Monday, October 27, 2014

Tuan Haji Anuar Mohamed




Petang semalam, ketika dalam perjalanan pulang ke KL dari menghadiri satu bengkel di Bandaraya Bersejarah Melaka, saya sekeluarga telah singgah di rumah Tuan Haji Anuar Mohamed di Seremban. Sehari sebelumnya, Tuan Haji Anuar telah menelefon saya dan memaklumkan beliau telah selamat pulang daripada menunaikan haji. Selanjutnya beliau telah menjemput saya untuk datang ke rumahnya. Memandangkan petang keesokannya saya akan pulang ke KL, maka saya terus memberi persetujuan untuk berkunjung ke rumah beliau iaitu semasa pulang ke KL.



Sebenarnya, sewaktu beliau akan berangkat ke tanah suci pada awal September lalu, saya juga ada dimaklumkan mengenainya. Namun demikian, gara-gara tersalah rancang, hasrat saya untuk menemui Tuan Haji Anuar sebelum pemergian beliau ke tanah suci tidak kesampaian. Saya sekeluarga sudah pun tiba di perkarangan Tabung Haji di Kelana Jaya, tetapi terlewat beberapa minit. Sewaktu saya tiba, beliau telah pun masuk untuk proses keberangkatan. Oleh itu, kesempatan untuk bertemu beliau kali ini tidak akan saya lepaskan.



Tuan Haji Anuar merupakan antara pensyarah yang pernah mengajar saya ketika saya menuntut di peringkat Diploma Pendidikan Malaysia di Maktab Perguruan Raja melewar (MPRM), Seremban, Negeri Sembilan. Kini maktab berkenaan sudah dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar. Tuan Haji Anuar telah pun bersara hampir 10 tahun lalu.

Semasa di MPRM dahulu, saya telah memilih sejarah sebagai opsyen pengajian. Manakala Tuan Haji Anuar pula merupakan pensyarah untuk opsyen berkenaan. Sewaktu di dalam kelas, hubungan kami adalah sebagai guru dengan murid. Manakala di luar kelas pula, hubungan kami tak ubah seperti kawan lama yang sudah kenal mesra. Sebenarnya hubungan mesra antara saya dengan beliau telah mula terjalin sejak saya mula mendaftar masuk ke MPRM lagi. Saya dan Yong Chwan Fwu merupakan kumpulan pertama guru pelatih cacat penglihatan yang berpeluang menuntut di MPRM untuk kursus Diploma Pendidikan Malaysia dalam program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

Selama setahun saya berada di bawah didikan beliau, maka banyak sekali ilmu yang telah beliau curahkan. Saya juga banyak terikut-ikut stail dan kaedah yang beliau praktikkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Bagi saya juga, beliau merupakan seorang guru yang cukup understanding.

Salah satu sifat beliau yang cukup berkenan pada hati saya ialah sikapnya yang suka berterus-terang. Kalau beliau tidak gemar dan tidak suka pada sesuatu, beliau akan memberitahunya secara terus-terang tetapi dengan cara berhemah. Kalau beliau gemar dan suka pada sesuatu pula, beliau juga akan memberitahunya tanpa berlebih-lebihan. Sikap inilah yang sukar untuk saya temui pada orang lain.

Satu perkara yang membuatkan saya akan mengingati beliau untuk selama-lamanya ialah sikap beliau yang cukup positif terhadap golongan cacat penglihatan. Saya masih ingat lagi sewaktu saya mula-mula mendaftar di MPRM, beliau ada bertanya kepada saya, “Tahu kenapa saudara dihantar ke sini (MPRM)?” (Masa itu baru bertemu jadi belum betul-betul mesra lagi). Saya jawab, “Sebab saya nak ambil opsyen sejarah.” Kata beliau, ”Bukan, saudara dihantar ke sini sebab saudara memang layak untuk belajar di sini.” Saya cukup lega dengan jawapan beliau.

Saya ketengahkan perbualan di atas kerana pada masa yang sama, ada juga pensyarah lain yang bertanya kepada saya, mengapa saya dan Yong tidak dihantar ke Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK)? Alasannya di MPIK ada kemudahan sedangkan di MPRM tiada kemudahan langsung untuk guru pelatih seperti saya.

Sepanjang saya menjadi muridnya, tidak pernah sekali pun saya menemui sikap negatif Tuan Haji Anuar terhadap orang seperti saya. Beliau sentiasa memandang dengan pandangan yang betul dan tulus. Sikap positih tidaklah bermakna semua betul belaka. Jika saya membuat silap, beliau akan menegur dengan cara yang berhemah. Selain itu, beliau juga tidak membezakan antara muridnya yang berpenglihatan dengan muridnya yang tidak berpenglihatan seperti saya dan Yong. Kami semua dilayan sama rata.

Dalam kunjungan petang semalam, saya berhasrat untuk singgah sekitar setengah jam sahaja. Namun begitu, oleh kerana seronok bertemu dan berbual, saya bertamu di rumah beliau hampir dua jam lamanya. Berbagai perkara yang kami bualkan. Tuan Haji Anuar cukup seronok bercerita tentang pengalamannya ketika menunaikan haji. Beliau turut berkongsi beberapa perkara untuk saya jika menunaikan haji kelak. Kami juga bercakap tentang dunia pendidikan dahulu dan sekarang.



Selain itu, saya turut terharu bila beliau menghadiahkan saya jubah yang dibelinya ketika di tanah suci khas untuk saya. Pandai beliau memilih jubah yang cukup cocok dan sesuai dengan badan saya. Secara berseloroh, Tuan Haji Anuar berkata, masa hendak beli jubah untuk saya, dia tengok sosok tubuh orang Arab yang hampir sama dengan sosok tubuh saya. Bukan setakat hadiahkan jubah, bahkan Tuan Haji Anuar turut memakaikan jubah tersebut ke badan saya. Terasa kemesraan yang tak mungkin padam buat selama-lamanya, insha-Allah.



Selain jubah, ada lagi beberapa hadiah lain yang diberikan kepada saya sekeluarga. Malu alah saya dibuatnya kerana sebelum beliau berangkat ke tanah suci, tiada apa yang saya berikan kepada beliau.

Satu perkara yang saya dapat belajar daripada Tuan Haji Anuar ialah, jika seseorang guru itu bersikap positif, maka muridnya pasti akan positif dan yakin ketika dalam alam pekerjaan kelak.



Sesungguhnya kunjungan petang semalam telah mengeratkan lagi hubungan dan kemesraan bukan sahaja antara saya dengan Tuan Haji Anuar, tetapi ia turut mengeratkan hubungan antara keluarga saya dengan keluarga beliau. Saya sentiasa berdoa semoga Tuan Haji Anuar dan keluarganya sentiasa dalam rahmat dan rahim Ilahi hendaknya sepanjang masa, dunia dan akhirat. Jauh dalam hati, saya juga berharap semoga hubungan mesra sebegini akan diteruskan oleh generasi selepas kami kelak.



No comments: