PUTRAJAYA 15 Julai – Kerajaan hari ini mengumumkan subsidi petrol RON 95 dan diesel dikurangkan 5 sen seliter manakala LPG dikurangkan 10 sen sekilogram berkuat kuasa esok. Ini bermakna petrol RON 95 dijual pada harga RM1.85 seliter, diesel RM1.75 seliter manakala LPG, RM1.85 sekilogram. Petrol RON97 pula tidak lagi diberikan subsidi dan harga akan tertakluk kepada apungan secara terkawal dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan di sini turut mengumumkan pelarasan harga gula sebanyak 25 sen sekilogram menjadikan RM1.90 sekilogram.
“Ini sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi. Penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.
“Walaupun begitu, setelah harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula,” jelasnya.
(Sumber: Utusan Online, 16 Julai 2010).
Barang perlu diingat bahawa kesemua barangan yang telah dikurangkan subsidi merupakan barang keperluan semua orang, terutamanya petrol. Kenaikan harga petrol walaupun 1 sen akan mengakibatkan harga barangan lain turut sama naik. Alasannya mudah sahaja, kenaikan harga petrol menyebabkan kos pengangkutan naik. Semua barangan lain diedarkan ke seluruh negara melalui sektor pengangkutan. Walaupun ada jaminan daripada beberapa persatuan pengangkutan komersial untuk tidak menaikkan harga sektor pengangkutan, tetapi realitinya ia tidak berlaku. Kebiasaannya walaupun harga sektor pengangkutan tidak dinaikkan, pihak lain pula yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan kos masing-masing dengan alasan kos sudah meningkat. Hal seperti ini memang sukar untuk dibendung.
Namun begitu, kita tidak boleh lari daripada menerima kesan negatif terutama untuk jangka pendek hasil pengurangan subsidi berkenaan. Kumpulan yang paling terasa dengan pengurangan subsidi berkenaan ialah mereka yang bekerja sendiri dan tinggal di luar bandar. Walhal, kumpulan inilah yang merupakan golongan yang sering memberikan undi mereka kepada kerajaan dalam setiap pilihanraya. Sepatutnya pihak kerajaan terlebih dahulu perlu mencari mekanisme tertentu agar kumpulan ini tidak merasai kesan buruk dan beban ekoran daripada pengurangan subsidi berkenaan.
Untuk mengelakkan rakyat asing daripada terus menikmati harga subsidi, kerajaan sepatutnya mengadakan peraturan agar setiap pengguna yang membeli barangan yang disubsidi haruslah menunjukkan kad pengenalan masing-masing sebagai tanda bahawa pembeli tersebut adalah rakyat tempatan. Saya rasa, menunjukkan kad pengenalan lebih mudah daripada untuk menunjukkan kad nikah. Lagipun, semua rakyat harus membawa kad pengenalan masing-masing ke mana-mana sahaja mereka pergi. Jika pembeli itu rakyat Malaysia, maka mereka wajar untuk membeli dengan harga subsidi. Sebaliknya jika pembeli itu bukan rakyat tempatan, maka mereka harus membayar mengikut harga pasaran yang boleh ditentukan dari semasa ke semasa. Sudah tentulah kaedah ini memerlukan kerjasama daripada semua peniaga di semua peringkat. Mana-mana peniaga yang engkar, dakwa sahaja mereka dengan mana-mana peraturan yang sedia ada, atau jika perlu, wujudkan peraturan baru yang membolehkan peniaga yang berkenaan boleh didakwa di atas kesalahan seperti yang tersebut. Jika kerajaan tidak cukup kakitangan untuk menguatkuasakan peraturan tersebut, tambah saja kakitangan baru. Dengan cara ini, ia bukan sahaja akan menambah pekerjaan untuk rakyat kita, ia sekaligus akan mengurangkan statistik pengangguran dalam kalangan penduduk negara ini.
Antara sebab kerajaan mengurangkan subsidi ialah untuk menghalan rakyat asing daripada menikmati harga subsidi sebagaimana yang dinikmati oleh rakyat tempatan. Walau bagaimanapun, jika pengurangan tersebut tidak disusuli dengan mekanisme yang sesuai bagi membolehkan rakyat tempatan terus menikmati subsidi yang sedia ada, maka apa yang berlaku ialah rakyat tempatan dan asing perlu membayar harga yang sama selepas pengurangan subsidi. Jadi, di sini tiada bezanya antara rakyat tempatan dengan asing. Kedua-dua golongan harus membayar harga yang sama setelah subsidi dikurangkan. Agaknya inilah yang dikatakan, kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.
Dari satu segi, saya bersetuju bahawa kita tidak selamanya boleh hidup dengan subsidi sahaja. Akan tiba masanya di mana subsidi yang diberi perlu ditarik kembali bagi tujuan untuk dihalakan kepada perbelanjaan yang lebih bermanfaat untuk semua. Lagipun, masyarakat kita sudah lama menjadi masyarakat subsidi sehingga ramai yang merasakan bahawa subsidi adalah sebahagian daripada kehidupan kita dan amat sukar untuk dipisahkan. Sama macam rasuah juga, oleh kerana ia berleluasa maka ia juga sangat sukar dipisahkan daripada mereka yang sering terlibat.
Saya turut bersetuju dengan pandangan Yang Berbahagia Datuk A. Kadir Jasin mengenai pengurangan subsidi ini. Beliau antara lain menulis dalam blognya:
Elok juga kita berdikari. Bila kita tak bergantung sangat kepada kerajaan dan kerajaan pun tak bagi banyak sangat bantuan, kita lebih bebas buat keputusan bila sampai masa mengundi.
Inilah antara sebab mengapa orang Cina lebih mirip sokong pembangkang daripada sokong kerajaan. Sebagai taiko, peniaga dan pekerja profesional, orang Cina lebih berdikari, jadi mereka tidak berasa terhutang budi kepada kerajaan. Justeru itu, mereka tidak berasa bersalah tidak mengundi parti kerajaan.
Saya rasa orang Melayu pun kena lebih berdikari. Susah memang susah. Tapi kalau tak mula dan tak cuba, kita tak tahu keupayaan kita.
(Sumber: www.kadirjasin.blogspot.com dan lihat posting bertajuk “Dinamisme Politik, Kepenggunaan dan Pilihan Raya” bertarikh 16 Julai 2010).
Ini bermakna, mahu tidak mahu, suka tidak suka, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu harus memulakan langkah supaya lebih berdikari dalam semua aspek kehidupan. Kita harus bersedia untuk keluar secara perlahan-lahan dari kepompong subsidi. Lagipun, waktu pilihanraya dan masa kita mengundi dalam keadaan tidak terhutang budi dengan mana-mana pihak, pilihan dan undian kita itu akan lebih rasional dan lebih berpertimbangan.
Bagi saya, dalam melaksanakan pengurangan subsidi, adalah kurang wajar bilamana kerajaan membuat pengurangan subsidi ke atas beberapa barangan keperluan secara serentak. Sesiapa pun akan terkejut dibuatnya. Pengurangan subsidi terhadap beberapa barangan keperluan secara serentak juga bakal mengakibatkan harga barangan lain akan naik secara mendadak dan mungkin juga sukar dikawal. Sepatutnya kerajaan harus membuat pengurangan terhadap satu barang terlebih dahulu untuk satu tempoh jangka masa. Setelah itu, barulah pengurangan subsidi dilakukan ke atas barangan kedua pula. Begitulah seterusnya. Di antara tempoh jangka masa pengurangan subsidi itu, pihak kerajaan boleh memantau kesan serta reaksi pelbagai pihak mengenai pengurangan subsidi yang telah dilaksanakan. Sekiranya reaksi rakyat jelata positif dan kesannya pula memuaskan, maka kerajaan bukan sahaja boleh melaksanakan pengurangan subsidi untuk barangan berikutnya, bahkan nilai subsidi yang dikurangkan itu pula boleh ditingkatkan lagi.
Selain itu, kerajaan juga sepatutnya mendidik rakyat jelata mengenai kesan buruk yang bakal ditanggung oleh negara dalam tempoh jangka panjang jika rakyat jelata terus-terusan menjadi warga subsidi. Pendidikan sebegini pula harus berjalan secara berterusan tanpa henti. Maklumlah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada insan bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan masa yang panjang pula. Bila semakin ramai rakyat mula sedar kesan negatif ke atas pemberian subsidi yang besar untuk jangka panjang, maka pengurangan subsidi akan lebih mudah untuk dilaksanakan. Jika semua rakyat mempunyai tahap kesedaran yang sama mengenai kesan negatif ke atas pelaksanaan subsidi, ada kemungkinan rakyat pula yang akan memohon agar kerajaan mempercepatkan lagi pelaksanaan pengurangan subsidi tersebut. Dalam pendidikan di sekolah, kalau seseorang murid itu tidak pandai juga, maka gurulah yang akan dipersalahkan.
Seperkara lagi, Saya berpendapat, mentadbir negara tidak sama macam mentadbir sesebuah konglomerat. Bagi sesebuah konglomerat, perkara dan agenda yang terpenting sekali ialah keuntungan. Oleh itu, para pengurus akan berusaha keras bukan sahaja untuk mengelakkan kerugian, tetapi keuntungan tahunan konglomerat berkenaan mesti ditingkatkan. Kadangkala, dalam menjayakan misi peningkatan keuntungan ini, seringkali kebajikan pekerjanya terabai. Sesuaikah kaedah yang sama juga diaplikasikan ke atas pentadbiran negara?
Bagi saya, bila mentadbir negara, keutamaan sepatut diberi kepada kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan setiap rakyat. Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh setiap warganegara. Pelaksanaan pengurangan subsidi yang kurang berhemah hanya akan mengelirukan rakyat. Rakyat mungkin akan keliru mengenai matlamat sebenar yang ingin dicapai oleh kerajaan menerusi pelan pelaksanaan pengurangan subsidi, iaitu penjimatan atau keuntungan.
Dari aspek politik pula, saya penuh yakin pengurangan subsidi tidak akan mengakibatkan pengurangan undi kepada kerajaan sekarang. Ini berdasarkan kepada 2 sifat yang sering ada kepada masyarakat kita, khususnya orang Melayu, iaitu mudah terpedaya dan mudah lupa. Orang kita memang mudah terpedaya dengan janji-janji politik. Selain itu juga, orang kita juga mudah lupa dengan apa yang telah dijanjikan oleh orang-orang politik. Lagipun, bagi saya, penurunan jumlah undi yang telah diperolehi oleh kerajaan sekarang dalam pilihanraya umum tahun 1999 dan tahun 2008 tidak didominasi oleh faktor pelaksanaan pengurangan subsidi. Ia lebih disebabkan oleh faktor politik semasa waktu pilihanraya umum itu diadakan.
Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya sekadar melontarkan pandangan sahaja.
No comments:
Post a Comment