Wednesday, June 16, 2010

Ole-ole Dari Kuala Terengganu (Bahagian 1)

Baru-baru ini, saya sekeluarga telah berkunjung ke Kuala Terengganu. Kunjungan kami bermula dari 12 Jun (Sabtu) hinggalah 15 Jun (Selasa) 2010. Selain daripada saya bertiga (isteri dan Luqman), kami juga turut disertai oleh Kak Arah (kakak ipar) dan juga umi (ibu mertua). Kami tiba di rumah anak saudara kami di Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, sekitar jam 2.00 petang. Selain dari bertujuan untuk menghadiri majlis walimatul urus (perkahwinan) Cikgu Anisah, kunjungan kali ini juga bagi memenuhi hasrat peribadi saya sendiri iaitu untuk mengunjungi serta menziarahi tempat-tempat tertentu yang mempunyai nilai sejarah di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu. Sebab itulah juga, jadual lawatan kali ini saya sendiri yang menentukannya yang kemudiannya mendapat persetujuan daripada isteri serta yang lainnya. Seperti biasalah, kalau saya yang membuat jadual lawatan, kegiatan membeli-belah merupakan acara paling akhir.



Sebenarnya ini bukanlah kunjungan pertama saya ke negeri penyu ini. Saya sendiri tidak dapat mengingati entah sudah berapa kali saya ke Terengganu. Kebiasaannya, saya ke Terengganu sebelum ini adalah untuk menghadiri pelbagai seminar atau mesyuarat anjuran pelbagai pihak. Oleh kerana jadual yang kebiasaannya padat dan masa yang amat terhad, jadi dalam kunjungan-kunjungan sebelum ini saya tidak mempunyai ruang waktu yang mencukupi untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah yang sangat saya minati itu. Lagipun, dalam kunjungan santai seperti ini, saya lebih gemar pergi bersama-sama keluarga. Banyak faedah dan manfaatnya!



Seingat saya, kunjungan pertama saya ke Terengganu ialah pada tahun 1992. Tujuan kunjungan saya ketika itu ialah untuk menziarahi beberapa orang rakan yang sedang mengikuti pelajaran tahfiz Quran di Madrasah Kubang Bujuk, Serada. Saya tinggal di sana selama tiga hari. Kunjungan saya ketika itu diteruskan lagi dengan menziarahi rakan baik saya, En. Hadi Taufik (kini beliau merupakan salah seorang penolong pengarah di PPD Sentol) serta keluarganya di Dungun. Ketika itu saya pergi secara bersendirian walaupun ia merupakan untuk kali pertama.



Bagi saya, sebagai seorang yang tidak berpenglihatan, ia bukanlah suatu masalah yang besar untuk kita sampai di satu-satu tempat secara bersendirian walaupun ia merupakan untuk kali pertama. Selain dari Terengganu, saya juga pernah sampai ke Kelantan (1996) dan juga ke Sarawak (1998) untuk kali pertama juga secara bersendirian. Bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa rajin bertanya terutamanya ketika berjalan bersendirian. Sesat-barat, terlanggar dan terjatuh juga merupakan asam garam bagi kita yang tidak berpenglihatan ini. Kalau orang tidak mahu melayan pertanyaan kita, jangan hampa dan jangan kecewa! Lagipun itu perkara biasa. Kita jangan beranggapan, sebagai orang yang tidak berpenglihatan, kita akan sentiasa beroleh layanan mesra daripada masyarakat. Tidak sama sekali! Adakalanya, dalam dunia pendidikan khas sendiri pun masih ada segelintir manusia yang punya pandangan tidak lurus kepada orang seperti kita. Itu perkara biasa. Ia juga merupakan lumrah dan rencah kehidupan yang mahu tidak mahu perlu kita mamah, telan dan harungi. Di sebalik semuanya itu, jika kitta mampu mengharungi semuanya itu dengan jayanya, insha Allah ia merupakan pengalaman yang sangat berharga yang akan menjadikan diri kita lebih kental, lebih tabah dan lebih waja dalam menjalani kehidupan seharian kita sementara belum dipanggil Ilahi.



Pada 13 Jun, iaitu setelah saya menamatkan kunjungan singkat saya ke pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan islam Malaysia (PERTIS) Terengganu, saya sekeluarga pun meneruskan kunjungan kami dengan bersantai dan bersiar-siar sebentar di sekitar pantai Seberang Takir. Kata ahli keluarga saya yang lain, pemandangannya memang indah dan mempesonakan. Saya Cuma dapat menghirup udaranya yang segar. Itu pun sudah memadai bagi saya daripada tak dapat apa-apa langsung. Alhamdulillah!



Daripada kesegaran udara yang terhirup oleh saya, dapat saya merasakan betapa indah dan cantiknya panorama ciptaan Allah Yang Maha Esa. Saya sama sekali tidak menafikan, melalui nikmat penglihatan, kita dapat menikmati sesuatu kecantikan dan keindahan dengan lebih baik dan lebih bermakna, tetapi kita juga jangan lupa, adakalanya jika kita hanya menilai sesuatu keindahan dan kecantikan hanya dengan pandangan mata semata-mata, maka kita akan seringkali terkeliru dan tertipu.







Setelah sekitar setengah jam, kami pun mula bergerak ke Muzium Negeri Terengganu pula. Sebenarnya, saya pernah berkunjung ke sini pada 2 Jun 2008 (Isnin) yang lalu. Ada sedikit kelainan kali ini, iaitu di bahagian luarnya ada perkhidmatan kereta api (sedikit-sedikit macam di Danga Bay, Johor Baru). Tujuan utama perkhidmatan kereta api ini ialah untuk membawa para pelawat mengelilingi persekitaran muzium. Setiap pelawat akan dikenakan sedikit bayaran.



Akhirnya, kereta api tersebut berhenti betul-betul di hadapan tangga pintu utama muzium. Ini pun sudah cukup baik khususnya untuk ibu mertua saya, kerana sebenarnya dari tempat letak kereta, kita terpaksa berjalan dalam jarak yang agak jauh juga untuk tiba di hadapan tangga pintu utama muzium dan ini sudah tentulah akan menyulitkann pergerakan warga berusia seperti beliau. Untuk tiba di pintu utama muzium, kami terpaksa mendaki anak-anak tangga yang agak tinggi, ini mungkin agak menyukarkan terutama bagi warga berusia. Namun begitu, kami sama-sama membantu umi untuk mendaki anak-anak tangga tersebut.



Di muzium ini, setiap pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM 5.00 seorang (kalau tak silap saya), tetapi saya dan Luqman percuma. Saya rasa sesuai juga saya diberi percuma kerana sangat sedikit artifak yang dapat saya sentuh dengan tangan. Kebanyakan artifak dikurung dalam cermin, termasuklah Batu Bersurat Terengganu. Memang teringin benar saya menyentuh batu bersurat Terengganu, namun begitu, setakat ini hasrat tersebut masih belum kesampaian. Muda-mudahan suatu hari yang entah bila, hasrat saya untuk menyentuh batu bersurat tersebut akan termakbul jua, insha Allah.



Umi duduk sahaja kerana tak larat lagi untuk berjalan. Sementara kami yang berempat terus berjalan untuk melihat bahan dan artifak yang dipamerkan di muzium ini. Kami semua tidak dibenarkan membawa masuk kamera di dalam premis muzium. Semua kamera dikehendaki disimpan di tempat khas yang disediakan. Ini peraturan biasa. Sebab itulah dalam posting ini, hanya disisipkan foto di sekitar luar muzium sahaja.

Pada perkiraan saya, ruang-ruang kosong dalam muzium ini masih luas. Ini bermakna, masih banyak lagi bahan dan artifak yang boleh dimuatkan di dalam muzium ini. Saya turut tertarik dengan informasi mengenai kesultanan Terengganu yang terdapat di sini. Ia merangkumi nama sultan, tahun pemerintahan serta di mana jenazah baginda dimakamkan. Barang diingat, makam raja-raja Terengganu tidak berada pada tempat yang sama.

Selain itu, saya juga turut mendapat informasi mengenai senarai para menteri besar Terengganu dari yang pertama (Datuk Seri Amar Diraja Ngah bin Muhammad Yusuf) hinggalah yang terkini (yang ketigabelas), iaitu YAB Datuk Ahmad Said. Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang merupakan menteri besar yang kesebelas. Alhamdulillah kerana dapat berkongsi penglihatan dengan isteri. Maka saya dapatlah juga beroleh sedikit sebanyak informasi yang diperlukan.

Setelah kira-kira dua jam, kami pun mula mengorak langkah untuk meninggalkan bangunan muzium negeri. Mulanya kami hendak mengikut anak-anak tangga sahaja untuk turun ke bawah dan seterusnya kami terpaksa berjalan kaki dalam jarak yang agak jauh untuk ke tempat meletak kereta. Walaupun ia mungkin agak menyulitkan bagi warga berusia seperti umi, kami harus membantunya. Sewaktu saya baru menuruni anak tangga pintu utama muzium semata dua, tiba-tiba kami disapa oleh seorang wanita yang juga merupakan kakitangan muzium dan menawarkan diri untuk membantu kami. Mulanya kami hanya membiarkan kakitangan muzium tersebut membantu umi dan Kak Arah sahaja, tetapi kakitangan berkenaan menyuruh saya, isteri dan Luqman ikut sama. Kami tidak menolaknya. Kakitangan tersebut terus membawa kami ke sebuah lif. Pada lif tersebut terpampang tulisan besar yang memaklumkan bahawa lif berkenaan hanya untuk kegunaan para kakitangan muzium sahaja.

Sewaktu kami masuk ke dalam lif bersama-sama kakitangan berkenaan, tiba-tiba seorang pengunjung awam yang lain terus melulu masuk ke dalam lif. Perbuatannya ditegur oleh kakitangan muzium yang bersama-sama kami. Kakitangan tersebut memberitahu bahawa lif ini hanya untuk kegunaan kakitangan sahaja. Pengunjung tadi agaknya tidak berpuas hati lalu mempersoalkan pula kehadiran kami berlima dalam lif berkenaan. Kakitangan muzium tersebut menjelaskan bahawa beliau Cuma ingin membantu kami yang berlima ini kerana ada seorang cacat penglihatan (saya) dan juga seorang warga tua (umi saya sudah berusia 84 tahun). Kakitangan berkenaan terus mengiringi kami hinggalah ke pintu keluar. Memang jalan yang dipandu oleh kakitangan tersebut lebih dekat dengan tempat meletak kereta.

Peristiwa di atas sedikit sebanyak menjelaskan bahawa masih ada segelintir ahli masyarakat yang ada rasa cemburu dengan sedikit keistimewaan yang diberikan kepada orang seperti saya dan umi. Sebenarnya, sekiranya saya berpenglihatan dan umi saya masih berusia 48 tahun, keistimewaan sedemikian tidak kami perlukan. Lagipun, bagi saya, ia bukanlah satu bentuk keistimewaan, sebaliknya ia lebih kepada sedikit kemudahan sahaja untuk golongan seperti saya dan umi. Kepada kakitangan muzium yang berkenaan, kami ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Semoga keikhlasan anda akan mendapat balasan yang sebaiknya daripada Allah.



Dari Muzium Negeri, kami bergerak pula ke Pulau Wan Man dengan mellalui jalan darat. Sebenarnya saya sekeluarga pernah ke tempat inni semasa ia mula-mula dibuka. Waktu itu, kami ke sini dengan mengikut jalan air. Bagi umi dan Kak Arah pula, ini merupakan kunjungan kali pertama mereka ke sini.



Di sini, destinasi kami ialah di Masjid Kristal. Pada penelitian (pendengaran) saya, bilangan pengunjung agak ramai juga. Saya dan Luqman terus mengambil wudhuk dan mengerjakan solat jamak zohor dan asar di dalam masjid kristal. Sewaktu saya hendak mendirikan solat, seorang pengawal keselamatan terus datang dan menawarkan kepada saya sebuah kerusi. Beriya benar beliau ingin memberikan saya sebuah kerusi. Saya faham, niatnya memang baik, oleh itu saya harus menolaknya dengan baik juga. Saya memberitahu pengawal berkenaan, yang cacat mata saya sahaja, anggota badan saya yang lain termasuk kaki dan lutut masih kuat lagi. Maka itulah saya masih berkeupayaan untuk mengerjakan solat secara berdiri. Pengawal tersebut berpuas hati dengan penerangan saya.



Setelah selesai mengerjakan solat dan sementara menanti isteri, umi serta Kak Arah selesai solat, saya duduk di bahagian luar dewan solat. Pengawal yang tadi juga terus datang semula dan membawa saya dan Luqman duduk hampir dengan tempat beliau berkawal. Diberikannya saya kerusi dan kami pun mula berbual mesra.



Pengawal tersebut memberitahu saya, beliau merupakan seorang pesara tentera. Beliau juga pernah bertugas di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, selama beberapa tahun. Beliau juga biasa dengan Kem Wardieburn. Sekolah di mana saya sedang bertugas sekarang pun beliau tahu.

Pengawal itu juga turut memberitahu saya, di sepannjang setiap cuti sekolah di masjid ini ada program tahfiz untuk kanak-kanak. Setiap peserta hanya dikenakan bayaran sebanyak RM 100.00 seorang sahaja untuk sepanjang kursus. Bayaran tersebut turut merangkumi makan dan minum di sepanjang kursus.



Setelah umi dan Kak Arah selesai solat, kami pun mula meninggalkan perkarangan masjid kristal. Ada lagi tempat yang boleh dikunjungi di sekitar kawasan ini. Umpamanya Taman Mo numen dan sebagainya. Bagi saya, pembinaan masjid seharusnya atas tujuan untuk memperhambakan diri ke hadhrat Allah dan bukan untuk tujuan pelancongan. Oleh itu, saya secara peribadi kurang berminat untuk berkunjung ke tempat-tempat sedemikian. Ini sekadar pandangan saya sahaja. Orang lain sama ada boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan saya. Bagi saya, perselisihan pendapat sebegini tiada salahnya.

Di sekitar kawasan ini juga ada rumah tamu. Kalau tak silap saya, harga untuk semalam ialah sekitar RM 400.00 hingga rM 450.00. Selain itu, dewan konvensyen juga turut disediakan.



Tatkala kami meninggalkan Pulau Wan Man, hari semakin petang. Kami terus ke Restoran Selera Kampung yang terletak tidak jauh dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNIZA). Sebenarnya, saya sekeluarga pernah makan tengah hari di restoran ini pada 6 Jun 2009 (Sabtu) yang lalu. Tatkala itu, kami dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu. Makanannya boleh tahan dari segi keenakannya. Lagipun, makanan yang dijual pula pelbagai jenisnya.

Pada tahun lepas, apa yang menarik perhatian saya di restoran ini ialah papan iklan yang mengiklankan restoran ini kepada para pelanggannya. Saya pernah menulis mengenainya melalui blog ini pada Jun tahun lepas. Bagi sesetengah orang luar yang mungkin kurang faham dialek Terengganu, mungkin ada sedikit unsur kelucahan pada tulisan papan iklan tersebut. Walau bagaimanapun, setelah diteliti kali ini, papan iklan berkenaan sudah tiada lagi. Saya penuh yakin seratus peratus, pemilik restoran berkenaan telah menurunkan papan iklan berkenaan bukan kerana beliau telah membaca tulisan saya di blog ini. Hal ini memang saya yakin sepenuhnya.



Sebelum kami pulang ke rumah, sempat juga kami berlegar-legar di sekitar stadium yang runtuh tahun lalu. Nampaknya ia seakan belum diperbaiki sepenuhnya lagi. Runtuhannya masih ketara.

Di sebelah malamnya pula, kami bertiga sahaja yang keluar semula, iaitu saya, isteri serta Kak Arah. Umi dan Luqman tinggal di rumah sahaja, mungkin kerana keletihan agaknya. Destinasi kami ialah ke rumah Cikgu Mad (saya akann postingkan kisah mengenainya dalam tajuk yang lain). Setelah itu, kami bertiga ke Pantai Batu Buruk pula. Kebiasaannya, kalau saya berkunjung ke Terengganu, saya tidak akan melepaskan peluang ke pantai ini pada sebelah malam. Selain daripada mempunyai panorama yang indah (kata orang lain), persekitaran pantai ini kebiasaannya hidup dengan aneka jenis kedai makan serta gelagat para pengunjung yang datang.



Akhirnya kami masuk ke sebuah restoran. Apa yang menarik perhatian kami ialah tulisan iklannya yang antara lain berbunyi: “Layanan Mesra”. Kami memang benar-benar mengharapkan layanan yang mesra daripada restoran ini. Setelah kami mengambil tempat duduk, kami terpaksa menanti hampir 10 minit barulah seorang pekerjanya datang dan mengambil pesanan. Berdasarkan pendengaran saya, bilangan pelanggan biasa sahaja. Maknanya, sepatutnya tiada masalah untuk mengambil pesanan dengan lebih cepat. Kemudiannya, bila saya tanya, pekerja berkenaan antara menjawab dengan tidak. Kalaulah tidak kerana isteri saya yang menyabarkan saya, restoran berkenaan pasti saya tinggalkan. Setelah makanan tiba dan setelah saya menjamahnya, jauh daripada sedap. Kalaulah markah keseluruhan maksimum 10, paling tinggi pun saya boleh beri 3 sahaja. Rupa-rupanya kami terlah terpedaya oleh iklan!

Akhirnya, hampir jam 12.00 tengah malam, baru kami bertiga semula di rumah. Badan memang letih. Hasrat untuk on laptop saya tangguhkan. Lagipun, esok kami semua akan meneruskan acara kunjungan yang telah saya aturkan.

(Bersambung pada bahagian 2).

Sebenarnya saya berhasrat untuk membuat dua posting pada hari ini. Namun demikian, hasrat tersebut terpaksa saya tangguhkan lantaran keadaan kesihatan saya yang tidak begitu mengizinkan.

Salam dari Kuantan.

1 comment:

pen buruk ™ said...

Alhamdulillah. Maha Suci Allah.

Kebetulan tuan berada di Terengganu. Saya pun berada di Terengganu pada 12 hb sehingga 14 hb. Menghadiri kenduri rumah kenalan di sana.

Banyak sungguh cerita menarik dari tuan. harap dapat terus berkongsi di sini. salam