Saturday, August 28, 2010

YB Oh YB

Beberapa bulan yang lalu, saya telah dihubungi oleh seorang Ahli Dewan Rakyat. Sehingga kini, sekitar 2 atau 3 kali wakil rakat berkenaan sudah menghubungi saya. Itu tidak dikira komunikasi menerusi SMS. Saya pernah bertemu, berjabat salam, berbicara dan makan semeja dengan wakil rakyat berkenaan dalam satu majlis kira-kira 12 tahun lalu. Pada masa itu, beliau belum lagi jadi wakil rakyat. Kali ini, walaupun beliau ada mempelawa saya untuk ke parlimen bertemu dengannya atas satu urusan, namun saya menolaknya kerana masa yang tidak begitu mengizinkan.


Salah satu perkara yang sempat dibincangkannya ketika berhubung dengan saya melalui telefon ialah mengenai usaha ke arah menyatukan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan. Beliau sempat mengutarakan satu dua hujah mengapa pada pandangan beliau semua NGO yang berkaitan perlu disatukan. Antaranya, kata beliau, bila semuanya disatukan maka mudah bagi pihak-pihak berkenaan terutamanya kerajaan untuk menghulurkan bantuan. Katanya lagi, ia juga lebih memudahkan bagi komuniti cacat penglihatan untuk mengutarakan pelbagai masalah, pandangan atau sebagainya yang berkaitan dengan golongan berkenaan. Selanjutnya, wakil rakyat berkenaan menyatakan, beliau akan cuba menganjurkan mesyuarat dengan semua pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan dalam masa terdekat. Objektif utamanya ialah untuk membincangkan isu penyatuan sebagaimana lontaran buah fikiran beliau kepada saya. Katanya lagi kepada saya, beliau sudah pun mendapat green light daripada seorang menteri untuk menganjurkan mesyuarat sebagaimana yang beliau hasratkan. Secara peribadi saya merasakan bahawa mesyuarat seperti mana yang dikatakan oleh wakil rakyat berkenaan mungkin akan berlaku juga tetapi bukan dalam masa yang terdekat. Maklumlah janji orang politik, bukannya boleh dipegang sangat!

Sekali fikir, memang hujah yang diutarakan oleh wakil rakyat berkenaan ada kebenarannya. Bak kata pepatah Melayu, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Apatah lagi dalam keadaan di mana komuniti cacat penglihatan di negara ini tidaklah sebesar mana. Oleh itu, idea yang telah dilontarkan oleh wakil rakyat berkenaan kepada saya ada kebenaran dan tampak kebaikannya.

Secara sepintas lalu, saya ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai badan-badan bukan kerajaan dalam komuniti OKU penglihatan di negara ini. Walau bagaimanapun, maklumat yang saya kongsikan ini sangat ringkas dan bersifat umum sahaja.

Untuk pengetahuan bersama, pada masa ini, ada sekurang-kurangnya 10 pertubuhan bukan kerajaan dalam kalangan komuniti cacat penglihatan di negara ini. Bayangkanlah, komunitinya tidaklah sebesar mana, tetapi ada sekitar 10 NGO yang mewakili ahli komuniti yang tidak sebesar mana itu. Sekali imbas, situasi seperti ini kurang menguntungkan golongan cacat penglihatan itu sendiri. Hal yang hampir serupa pernah juga ditimbulkan oleh sebilangan rakan saya yang berpenglihatan. Bahkan, bagi kebanyakan orang yang berpenglihatan, mereka turut tertanya-tanya bagaimana situasi sebegini boleh terjadi dalam kalangan golongan cacat penglihatan.

Antara NGO yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan termasuklah:

1. Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB);
2. Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM);
3. Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS);
4. Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCBM);
5. Sarawak Society For The Blind;
6. Sabah Society For The Blind;
7. Agape Services For The Blind (ASB);
8. Klab Sukan Dan Rekriasi Cacat Penglihatan Kuala Lumpur;
9. St. Nicholas Home.

Setiap NGO ini pula berbeza dari aspek objektif penubuhan masing-masing sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan setiap NGO berkenaan. Selain itu, ada juga NGO yang diasaskan khusus untuk mereka yang seagama seperti Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) atau untuk aktiviti keagamaan seperti Agape Services For The Blind (ASB) yang ditubuhkan khusus untuk menjalankan aktiviti yang berteraskan agama Kristian dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Di samping itu, ada juga NGO yang khusus untuk negeri-negeri tertentu seperti Sabah Society For The Blind dan juga Sarawak Society For The Blind.

Selain itu, ada juga NGO yang mana secara umumnya ditadbir oleh mereka yang berpenglihatan seperti MAB. MAB merupakan NGO tertua di negara kita. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1951 lagi. Manakala Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) pula merupakan sebuah NGO yang ditadbir dan diuruskan sepenuhnya oleh mereka yang tidak berpenglihatan. Pertubuhan ini sudah pun berusia 46 tahun. Keunikan pertubuhan ini ialah ia mempunyai cawangannya di hampir setiap negeri di Malaysia.

Satu lagi NGO yang perlu diberikan perhatian di sini ialah Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCBM). NGO ini sebenarnya bertindak sebagai payung kepada 5 NGO untuk golongan cacat penglihatan yang lain. Kelima-lima NGO yang dimaksudkan ialah MAB, SBM, Sabah Society For The Blind, Sarawak Society For The Blind dan St. Nicholas Home. Pada pandangan saya, kewujudan dan fungsi NCBM yang menaungi kelima-lima NGO di bawahnya lebih bersifat sebagai penyelaras daripada pengurus.

Dari sudut keahlian pula, adalah menjadi perkara biasa jika seseorang cacat penglihatan itu menjadi ahli bagi lebih daripada satu NGO. Setakat yang saya maklum, tiada dalam perlembagaan mana-mana NGO yang berkaitan golongan cacat penglihatan yang menghalang mana-mana ahlinya untuk menjadi ahli kepada NGO yang lain. Bahkan pernah suatu ketika dahulu, presiden SBM dan Yang Dipertua PERTIS merupakan orang yang sama. Hanya sejak akhir-akhir ini sahaja saya mula terdengar saranan daripada segelintir orang cacat penglihatan yang mengesyorkan supaya orang cacat penglihatan dihalang daripada menjadi ahli lebih daripada satu NGO. Saya penuh yakin bahawa cadangan sebegini bukan sahaja tidak popular bahkan ia juga tidak digemari oleh sebahagian besar golongan cacat penglihatan. Demikianlah serba ringkas mengenai NGO dalam kalangan golongan cacat penglihatan di negara kita.

Saya tidak berhasrat untuk membentangkan perkara-perkara yang menjadi sebab kepada wujudnya lebih dari satu NGO untuk golongan cacat penglihatan di negara ini. Ia memerlukan huraian serta kupasan yang panjang lebar. Persoalannya, sekiranya YB berkenaan benar-benar ikhlas dan berminat untuk menganjurkan mesyuarat sepertimana yang beliau hasratkan, maka tiga perkara yang seharusnya beliau ada, iaitu:

Pertama, beliau sepatutnya telah mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai latar belakang setiap NGO cacat penglihatan yang ada di negara ini.

Kedua, beliau juga sewajibnya mempunyai pengetahuan yang mendalam dan mencukupi mengenai sebab-musabab mengapa terdapat lebih dari satu NGO untuk golongan cacat penglihatan di negara ini.

Ketiga, beliau juga mesti sudah ada formula terbaik atau bentuk penyatuan yang boleh diterima oleh semua pihak untuk menyatukan kesemua NGO yang ada agar hasrat yang beliau ingin laksanakan itu benar-benar dapat direalisasikan dan tidak sekadar tinggal teori semata-mata.

Kini, setelah lebih dua bulan berlalu, saya tidak menerima sebarang perkhabaran mengenai usaha susulan yang bakal dilaksanakan oleh YB berkenaan. YB berkenaan bukan sahaja sepi dari menghubungi saya, bahkan ucapan salam Ramadhan saya menerusi SMS kepadanya pun tidak berjawab. Nampaknya yang semakin jelas realitinya ialah sepertimana yang saya nyatakan di atas, iaitu janji orang politik bukan boleh dipegang sangat!

Beberapa minggu yang lalu, seorang rakan yang juga salah seorang peneraju utama di sebuah NGO untuk OKU penglihatan di negara ini turut membincangkan perkara yang sama dengan saya. Namun begitu, beliau tidaklah sampai untuk menyatukan semua NGO cacat penglihatan yang ada di bawah satu badan tunggal. Menurutnya, beliau ingin menganjurkan satu mesyuarat untuk dihadiri oleh wakil semua NGO cacat penglihatan yang ada. Objektif utamanya ialah untuk berbincang supaya setiap NGO yang ada tidak menjalankan aktiviti yang bertindih. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mencari formula agar kesemua NGO yang ada dapat bersatu suara bila membabitkan isu-isu dan kepentingan golongan cacat penglihatan secara umum.

Pada pandangan saya, cadangan beliau ini baik dan realistik. Pandangan saya ini berdasarkan penelitian saya ke atas sebab-sebab wujudnya lebih dari satu NGO untuk golongan cacat penglihatan. Walau bagaimanapun, saya masih tunggu dan lihat perkembangan saranan dan cadangan beliau. Mudah-mudahan rakan saya ini berbeza daripada YB tadi.

Apa sudah jadi YB!!!

Salam dari Kuantan.

2 comments:

Chareal83 said...

Assalamualaikum... Cikgu Z,

Saya setuju dengan cadangan penggabungan ini kerana:


1. Memudahkan bantuan disalurkan kepada OKU penglihatan.

2. Program2 yang dijalankan tidak akan bertindih.

3. OKU Penglihatan lebih mendapat manfaat daripada penggabungan ini.

4. Mudah mendapat perhatian pihak kerajaan dalam isu2 yang dibangkitkan.

5. Masyarakat luar mudah untuk berurusan.

6. Jawatan pengurusi/pengarah dan sebagainya boleh dibuat bergilir-gilir bagi mengelakkan dari terlalu lama dipegang.

7. Menubuhkan satu Koperasi kursus untuk OKU penglihatan.

Akyairee USIM said...

Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri,

Cikgu Ya,

Saya berminat untuk mengkaji berkaitan dengan pemerkasaan pengajian Quran Braille khususnya di Malaysia. InshaAllah, saya bercadang untuk membuat kajian tersebut diperingkat ijazah doktor falsafah. Untuk itu, saya mohon saya baik pihak cikgu Ya untuk membantu saya dalam memberi informasi dalam pelbagai bentuk sama ada artikel, idea dan sebagainya. Cikgu boleh emelkan ke alamat emel saya al.akhyari@yahoo.com/norakyairee@usim.edu.my.

Sekian, terima kasih.

Ustaz Akyairee, USIM.