Siang tadi, saya sekeluarga telah berpeluang memancing di kolam ikan kepunyaan abang ipar saya yang terletak tidak jauh dari Kerdau, Temerloh, Pahang. Kolam ikan ini terletak di dalam kawasan ladang kepunyaan beliau yang berkeluasan beberapa hektar. Terdapat 5 buah kolam ikan kesemuanya. Selain saya dan keluarga, kami turut disertai oleh 3 lagi adik-beradik ipar saya serta keluarga mereka.
Sebenarnya saya tidak pernah pun berpengalaman memancing sebelum ini. Bukannya tidak mahu, tapi kesempatan yang belum datang. Abang ipar saya entah sudah berapa kali mengajak saya sekeluarga memancing, tapi kami terpaksa menangguhkannya lantaran ketiadaan masa yang sesuai.
Siang tadi, saya sekeluarga berkesempatan mengunjungi ladang abang ipar saya, maka kesempatan yang ada tidak saya lepaskan untuk memancing. Sebagai seorang yang tidak berpenglihatan, saya dapat merasakan aktiviti sebegini memang menarik dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja walaupun tanpa penglihatan asalkan ada minat, peluang dan kemahuan.
Saya yang tidak berpengalaman memancing mulanya terkial-kial juga. Dengan pertolongan ahli keluarga yang lain di mana mereka menunjukkan cara yang betul memegang batang pancing, kemudiannya saya mula merasai keseronokan aktiviti memancing.
Kak Ha, biras saya, tidak henti-henti memberi semangat kepada saya semasa saya memancing. Apa yang sering berlaku, umpan pada mata kail saya sering kehabisan tapi ikannya tak ada yang melekat. Mungkin sebagai dorongan kepada saya, setiap kali umpan pada mata kail saya habis, Kak Ha akan segera menolong dengan melekatkan umpan yang baru.
Sekali peristiwa, saya merasakan seolah-olah umpan pada kail saya seakan sudah mengena. Saya pun terus menyentap batang pancing sambil menjerit “Yes!”. Walau bagaimanapun ahli keluarga saya yang lain semuanya ketawa. Rupa-rupanya yang terlekat ialah batang kayu kecil. Hampa dibuatnya.
Kali ini, Muaz, anak saudara kami yang lebih bernasib baik. Umpannya asyik mengena sahaja. Entah berapa ekor ikan besar yang dapat ditarik naik ke atas.
Luqman pula lebih gaya daripada cara. Bila diberitahu supaya jangan bising sangat nanti ikan tak mahu timbul, dia jawab, ikan mana ada telinga nak dengar apa yang kita cakap. Saya senyum saja.
Kak Ha memberitahu saya, kalau hendak dapat ikan banyak sebaiknya memancing waktu pagi. Kali ini kami memancing antara jam 12.00 tengahari hingga jam 2.00 petang. Agaknya kerana cuaca yang agak panas, maka ikan-ikan pun tak berapa suka untuk timbul. Agaknya saja.
Akhirnya setelah dua jam, seekor ikan pun tak mengena. Walau bagaimanapun, saya tetap merasai kepuasan dan keseronokannya. Setidak-tidaknya aktiviti sebegini dapat merelekskan minda saya. Oleh kerana cuaca yang semakin kurang baik, akhirnya, kami semua pun kembali ke rumah yang letaknya tidak jauh dari kolam-kolam ikan berkenaan. Insha-Allah, jika ada kesempatan lain, saya sekeluarga pasti akan datang lagi.
Kami makan tengah hari dengan ikan-ikan segar yang baru ditangkap. Memang enak dan menyelerakan. Terasa bezanya makan ikan yang baru ditangkap dengan ikan yang sudah lama dikurung dalam air batu.
Sebenarnya saya bukanlah orang cacat penglihatan pertama yang berpengalaman memancing. Sudah ramai rakan-rakan cacat penglihatan lain yang punya pengalaman yang lebih menarik dalam aktiviti memancing ini. Bahkan ada di antara rakan-rakan saya yang berpengalaman memancing di atas bot di tengah laut. Apa yang saya ketengahkan di sini ialah pengalaman peribadi saya ketika memancing menurut kaca mata saya.
Saya masih ingat lagi, semasa saya di tahun pertama ketika menuntut di Universiti Malaya (UM) sekitar 2 dekat lalu, saya pernah mengikuti program Bakti Siswa di kampung nelayan Tok Adam, Selangor, dan salah satu aktiviti yang dilakukan ialah mengikut nelayan menangkap ikan di Selat Melaka. Tatkala itu, Jabatan Perikanan hampir tidak memberi kebenaran kepada saya untuk turut serta dalam aktiviti tersebut. Maklumlah cacat penglihatan. Jadi tentulah pihak berkenaan memikirkan pelbagai masalah yang akan timbul jika sesuatu yang diluar jangka terjadi kepada saya sewaktu di laut. Alhamdullillah dengan pertolongan rakan-rakan saya yang berpenglihatan ketika itu dengan meyakinkan pihak yang berkaitan, akhirnya saya dibenarkan juga untuk turut serta ke laut, itu pun dengan syarat yang ketat. Antaranya saya tidak dibenarkan walaupun untuk ke tepi bot, bukannya apa Cuma hendak dengar bunyi air laut sahaja. Walau bagaimanapun dengan bantuan beberapa rakan yang berpenglihatan, syarat sedemikian saya langgar juga.
Langkah beringat sebelum kena memang bagus. Walau bagaimanapun, ia janganlah sampai menutup langsung peluang dan ruang kepada golongan seperti saya untuk sama-sama merasai dan mengalami sendiri pengalaman tertentu. Walhal jika langkah-langkah keselamatan dilaksanakan dengan sempurna, maka tiada bahayanya bagi golongan seperti saya untuk turut sama terlibat dalam pelbagai aktiviti. Sebenarnya, jika diberikan kesempatan dan peluang, jangankan memancing, menawan puncak gunung Kinabalu pun sudah kami lakukan. Sesungguhnya pengalaman sebegini akan membuatkan dunia kami lebih luas dan lebih berwarna-warni lagi.
No comments:
Post a Comment