Monday, December 17, 2012

Sekitar Mesyuarat Agung Luar Biasa SBM Pusat



Semalam (16 Disember), telah berlangsung Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) peringkat pusat. Mesyuarat telah berlangsung di Hotel City Villa di Kuala Lumpur. Dua objektif penting mesyuarat ialah untuk meluluskan belanjawan bagi tahun 2013. Manakala satu lagi ialah bagi tujuan mendapatkan kelulusan draf pindaan perlembagaan SBM. Perjalanan mesyuarat kali ini juga turut disiarkan secara langsung menerusi internet. Jadi para ahli yang tidak berkesempetan hadir masih boleh mengikuti perjalanan mesyuarat dari jauh.



Sebagaimana sepatutnya, mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Nazari Osman selaku presiden SBM. Beliau turut dibantu oleh En. Rosyam Sidik selaku Setiausaha Agung SBM. Manakala jumlah ahli yang hadir pula sekitar seratus lebih orang. Sebagaimana biasa, jumlah kehadirannya tentulah tidak seramai kehadiran dalam mesyuarat agung dwitahunan sepertimana yang telah berlangsung di Johor Baru pada bulan Jun yang lalu.



Tatkala mesyuarat membincangkan mengenai cadangan belanjawan bagi tahun 2013, rasanya ia telah berjalan dengan tenang. Kalau pun ada pertanaan daripada para ahli, ia lebih merupakan pertanyaan biasa dan adakalanya sekadar inginkan penjelasan lebih terperinci semata-mata.

Tatkala mesyuarat sedang membincangkan mengenai cadangan belanjawan, salah seorang ahli yang sama-sama kita kenali naik minyak sedikit. Mungkin berang kerana tidak dapat peluang untuk bercakap lanjut, beliau telah melontar botol mineral minumannya. Yang lucunya, selepas botol tersebut dilontarkan, beliau mencari semula botol berkenaan dengan alasan dalam botol berkenaan masih ada baki air yang belum habis diminum. Lain kali habiskan dulu airnya, baru ringan untuk dilontar! Sabar Mad!!!



Sekitar jam 11.30 pagi, agenda mengenai cadangan belanjawan tahun 2013 selesai dan selamat diluluskan oleh ahli. Bagi sebuah organisasi yang agak besar, maka tidak hairanlah bilamana perbelanjaan yang diluluskan berjuta RM jumlahnya.

Setelah berehat beberapa minit, mesyuarat beralih pula kepada perbincangan mengenai draf pindaan perlembagaan SBM. Draf ini telah dibentangkan oleh Tuan Haji Nazari sendiri bagi pihak Majlis Presiden (MP). Secara peribadi, tujuan kehadiran saya pun adalah untuk memberi perhatian kepada perbincangan draf pindaan berkenaan. Seingat saya, kali akhir SBM telah meminda perlembagaannya ialah pada tahun 1994 lalu.

Bagi saya, perbincangan mengenai draf pindaan perlembagaan inilah yang telah menghidupkan mesyuarat kali ini. Adakalanya suasana perbincangan bertukar kepada perdebatan hangat tetapi secara keseluruhannya ia terkawal dan dapat dikawal oleh pengerusi mesyuarat. Pun begitu, sekali-sekala terdengar juga nada suara pengerusi seakan berada di bawah tekanan dalam mengendalikan kepelbagaian kerenah ahli yang membahaskan draf pindaan perlembagaan tersebut.




Antara perkara serius yang mendapat bantahan ahli ialah apabila wujudnya perbezaan kandungan draf pindaan antara draf versi bertulisan biasa (print copy) dengan versi yang bertulisan Braille. Sekiranya kedua-dua versi tersebut diambil dari fail yang sama, maka tidakmungkin wujud perbezaan sebagaimana yang telah terjadi. Siapalah yang akan kena bambu esok lusa!



Antara ahli yang turut mengambil bahagian secara aktif dalam perdebatan berkenaan termasuklah En. Mohd Amin (bekas presiden), En. Mohd Fairuz, En. Wong Yoon Loong, En. Jaafar Md Isa, En. Mohd Rosmadi Ibrahim, En. Mohd Ali Ahmad, En. Baharuddin Md Zain dan lain-lainnya.

Sekitar jam 3.45 petang iaitu setelah semua ahli yang ingin bercakap mendapat peluang masing-masing, maka tibalah masanya untuk menjalankan undian mengenai draf pindaan perlembagaan berkenaan. Pengerusi mesyuarat memaklumkan terdapat 105 ahli yang layak mengundi. Apabila saya mendengar angka tersebut, maka saya segera mencongak perkiraan. Selaras dengan peraturan 15, mana-mana bahagian perlembagaan SBM hanya boleh dipinda apabila mendapat sokongan 2/3 daripada jumlah ahli yang layak mengundi. Ini bermakna, dalam pengundian kali ini draf pindaan ini hanya akan lulus jika memperoleh sekurang-kurangnya 70 undi ahli.

Proses pengundian kali ini berjalan dengan aman. Ia dijalankan dengan cara mengangkat tangan sahaja. Saya sedikit hairan kerana pengundian sepenting ini tidak dilakukan sebagaimana biasa iaitu menerusi kertas undi. Walau bagaimanapun, undian secara mengangkat tangan masih sah. Akhirnya pengerusi mesyuarat mengumumkan iaitu jumlah ahli yang menyokong draf cadangan pindaan tersebut ialah seramai 42 orang. Manakala jumlah undi yang menentang pula adalah seramai 52 orang. Ini bermakna jumlah ahli yang mengambil bahagian dalam proses pengundian kali ini hanyalah seramai 94 orang sahaja. Ini juga bermakna, cadangan pindaan perlembagaan ini bukan sahaja gagal memperoleh undi 2/3, bahkan jumlah yang menentang lebih ramai daripada jumlah yang menyokong.

Ahli mesyuarat telah membuat keputusan. Jadi kita semua harus akur dengan apa yang telah diputuskan oleh mesyuarat. Lagi pun ia selaras dengan Peraturan 8.1 Perlembagaan SBM yang menyatakan bahawa ahli-ahli dalam mesyuarat agung merupakan kuasa tertinggi dalam SBM.

Di sini, saya ingin berkongsi beberapa sebab mengapa draf pindaan perlembagaan SBM sebagaimana yang telah dibentangkan dalam mesyuarat agung luar biasa semalam tidak mendapat kelulusan daripada ahli. Sayugia saya tegaskan bahawa ia hanya pendapat peribadi saya semata-mata. Mungkin orang lain mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing mengenai hal tersebut.

Sebab yang paling utama ialah apabila wujudnya perbezaan kandungan draf pindaan di antara versi yang bertulisan cetak biasa dengan versi yang bertulisan Braille. Sebagaimana yang telah saya nyatakan, hal sebegini tidak sepatutnya berlaku. Rasa tidak puas hati daripada ahli semakin membuak apabila pengerusi mesyuarat menegaskan bahawa versi draf pindaan cetakan biasa(print copy) yang ada di tangan beliau adalah yang betul. Ini bermakna versi draf pindaan bertulisan Braille merupakan dokumen yang salah. Dalam hal ini, pengerusi mesyuarat mungkin terlupa bahawa yang akan meluluskan draf pindaan ini bukan beliau seorang tetapi semua ahli yang hadir. Oleh itu, semua ahli yang hadir juga berhak (dan sepatutnya) dibekalkan dengan dokumen yang betul. Oleh kerana saya juga duduk di bawah (bukan di atas pentas) jadi saya dapat mendengar keluhan mereka yang mungkin tidak dapat didengar oleh pengerusi mesyuarat.

Sebab seterusnya ialah bilamana wujud ketidakselarasan antara beberapa peraturan mengenai cawangan dengan peraturan yang berkaitan dengan pusat. Kewujudan ketidakselarasan sebegini menunjukkan bahawa draf pindaan ini masih belum mantap lagi dan justeru ia masih belum sesuai untuk diketengahkan bagi pertimbangan para ahli. Bagi saya, dalam mesyuarat agung luar biasa semalam, bentuk pembetulan yang sesuai untuk dipertimbangkan oleh para ahli ialah seperti perbezaan angka, contohnya RM 5 ribu kepada RM 10 ribu, kesalahan ejaan atau pembetulan pada frasa kecil. Jika wujud ketidakselarasan dalam bentuk percanggahan peraturan, maka ia tidak sesuai untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat semalam kerana ia bakal melibatkan perbahasan yang panjang dan ia akan memakan masa yang banyak. Bagi ahli yang tidak begitu mahir dengan perlembagaan, ia pasti mengundang kebosanan yang turut sama mempengaruhi tindakan mereka untuk menolak draf pindaan berkenaan.

Sebab berikutnya ialah para ahli kurang berpuas hati dengan cara yang digunakan oleh pengerusi mesyuarat dalam menentukan satu-satu cadangan pindaan peraturan telah benar-benar mendapat persetujuan lebih 2/3 daripada ahli. Kesahihan 2/3 prsetujuan ahli yang hanya didasarkan kepada kekuatan suara amat diragui. Jumlah suara yang kedengaran mungkin boleh dikatakan majoriti tetapi kelebihan undi 2/3 berdasarkan kekuatan suara semata-mata amat subjektif. Ini juga merupakan antara keluhan para ahli yang duduk di bawah yang mungkin tidak dapat didengar oleh pengerusi mesyuarat tetapi saya telah mendengarnya. Kaedah pengundian melalui kertas undi atau setidak-tidaknya secara mengangkat tangan bagi setiap peraturan yang hendak dipinda merupakan kaedah yang paling telus, tulus dan tiada sesiapa pun yang akan meraguinya. Jika ia telah dilakukan untuk Peraturan 8.2, mengapa tidak pada cadangan pindaan peraturan-peraturan yang lain!

Sebab seterusnya ialah keengganan pengerusi mesyuarat untuk akur kepada permintaan beberapa orang ahli supaya cadangan pindaan perlembagaan ditangguhkan ekoran daripada beberapa kelemahan yang ada. Antara ahli mesyuarat yang telah mengutarakan pandangan sedemikian termasuklah En. Mohd Amin, En. Faruz, En. Daud Amin dan juga En. Jaafar Md Isa. Bagi pengerusi mesyuarat, cadangan pindaan yang dikemukakan harus diteruskan untuk kelulusan kerana katanya supaya SBM tidak lagi terlepas beberapa peluang pada masa akan datang sebagaimana yang pernah berlaku sebelumnmya. Selain itu, pengerusi mesyuarat juga menegaskan bahawa penganjuran satu-satu mesyuarat yang besar sebegini memakan belanja yang banyak. Justeru katanya lagi, jika cadangan pindaan ini ditangguhkan untuk dibawa ke mesyuarat selanjutnya maka akan berlaku pembaziran. Manakala bagi ahli yang memohon supaya cadangan pindaan tersebut ditangguhkan lebih melihat kepada aspek draf pindaan itu sendiri. Bagi mereka, jika ia melibatkan kepentingan SBM maka penganjuran mesyuarat luar biasa yang seterusnya sama sekali tidak boleh dilihat sebagai membazir. Saya mendengar semuanya ini kerana saya berada di bawah bersama-sama ahli yang lain.

Sebab selanjutnya ialah apabila pihak Majlis Presiden (MP) menerusi wakilnya gagal menjawab soalan yang diutarakan oleh En. Fairuz secara meyakinkan. En. Fairuz bertanya kesan yang bakal ditanggung oleh SBM jika ada ahli yang akan memanjangkan rasa tidak puas hati mereka ini kepada pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan sokongan fakta dan bukti yang ada. Jawapan yang dikemukakan tak ubah bagai enau melepaskan pucuknya sahaja. Ini tentunya telah mempengaruhi pandangan para ahli yang lain mengenai draf pindaan perlembagaan berkenaan.



Sayugia juga saya tegaskan di sini, tujuan saya mengemukakan beberapa sebab mengenai kegagalan dalam mendapatkan kelulusan draf pindaan perlembagaan SBM semalam bukanlah untuk menyalahkan kepada mana-mana pihak. Ia merupakan muhasabah bersama supaya kesilapan sebegini tidak berulang. Jika kita redha dan berfikiran positif terhadap apa yang berlaku semalam, insha-Allah manisnya akan dapat kita sama-sama kecapi suatu hari nanti.



Bagi saya, walaupun majoriti ahli semalam telah menolak draf pindaan perlembagaan yang dikemukakan, ia tidak bermakna mereka telah menolak kepimpinan barisan pemimpin SBM yang sedia ada. Jika semalam mereka menolak, tetapi apabila draf pindaan dimrnikan semula dan kesilapan yang ada tidak berulang, saya penuh yakin pada masa akan datang para ahli akan memberi pertimbangan yang lebih positif terhadap draf yang akan dikemukakan semula. Jika para ahli benar-benar menolak kepimpinan barisan pemimpin yang sedia ada, sudah tentulah cadangan belanjawan 2013 turut sama mereka tolak. Oleh itu, mana-mana ahli MP tidak sepatutnya patah semangat dan berputus asa. Cabaran sebegini adalah perkara biasa dalam memimpin mana-mana organisasi.



No comments: