Sunday, September 9, 2012

MAB Dan Fountain






Antara isu yang telah menimbulkan kontroversi yang melibatkan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) sejak akhir-akhir ini ialah pembinaan sebuah fountain di perkarangan MAB. Menerusi sumber maklumat yang telah saya terima, ramai juga individu cacat penglihatan yang telah melontarkan pelbagai komen khususnya mengenai pembinaan fountain berkenaan. Ada juga rakan-rakan senasib yang telah melontarkan pandangan masing-masing walaupun hakikatnya mereka sendiri belum lagi berkesempatan untuk melihat sendiri .... maaf salah istilah .... mendengar sendiri bunyi percikan atau desiran air fountain berkenaan.



Alhamdulillah, petang tadi, kebetulan saya ada urusan di Brickfields, maka kesempatan yang ada telah saya gunakan dengan pergi sendiri ke MAB. Saya turut meluangkan masa untuk mendengar sendiri bunyi percikan dan desiran fountain berkenaan. Saya turut mengelilingi kawasan fountain berkenaan. Di samping itu, saya turut menyentuh dengan tangan saya sendiri beberapa bahagian yang sesuai untuk disentuh. Tidak cukup dengan itu, saya turut bertanya sendiri kepada saksi mata berkenaan situasi fountain berkenaan. Maklumlah, tanpa saksi mata apa yang diperkatakan oleh golongan cacat penglihatan sering dipertikaikan! Demikianlah.



Bagi mereka yang berpenglihatan, tidak dinafikan bahawa kewujudan fountain berkenaan sedikit sebanyak turut mempengaruhi perubahan pemandangan lanskap dan persekitaran perkarangan kompleks MAB. Ia lebih cantik sedikit jika dibandingkan sebelum wujudnya fountain tersebut. Dari aspek yang lain pula, setakat ini saya tidak nampak lagi .... maaf salah istilah lagi .... saya tidak terfikir lagi adanya manfaan lain dengan kewujudan fountain berkenaan khususnya kepada golongan yang cacat penglihatannya. Justeru, tidak keterlaluan jika saya berpandangan, kewujudan fountain berkenaan lebih menguntungkan penglihatan si celik daripada pendengaran si buta. Ia lebih sesuai jadi perhiasan penglihatan kepada mereka yang masih berpenglihatan.



Dahulunya kawasan fountain ini merupakan sebahagian daripada tempat meletak kenderaan. Kesan awalnya ialah, ia telah mengurangkan jumlah kereta yang boleh diletakkan di kawasan berkenaan. Dahulu pun, sebelum pembinaan fountain berkenaan, adakalanya tempat meletak kenderaan yang sedia ada tidak mencukupi. Sudah tentulah bilamana adanya fountain di situ, jumlah kereta yang boleh diletak di situ semakin berkurangan. Ini juga bermakna, bila ada apa-apa kegiatan di kompleks MAB, sudah pastilah sebahagian besar kenderaan pengunjung yang terlibat akan terpaksa diletakkan di luar kawasan kompleks.



Saya juga mendapat khabar kononnya setelah kewujudan fountain berkenaan, kebanyakan kakitangan MAB terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di luar kawasan kompleks MAB sendiri. Betul ke? Kalau benar, kasihan mereka. Nama sahaja kakitangan, tetapi kemudahan untuk mereka menerusi MAB semakin disempitkan. Ini semua gara-gara kewujudan fountain.

Jadi, kenderaan siapa yang masih boleh diletakkan dalam kawasan meletak kenderaan kompleks MAB? Mungkin fountain itu sendiri ada jawapannya!

Selain itu, saya berpendapat, dengan wujudnya fountain ini, kita tidak berpeluang lagi untuk menganjurkan pelbagai majlis keramaian di perkarangan hadapan kompleks MAB. Dahulu, sebelum adanya fountain ini, pelbagai majlis boleh dianjurkan di kawasan letak kereta di hadapan kompleks MAB. Ini termasuklah majlis perkahwinan beberapa pasangan cacat penglihatan, majlis jamuan hari raya, majlis hari terbuka dan sebagainya. Kalau pun hendak dianjurkan juga majlis sedemikian di persekitaran letak kereta, majlisnya pasti tidak semeriah dan sebesar sebagaimana sebelumnya. Kini, penganjuran majlis-majlis keramaian seperti itu sudah tinggal sejarah sahaja. Ini semua gara-gara kewujudan fountain.

Ada yang berpendapat, kononnya pembinaan fountain berkenaan turut memberi manfaat kepada golongan yang cacat penglihatan. Kononnya bunyi percikan atau desiran air fountain berkenaan boleh memberi tunjuk arah kepada golongan cacat penglihatan. Kononnya juga, bunyi percikan itu juga boleh dijadikan sebagai landmark kepada golongan cacat penglihatan yang ingin datang ke MAB. Betul ke? Yang cakap macam tu si buta atau si celik? Setakat yang saya maklum, lama sebelum adanya fountain berkenaan, orang buta tidak pernah sesat kalau hendak ke MAB. Orang buta juga tidak pernah hilang arah selagi mereka berada dalam kawasan kompleks MAB. Maknanya, dalam konteks untuk mengenal arah, mencari arah atau sebagai mercu tanda, pembinaan fountain berkenaan tiada kena-mengena langsung.

Berdasarkan pemerhatian saya petang tadi, bunyi percikan dan desiran air fountain berkenaan tidak jelas kedengaran jika berada di luar kawasan kompleks MAB. Ini kerana bunyi percikan dan desirannya perlahan. Bahkan had sebaran bunyi percikan dan desiran fountain berkenaan semakin terhalang oleh kerana adanya tembok batu yang mengelilingi kawasan kompleks MAB. Ini ditambah lagi dengan bunyi pelbagai kenderaan lain serta bunyi tren monorel yang lalu di kawasan kompleks MAB. Bahkan tidak keterlaluan jika saya katakan bunyi tren monorel itu sebenarnya yang lebih sesuai untuk dijadikan sebagai penunjuk arah bagi golongan cacat penglihatan yang hendak menuju ke kompleks MAB.



Mengapa dapatan mudah sebegini tidak ada dalam pertimbangan ahli Council MAB ketika memutuskan untuk membina fountain berkenaan? Mungkin jawapannya mudah sahaja, kerana mereka belum jadi buta lagi!!!

Dari manakah MAB dapat wang untuk membina fountain berkenaan? Dari orang ramai. Nama siapakah yang telahdijaja oleh pihak MAB untuk mendapatkan wang berkenaan? Nama masyarakat orang buta. Siapakah yang dapat faedah dan manfaat daripada pembinaan fountain berkenaan? Orang celik, terutamanya ahli Council MAB. Apa yang orang buta dapat daripada pembinaan fountain berkenaan? Habut pun tak dapat.



Untuk ke sekian kalinya, perlu saya tegaskan di sini bahawa saya dan masyarakat cacat penglihatan umumnya sama sekali tidak menolak sebarang pembangunan yang ingin dilaksanakan apatah lagi jika kalau ia atas nama orang buta. Walau bagaimanapun, pembangunan itu hendaklah dan semestinya dapat memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat orang buta itu sendiri. Adalah tidak wajar sama sekali bila cari wang guna nama orang buta, tapi bila gbuna wang pandangan orang buta diketepikan.

Apa yang berlaku dalam isu pembinaan fountain ini ialah kegagalan pihak pengurusan tertinggi MAB untuk melihat sesuatu itu dari kaca mata golongan cacat penglihatan. Mereka hanya mampu melihat sesuatu isu hanya dari kaca mata mereka yang berpenglihatan semata-mata. Amat malanglah bagi masyarakat cacat penglihatan kerana setelah berusia 61 tahun, MAB masih gagal melihat orang buta dari perspektif yang betul. Sedangkan MAB merupakan badan bukan kerajaan yang paling dipercayai oleh masyarakat umum untuk membela dan memperjuangkan nasib orang buta di negara ini.



Selepas meneliti sendiri dari jarak dekat mengenai isu fountain ini, maka dapatlah saya rumuskan bahawa pandangan dan pendapat yang telah dilontarkan oleh beberapa orang rakansenasib sama ada yang dekat mahupun yang jauh banyak kebenarannya. Bagi golongan cacat penglihatan, pembinaan dan kewujudan fountain berkenaan tiada manfaatnya. Justeru, adalah lebih bermanfaat jika wang yang telah digunakan untuk membina fountain berkenaan disalurkan kepada perkara-perkara lain yang lebih berfaedah dan bermanfaat kepada masyarakat cacat penglihatan itu sendiri. Saya dan kita semua faham, hampir mustahil bagi pihak MAB untuk mengubah semula kewujudan fountain yang telah sedia ada kerana ia bakal menelan kos perbelanjaan lagi. Maklumlah pihak pengurusan MAB bukanlah dari jenis yang boleh mendengar pandangan orang lain khususnya orang buta. Rasanya, selagi fountain itu masih wujud di situ, maka selagi itulah ia akan menjadi mercu tanda kepada apa yang tidak disenangi dan tidak disukai oleh masyarakat cacat penglihatan.

Barang diingat, saya sama sekali tidak berniat dan bukan berhasrat untuk menceroboh kawasan orang lain. Oleh kerana MAB adalah badan yang dipercayai oleh masyarakat umum untuk membela dan memperjuangkan nasib orang buta dan sebagai salah seorang yang berkecacatan sedemikian maka saya merasakan bahawa saya juga mempunyai kepentingan ke atas isu yang sedang melanda MAB. Tujuan utama saya ialah untuk memperolehi first hand knowledge terhadap isu yang sedang membelenggu MAB dan masyarakat cacat penglihatan. Apa yang saya ketengahkan menerusi blog ini ialah dapatan hasil pemerhatian saya petang tadi. Itu sahaja.

MAB ialah Malaysian Association For The Blind dan bukannya Mengenepikan Agenda Buta.


1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Alhamdulillah! Analisa dan pemerhatian sendiri! Teruskan! Justeru, rasanya tak keterlaluan jika saya turut menyokong analisa ini 100 %. Sebab itulah juga saya tetap berpendapat, daripada melabur ke arah pembangunan yang bersifat kosmetik sebegitu, bukankah lebih baik jika mereka memikirkan untuk melabur ke arah sesuatu yang bermanfaat untuk kita, khasnya dari segi menaik-taraf kemajuan teknologi dan kepelbagaian sumber pendapatan? Bukankah mereka boleh mempertingkat kursus kemahiran yang keuntungannya bersifat jangka panjang, seperti membuat tongat putih berjenama Malaysia yang mungkin dipandang remeh, apatah lagi bidang IT yang juga begitu luas skopnya? Bayangkan, setelah 61 tahun MAB wujud, kita masih juga bergantung harap kepada produk dan inovasi luar; merdeka dan maju apa namanya ni?

Oleh itu, elok sekali kita sebagai komuniti OKU penglihatan senegara bersatu-padu dalam menyatakan hak dan pandangan kita walaupun telah terlewat dan akan terus dipandang sepi para penguasa sepertimana di dalam Majlis Presiden MAB itu. Akhirnya, teruskan dengan artikel yang berkaitan di lain masa; semoga dengan ini minda komuniti kita sedikit sebanyak akan juga lebih bbterbuka dan tidak hanya mudah tergoda dik janji manis dan pujuk rayu golongan berkepentingan.

Terima kassih.