Thursday, March 3, 2016

Hari Pengumuman Keputusan SPM: Tempoh Debaran Berakhir




Jika semalam di sekolah tempat saya bertugas ramai yang menanti dalam debar, tetapi hari ini ramai yang boleh tersenyum lebar. Sebagaimana yang semua sudah maklum, hari ini keputusan SPM 2015 diumumkan. Sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, 4 murid yang diminta untuk ke jabatan untuk mengambil keputusan SPM masing-masing merupakan murid-murid yang berjaya beroleh keputusan cemerlang.

(Saya dan Celine)


Murid yang paling cemerlang ialah Celine Lean Yew Lin yang beroleh 10 A untuk semua subjek yang beliau duduki. Beliau memperolehi 7 A+ dan 3 A. Seorang lagi murid di sekolah saya yang juga memperolehi keputusan 10 A ialah Tan Chin Ning.

(Saya, Celine dan kedua-dua ibu bapanya)


Amiruddin memperolehi 9 A. Manakala Nurul Syahida pula memperolehi 8 A. Beberapa murid pula memperolehi 7 A. Mereka termasuklah Wen Chai, Min Enn dan Abdul Muis.



Setakat yang saya maklum, hampir semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan. Bahkan 6 mata pelajaran telah berjaya memperolehi keputusan 100% lulus. Mata pelajaran tersebut ialah Bahasa Melayu, Sains, Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Matematik Tambahan dan EST.

Sekalung tahniah kepada semua murid SMPK Setapak yang telah menduduki SPM 2015 atas kejayaan yang telah dicapai. Setelah dua tahun kalian menanam usaha, maka hari ini kalian mengutip hasilnya. Jadikanlah kejayaan hari ini sebagai gerbang kecemerlangan untuk hari muka.

Kepada pengetua SMPK Setapak, Tuan Haji Jalaluddin serta seluruh barisan pentadbir sekolah, terima kasih diucapkan atas sokongan tanpa sempadan yang diberikan terutamanya kepada guru-guru yang mengajar peringkat SPM tahun 2015. Tanpa sokongan padu serta bimbingan yang berterusan, tentu sukar untuk kita sama-sama kecapi saat-saat manis seperti hari ini.

Firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya:
“Jika kamu bersyukur maka Aku (Allah) akan tambah untukmu (daripada nikmat-Ku), dan jika kamu kufur, ingatlah azab-Ku amat pedih”.
(Ayat 7, Surah Ibrahim, juzuk 13).


No comments: