Sungai Melaka merupakan antara sungai yang banyak memendam kisah sejarah silam bangsa Melayu.Sungai ini juga turut merendam pelbagai cerita dan kisah pahit duka bangsa Melayu dari zaman ke zaman.Agaknya, pada hari ini, di sekitar muara sungai ini, mungkin masih boleh didapati pelbagai tinggalan barangan lama seperti duit shiling, barangan tembikar dan sebagainya jika kita rajin menggali dan mencarinya.
Pada era prakesultanan Melaka, di kiri kanan sungai ini hanya merupakan perkampungan nelayan dan penempatan orang laut sahaja.Mungkin mereka pun tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti kawasan perkampungan mereka akan berubah menjadi pusat kegemilangan sebuah kesultanan terkenal khususnya di alam nusantara.Tatkala kerajaan Srivijaya di kemuncaknya, sungai Melaka terus sepi dan aman daripada hirok-pikok politik dewasa itu.
Konon kisahnya, pada akhir kurun ke-14, seorang anak raja dari Palembang, Sumatera, yang sedang melarikan diri daripada buruan Majapahit dan Siam, telah singgah di sekitar muara Sungai Melaka. Mungkin pada asalnya, tujuan singgahan itu ialah sekadar untuk berehat dan melepaskan penat lelah semata-mata.Maklumlah, sudah penat berlarilah agaknya.Walau bagaimanapun, sedang anak raja berkenaan berehat, tiba-tiba satu peristiwa aneh berlaku di hadapan matanya.Anjing pemburuannya telah ditendang oleh seekor pelanduk putih dan dek kerana kuatnya tendangan pelanduk berkenaan mengakibatkan anjing tersebut tercampak ke dalam sungai. Di sungai mana lagi anjing berkenaan telah tercampak kalau tidak di sungai Melaka!Agaknyalah, di manakah lokasi yang tepat peristiwa aneh berkenaan telah berlaku?
Berdasarkan peristiwa aneh tersebutlah maka konon khabarnya anak raja berkenaan tidak mahu lagi berpindah ke tempat lain. Pada firasadnya, jika binatang di tempat ini sudah pun cukup kuat, apatah lagi dengan orangnya!
Pada masa yang sama, tempat itu pun dinamai baginda sebagai “Melaka” iaitu sempena nama pokok di mana baginda duduk berehat. Maka kekallah nama tempat itu sebagai “Melaka” hinggalah ke hari ini. Agaknya berapakah jumlah tempat di negara kita yang dinamakan berasaskan nama pokok?
Maka sejak itulah anak raja berkenaan telah karar di Melaka.Baginda mula membina istana dan kubu.Bukit Melaka yang berdekatan telah dijadikannya sebagai pusat pentadbirannya.
Mungkin pada ketika itu, keputusan anak raja berkenaan untuk terus menetap di Melaka adalah berdasarkan peristiwa aneh tersebut.Maklumlah pada ketika itu kepercayaan sedemikian memang menebal dalam masyarakat ketika itu. Kepercayaan sedemikian pada masa ini dalam masyarakat kita pun apa kurangnya! Mungkin baginda tidak terfikir dari segi lokasi Melaka yang strategik untuk tujuan perdagangan?
Dari sejak itu, maka sekitar sungai Melaka mula berubah dengan drastiknya. Dari sebuah petempatan nelayan dan orang laut, ia mula berukar kepada sebuah kawasan komersial yang kian sibuk. Jumlah penduduknya juga semakin bertambah dengan pesatnya.Faktor ini telah mempercepatkan lagi perkembangan sekitar sungai Melaka.
Perkembangan pesat sekitar sungai Melaka khasnya dalam sektor perdagangan telah membolehkan Melaka muncul sebagai kuasa ekonomi yang terunggul di rantau sebelah sini pada pertengahan kurun ke-15.Catatan China, catatan Portugis dan juga catatan dalam Sejarah Melayu dapat memberi maklumat yang jelas tentang peranan serta kepentingan Melaka khususnya dalam sektor ekonomi.Adalah dikhabarkan bahawa terdapat 84 bahasa yang dituturkan di sekitar Melaka pada ketika itu.Ini membutikan bahawa ketika itu penduduk Melaka terdiri daripada pelbagai etnik dari seluruh ceruk rantau dunia. Kebanyakan penduduk Melaka ketika itu merupakan ahli perniagaan skala bsar khasnya dari India, China dan tanah Arab Mereka telah berhimpun di sekiar sungai Melaka atas tujuan yang sama iaitu menjalankan aktiviti perdagangan.
Selain daripada perdagangan, sungai Melaka juga turut menjadi saksi bagaimana agama Islam mula berkembang menyinari hati sanubari para penduduknya. Para pedagang Islam khususnya yang datang dari Arab, India dan China yang telah menjalankan aktiviti perdagangan mereka di sekitar Sungai Melaka, turut sama berperanan selaku pendakwah dan menyebarkan ajaran agama berkenaan kepada penduduk Melaka dan pedagang lain yang masih belum Islam ketika itu.Dari sinilah bermulanya peranan Melaka sebagai penyebar agama Islam di rantau sebelah sini.
Pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah, sungai ini juga pernah menjadi saksi bagaimana baginda membanteras pencuri.Adalah diceriterakan orang, pada zaman baginda pencuri terlalu banyak sehingga sukar dikawal. Maka pada suatu malam, baginda dengan ditemani 2 pengawal lain telah keluar untuk melihat sendiri keadaan negeri Melaka. Tatkala itulah baginda dan kedua-dua pengawalnya terserempak dengan lima orang pencuri. Lalu baginda pun mengejarnya dan akhirnya berjaya membunuh 3 orang daripada mereka.Dua orang pencuri lagi terselamat dengan terjun ke dalam sungai Melaka dan berjaya berenang ke tebing seberang.Barangan curian yang sedang mereka usung juga dapat diselamatkan.Demikianlah gagahnya dan beraninya baginda.Inilah dikatakan raja berjiwa rakyat.Ada lagi ke raja semacam baginda pada zaman ini?
Di akhir era kesultanan Melayu Melaka, sungai ini juga turut menjadi saksi bagaimana kuncu-kuncu dan golongan pengampu para pembesar negeri suka makan suap dengan menekan para pedagang lain. Golongan berkenaan akan pergi ke premis pedagang terpilih dan akan merentangkan tali tanda premis mereka disita. Sebagai jalan untuk melepaskan premis masing-masing daripada disita, maka para pedagang berkenaan tiada jalan lain selain daripada memberi suapan kepada kuncu-kuncu yang tidak bertanggungjawab tersebut. Demikianlah yang terjadi pada zaman itu. Adakah hal yang serupa juga turut sama berlaku pada zaman ini?
Selain itu, sungai Melaka juga turut menjadi saksi pertempuran yang berlaku antara pahlawan-pahlawan Melaka dengan tentera Portugis di bawah pimpinan Alfonso D’albuquerque dalam tahun 1511.Kekalahan orang Melaka mula terasa apabila tentera Portugis berjaya menguasai jambatan yang menghubungkan kedua-dua tebing sungai berkenaan.Ini menyebabkan kekuatan orang Melaka menjadi lumpuh dan akhirnya Melaka jatuh ke tangan Portugis.Sultan Mahmud Shah dan para pengikutnya terpaksa berundur ke Muar dan kemudian trus ke pulau Bintan.
Walaupun tampuk pentadbiran Melaka sudah dikuasai Portugis, tetapi peranan sungai Melaka tetap tidak berubah.Fungsinya sebagai nadi kepada aktiviti ekonomi dan perdagangan di Melaka terus berjalan seperti sediakala.
Bezanya setelah kehadiran Portugis, sekitar sungai Melaka tidak lagi merupakan sungai emas kepada para pedagang Islam. Mereka terpaksa berkelana pula ke tempat lain terutamanya ke Johor dan Acheh sebagai ganti kepada Melaka. Demikianlah nasib yang sering menimpa satu-satu tamadun, ada masanya ia di atas dan ada ketikanya ia di bawah pula. Tamadun bangsa Melayu masa kini berada di atas atau di bawah?
Semasa era pentadbiran Portugis, sungai Melaka turut menjadi saksi kepada perang Tiga Segi yang berlaku antara Johor, Portugis di Melakadan juga Acheh.Peperangan yang berlaku sekitar seabad ini telah menambah gelora kepada Selat Melaka.Namun egitu, peranan sungai Melaka sebagai nadi kepada kegiatan ekonomi dan perdagangan masih belum tergugat.
Apabila Belanda menguasai Melaka pada tahun 1641, fungsi sungai Melaka mula tergugat.Dasar Belanda yang lebih mengutamakan Batavia (Betawi) mula mengabaikan penjagaan terhadap muara sungai Melaka.Kesannya, pelabuhan Melaka mula cetek dan ini telah memberi kesan jangka panjang kepada aktiviti perdagangan di Melaka.
Selain itu, Belanda juga turut menggalakkan para pedagang dan kapal-kapal dagang supaya singgah di Batavia dan bukan di Melaka, turut memberi kesan kepada kegemilangan pelabuhan Melaka.Akhirnya, fungsi pelabuhan Melaka sebagai pelabuhan entreport selama ini telah berubah kepada hanya sebagai sebuah pelabuhan pembekal semata-mata. Demikianla nasib yang menimpa pelabuhan Melaka yang turut sama disaksikan oleh sungai Melaka.
Tatkala negara kita hampir mencapai kemerdekaan, sekali lagi sungai Melaka menjadi saksi kepada kepulangan rombongan kemerdekaan dari London yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.Di Dataran Pahlawan yang berhampiran dengan sungai Melaka, Tunku Abdul Rahman telah membuat pengisytiharaan mengenai tarikh kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu sebagaimana yang telah diputuskan dalam rundingan di London sebelumnya.
Hari ini, sungai Melaka masih punya erti kepada negeri Melaka.Berbekalkan tinggalan khazanah sejarah silam yang kaya, sungai Melaka telah dimajukan pula untuk sektor pelancongan.Kalau dahulu banyak perahu dagang berulang-alik di sungai ini untuk tujuan perdagangan, hari ini pula banyak bot penumpang yang berulang-alik membawa pelancong dari pelbagai bangsa dan negara menyusuri sungai Melaka.Adayang sekadar menikmati keindahan panorama sekitar pesisir sungai.Bagi yang punya pengetahuan sejarah Melaka pula, mungkin turut menyusuri sejarah silam negeri ini tatkala bot yang dinaiki meluncur di menyusur tebingannya.
Dalam konteks ini, rasanya tidak keterlaluan jika pujian dizahirkan untuk Ketua Menteri Melaka sekarang, YAB Datuk Seri Mohd Ali Rostam.Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab mengubah persekitaran sungai Melaka daripada lesu dan bisu kepada sebuah kawasan yang kembali sibuk dan berupaya menjana ekonomi negeri.
Sesungguhnya, di bawah aliran sungai Melaka, terpendam pelbagai kisah sejarah bangsa Melayu dari zaman ke zaman.Sungai ini pernah menjadi saksi kepada keagungan serta bangun dan jatuhnya sebuah empayar Melayu suatu ketika dahulu. Walaupun kita tidak harus menoleh ke belakang lagi, tetapi sungai ini berupaya untuk memberitahu kita bagaimana untuk melihat masa depan bangsa dengan lebih sempurna.
Maklumat Tambahan:
- Terdapat beberapa perbezaan mengenai nama anak raja yang telah membuka Melaka pada akhir abad ke-14. Ada yang mengatakan nama baginda ialah Parameswara. Ada pula yang mencatatnya sebagai Permaisura. Manakala orang Portugis pula mencatatnya sebagai Xaqendar Sha.
- Sebelum munculnya nama Melaka, kawasan sekitar muara sungai berkenaan dikatakan dikenali sebagai Kuala Sungai Bertam
- Sultan Alauddin Riayat Sah dikatakan telah memerintah Melaka antara tahun 1477 – 1488.
1 comment:
assalamualaikum...saya merupakan pelajar tingkatan 6 ...blog cikgu ini bnyk membantu saya untuk membuat kerja kursus sejarah...jika cikgu ada lagi bahan berkaitan sg melaka sebelum 2000 ...cikgu tolong post kn...jasa cikgu amat dihargai...
Post a Comment