bilangan blogger cacat penglihatan terutamanya dalam kalangan pelajar merupakan suatu perkembangan yang baik dan sihat. Ini menunjukkan bahawa golongan pelajar juga telah beroleh manfaat daripada perkembangan teknologi maklumat masa kini. Bagi saya juga, sekiranya semua murid pendidikan khas cacat penglihatan punya kemahiran yang baik dalam bidang teknologi maklumat, maka sudah tentulah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi. Tugas kita di sini ialah untuk mendidik para pelajar berkenaan supaya dapat menggunakan kemudahan dan kemahiran teknologi maklumat dengan cara yang bermanfaat. Untuk itu, saya juga tidak menafikan bahawa pengawasan yang sesuai juga perlu dilaksanakan supaya para pelajar yang berkenaan tidak menyalahgunakan kemahiran dan kemudahan yang mereka ada.

Kepada Mohd Fakhrul Azzeri, diucapkan selamat datang ke dunia maya. Penuhilah laman sesawang anda dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Kalau games sahaja yang menghiasi laman sesawang anda, rasanya ia tidak bermanfaat sangat terutamanya kepada rakan-rakan seusia dan yang seperjuangan dengan anda. Dunia memang ingin tahu apa yang sedang bergelora dalam hati anda. Jadi, beritahulah kepada dunia semuanya itu dengan cara yang berhemah. Mungkin pemberitahuan semacam itu ada gunanya terutamanya kepada golongan yang baru sehari dua menyertai dunia pendidikan khas.

Kepada mereka yang berminat, sila kunjungi ke http://yakuzagame.blogspot.com. Laman sesawang beliau juga ada saya pautkan pada Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan dalam blog ini dan sila klik (enter untuk pengguna cacat penglihatan yang menggunakan perisian pembaca skrin) pada mohd Fakrul Azzeri.

Menziarahi Mereka Yang Ditimpa Musibah

Semalam (5 Jun) merupakan hari yang agak padat untuk saya. Sebelah paginya, saya telah ke ibu pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk mempengerusikan mesyuarat di sana. Mesyuarat kali ini ialah mengenai penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS kali ke-15.

Sebelah tengah harinya pula, saya bersama-sama isteri dan Luqman telah ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Tujuan kami ialah untuk menziarahi En. Arshad Muhammad, bekas pengetua Sekolah Menengah Teknik Setapak. Beliau menghidap penyakit kanser. Beliau telah dimasukkan ke HKL sejak Ahad lepas. Sejak dimasukkan, beliau memang sudah tak dapat bercakap lagi. Pada perkiraan saya, keadaannya memang tenat. En. Arshad telah bersara selaku pengetua pada tahun 2006. Kata isteri beliau, sejak bersara, En. Arshad sekadar berkebun bila ada kelapangan. Menurut isterinya lagi, kesihatannya mula terganggu sejak Februari lalu. Hanya doa yang dapat kami panjatkan ke hadhrat Allah semoga En. Arshad akan dikurniakan yang terbaik untuknya.

Sekitar jam 2.30 pula, kami telah ke Seremban pula. Destinasi kami ialah di Hospital Besar Seremban. Kali ini Saya sekeluarga menziarahi Kak Ija (Cikgu Rosniza) pula. Kisah mengenai Kak Ija pernah saya paparkan menerusi blog ini pada awal tahun lalu.

Saya mengenali Kak Ija setelah saya berkahwin. Beliau merupakan rakan sekerja isteri saya semasa mereka sama-sama mengajar di SMT Kuala Kelawang. Hubungan saya sekeluarga dengan Kak Ija dan keluarganya sememangnya akrab. Bahkan kedua-dua ibu bapa Kak Ija telah menganggap dan sentiasa melayan Luqman macam cucu mereka. Jadi, kalau tak menziarah, rasanya memang tak kena. Kak Ija kini bertugas di Institut Aminuddin Baki (IAB).

Setakat yang saya maklum, kedua-dua buah pinggang Kak Ija tidak berfungsi lagi. Ini ditambah pula dengan penyakit lain pula. Sewaktu kami tiba, ramai bekas anak murid Kak Ija berada di sisi katilnya. Kak Ija pula kelihatan ceria. Beliau boleh bercakap, bergurau dan adakalanya menyingkap memori silam.

Kata ibu Kak Ija kepada saya yang turut berada di hospital, Kak Ija memang kelihatan ceria, tapi setelah semua yang menziarah pulang, Kak Ija mula sakit kembali. Walau apa pun, kami tetap mendoakan semoga Kak Ija cepat sembuh dan akan dapat menjalani hidup seperti sediakala.

Jika ada kelapangan, memang saya sekeluarga akan menziarahi rakan, kenalan atau saudara-mara yang ditimpa musibah. Setidak-tidaknya ia dapat mengikis sifat sombong yang sering bertunas dalam hati sanubari kita sebagai insan. Justeru, kepada mereka yang masih sihat dan belum merasai sakit, anda harus bersyukur sebanyak-banyaknya. Janganlah setelah ditimpa sakit baru hendak memahami kondisi sebenar orang yang selama ini ditimpa musibah sedemikian.

Sekitar jam 8.45 malam, kami tiba semula di KL tetapi tidak terus pulang. Kami ke Brickfields pula untuk membuat penyelenggaraan kecil ke atas kereta usang kami. Maklumlah, esok akan berjalan jauh lagi untuk menghadiri beberapa jemputan perkahwinan pula.

Sekitar jam 11.15 malam, baru kami tiba semula di rumah dalam keletihan.

Friday, June 4, 2010

Bicara Jumaat

Rasanya sudah agak lama saya tidak menulis untuk memenuhi ruangan Bicara Jumaat. Semalam tatkala menyemak email yang saya terima, saya bertemu dengan satu kiriman email yang saya kira bahan yang dimuatkan dalam kirimannya agak menarik. Di sini, saya ingin berkongsi dengan para pengunjung blog ini kisah yang termuat dalam email beliau. Terima kasih daun keladi saya ucapkan kepada Ustazah Hajarulbahti di atas kiriman email beliau kepada saya.



Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Wednesday, June 2, 2010

Menghadiri Sidang Media di Pusat Konvensyen Sime Darby



Petang tadi, sekitar jam 4.00 petang, saya telah menghadiri satu sidang media di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Sidang media ini adalah untuk mempromosikan Majlis Makan Malam Amal Berkat Bersama PERTIS – Karyawan Malaysia. Tiga pihak yang telah menghadiri sidang media ini ialah Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Persatuan Karyawan Malaysia dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).





Kehadiran saya yang turut ditemani isteri dalam sidang media ini adalah selaku Naib Yang Dipertua PERTIS. Lain-lain wakil PERTIS dalam sidang media ini termasuklah En. Zamzuri Ghani selaku Bendahari Kehormat, En. Mohd Hafiz Halim selaku Pengerusi Biro Ekonomi dan juga penyelaras program, En. Ahmad Samsuri selaku AJK Kecil Biro Ekonomi serta Pn. Shahrul Bariah selaku kakitangan sambilan di PERTIS.



Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat pula diwakili oleh Pn. Halijah Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tn. Sheikh Abu Bakar Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti, Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta beberapa orang pegawai lain.







Para wakil Karyawan Malaysia pula diketuai oleh Dato’ Freddie Fernandez. Beliau turut disertai oleh beberapa orang artis ternama. Antara mereka termasuklah Radhi OAG, Datin Paduka Juli Sudero, Bianda serta beberapa orang yang lain.



Selain itu, para wartawan daripada beberapa akhbar utama juga turut hadir dalam sidang media ini. Kumpulan ini diketuai oleh Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Sepertimana yang dinyatakan di atas, sidang media ini bertujuan untuk mewar-warkan Majlis Makan Malam Amal Berkat Bersama PERTIS – Karyawan. Majlis tersebut akan diadakan pada 18 Julai 2010 (Ahad) di Pusat Konvensyen Sime Darby ini. Tujuan utama majlis ini ialah untuk mengutip dana untuk PERTIS bagi membolehkan PERTIS melaksanakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang. Ia juga selaras dengan usaha PERTIS untuk mengurangkan pergantungannya kepada kerajaan semata-mata sebagai sumber dananya. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memasyarakatkan PERTIS,agar kewujudan PERTIS sebagai entiti badan bukan kerajaan (NGO) disedari oleh masyarakat.



Selain daripada jamuan makan malam, majlis itu nanti juga akan diserikan dengan persembahan para artis terkenal. Antara yang telah mengesahkan penyertaan mereka termasuklah M. Nasir, Ramli Syarif, Mawi, Radhi OAG, Datin Paduka Juli Sudero, Bianda dan lain-lain lagi.

Mengikut rancangan, majlis makan malam tersebut akan dirasmikan oleh YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat. Kerana itulah juga dalam sidang media ini, wakil KPWKM turut hadir dan akan memberikan kerjasama padu untuk menjayakan majlis itu nanti.



Menurut Dato’ Freddie Fernandez, sebanyak 80 meja telah diperuntukkan untuk dijual bagi menjayakan majlis makan malam itu nanti. Di sini, saya ingin mengambil kesempatan menyeru terutamanya kepada sektor korporat serta para individu yang berkemampuan untuk membeli meja atau meja-meja berkenaan sambil menyumbang kepada tabung PERTIS.

Akhir sekali, saya mewakili PERTIS, ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih khususnya kepada Persatuan Karyawan Malaysia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat kerana sudi bekerjasama dengan PERTIS untuk menjayakan majlis makan malam seperti di atas. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga ditujukan kepada pihak media yang telah hadir dalam sidang media kali ini. Kepada semua pihak yang akan memberikan sumbangan, saya dahului dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga dengan adanya sumbangan ikhlas daripada anda semua, PERTIS akan mampu untuk lebih berdikari untuk kepentingan para ahlinya dan juga untuk kepentingan golongan cacat penglihatan umumnya.