Tatkala malam semakin melabuhkan tirainya, maka pelbagai perkara yang melintas ingatan. Entah mengapa, kali ini, pengalaman yang berlaku terhadap saya hampir 2 dekad yang lalu datang menerjah ingatan. Apabila ingatan berkenaan pengalaman yang ini datang, ia boleh membuatkan saya tesenyum, dan ia juga boleh membuatkan saya merasa sedikit kesal.
Sekitar bulan Mac tahun 1991, saya telah membuat appointment dengan seorang timbalan menteri. Seorang pegawai timbalan menteri berkenaan sendiri yang telah mengesahkan dengan saya bahawa pada tarikh, hari dan waktu berkenaan, timbalan menteri berkenaan telah bersetuju untuk berjumpa dengan saya atas satu urusan. Saya masih ingat lagi, pejabat timbalan menteri berkenaan pada masa itu terletak berhampiran dengan Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.
Maka, pada tarikh, hari dan masa yang telah ditetapkan, saya pun hadirlah ke pejabat timbalan menteri berkenaan. Saya ditemani oleh seorang rakan yang berpenglihatan yang memang akrab dengan saya. Setibanya kami di pejabat timbalan menteri berkenaan, tiba-tiba seorang wanita tanpa bertanya apa-apa kepada saya ataupun kepada rakan saya, terus memberitahu kepada rakan saya itu supaya membawa saya ke “kaunter sana”. Lalu rakan saya pun bawalah saya ke kaunter yang telah ditunjukkan oleh wanita berkenaan.
Agak lama juga kami menanti di kaunter berkenaan. Terfikir juga dalam hati saya, adakah timbalan menteri yang ini akan bertemu dengan saya di kaunter sahaja? Apa yang saya pasti, wanita yang menyuruh saya ke kaunter ini bukannya pegawai/kakitangan yang telah mengaturkan pertemuan saya dengan timbalan menteri ini kerana suara kedua-duanya jauh berbeza.
Setelah menanti dengan agak lama, tiba-tiba seorang wanita lain datang dan memberitahu secara perlahan kepada kami berdua bahawa di pejabat ini tidak boleh kutip derma. Saya sedikit terkejut mendengarnya. Rakan saya pula mungkin dua atau tiga kali ganda terkejut daripada saya. Wanita itu meneruskan lagi, antara lain katanya, tapi jangan kecewa kerana ada beberapa orang kakitangan yang sudi menghulurkan derma kepada saya. Wanita itu melanjutkan dengan katanya, ini wangnya untuk encik buat belanja.
Saya tertanya di dalam hati, adakah timbalan menteri yang meminta para kakitangannya melayan saya dan rakan saya seperti ini? Walau bagaimanapun, saya menolak andaian sedemikian. Lagipun pegawai/kakitangan yang mengaturkan pertemuan saya dengan timbalan menteri berkenaan telah pun maklum tujuan dan urusan saya hendak berjumpa dengan timbalan menteri berkenaan.
Dengan tujuan tidak mahu memanjangkan drama tanpa skrip ini, lalu saya pun bertanya kepada wanita berkenaan, adakah di pejabat ini pegawai yang bernama si fulan binti si anu? Kata wanita tersebut, ada dan biliknya di sana, agaknya sambil menunjukkan kepada rakan saya arah sebuah bilik. Lalu saya bertanya lagi, bolehkah saya bertemu dengan pegawai berkenaan? Kemudian wanita berkenaan bertanya pula, ada buat appointment ke? Saya menjawab, pegawai berkenaan yang menyuruh saya datang ke pejabat ini waktu ini.
Wanita berkenaan terus berlalu. Tidak lama kemudian, muncullah pegawai yang telah mengaturkan pertemuan antara saya dengan timbalan menteri berkenaan. Pegawai berkenaan menegur saya dengan baik. Walaupun saya tidak pernah bertemu dengan pegawai berkenaan, tetapi layanan pegawai berkenaan terhadap saya dan rakan saya lebik baik dan lebih mesra. Pegawai berkenaan terus memperkenalkan saya dengan wanita tadi dan memberitahu bahawa saya merupakan penuntut di Universiti Malaya.
Akhirnya, saya dapat bertemu dengan timbalan menteri berkenaan. Urusan berjalan baik dan lancar. Namun begitu, saya langsung tidak bercerita mengenai drama yang telah saya harungi sebelum saya dapat bertemu dengan timbalan menteri, sama ada kepada pegawai tadi mahupun kepada timbalan menteri sendiri.
Setelah semua urusan selesai, dan sebelum saya meninggalkan pejabat berkenaan, saya telah berjumpa semula dengan wanita yang melayan saya di kaunter sebelumnya. Kepada wanita berkenaan saya minta berbanyak maaf kerana saya tidak boleh mengambil wang yang telah dikumpulkannya untuk saya kerana tujuan saya datang ke pejabat berkenaan bukan untuk itu. Wanita berkenaan pula, sambil meminta maaf kepada saya, terus juga menghulurkan wang berkenaan kepada saya, tetapi saya tetap menolaknya. Saya dan rakan saya terus meninggalkan pejabat berkenaan tanpa mengambil wang berkenaan.
Walaupun pengalaman yang telah saya harungi sebagaimana di atas tidaklah sebesar mana, tetapi ia tetap meninggalkan kesan yang besar kepada saya. Sepatutnya kakitangan berkenaan harus bertanya dahulu maksud dan tujuan saya datang ke pejabat berkenaan. Hanya kerana yang datang merupakan seorang yang tidak berpenglihatan, maka kakitangan berkenaan terus membuat andaian sendiri mengenai tujuan kedatangan saya dan andaian itu pula mungkin berasaskan persepsi semula jadinya terhadap golongan yang tidak berpenglihatan seperti saya. Manakala bagi rakan saya yang berpenglihatan pula, hanya kerana menemani saya, beliau juga turut mendapat pengalaman baru hari itu.
Hari ini, berdasarkan pengalaman semasa yang saya sendiri alami, persepsi umum masyarakat terhadap golongan seperti saya tidak jauh bezanya dengan apa yang pernah saya alami hampir 2 dekad yang lalu. Inilah antara rencah-rencah kehidupan yang perlu diharungi oleh golongan yang tidak dapat melihat matahari di waktu siang dan tidak dapat merenung bulan di waktu malam. Namun demikian, sebagai memujuk hati, apabila kita telah redha dengan kekurangan yang telah ditakdirkan untuk kita, maka kita juga seharusnya redha dengan persekitaran yang telah ditentukan untuk kita.
Saya percaya bahawa kita akan lebih cepat dewasa dengan pengalaman sendiri.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment