Friday, March 4, 2016

Deklarasi Rakyat







Petang tadi telah berlangsung satu perisytiharan yang dikenali sebagai Deklarasi Rakyat. Ia merupakan perisytiharan secara terbuka bagi tujuan untuk menyingkirkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku perdana menteri. Deklarasi ini telah diketuai sendiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri. Ia turut disertai oleh beberapa parti pembangkang utama, ahli-ahli dan bekas ahli UMNO dan Barisan Nasional serta beberapa tokoh politik lain.

(Untuk teks penuh Deklarasi Rakyat, sila baca
Di sini)

Setelah meneliti isi kandung deklarasi berkenaan, pada penelitian saya terdapat 3 perkara asas yang ingin diketengahkan. Perkara-perkara tersebut ialah:

Pertama, sebab-sebab utama mengapa Datuk Seri Mohd Najib harus disingkirkan.
Kedua: Cara penyingkiran akan dilakukan secara aman dan mengikut saluran undang-undang.
Ketiga: Menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira siapa agar menyertai usaha mereka dalam usaha untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib.

Deklarasi Rakyat merupakan usaha pertama yang digerakkan oleh Tun Mahathir dalam usahanya untuk menyingkirkan Datuk Seri Mohd Najib selepas mengisytiharkan keluar daripada UMNO. Parti-parti pembangkang utama turut menyertai usaha tersebut. Mungkin yang paling mengujakan ialah kesediaan PKR untuk turut serta dalam gerakan berkenaan. Penyertaan PKR merupakan sesuatu yang sangat penting. Ini memandangkan persetruan ketat antara PKR dengan Tun Mahathir.

Jika diimbas sejarah, Tun Mahathir adalah orang yang menyebabkan sebahagian ahli UMNO telah keluar parti dan kemudiannya menubuhkan Parti Keadilan Nasional (kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat). Sejak itu juga hubungan renggang antara Tun Mahathir dengan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim berterusan dan sukan dipadamkan. Segala-galanya bertitik tolak daripada tindakan-tindakan Tun Mahathir pada masa lalu.

Nanun demikian, petang tadi, mungkin kerana keutamaan dan kecintaan kepada negara telah mengatasi segala-galanya, maka segala tindakan Tun Mahathir terhadap Datuk Seri Anwar sebelum ini telah diketepikan. Maka itulah PKR telah turut serta dalam gabungan gerakan untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib. Maknanya semua pihak kini bersatu untuk satu tujuan iaitu menyingkirkan Datuk Seri Najib demi menyelamatkan negara.

Bagi sesetengah pemerhati pula, seperkara yang sedikit mengecewakan ialah ketiadaan PAS sebagai salah satu pihak dalam gabungan tersebut. Sejak kebelakangan ini PAS lebih memilih untuk bergerak secara bersendirian dalam menangani pelbagai isu yang berbangkit. Menurut sumber daripada PAS, mereka juga ada rancangan untuk menghadap ke bawah duli raja-raja Melayu. Rasanya adalah lebih berkesan jika majlis penghadapan itu disertai oleh semua pihak yang berkepentingan dan mempunyai matlamat yang sama. Sesetengah pemerhati pula tertanya-tanya, adakah PAS sedang menghala ke arah politik matang atau ke arah politik songsang?

Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya boleh mengenepikan rasa kemarahan yang mendalam selama ini terhadap tun Mahathir demi menyelamatkan negara, PAS sepatutnya turut sama harus mengenepikan apa jua perbezaan yang wujud dengan mana-mana pihak yang terdapat dalam gabungan berkenaan demi mencapai matlamat untuk menyelamatkan bangsa dan negara. Kaedah lihat dahulu dan akan menyebelahi pihak yang bakal juara tidak gentleman sifatnya. Bilamana sebuah bahtera itu sedang senget, bila kita naik ke atasnya ia mungkin lebih cepat karam dari detik yang sepatutnya.

Hari ini, semua pihak bertindak dengan menggunakan nama rakyat. Apa yang mereka lakukan konon semuanya demi rakyat. Realitinya rakyat semakin tertekan hidup mereka. Apa yang masih belum pasti, majoriti rakyat sekarang akan berdiri di sebelah mana.

No comments: