Kisah yang ingin saya kongsikan ini berlaku ke atas saya dan isteri kira-kira 6 atau 7 tahun yang lalu. Suatu hari, tatkala memeriksa peti surat di luar rumah, isteri saya menemui sepucuk surat yang antara lain memohon sumbangan derma untuk kebajikan penduduk di taman perumahan tempat kami tinggal. Surat itu juga lengkap dengan senarai nama dan alamat mereka yang boleh dihubungi atau ditemui untuk menghulurkan sumbangan. Saya dan isteri pun memutuskan bahawa kami akan menghulurkan sumbangan walaupun tidak seberapa.
Saya masih ingat lagi, beberapa hari kemudian, bila kami ada kelapangan, kami berdua pun pergilah ke salah sebuah rumah yang mana alamatnya tertera dalam surat rayuan derma tersebut. Kebetulan pula rumah berkenaan tidaklah berapa jauh dari rumah saya. Setibanya kami ke rumah berkenaan, kami dapati pintu rumahnya terbuka sedikit. Isteri saya dapat melihat dengan jelas seorang lelaki sedang berbaring di bahagian ruang tamu.
Saya pun memberi salam. Salam tidak dijawab. Saya beri salam lagi. Masih tidak dijawab. Saya bertanya kepada isteri saya, adakah orang berkenaan sedang tidur. Isteri saya memberitahu, orang berkenaan hanya baring-baring sahaja. Lalu kami berdua pun memberi salam lagi. Pintu rumah masih tidak berubah kedudukannya, macam tadi juga. Akhirnya yang terbuka bukannya pintu rumah si hamba Allah yang ini, tetapi pintu rumah seorang dua jirannya yang lain.
Melihatkan keadaan yang semakin tidak selesa, akhirnya saya memutuskan agar sampul surat yang berisi wang yang tak seberapa tersebut diselitkan sahaja pada wiper kereta volvonya. Dalam hati saya tertanya juga, mengapa si hamba Allah berkenaan enggan membuka pintu rumahnya? Bukankah namanya selaku mereka yang boleh menerima derma bagi pihak tertentu tertera dalam surat rayuan sumbangan yang dihantar ke serata rumah di taman perumahan ini? Tidak terpandangkah beliau sampul surat yang tergenggam erat di tangan saya?
Agaknya, orang berkenaan enggan membuka pintu rumahnya kerana mungkin berpersepsi si buta yang datang ini adalah seorang pengemis dan isteri saya pula dianggap sebagai orang yang membantu si pengemis buta ini. Kalau pun yang datang si pengemis, salahkah kalau salam yang diberi dijawab dengan baik? Salahkah kalau beliau bertanya dahulu tentang tujuan kedatangan saya? Mengapa beliau harus mematikan dirinya sebegitu rupa sebelum beliau benar-benar mati? Kalau pun beliau lupa bahawa Allah itu Maha Melihat, lupakah beliau bahawa saya datang bersama-sama dengan orang yang berpenglihatan seperti beliau juga?
Bagi saya yang sudah lali dengan keadaan sedemikian, kejadian sebegini tidaklah mendatangkan apa-apa kesan. Tetapi saya kasihan dengan isteri saya kerana harus melalui dan merasai pengalaman sebegini hanya kerana suaminya buta. Sewaktu berjalan meninggalkan rumah si hamba Allah itu, saya bertanya kepada isteri saya, Bagaimana perasaannya dengan kejadian sebentar tadi? Kata isteri saya, beliau semakin memahami persepsi masyarakat terhadap orang seperti saya. Demikianlah antara liku-liku hidup yang sering saya dan rakan-rakan senasib harus tempuhi.
Saya bukan mencari simpati, hanya sekadar berkongsi realiti.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment