Sunday, December 2, 2012

SBM: Bagaimana Boleh Terlepas




Pada awal bulan lepas, saya ada menulis menerusi blog ini mengenai usaha yang sedang dilakukan oleh pihak tertentu dalam Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) iaitu untuk mendapatkan sebuah bangunan yang baru. Dalam tulisan berkenaan, saya menyatakan bahawa bangunan yang dimaksudkan terletak di Brickfields dan tidak jauh dari ibu pejabat SBM sekarang. Usaha yang sedang dilaksanakan itu merupakan kesinambungan daripada apa yang telah diputuskan menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa SBM hampir setahun yang lalu.

Walau bagaimanapun, konon khabarnya, bangunan yang sedang diintai itu rupa-rupanya sudah terlepas ke tangan pihak lain. Apa silapnya dan di mana salahnya sehinggakan apa yang sedang diintai sempat disambar oleh orang lain? Agaknya nilah yang dinyanyikan oleh Ramli Syarif: “Jangan tunggu lama-lama, nanti dikebas orang!”

Walau bagaimanapun, pujian harus dizahirkan kepada pihak yang berkenaan kerana tidak mudah berputus asa dan cepat pula bertindak. Konon khabarnya juga, mereka sudah pun mengintai sebuah lagi bangunan yang letaknya tidak jauh juga daripada bangunan yang sudah terlepas itu. Harapnya kali ini usaha mereka akan berjaya. Jangan sekadar merisik khabar sahaja, bila kata sudah bulat, segeralah meminang agar tidak lagi dapat disambar oleh pihak yang lain. Elakkan daripada melakukan dua kesilapan yang serupa dalam tempoh waktu yang sama.

Jangan bagi lepas lagi, Tuan Haji!


No comments: