Thursday, July 1, 2010

Ole-ole Dari Kuala Terengganu (Bahagian 2)

Terlebih dahulu, saya memohon ribuan kemaafan kerana agak lama saya tidak kemas kini blog ini. Hal ini tidak saya sengajakan. Selain daripada kesihatan saya yang agak terganggu pada akhir cuti sekolah lalu, kegagalan saya mengemas kini blog ini juga adalah kerana saya terpaksa mendahulukan pelbagai tugasan wajib yang lain. Alhamdulillah, akhirnya saya dikurniakan kesempatan juga untuk mengemas kini blog ini. Sebagai memenuhi janji saya, kali ini saya perturunkan pula sambungan tulisan saya mengenai kunjungan kami sekeluarga ke Kuala Terengganu baru-baru ini.

Kunjungan saya sekeluarga ke Kuala Terengganu pada 14 Jun 2010 (Isnin) diteruskan lagi. Kali ini, kami turut disertai oleh Adibah, anak saudara kami yang menetap di Kuala Terengganu.



Selepas sarapan, iaitu sekitar jam 11.00 pagi, kami pun meninggalkan rumah dan destinasi pertama kami kali ini ialah Masjid Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Bagi orang setempat, masjid ini lebih dikenali sebagai Masjid Putih sahaja.



Di perkarangan masjid ini, terdapat banyak makam marhum raja-raja Terengganu serta para kerabat mereka. Kami bernasib baik kerana kunjung ziarah kami di sini dilayan mesra oleh dua orang petugas yang bertugas selaku pembaca Alquran di kawasan permakaman ini. Kedua-dua mereka ialah En. Maliki dan juga En. Abdul Halim. Hasil perbualan antara saya dan mereka, saya mendapati kedua-duanya juga mempunyai pengetahuan yang agak baik khususnya mengenai sejarah kesultanan Terengganu.



Kami turut dibawa masuk untuk menziarahi ruang yang menempatkan makam almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Syah. Baginda ialah nenda kepada DYMM Yang Dipertuan Agong sekarang. Baginda memerintah Terengganu antara tahun 1945 hingga tahun 1979.



Kami juga berkesempatan menziarahi makam almarhum Sultan Mansur I. Baginda merupakan sultan Terengganu yang kedua. Saya banyak mendapat maklumat mengenai pemerintahan baginda melalui pembacaan saya dalam buku Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji. Buku ini memang tiada dalam bentuk Braille. Pembacaan saya banyak dibantu oleh rakan-rakan pembaca yang budiman. Kisah mengenai baginda diperikan dengan agak terperinci, khususnya mengenai kisah tatkala baginda berada di Riau selama sekitar 14 tahun. Menurut sekadar dalam pengetahuan saya, Sultan Mansur I merupakan antara sultan yang paling lama bertakhta, iaitu melebihi 50 tahun. Ada sumber yang menyebut Sultan Mansur I memerintah Terengganu antara tahun 1741 hingga tahun 1793. Ada juga sumber yang mencatatkan pemerintahan baginda adalah antara tahun 1723 hingga 1793. Wallahu Aalam.



Selain itu, makam almarhum Tengku (Sultan) Ali turut mendapat perhatian saya. Mungkin kerana saya punya sedikit pengetahuan mengenai sejarah baginda serta liku-liku hidup yang pernah baginda lalui, maka apa yang tertera pada makam baginda terasa sayu dan syahdunya. Baginda telah dilahirkan pada tahun 1914 dan mangkat pada tahun 1996 ketika berusia 82 tahun. Baginda pernah menjadi sultan Terengganu antara tahun 1942 hingga 1945.



Untuk manfaat pengguna pembaca skrin, di bawah ini diperturunkan antara tulisan yang tertera pada makam almarhum Tengku (Sultan) Ali:


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ALFATIHAH

DENGAN INGATAN KASIH MESRA DAN DOA RESTU DARI AHLI KELUARGA SERTA RAKYAT JELATA YANG MENGENALI ALMARHUM TENGKU ALI IBNI ALMARHUM SULTAN SULAIMAN BADRUL ALAM SHAH SULTAN TERENGGANU YANG KE-14 TELAH DIPUTERAKAN DALAM TAHUN 1914. SULTAN DAN PEMERINTAH BAGI NEGERI TERENGGANU SERTA JAJAHAN TAKLUKNYA MULAI 26HB SEPTEMBER, 1942 SEHINGGA 5HB NOVEMBER, 1945. MANGKAT PADA HARI JUMAAT 17 HB MEI 1996 JAM 12.45 TENGAHARI. BERSAMAAN 29 ZULHIJJAH 1416.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG MENGENALI BAGINDA SENTIASA BERDOA AGAR ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA MENCUCURI RAHMAT KE ATAS ROH BAGINDA AMIN YA RABBIL ALAMIN.





Di samping itu, kami juga turut ditunjukkan satu ruang bertutup di mana di dalamnya terdapat makam beberapa orang sultan. Mereka ialah almarhum Sultan Zainal Abidin III (1881-1918), almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (1919-1942), almarhum Sultan Muhammad (1918-1919) dan almarhum Baginda Umar (1839-1876). Menurut En. Halim, dalam setahun, hanya dua kali sahaja kawasan makam tersebut dibuka, iaitu pada nisfu Syaaban dan pada malam 7 likur. Tujuannya ialah untuk membolehkan para waris dan kerabat terdekat menziarahi makam-makam berkenaan.



Hampir sejam saya menghabiskan masa di kawasan permakaman diraja di Masjid Sultan Zainal Abidin. Setelah itu, kami pun beredar meninggalkan kawasan masjid. Ribuan terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada En. Maliki dan juga En. Abdul Halim.



Dari Masjid Sultan Zainal Abidin, kami bergerak pula ke tengah bandar. Hasrat untuk singgah di Pasar Payang terpaksa dibatalkan. Selain daripada tiada tempat meletak kenderaan yang sesuai, cuaca semakin panas dan ini kurang sesuai khasnya untuk umi.









Kami pun terus menuju ke Hotel Seri Malaysia, iaitu di tengah-tengah Bandaraya Kuala Terengganu. Di hadapan hotel ini, ada sebuah bukit. Namanya Bukit Keledang. Di atas bukit inilah bersemadinya makam almarhum Sultan Zainal Abidin I, iaitu sultan Terengganu yang pertama. Bukit ini agak tinggi. Kalau tak silap kiraan saya, terdapat sekitar 45 mata tangga untuk naik ke puncak bukit ini. Menurut catatan pada monumen di bukit ini, Sultan Zainal Abidin I (kadangkala disebut juga dengan Tun Jenal) telah ditabalkan sebagai sultan Terengganu pada tahun 1708 oleh Nang Chayang. Menurut Tuhfat Al-Nafis pula, Sultan Zainal Abidin I telah ditabalkan oleh Daeng Menambun, salah seorang daripada lima Bugis bersaudara. Sultan Zainal Abidin I merupakan saudara (adik-beradik) kepada Bendahara Tun Abdul Jalil (kemudiannya bergelar Sultan Abdul Jalil). Sultan Abdul Jalil ditabalkan sebagai sultan Johor-Riau selepas kemangkatan Sultan Mahmud II (Marhum Mangkat Dijulang). Kedua-dua mereka, iaitu Sultan Abdul Jalil dan Sultan Zainal Abidin I adalah anakanda kepada Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Saya pernah menulis sedikit kisah mengenai Sultan Abdul Jalil ini yang mana sumbernya saya temui semasa saya melawat ke Malay Centre (Istana Kampung Gelam) di Singapura pada hujung tahun lalu. Anak cucu Sultan Abdul Jalil inilah yang menguasai takhta kesultanan Johor hari ini. Demikianlah.



Selain daripada makam Sultan Zainal Abidin I, terdapat beberapa makam lagi di atas bukit ini. Menurut seorang penjaga di sini, makam-makam ini merupakan para pembesar yang setia kepada Sultan Zainal Abidin I.



Selain itu, ada sebuah makam yang dikatakan tempat bersemadinya Megat Panji Alam. Makamnya terletak tidak jauh daripada makam Sultan Zainal Abidin I. Wallahu Aalam.

Setelah setengah jam, saya sekeluarga pun meninggalkan kawasan Bukit Keledang. Destinasi kami selanjutnya ialah sebuah masjid di Ladang. Kalau tak silap, nama masjid tersebut ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Di kawasan masjid ini terdapat beberapa lagi makam raja-raja Terengganu. Malangnya, kawasan yang menempatkan makam-makam berkenaan berkunci. Oleh itu, kami hanya boleh ziarah dari luar kawasan sahaja. Saya tidaklah begitu berat terasa untuk masuk ke kawasan permakaman.



Dalam kalangan keluarga saya sendiri, ada yang bertanya, mengapa saya gemar menziarahi kawasan permakaman orang-orang besar, sedang saya sendiri tidak mengenali dengan mereka, jauh sekali berkerabat dengan mereka. Setiap kali saya tiba ke satu-satu tempat, jika ada peluang, seringkali tempat yang terawal saya ziarahi ialah makam golongan pembesar, kerabat diraja dan yang seumpamanya.



Sebenarnya, dengan menziarahi tempat-tempat seperti ini, ia banyak memberi kesedaran dan keinsafan kepada diri saya sendiri. Sebesar mana pun pangkat seseorang, sebanyak mana pun harta yang dimiliki, setingi mana pun darjat seseorang dan semulia mana pun seseorang di sisi manusia, akhirnya ke tanah juga akan disemadikan. Saya memang tidak pernah bersua muka, tidak pernah berjabat salam dan juga tidak pernah berbual dan berbicara dengan para pembesar berkenaan. Namun begitu, sebahagian daripada mereka saya kenali melalui pembacaan saya dalam sejarah. Banyak perkara yang boleh kita teladani dan sempadani daripada sejarah para pembesar ini. Walaupun saya tidak pernah mengenali mereka ketika mereka hidup, setidak-tidaknya saya dapat bertemu dengan pintu di mana mereka melangkah masuk ke alam baqa untuk ke negeri akhirat. Demikianlah.



Setelah menunaikan solat zohor dan asar secara jamak, kami pun beredar meninggalkan perkarangan masjid. Destinasi kami ialah sekitar pantai Teluk Ketapang. Lagi pun, hari kian petang. Tujuan kami ke pantai ini ialah untuk menjamu selera di bawah puputan bayu laut China Selatan.



Setelah menjamu selera di pantai Teluk Ketapang, kami pun beredar pula ke jeti yang terletak berhampiran dengan Pasar Payang. Kami dimaklumkan bahawa memang ada perkhidmatan bot penambang dari Pasar Payang ke Seberang Takir. Jeti ini diperbuat daripada kayu sahaja. Laluannya pula agak sempit, saya rasa hanya untuk dua orang sahaja. Semasa saya berjalan menuju ke bot, tiba-tiba jeti berkenaan bergoyang. Gerun juga dibuatnya. Hendak undur semula ke belakang, terasa malu pula dengan Luqman dan umi. Jadi buat-buat maco sajalah.





Akhirnya kami pun naiklah sebuah bot yang menghala ke Seberang Takir. Selain kami berenam, terdapat juga beberapa penumpang lain. Perjalanan ke Seberang Takir hanya mengambil masa sekitar 5 minit sahaja.



Setelah penumpang lain turun, isteri saya terus bertanya kepada pemandu bot, bolehkah bawa kami sekeluarga bersiar-siar di laut. Pemandu berkenaan bersetuju dengan mengenakan bayaran sebanyak RM 40.00 untuk tempoh satu jam. Kami terus setuju.









Kami dibawa bersiar-siar hingga ke Pulau Wan Man dan pusing semula ke jeti Pasar Payang. Hanya kami berennam sahaja dalam bot. Pemandu bot pula peramah dan sentiasa bersedia memberikan penerangan bila kami perlukan. Isteri saya memberitahu, pemandangan memang indah, cantik dan mempesonakan. Apatah lagi ketika itu waktu sekitar jam 5.15 hingga 6.15 petang. Agaknya memang indah, cantik dan mempesonakan!



Saya pula berdiri di haluan bot. Tempat inni lebih terbuka. Jadi saya dapat mendengar bunyi air laut dengan lebih jelas lagi. Saya juga dapat merasai angin laut yang bertiup segar. Sekali-sekala pemandu bot mengingatkan saya supaya berpegang pada tiang kecil yang ada di haluan bot. Mungkin beliau takut saya terjatuh ke laut.





Luqman pula takk terkira gembiranya. Dia sendiri memberitahu saya betapa cantiknya pemandangan laut ketika itu. Sekali-sekala Luqman datanng menghampiri saya di haluan bot, tetapi saya melarangnya dan mina supaya dia masuk semula ke dalam bot. Luqman akur sahaja.







Sekitar jam 6.15 petang, bot yang membawa kami berlabuh semula di jeti Pasar Payang. Saya dan kami semua merasa puas kerana berpeluang bersiar-siar di laut walaupun hanya untuk satu jam Cuma. Bagi yang berpenglihatan, mereka merasa kepuasan yang lebih kerana dapat menikmati pemandangan waktu petang di laut yang begitu mempesonakan. Begitulah saya dimaklumkan!



Aktiviti kami petang itu diakhiri dengan menikmati keenakan air kelapa di Pantai Batu Buruk. Kami tiba semula di rumah ketika azan maghrib melaungkan kalimah suci mengajak insan beriman memenuhi kewajipan kepada Ilahi.



Oleh kerana jadual kunjungan kali ini agak padat, maka kami tidak berkesempatan untuk membeli-belah di Pasar Payang. Walau bagaimanapun, hal seumpama ini telah pun dimaklumi oleh keluarga saya. Membeli-belah boleh dilakukan di mana-mana, tetapi kesempatan untuk mengunjungi tempat-tempat yang ada nilai sejarah di Kuala Terengganu ini tiada duanya dan tiada tiganya.

Bagi saya, pengalaman kunjungan ke Kuala Terengganu kali ini merupakan sesuatu yang amat berharga. Saya dapat mengunjungi ke tempat-tempat yang selama ini menjadi impian dan idaman peribadi saya. Sebagaimana yang telah saya nyatakan, kunjungan saya ke tempat-tempat tertentu banyak memberikan kesedaran dan keinsafan kepada diri saya sendiri. Walaupun tanpa penglihatan, semangat dan keinginan saya untuk meneroka mayapada yang penuh dengan aneka rupa dan ragam gelagat manusia sentiasa membara. Jika diamat-amati pengalaman kunjungan seperti ini, walaupun ia tidak sebanyak mana, tetapi ia cukup memberi pengajaran dan iktibar kepada saya.

Sesungguhnya dunia tanpa penglihatan tidak semestinya akan sentiasa gelap dan gerhana. Adakalanya dunia kami juga indah dengan warna-warni pelbagai pengalaman sendiri yang kami lalui dalam hidup yang sementara ini. Dunia kami bukan umpama katak di bawah tempurung. Adalah amat dangkal sekali bila ada orang yang masih berpersepsi bahawa dunia golongan cacat penglihatan ialah sekadar di tempat di mana dia berada semata-mata. Walaupun tidak berpenglihatan, dunia kami tetap indah dan luas, seindah pengalaman kami dan seluas pengetahuan kami.

Saya merasa puas apabila dapat berkongsi sedikit pengalaman di Kuala Terengganu menurut kaca mata saya. Inilah oleh-oleh daripada saya untuk para pengunjung blog yang budiman.

1 comment:

Anonymous said...

Dari Suriani: Sejak Pok Ya cerita pasal gi melawat makam bersejarah di KT, saya bercadang nak baca blog Pok Ya bila balik rumah nanti. Tapi, hanya sekarang baru berpeluang... Seronoknya ikuti perjalanan Pok Ya melawat KT sehinggakan saya rasa perlu rancang bawa anak2 melawat KT sekali lagi pada masa akan dtg. Paling best perihal pengalaman round naik bot feri scr eksklusif! Terasa macam nak dapatkan pengalaman tu jugak. Satu lagi, next time jika Pok Ya ke KT lagi, bolehlah melawat makam Tok Ku Paloh di Pulau Manis yg juga terkenal di KT. Saya dah pi ziarah makam ini tapi yg lain2, tulisan Pok Ya menjadi rujukan utk ke sana suatu masa nanti. Terima kasih atas titipan tulisan yg berinformasi.