Hari ini, kita sama-sama dapat mendengar pelbagai istilah digunakan yang dimaksudkan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU). Istilah yang biasa dan umum didengar dan digunakan ialah “orang cacat”. Antara istilah lain yang biasa digunakan termasuklah orang kurang upaya, golongan bermasalah penglihatan (jika cacat penglihatannya), orang buta/pekak/bisu, golongan istimewa, dan macam-macam istilah lagi. Persoalannya, sesuaikah kesemua istilah berkenaan untuk digunakan bagi maksud ditujukan kepada golongan cacat?
Ada yang berhujah, istilah-istilah sedemikian digunakan untuk menjaga hati golongan berkaitan. Ia juga bertujuan supaya golongan berkenaan tidak bersikap rendah diri lantaran kecacatan yang dialami. Bagi saya, jika istilah-istilah yang digunakan berlebih-lebihan, apa yang terserlah nanti ialah sikap hipokrit masyarakat terhadap golongan berkenaan. Harapkan istilahnya sahaja yang manis, tetapi realiti kehidupannya pahit bak hempedu.
Bagi saya, secara terus-terang, istilah yang paling tidak saya gemari mendengarnya ialah golongan istimewa. Bila saya dengar sahaja ungkapan orang istimewa, golongan istimewa, guru istimewa, murid istimewa ... , terasa geli-geleman seluruh anggota badan.
Dalam Kamus Dewan, perkataan “istimewa” bermaksud:
istimewa:
1. khas (untuk sesuatu tujuan tertentu), khusus: kami melihat pertunjukan itu dari satu pentas istimewa; gabungan sel yang istimewa untuk menghantar utusan ke bahagian-bahagian badan dinamakan tisu saraf;
2. lain dpd yang lain, luar biasa: rombongan muhibah itu telah diberi layanan yang paling istimewa; soal bahasa Kebangsaan menerima perhatian yang istimewa dlm perdebatan Dewan Rakyat;
3. istimewa lagi, istimewa pula, apa lagi, betapa lagi, lebih-lebih lagi, terutamanya: negeri tuan hamba lagi dikalahkannya, istimewa tuan hamba seorang; sedangkan orang tua-tua tidak dapat menyelesaikan perkara itu istimewa pula kanak-kanak;
mengistimewakan, mengekhaskan, mengutamakan, meluarbiasakan; kedudukan Malaya samalah dengan negara-negara lain yang mengistimewakan pengeluaran satu atau dua jenis barang untuk eksport; tidak ada seorang pun yang diistimewakan dlm undang-undang negeri ini;
Hakikatnya, kami bukannya golongan luar biasa. Kami juga bukanlah kumpulan manusia yang punyai kelebihan luar biasa atau yang benar-benar menonjol, bahkan apa yang kami ada sama seperti orang lain, ada kelebihan tertentu dan ada pula kekurangan tertentu. Realitinya, kami adalah cacat, sama ada cacat penglihatan, cacat pendengaran, cacat anggota dan sebagainya. Dalam mengharungi kehidupan sehari-harian, adakalanya cabaran dan dugaan yang harus kami hadapi berganda hebat dan peritnya.
Benarkah golongan cacat adalah golongan istimewa terutama dari kaca mata masyarakat kita? Tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, pengalaman peribadi saya serta pengalaman rakan-rakan yang senasib sudah cukup menyerlahkan realiti dan hakikat yang sebenar. Pengalaman ini pula kami harungi bukan sehari dua, bahkan sepanjang hidup kami.
Adakah kami ini istimewa jika sebahagian besar masyarakat masih menganggap semua orang cacat (terutamanya golongan yang tidak berpenglihatan) sebagai pengemis dan peminta sedekah? Adakah kami ini istimewa jika usaha kami selama ini untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang biasa sering mendapat sambutan dingin daripada masyarakat? Adakah kami ini istimewa jika pencapaian yang telah dicapai oleh sebahagian daripada kami dalam pelbagai bidang lebih dianggap kerana belas ihsan orang lain dan bukannya kemampuan sendiri? Adakah kami ini istimewa jika usaha-usaha pihak-pihak tertentu untuk memartabatkan golongan seperti kami hanya sekadar menanam tebu di bibir sahaja? Adakah kami ini istimewa jika kami sekadar diperkudakan untuk kepentingan orang lain? Adakah kami ini istimewa jika bakat besar yang ada kepada sebahagian kami dalam bidang tertentu tidak digilap dengan sempurna dan dibiarkan sia-sia? Adakah kami ini istimewa jika kami masih menjadi mangsa diskriminasi di tanah air sendiri?
Dalam kalangan orang politik dan orang-orang besar negara, kadangkala terpacul juga dari mulut mereka ungkapan “golongan istimewa” yang sebenarnya ditujukan kepada golongan cacat. Jika benar kami ini golongan istimewa, mengapa sehingga sekarang dasar penempatan 1% untuk golongan cacat dalam sektor awam masih belum tercapai? Walhal dasar tersebut sudah berdekad dilancarkan. Adakah kami ini terlalu istimewa sehingga dasar berkenaan masih jauh untuk dicapai dan digapai?
Secara peribadi, saya lebih gemar kalau golongan yang cacat ini diistilahkan sebagai “orang kelainan upaya” sahaja. Selain bunyinya lebih positif, kita juga lebih hampir dengan realiti hidup, iaitu setiap insan mempunyai keupayaan masing-masing, mungkin kerana kecacatannya, maka mereka mempunyai keupayaan yang berlainan sedikit daripada orang yang tidak cacat. Berbeza dengan ungkapan “orang kurang upaya”, selain daripada ia bernada negatif, pemahaman umum orang ramai ialah, walau sebaik mana pun keupayannya dia tetap “kurang upaya”.
Kami bukanlah orang istimewa, yang istimewa ialah apabila orang yang sempurna berjaya menjiwai kami.
No comments:
Post a Comment