Saturday, July 3, 2010

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Nampaknya kepesatan perkembangan dunia maya nan tanpa sempadan kian rancak khususnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan khasnya dalam kalangan mereka yang masih di bangku sekolah lagi. Hal ini diperkukuhkan lagi bilamana bilangan pelajar yang sudah berkeupayaan untuk mempunyai dan mengendalikan blog sendiri kian bertambah.



Kali ini, saya ingin memperkenalkan seorang blogger baru dalam kalangan anak murid saya sendiri. Pelajar yang saya maksudkan ialah Amerullah bin Muda. Pelajar yang berpenglihatan terhad (rabun) ini merupakan penuntut tingkatan 5A tahun ini. Anak kelahiran Terengganu ini merupakan seorang pelajar yang baik budi bahasa dan rajin juga dalam pelajaran. Saya sempat juga berkunjung ke blognya dan saya dapati pelajar ini memang punyai bakat menulis yang boleh digilap. Saya dimaklumkan, beliau baru sahaja mula berblog pada pertengahan bulan Jun lalu.

Kepada Amerullah, cikgu ucapkan syabas dan selamat datang ke dunia maya. Dunia ini tanpa sempadan dan semua orang yang berkemampuan serta berpengetahuan dalam bidang ICT boleh menjadi warganya. Mudah-mudahan dunia maya ini akan ada manfaatnya dan juga boleh membantu Amerullah untuk mencapai kejayaan yang lebih baik dalam peperiksaan SPM nanti, insha-Allah.

Kepada yang berminat untuk berkunjung ke blog beliau, alamat blog beliau ialah www.penunggusepi.blogspot.com. Manakala pengunjung blog ini pula boleh klik sahaja pada amerullah muda di bawah tajuk Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan.

No comments: