Sunday, March 3, 2013

Program OKU Bangkit Pra-PRU 13



Pagi tadi, telah berlangsung program OKU Bangkit Pra-Pu 13. Program telah berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di Kuala Lumpur. Program telah berlangsung bermula sekitar jam 10.00 pagi dan telah berakhir pada jam 2.00 petang. Penganjur utama program ini ialah Sekretariat OKU yang berada di bawah Lujnah Kebajikan PAS.






Menurut pendengaran saya dan disahkan pula oleh saksi mata, kehadiran dalam kalangan warga OKU cukup menggalakkan. Warga OKU pelbagai bangsa,pelbagai usia, pelbagai latar belakangekonomi dan profesion telah sama-sama hadir sebagai tanda sokongan kepada apa yang sedang diusahakan oleh pihak penganjur. Saya turut menemui beberapa orang pemimpin utama beberapa pertubuhan bukan kerajaan dalam kalangan OKU. Tuan Haji pun ada sama. Walau bagaimanapun, mungkin mereka juga seperti saya, hadir ke program berkenaan atas sifat peribadi dan bukan mewakili pertubuhan yang sedang dipimpin.






Di pihak pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pula, antara yang telah hadir termasuklah YB Dr. Siti Mariah Mahmood (AJK Pusat PAS), YB Tien Chuah (Naib Presiden PKR) serta Tuan Haji Mohd Hanifa Maidin (AJK Pusat PAS). Kemuncak kepada acara majlis ialah kehadiran YB Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat. Datuk Seri Anwar turut memberikan ucapan sekitar 15 minit.


Majlis telah dimulai dengan taklimat dan ucapan daripada En. Mohamad Faizal Che Yusuf selaku ketua penganjur. Selain itu, ia turut diserikan dengan ucapan daripada Tuan Haji Mohd Hanifa, Dr. Siti Mariah serta daripada Tien Chuah. Selain itu, ruang dan peluang juga telah diberikan kepada sebilangan hadirin untuk meluahkan apa yang terbuku kepada pimpinan PR yang hadir.


Antara luahan yang menarik perhatian saya ialah, ada OKU yang mendakwa selama ini mereka (OKU) telah dijadikan model penerima bantuan untuk menarik perhatian media dan masyarakat setempat semata-mata. Maknanya bantuan yang diberikan ada agenda serampang dua mata. Luahan yang telah diutarakan oleh En. Alfred Ho, seorang pemuzik buta yang cukup terkenal juga tidak kurang tragisnya. Selain itu, seorang OKU dari Negeri Sembilan memaklumkan bahawa lesen untuk OKU berniaga telah dikeluarkan di satu tempat tetapi seorang ADUN telah menulis surat supaya lesen berkenaan ditarik balik. Selain itu, isu penjaja tisu dalam kalangan golongan cacat penglihatan turut dibangkitkan.






Hal yang hampir serupa pernah disuarakan kepada pihak kerajaan menerusi pelbagai saluran, pertubuhan, forum atau pertemuan tidak rasmi. Namun demikian, segala permasalahan yang diutarakan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang berkenaan. Maka itulah warga OKU telah mula beralih arah.


Sekitar jam 1.15 tengah hari, Datuk Seri Anwar tiba. Setelah aluan ringkas daripada pengerusi majlis, Datuk Seri Anwar pun berucaplah selama sekitar 15 minit. Ini disusuli dengan penyerahan memorandum daripada OKU kepada Datuk Seri Anwar sebagai mewakili pimpinan PR.


Sesungguhnya penganjuran program pagi tadi ada keunikan yang tersendiri. Ia telah dianjurkan oleh OKU sendiri dari bawah. Perbelanjaan penganjuran juga datangnya daripada wang ringgit OKU sendiri. Saya juga cukup tertarik dengan tema program kali ini iaitu bukan simpati tetapi responsibiliti.






Oleh kerana masa semakin suntuk lantaran tarikh PRU Ke-13 kian hamir, maka sudah agak terlewat untuk pihak kerajaan memikirkan mengapa dan kenapa warga OKU mula berubah arah dan beralih angin. Mereka mula menyandarkan harapan yang menggunung kepada PR pula. Saya tidak menafikan bahawa kerajaan telah pun berbuat sesuatu untuk membantu warga OKU. Namun demikian, sekiranya kerajaan lebih serius dan lebih ikhlas, lebih banyak lagi yang boleh dilakukan untuk membantu OKU. Mengapa dasar petempatan 1% untuk golongan OKU dalam sektor awam masih belum terlaksana walaupun dasar berkenaan telah pun diperkenalkan hampir 25 tahun? Itu baru satu persoalan!


Pada hemat saya, ini merupakan pertama kali golongan OKU telah bersatu dan menganjurkan sendiri majlis serupa ini. Sebelum ini, ada yang aktif mengikuti program anjuran badan siasah bukan kerajaan tetapi kehadiran mereka atas sifat individu dan bukan di bawah naungan badan OKU sendiri. Saya juga turut bersetuju dengan kenyataan En. Mohammad Faizal bahawa walaupun mereka adalah OKU, tetapi mereka ada senjata yang cukup ampuh (insha-Allah) iaitu doa. Apabila warga OKU telah mula bersatu untuk menyatakan luahan hati mereka, itu petanda yang kurang baik kepada pihak yang satu lagi!












No comments: