Saturday, March 30, 2013

Mengunjungi Kuala Telemong



Baru-baru ini, sewaktu saya sekeluarga di Kuala Terengganu, kami sempat mengunjungi Kuala Telemong. Kuala Telemong terletak sekitar 25 km dari Bandaraya Kuala Terengganu. Selain menggunakan GPS, kami juga turut bertanya orang setempat supaya lokasi tujuan kami tepat dan juga untuk meminimumkan masa mencari.


Secara peribadi, ini bukanlah kunjungan pertama saya ke kawasan ini. Saya pernah sampai di sini kira-kira 21 tahun lalu. Namun demikian, pada ketika itu saya datang kerana mengikuti orang lain untuk menghadiri satu kenduri. Walaupun ketika itu hasrat saya kuat untuk turut sama mengunjungi kawasan Masjid Kuala Telemong dan Padang Kachong, tetapi oleh kerana saya sendiri waktu itu hanya ikut orang lain, maka hasrat berkenaan saya urung sahaja dengan merafakkan doa kepada Allah semoga suatu hari nanti saya akan tiba lagi ke kawasan ini. Sebesar puji kepada Allah kerana akhirnya beberapa hari lepas doa saya termakbul juga.






Semasa kunjungan saya yang pertama kira-kira 21 tahun lalu, saya sempat juga bertanya kepada penduduk tempatan mengenai perjuangan orang-orang Terengganu yang berlaku di Padang Kachong. Menurut salah seorang penduduk tempatan yang sudi bercerita kepada saya, orang tua-tua kawasan ini tidak begitu gemar untuk bercerita mengenai kisah perjuangan tersebut apatah lagi kepada orang luar. Saya sendiri tidak begitu pasti sebab sebenarnya. Saya juga ada membuat telahan sendiri mengapa hal sedemikian boleh berlaku tetapi rasanya kurang molek jika saya menulisnya di sini.


Sewaktu kunjungan saya yang pertama juga, saya telah pun mendengar ungkapan kubur 12. Bila saya bertanya mengapa ia disebut sebagai kubur 12, menurut orang tempatan berkenaan, yang terkorban dalam pertempuran tersebut ialah seramai 12 orang. Katanya lagi, 11 jenazah telah ditemui manakala jenazah ke-12 tidak ditemui. Penduduk kampung hanya menemui sebelah kaki sahaja. Akhirnya kesemua 11 jenazah bersama-sama sebelah kaki tadi telah dikebumikan dalam satu kawasan perkuburan yang sama. Maka itulah ia dikenali sebagai kubur 12. Kini kawasan perkuburan berkenaan terletak di perkarangan Masjid Kuala Telemong.






Sewaktu saya sekeluarga tiba di lokasi, waktu asar hampir akan masuk. Kebetulan pula, kawasan utama tujuan saya sememangnya terletak di kawasan masjid. Setibanya saya di perkarangan masjid, saya terus bertanya kepada salah seorang pengunjung mengenai letaknya kubur 12. Pengunjung berkenaan tidak begitu pastikerana beliau bukan penduduk asal Kuala Telemong. Walau bagaimanapun, beliau bermurah hati dengan memperkenalkan pula saya kepada tuan imam masjid. Bila saya bertanya sahaja mengenai lokasi kubur 12, beliau dengan begitu gembira menunjukkan kepada kami arah letaknya. Memang ia terletak dalam perkarangan masjid Kuala Telemong. Namun begitu, bukan semua orang tahu bahawa perkuburan berkenaan juga dikenali sebagai kubur 12. Selain itu, bukan semua orang di situ (kecuali memang penduduk asal Kuala Telemong) yang mengetahui bahawa di kawasan kubur 12 itulah bersemadinya 12 orang pahlawan dan pejuang Terengganu yang menentang pemerintahan Inggeris di negeri berkenaan pada tahun 1928 lalu.


Tuan imam telah bercerita secara ringkas mengenai perjuangan orang Terengganu dan kubur 12. Namun demikian, oleh kerana waktu asar sudah pun masuk, beliau terpaksa menangguhkan penceritaannya. Sebelum meninggalkan kami, beliau sempat memberitahu iaitu jika saya ingin mendapat maklumat lebih lanjut, beliau mempersilakan saya ke rumah Tuan Haji Hashim yang terletak tidak jauh daripada Klinik Kesihatan Kuala Telemong. Saya tidak lupa mengucapkan berbanyak terima kasih kepada beliau kerana walaupun pertemuan kami singkat tetapi layanannya sangat mesra.






Setelah tuan imam masjid meninggalkan kami, saya terus meneliti kawasan permakaman berkenaan. Kawasannya berpagar tetapi ia mempunyai pintu untuk masuk. Di sebelah permakaman berkenaan, terdapat tulisan yang mencatatkan perjuangan ringkas orang Terengganu khususnya golongan petani menentang penjajahan Inggeris. Selain itu, terdapat juga catatan senarai nama para pahlawan yang telah terkorban dalam pertempuran di Padang Kachong yang terletak tidak jauh dari kawasan perkarangan Masjid Kuala Telemong.






Setelah saya puas meneliti kawasan perkuburan berkenaan, kami sekeluarga pun meninggalkan kawasan masjid Kuala Telemong. Tujuan kami kali ini ialah ke rumah Tuan Haji Hashim yang juga merupakan Pengerusi Masjid Kuala Telemong. Bila kami tiba di luar pintu pagar rumahnya, kebetulan ada ahli keluarga beliau yang hendak memasuki kawasan rumah berkenaan. Saya pun terus bertanya tentang Tuan Haji Hashim. Menurut lelaki berkenaan, Tuan Haji Hashim tiada di rumah. Mendengarkan jawapan tersebut, saya terus menangguhkan hasrat untuk bertemu beliau. Llagipun, hari sudah agak petang dan kami sekeluarga memang akan bertolak ke Kuantan semula pada petang itu juga. Mudah-mudahan saya akan dapat kembali semula ke tampat ini dan dapat bertemu dengan mana-mana orang yang boleh bercerita lebih lanjut mengenai perjuangan di Padang Kachong.






Sebenarnya maklumat mengenai perjuangan yang berlaku di Telemong pernah saya baca sebelum ini. Antara tulisan yang baik dan agak terperinci mengenainya ialah sebagaimana yang pernah ditulis oleh Profesor Abdullah Zakaria Ghazali yang termuat dalam buku yang berjudul Historia. Namun demikian, saya akan merasa lebih puas lagi bilamana saya dapat mendengar sendiri ceritanya daripada mereka yang pernah terlibat atau mereka yang ada kaitan dengan para pejuang yang pernah terlibat dalam pertempuran berkenaan. Demikianlah.






Antara nama tokoh yang sering dikaitkan dengan perjuangan orang Melayu Terengganu menentang penjajah ialah Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau memang terlibat dalam membela petani Terengganu yang tertindas akibat dasar British yang menzalimi rakyat ketika itu pada peringkat awal. Beliau juga telah membela sebilangan orang Melayu yang diheret ke mahkamah oleh British yang kononnya telah melanggar undang-undang berkaitan dengan pembukaan tanah baru untuk bercucuk tanam. Kepintaran Haji Abdul Rahman Limbong berhujah menyebabkan para petani yang didakwa terlepas daripada hukuman.


Melihatkan kepintaran Haji Abdul Rahman Limbong berhujah, pihak British telah menarik kembali lesen guaman yang telah dikeluarkan untuk beliau sebelumnya. Di sini semakin terbukti iaitu British sememangnya akan bermain kotor dalam menghadapi kebenaran yang diperjuangkan oleh lawan-lawannya. Apa yang menghairankan, sikap busuk hati British sedemikian mendapat sokongan pula daripada segelintir golongan bangsawan.


Pada tahun 1928, kemarahan orang Melayu Terengganu semakin memuncak. Dengan dikepalai oleh beberapa orang pejuang Melayu, sekumpulan petani telah berhimpun di sekitar Kuala Telemong. Mereka berhasrat untuk mengadap sultan Terengganu ketika itu. Pada masa sama, penjajah British telah mengkategorikan kumpulan petani berkenaan sebagai penderhaka. Sepasukan polis telah dihantar untuk menyekat kemaraan kumpulan petani berkenaan. Kumpulan petani dan pasukan polis berkenaan telah bertemu di Padang Kachong. Oleh kerana keadaan semakin tidak terkawal, maka pasukan polis berkenaan telah melepaskan tembakan dan akibatnya 12 orang telah terkorban.


Haji Abdul Rahman Limbong tidak terlibat secara langsung dalam perjuangan kumpulan petani berkenaan. Walau bagaimanapun, pihak British telah mendakwa beliau turut terlibat dan Haji Abdul Rahman Limbong telah dibicarakan. Akhirnya Haji Abdul Rahman Limbong telah didapati bersalah dan dibuang negeri. Dengan nasihat daripada menteri besar Terengganu ketika itu, Haji Abdul Rahman Limbong telah dibuang ke Makkah. Semua perbelanjaan sara hidup beliau ditanggung oleh kerajaan Terengganu selagi Haji Abdul Rahman Limbong tidak meninggalkan Makkah dan Madinah. Pada tahun 1929, Haji Abdul Rahman Limbong telah meninggal dunia di Makkah. Demikianlah secebis kisah perjuangan yang harus kita sama-sama teladani.






Sekiranya kita ingin mendokong kebenaran dan tidak gentar dengan kebatilan, taladanilah keberanian para pejuang yang telah terkorban. Walaupun mereka mati, tetapi semangat perjuangan mereka tidak pernah mati ditelan masa. Jasa dan perjuangan mereka sentiasa harum disebut orang zaman berzaman.


Sebaliknya kalau kita gentar dengan gertakan musuh, takut untuk menyatakan kebenaran dan lebih mementingkan pangkat, harta dan kedudukan, ikutlah mereka yang sering menolak kebenaran. Apa yang telah dilakukan itu akan membusuk dan dikeji dari satu keturunan ke satu keturunan. Silap hari bulan, anak cucu pun tak ingin mengaku mereka adalah keturunan daripada sulbi kalian.






Bagi penduduk asal Kuala Telemong, anda sepatutnya merasa bertuah kerana di bumi inilah telah tercetusnya antara rentetan perjuangan bangsa kita menentang penjajahan Barat. Selain itu, di bumi inilah juga bersemadinya para pejuang bangsa yang telah mengorbankan jiwa dan nyawa mereka demi mempertahankan maruah kita.













1 comment:

Muhammad Asyraf said...

salam cikgu. mantop. cerita dan mklumt yg sgt bermakna utk dijadikan sbgai iktibr dan semngt apabila mmbce sdkit sbyk mengenai kisah perjuangan tok limbong dan rakan seperjungannye. sy terse sgt rugi kerana sy tggl berhmpiran di kampng ini.